Total Pageviews

Monday, June 22, 2009

Pengagihan kekayaan dalam Ekonomi Islam 2

Artikel saya pada 20 Jun 2009 (Hari Sabtu) membincangkan langkah-langkah positif yang boleh dibuat oleh kerajaan dalam melakukan aktiviti agihan semula pendapatan atau kekayaan, dari kumpulan yang kaya kepada kumpulan yang berkemampuan. Sempena dengan hari bapa pada hari ini, 21 Jun 2009 (Hari Ahad), ingin saya sentuh berkaitan rencana yang disiarkan oleh TV2 pada hari ini. Selain tersentuh dengan pengorbanan bapa yang berusaha menjaga kebajikan anak-anak mereka untuk menjadi manusia berguna, saya tersentuh juga dengan pengorbanan seorang bapa keturunan India yang berkorban wang ringgit dan masa untuk menjaga dan membesarkan anak-anak orang lain yang tidak berkemampuan agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Harapan bapa ini ialah agar kanak-kanak ini apabila telah dewasa melakukan pengorbanan yang sama sepertinya, iaitu melakukan aktiviti kebajikan kepada orang lain. Sebenarnya selain dari pengorbanan individu, pemerintah boleh melakukan beberapa aktiviti lain seperti menghalang aktiviti-aktiviti yang merosakkan ekonomi, disamping menggalakkan aktiviti moral tertentu seperti memberi Sadaqah, Nafaqah dan Waqf.

Langkah-langkah Menghalang
i) Pengharaman Riba’
Amalan Riba’ mempunyai unsur-unsur penindasan kepada orang yang meminjam. Oleh yang demikian sistem ekonomi Islam perlu mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah penggunaan sistem kewangan berunsur Riba’. Maklumat berkenaan Bank Islam dan Sistem Perbankkan Tanpa Faedah perlu diberi publisiti yang meluas. Al-Quran melarang amalan Riba’ dengan firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat ganda; dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.
(Terjemahan al-Quran Surah ali-Imran 3:130)

ii) Larangan Menyembunyikan Harta
Orang yang menyembunyikan atau membekukan hartanya merupakan musuh masyarakat. Harta yang dibekukan boleh menyebabkan perkembangan ekonomi seperti di sektor pertanian dan perindustrian tersekat. Sekiranya harta tersebut tidak dibekukan, harta tersebut boleh digunakan oleh orang yang kekurangan sumber kewangan tetapi mempunyai kesanggupan, idea dan keinginan untuk membuat sesuatu kegiatan ekonomi yang berfaedah. Al-Quran mengutuk amalan menyembunyikan harta dengan firman Allah yang bermaksud:

Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari Kiamat”.
(Terjemahan al-Quran Surah ali-Imran 3:180)

iii) Perbelanjaan Yang Membazir
Islam telah melarang perbelanjaan yang tidak membazir dan tidak perlu. Ini kerana ia boleh menyebabkan orang-orang kaya terjerumus ke dalam kemewahan. Keadaan ini juga menyebabkan faktor-faktor pengeluaran seperti modal, buruh dan tanah digunakan untuk mengeluarkan barangan tersebut dan tidak barangan keperluan asasi yang diperlukan oleh orang-orang miskin.

Contohnya masyarakat Islam dilarang menggunakan bekas emas dan perak, menggunakan perhiasan emas (kecuali wanita), ghairah terhadap hiburan, berjudi, meminum arak, melakukan zina dan menghiasi rumah dengan gambar-gambar dan patung-patung. Penggunaan barang emas dan perak dilarang kerana ianya melambangkan kemewahan dan menggalakkan ujudnya industri-industri yang tidak berfaedah. Judi dan arak pula boleh menimbulkan perasaan benci dan permusuhan di antara anggota masyarakat. Menghiasi rumah dengan gambar-gambar dan patung-patung pula mengujudkan unsur-unsur Syirik (menyengutukan Allah). Al-Quran mengutuk amalan perbelanjaan yang membazir dengan firman Allah yang bermaksud:

“... dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Isra’ 17:26-27)

iv) Perniagaan Yang Tidak Sihat
Semua bentuk perniagaan yang tidak sihat akan meningkatkan ketidakseimbangan agihan pendapatan dan kekayaan. Jenis kegiatan seperti spekulasi, menipu, menyorok barangan, pasaran gelap dan kegiatan monopoli pasaran barangan.

