Di antara isu-isu yang sering dibincangkan dalam media ialah isu-isu ekonomi, agama, pendidikan, pertahanan dan kestabilan politik. Ada juga di antara ahli politik yang saya dapati menyentuh isu-isu yang mereka tidak jelas seperti isu Hukum Hudud dan dikaitkannya pula dengan kesan kepada ekonomi dan hak wanita. Nasib baik salah seorang mufti yang disegani dari Perak ada menegur perkara ini. Mereka yang tidak arif dengan sesuatu hukum terutamanya berkaitan dengan agama Islam sebaiknya tidak mencuba untuk mencari populariti dengan menyentuh perkara-perkara yang mereka tidak mengerti dan mengupasnya seolah-olah mereka benar-benar faham akan perkara tersebut. Perkara agama adalah perkara sensitif yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kaum yang telah sedia terjalin sekian lama. Biarlah jika hendak dibincangkan dibuat dialog antara agama dan dibincangkan oleh pakar dalam bidang tersebut.
Selain dari isu-isu agama, saya dapati juga isu berkaitan
dengan projek-projek yang dijalankan yang menelan belanja yang besar seperti
projek pembelian alat pengesan had laju yang menelan belanja mencecah RM200
ribu satu unit juga sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku. Walaupun dikatakan
pembelian dibuat secara pakej, maksudnya dibuat latihan kepada polis yang akan
menggunakannya tetapi jika harga pembelian yang begitu berbeza dengan harga
pasaran (dikatakan harga pasaran cuma RM20,000 sebuah) tentulah Jabatan Audit
boleh persoalkan kesesuaian pembelian secara demikian. Malaysia yang
mengamalkan usaha ekonomi terbuka dan ada ‘check’ and ‘balance’ dalam aktiviti
yang berlaku membolehkan pihak-pihak yang terlibat akan lebih berhati-hati
dengan apa yang mereka buat di masa hadapan.
Tentu juga ahli-ahli politik sekarang mencari-cari dana
untuk menampung perbelanjaan mereka jika dipilih sebagai calon pada pilihanraya
akan datang. Sekiranya pada masa dahulu jika dipilih sebagai calon, keyakinan
untuk menang, terutama jika dipilih oleh parti pemerintah begitu besar, tetapi
pada masa kini ianya sesuatu yang tidak pasti. Generasi ‘Y’ yang berumur di
antara 21 hingga 30 tahun dikatakan mempunyai bilangan yang besar hingga mencecah
30% dari pengundi baru tentunya sukar ditentukan pemilihan mereka. Sebab itu
pada masa kini didapati ahli-ahli politik cuba menarik perhatian golangan muda
ini untuk tertarik dengan kempen yang mereka jalankan. Ahli-ahli politik pula
jika terpilih dalam pilihanraya, janganlah pula di akhir pentadbiran mereka
menunjukkan keadaan kekayaan yang luar biasa, contohnya rumah yang terlalu
besar, kereta mewah yang banyak dan pelbagai jenis perniagaan yang diceburi.
Rakyat pada masa kini sudah celik dengan sebarang penyelewangan yang boleh
berlaku jika dalam tempoh yang singkat ditunjukkan kekayaan yang luar biasa.
Ahli politik yang bertanggungjawab sepatutnya tidak mengumpul kekayaan yang
keterlaluan tetapi berkhidmat kepada rakyat dengan baik.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya
mencapai matlamatnya dalam pembangunan kawasan pertumbuhan ekonomi baru Sri
Iskandar di Johor. Perkembangan kawasan pembangunan seperti ini yang melibatkan
pembangunan industri, pusat pentadbiran, pelancungan, pendidikan dan sebagainya
tentunya akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang baik. Akan berlaku
limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan baru kepada penduduk Malaysia umumnya,
dan rakyat Johor khususnya. Walau bagaimanapun perancangan teliti perlu juga
dibuat bagi mengelakkan kebanyakan kawasan pelaburan di Sri Iskandar dikuasai
oleh pelabur dari Singapura sahaja. Kita patutnya memastikan mereka hanya dapat
menyewa dan bukannya memiliki hartanah di Johor.