Amalan spekulasi mengujudkan satu bentuk perniagaan yang memperolehi keuntungan tanpa menggunakan buruh dan tanpa perlu membuat sebarang bayaran. Rasulullah s.a.w. pernah menghalang penjualan buah-buahan sebelum ia masak. Ini kerana jika buahan-buahan tersebut rosak dan tidak dapat diambil sebelum ianya masak, sudah tentu ianya akan menganiayai pembeli. Begitu juga terdapat riwayat yang menyebut Rasulullah s.a.w. pernah menghalang amalan menjual pakaian dengan hanya menyentuhnya sebelum pembeli sempat melihatnya.

Kegiatan menipu dalam perniagaan, contohnya menipu dalam timbangan dan sukatan dengan harapan menerima keuntungan untuk jangka masa panjang dilarang sama sekali. Mereka yang menipu diberi amaran siksaan yang pedih di akhirat kelak. Al-Quran mengutuk amalan menipu dengan firman Allah yang bermaksud:

Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang sukatan dan timbangannya dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-A’raf 7:85)

2. Langkah Moral
i) Sadaqah
Orang ramai mestilah mensedekahkan lebihan kekayaan mereka kepada orang-orang miskin. Apabila wujudnya keadaan dalam sesebuah masyarakat di mana orang-orang kaya menyimpan kekayaan dan tidak suka berbelanja dan menderma, kemiskinan akan berkembang dengan pesat dan jurang perbezaan kekayaan akan meningkat. Kekayaan akan hanya dimiliki oleh sekumpulan kecil masyarakat. Ini secara beransur-ansur akan mengurangkan kuasa beli orang awam dan menghancurkan sistem ekonomi. Orang-orang kaya selalunya suka membeli barang-barang yang tidak mengembangkan ekonomi- lihat sahaja minat mereka terhadap perhiasan antik dan barang emas. Sebaliknya orang-orang miskin menggunakan wang mereka membeli barang-barang makanan - kesannya pengeluar barang makanan mendapat keuntungan dan menarik minat mereka untuk mengeluarkan lebih banyak makanan. Al-Quran menggalakkan amalan Sadaqah dengan firman Allah yang bermaksud:

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) dari hartanya akan memperolehi pahala yang besar”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Hadid 57:7)

ii) Nafaqah
Nafaqah bermaksud memberi sara hidup kepada orang lain yang ada hubungan keluarga dan persaudaraan. Ia boleh jatuh di bawah hukum wajib, seperti menanggung ahli keluarga. Islam sentiasa menekankan layanan yang baik kepada ibubapa, anak-anak dan saudara mara (lihat surah al-Anfal: ayat 75, al-Nahl: ayat 90, al-Nisa’: ayat 36 dan al-Isra’: ayat 26).

Nafaqah yang dimaksudkan di sini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
Kategori Pertama - Seorang suami adalah wajib memberi nafaqah kepada isterinya tanpa mengira kedudukan kewangan masing-masing.
Kategori Kedua - Seorang bapa wajib memberi nafaqah kepada anak-anaknya dengan syarat bapa itu berkemampuan dan anaknya masih kecil atau miskin, atau anak yang telah dewasa tetapi tidak berkeupayaan menyara dirinya kerana sakit atau cacat.
Kategori Ketiga - Seseorang yang berkemampuan adalah dianjurkan memberi nafaqah kepada saudara maranya yang miskin sama ada keluarga terdekat atau jauh.

iii) Waqf
Waqf ialah memindahkan harta dari milik persendirian kepada milik ramai yang berfaedah. Waqf tidak diwajibkan oleh syariah tetapi dibiarkan kepada inisiatif sukarela setiap individu. Walaupun demikian, orang-orang Islam telah menerimanya dengan sukarela dan membentuk amalan waqf semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehingga hari ini, untuk berbagai tujuan sosial dan ekonomi termasuk pendidikan, kesihatan, ibadat dan keselamatan sosial. Waqf telah berjaya membawa berbagai perubahan bagi kebajikan mereka yang memerlukan dan berperanan mengagihkan kekayaan dengan berkesan untuk kebajikan ummah.

iv) Al Maniha
Al Maniha juga boleh ditakrifkan sebagai membenarkan kegunaan sesuatu aset yang produktif kepada orang yang memerlukan bagi suatu tempoh tertentu atau pemberian yang khusus. Misalnya, seseorang memberikan tanah kepada rakannya untuk diusahakan buat beberapa lama dan kemudian memulangkannya. Dari takrif ini, kita dapati bahawa institusi ini bukan sahaja boleh membantu seseorang dalam mendapatkan keperluan bahkan ia merupakan suatu pemindahan pendapatan yang besar.

RUMUSAN

Terdapat ketidakseimbangan pengagihan pendapatan di antara kaum, kawasan bandar dan luar bandar, dan negeri di Malaysia. Sebenarnya kita perlu berfikir secara kreatif dan bersungguh-sunguh melihat alternatif yang boleh dibuat untuk membetulkan ketidakseimbangan agihan pendapatan yang berlaku di kalangan masyarakat. Sekarang ini telah terdengar program-program ekonomi yang dikatakan bersifat 'pro-poor' sedang giat dilaksanakan.

Saturday, June 20, 2009

Konsep pengagihan kekayaan dalam Ekonomi Islam

Sejak kebelakangan ini banyak diperkatakan isu kemelesetan ekonomi dunia kesan dari krisis kewangan yang melanda negara-negara di Amerika Syarikat dan Eropah. Ramai pihak bertanya kepada saya bagaimana kesan krisis kewangan tersebut boleh sampai ke Malaysia. Jawapannya ialah sebagai sebuah negara kecil yang banyak dari aktiviti ekonomi bergantung kepada permintaan eksport, terutama dari negara Amerika Syarikat dan Eropah, krisis kewangan yang melanda negara-negara maju tersebut membuatkan permintaan barangan oleh sektor swasta dan sektor kerajaan turut merundum jatuh. Seterusnya permintaan barangan perantaraan, barangan pelaburan dan barangan akhir dari luar negara seperti Malaysia turut merosot.

Timbul pula persoalan bagaimanakah krisis kewangan tersebut boleh berlaku. Jika kita teliti laporan-laporan ekonomi, adalah jelas sikap tidak bertanggungjawab pengguna dan eksekutif kewangan di institusi-institusi kewangan di negara-negara tersebut sebagai punca utama. Pengguna hidup terlalu mewah menggunakan kemudahan pinjaman untuk membeli barangan mewah 'kamaliat' dan 'tarafiat' yang diketahui tidak membawa banyak kitaran ekonomi yang berguna kepada sektor pengeluaran. Eksekutif kewangan pula berlindung dari keuntungan di atas kertas dari aktiviti pemberian pinjaman kepada pengguna yang berbelanja dengan keterlaluan tersebut, tanpa mengikut prinsip kewangan yang betul seperti kemampuan peminjam untuk membayar kembali hutang yang diambil. Gaji eksekutif kewangan sangat tinggi. Hutang tidak berbayar bertambah dengan banyaknya dan ini menyebabkan institusi kewangan tersebut menghadapi masalah untuk memenuhi tuntutan penyimpan yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka. Di pihak institusi kewangan pula kekurangan wang untuk memberikan pinjaman baru kepada pelanggan yang hendak meminjam. Berlakulah tekanan kepada instisusi kewangan hingga terpaksa memohon bantuan kerajaan masing-masing untuk memulihkan keadaan.

Dalam perbincangan kali ini juga saya ingin menyentuh berkaitan konsep ekonomi Islam dalam pengagihan kekayaan di antara umatnya. Saya ambil bahan ini dari buku saya bertajuk "Ekonomi Malaysia: Satu Analisis Dasar" yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 2000.

Diketahui umum Islam tidak mengizinkan kebebasan dan hak yang tidak terbatas dikalangan individu untuk memiliki harta persendirian dalam aspek pengeluaran (sepertimana dalam fahaman kapitalis); dan tidak pula mengikat mereka kepada satu sistem yang kononnya adil sedangkan mereka tidak dapat mengeluarkan dan memiliki kekayaan dengan bebas (sepertimana dalam fahaman komunis).

Ekonomi Islam telah mengemukakan langkah-langkah yang tertentu untuk mencapai agihan pendapatan (kekayaan) yang saksama dalam masyarakat (Afzal-Ur-Rahman, 1991). Sistem Ekonomi Islam melarang amalan bunga dan kaedah pembahagian harta pusaka kaedah ekonomi konvensional yang menyebabkan kekayaan beredar dikalangan anggota keluarga yang rapat sahaja apabila seseorang yang kaya meninggal dunia. Beberapa langkah yang positif untuk mngembangkan kekayaan kepada orang ramai telah diambil seperti kewajipan Zakat, Sedakah dan peruntukan bantuan kepada orang-orang yang miskin dari pendapatan negara. Islam memberi hak dan semangat kepada individu untuk memiliki harta disamping memberi peringatan supaya mereka menggunakan sumber-sumber yang mereka warisi dengan cara terbaik.
Orang-orang Islam diingatkan supaya tidak membataskan kekayaan untuk diri mereka sahaja. Selepas memenuhi keperluan mereka secara sederhana, mereka perlu menunaikan tanggungjawab terhadap saudara mara, jiran dan orang lain yang memerlukan dalam masyarakat. Ini menunjukkan adanya perkhidmatan sosial dan pendidikan moral dalam pemilikan kekayaan. Untuk mencapai objektif agihan pendapatan yang lebih adil, Islam menggariskan, (1) langkah undang-undang, dan (2) langkah positif tertentu yang meliputi berbagai cadangan untuk memperbaiki pengagihan semula pendapatan. Bahagian pertama ini saya akan menyentuh langkah undang-undang: langkah-langkah positif dalam pengagihan pendapatan yang adil.

Langkah-langkah positif dibuat bertujuan untuk menghalang pemusatan kekayaan dan untuk membantu mengembangkan kekayaan kepada semua lapisan masyarakat. Alat-alat yang digunakan ialah:
i) Zakat
ii) Baitulmal
iii) Faraid
iv) Wasiat
v) Sumber-sumber lain

i) Zakat
Ia merupakan bayaran yang wajib di pungut daripada orang-orang Islam yang kaya untuk dibelanjakan terhadap orang-orang miskin. Menurut ahli fiqh, Zakat adalah sumbangan kewangan yang diwajibkan kepada setiap orang Islam yang memiliki harta melebihi jumlah dan tempoh tertentu. Ini dapat mengembangkan kekayaan kepada setiap anggota masyarakat. Sistem ekonomi konvensional memperkenalkan cukai. Dikatakan cukai progresif, iaiatu semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi bayaran cukai; merupakan teknik terbaik. Walau bagaimanapun, disebabkan sistem pencukaian tidak ada unsur-unsur kerohanian iaitu kesedaran selain dapat membantu masyarakat miskin, ianya juga mendapat balasan pahala bagi bekalan di akhirat. Kita dapat melihat bukti kelemahan kutipan cukai cara konvensional apabila pihak Jabatan Hasil Dalam Negeri melaporkan ramai orang tidak membayar atau menipu dalam pembayaran cukai. Usaha-usaha memperkenalkan sistem zakat dengan lebih meluas dan penggunaan wang zakat dengan baik perlu dijalankan.

Agihan zakat dapat menambah kuasa beli yang menyeluruh di kalangan orang-orang Islam dan meningkatkan permintaan di pasaran. Golongan yang berhak menerima zakat telah diterangkan dalam al-Quran pada surah al-Taubah ayat 60 yang bermaksud:
“Bahawa sadaqat (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus zakat, orang-orang muallaf bagi memujuk hatinya, untuk memerdekakan hamba, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. Ini sebagai suatu ketetapan daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

Ayat tersebut menerangkan orang yang berhak menerima hasil zakat ialah:-
1. Orang-orang fakir
2. Orang-orang miskin
3. Pengurus zakat (amil)
4. Para mualaf yang dipujuk hatinya (mualaf)
5. Memerdekan hamba (Al-Riqab)
6. Orang-orang yang berhutang (Al-gharimin)
7. Orang yang berjuang ke jalan Allah (Fisabillah)
8. Orang yang sedang dalam perjalanan (Ibnu Sabil)

Menurut Syed Othman al-Habshi (1990), di antara lapan golongan diatas, semuanya adalah tergolong dalam golongan yang susah kecuali (mungkin) para amil (pemungut zakat) dan muallaf. Ini menunjukkan hasil zakat ditumpukan kepada mereka yang susah dan tidak kepada yang senang. Begitu juga golongan fakir disebut dahulu, kemudian golongan miskin dan seterusnya lain-lain golongan. Ianya bermakna penumpuan patut diberikan kepada golongan termiskin (fakir) dalam pengagihan hasil zakat.

ii) Baitulmal
Baitulmal menguruskan kutipan harta zakat, wakaf, harta si mati yang tiada waris dan mengembangkan harta tersebut ke jalan yang dibenarkan oleh Syariah. Peranan yang dimainkan oleh Baitulmal ialah:
a) Mengagihkan harta yang dikumpulkan kepada pihak yang tertentu dan digunakan untuk melaksanakan perancangan dan pembangunan negara.
b) Membentuk dan menggubal polisi kewangan dan pembiayaan awam.
c) Mengutip segala cukai dan zakat.
d) Memungut cukai tambahan bagi membiayai keperluan segala yang bersifat daruriyyah (keperluan asas) dan hajiyyah (melengkapkan).

iii) Faraid
Dalam pengertian fekah, faraid membawa erti kepada hukum-hukum Islam mengenai pembahagian harta pusaka. Sistem faraid bertujuan untuk menentukan wujud proses sistematik untuk mengagihkan harga peninggalan seseorang. Di dalam al-Quran, disebut pembahagian harta pusaka ini di dalam Surah al-Nisa’. Bab-bab yang merangkumi dalam sistem faraid adalah seperti berikut:

a) Bahagian Anak Lelaki dan Anak Perempuan
Bahagian anak lelaki dan anak permpuan dan anak perempuan mereka yang meninggal telah ditetapkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
“Allah mensyari’atkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu: Bahagian seseorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan (lebih dari dua), bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperolehi separuh harta”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:11)

b) Bahagian Ibu Bapa
Ibu bapa orang yang meninggal dunia (jika mereka hanya dua orang sahaja) juga mempunyai bahagian terhadap harta yang ditinggalkan. Bahagian mereka telah ditetapkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
“Dan untuk dua orang ibu bapa tiap seorang dari mereka mendapat satu perenam dari harta yang ditinggalkan jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya sahaja, ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa orang saudara, ibunya mendapat satu perenam, Pembahagian itu dibuat sesudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya. Tentang orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ia adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:11)

c) Bahagian Isteri
Isteri mendapat sebahagian daripada harta suami yang meninggal dunia, sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:
“Para isteri memperolehi satu perempat yang kamu (suami) tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak para isteri memperolehi satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah membayar hutang-hutangmu”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:12)

d) Bahagian Suami
Suaminya juga berhak untuk mendapat bahagian daripada harta isterinya yang meninggal dunia. Ini dinyatakan di dalam al- Quran yang bermaksud:
“Dan bagimu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, kamu mendapat satu perempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:12)

e) Lain-lain kaum kerabat
Undang-undang pembahagian harta pusaka (faraid) dalam Islam juga ada menetapkan bahagian untuk waris yang mempunyai pertalian dengan orang yang meninggal ianya termasuklah saudara-saudara rapat, saudara dari sebelah bapa, cucu daripada anak perempuan, anak kepada saudara perempuan, nenek dan lain-lain (Sila rujuk Afzal-Ul-Rahman, 1991:67-76).

iv. Wasiat
Pembahagian yang telah ditentukan (wasiat) bermakna harta si mati boleh diwariskan kepada individu selain dari ahli waris. Secara tidak langsung peraturan ini dapat menghalang harta terkumpul hanya dalam tangan ahli-ahli waris sahaja. Malah harta-harta ini boleh diwariskan juga kepada baitulmal untuk menguruskan penggunaannya dalam menghasilkan manfaat bagi mereka yang memerlukannya. Walau bagaimanapun cuma satu pertiga dari harta sahaja yang boleh diwasiatkan.

v) Sumber-sumber lain
Selain daripada sumber-sumber di atas, kerajaan dalam sistem ekonomi Islam juga memikul tanggungjawab untuk mengenakan cukai dalam pelbagai bentuk untuk dimasukkan dalam perbendeharaan negara. Di antara sumber-sumber tersebut ialah:
1. Fai’- harta perolehan kerajaan Islam yang didapati dari orang bukan Islam dengan jalan damai.
2. Kharaj - cukai tanah tanpa mengira sama ada pemilik tanah itu orang dewasa atau kanak-kanak, orang Islam atau bukan Islam.
3. Ush - cukai ke atas keluaran pertanian.
4. Cukai-cukai lain seperti cukai pendapatan, kastam dan eksais dan yang serupa dengannya.

Dengan adanya sumber-sumber hasil tersebut maka kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan dan barangan awam untuk manfaat orang ramai.

Sunday, June 7, 2009

Ucapan di Hari Orientasi dan Ikrar Pelajar Diploma Pendidikan

بسم الله الرحمن الرحيم
الرحيمالحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين ،
سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين .

Yang Mulia,
Pengerusi Majlis,____________________,Pegawai-Pegawai Kanan,
Para Jemputan,Ahli-Ahli Jawatankuasa Program Orientasi dan Ikrar Pelajar Program Diploma Pendidikan (DPLI) Yayasan Islam Kelantan,
Hadirin dan Hadirat sekalian.

Al-Hamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat dan hidayah-Nya, kita dapat berkumpul pada petang ini untuk menghadiri Program Orientasi dan Ikrar.

Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Program Orientasi dan Ikrar Pelajar Program Diploma Pendidikan (DPLI) Yayasan Islam Kelantan kerana memberi penghormatan kepada saya untuk memberi ucapan aluan pada petang ini.

Saya difahamkan program ini berjaya dilaksanakan hasil dari satu mesyuarat di antara Bidang Pengajian Pendidikan UUM_CAS dengan Wakil Persatuan Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri Kelantan pada bulan Julai 2008 yang lalu. Sekiranya tuan berjaya menamatkan program ini, maksud saya, memperolehi Diploma Pendidikan, tuan/puan boleh dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Malaysia.

Program Diploma Pendidikan ini tentulah akan dapat meningkatkan kemahiran dalam menjadi guru. Sebenarnya UUM sentiasa bersedia membantu dalam meningkatkan kemahiran tenaga manusia bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam bidang seperti ekonomi, IT, keusahawanan, pelancongan, dan pengurusan.

UUM sebagai sebuah IPTA yang memberikan perkhidmatan pendidikan, sentiasa berhadapan dengan pelbagai kehendak dan aspirasi rakyat dan penduduk yang semakin meningkat kerana UUM ini memikul tanggungjawab bagi memenuhi harapan dan wawasan negara dalam bidang Pendidikan. Dalam memenuhi kehendak dan aspirasi tersebut, UUM sentiasa melakukan penambahbaikan yang berterusan dalam proses kerja di dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Usaha-usaha ke arah penambahbaikan berterusan ke atas proses kerja ini dilaksanakan sebagai langkah UUM yang mempunyai strategi semua perkara yang baik mestilah dipercepatkan pengendaliannya, sementara perkara yang lebih kompleks pula hendaklah diusahakan seberapa boleh untuk dipermudahkan prosesnya serta mana-mana kelemahan di dalam proses pelaksanaan hendaklah dikaji dan diatasi secepatnya. Dengan yang demikian, motto penyediaan perkhidmatan kita bolehlah berbunyi "Yang Senang Disenangkan, Yang Susah Dimudahkan".

Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberikan keberkatan di atas usaha-usaha kita yang berkebajikan ini. Sekian, Terima Kasih.

وبا لله التوفيق والهداية و السلام عليكم ورحمة الله وبركاته