Total Pageviews

Monday, December 10, 2012

Politik, Ekonomi dan Pembangunan

Perkembangan pada masa kini tertumpu kepada persediaan menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang akan dibuat pada awal tahun 2013. Parti politik pun sibuklah menjalankan pelbagai strategi yang disusun rapi untuk menarik perhatian rakyat untuk memilih parti mereka yang dikatakan lebih baik dalam strategi pemerintahan Negara untuk lima tahun akan datang.  Saya tidak berminat sangat dengan politik tetapi suka memerhatikan cara penyampaian maklumat dalam media yang berlaku sekarang. Di dapati media-media alternatif seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan blog-blog individu begitu popular sebagai sumber maklumat tambahan selain dari akhbar dan berita dari saluran-saluran TV yang ada.

Di antara isu-isu yang sering dibincangkan dalam media ialah isu-isu ekonomi, agama, pendidikan, pertahanan dan kestabilan politik. Ada juga di antara ahli politik yang saya dapati menyentuh isu-isu yang mereka tidak jelas seperti isu Hukum Hudud dan dikaitkannya pula dengan kesan kepada ekonomi dan hak wanita. Nasib baik salah seorang mufti yang disegani dari Perak ada menegur perkara ini. Mereka yang tidak arif dengan sesuatu hukum terutamanya berkaitan dengan agama Islam sebaiknya tidak mencuba untuk mencari populariti dengan menyentuh perkara-perkara yang mereka tidak mengerti dan mengupasnya seolah-olah mereka benar-benar faham akan perkara tersebut. Perkara agama adalah perkara sensitif yang boleh menjejaskan hubungan baik antara kaum yang telah sedia terjalin sekian lama. Biarlah jika hendak dibincangkan dibuat dialog antara agama dan dibincangkan oleh pakar dalam bidang tersebut.

Selain dari isu-isu agama, saya dapati juga isu berkaitan dengan projek-projek yang dijalankan yang menelan belanja yang besar seperti projek pembelian alat pengesan had laju yang menelan belanja mencecah RM200 ribu satu unit juga sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku. Walaupun dikatakan pembelian dibuat secara pakej, maksudnya dibuat latihan kepada polis yang akan menggunakannya tetapi jika harga pembelian yang begitu berbeza dengan harga pasaran (dikatakan harga pasaran cuma RM20,000 sebuah) tentulah Jabatan Audit boleh persoalkan kesesuaian pembelian secara demikian. Malaysia yang mengamalkan usaha ekonomi terbuka dan ada ‘check’ and ‘balance’ dalam aktiviti yang berlaku membolehkan pihak-pihak yang terlibat akan lebih berhati-hati dengan apa yang mereka buat di masa hadapan.
Tentu juga ahli-ahli politik sekarang mencari-cari dana untuk menampung perbelanjaan mereka jika dipilih sebagai calon pada pilihanraya akan datang. Sekiranya pada masa dahulu jika dipilih sebagai calon, keyakinan untuk menang, terutama jika dipilih oleh parti pemerintah begitu besar, tetapi pada masa kini ianya sesuatu yang tidak pasti. Generasi ‘Y’ yang berumur di antara 21 hingga 30 tahun dikatakan mempunyai bilangan yang besar hingga mencecah 30% dari pengundi baru tentunya sukar ditentukan pemilihan mereka. Sebab itu pada masa kini didapati ahli-ahli politik cuba menarik perhatian golangan muda ini untuk tertarik dengan kempen yang mereka jalankan. Ahli-ahli politik pula jika terpilih dalam pilihanraya, janganlah pula di akhir pentadbiran mereka menunjukkan keadaan kekayaan yang luar biasa, contohnya rumah yang terlalu besar, kereta mewah yang banyak dan pelbagai jenis perniagaan yang diceburi. Rakyat pada masa kini sudah celik dengan sebarang penyelewangan yang boleh berlaku jika dalam tempoh yang singkat ditunjukkan kekayaan yang luar biasa. Ahli politik yang bertanggungjawab sepatutnya tidak mengumpul kekayaan yang keterlaluan tetapi berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya mencapai matlamatnya dalam pembangunan kawasan pertumbuhan ekonomi baru Sri Iskandar di Johor. Perkembangan kawasan pembangunan seperti ini yang melibatkan pembangunan industri, pusat pentadbiran, pelancungan, pendidikan dan sebagainya tentunya akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang baik. Akan berlaku limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan baru kepada penduduk Malaysia umumnya, dan rakyat Johor khususnya. Walau bagaimanapun perancangan teliti perlu juga dibuat bagi mengelakkan kebanyakan kawasan pelaburan di Sri Iskandar dikuasai oleh pelabur dari Singapura sahaja. Kita patutnya memastikan mereka hanya dapat menyewa dan bukannya memiliki hartanah di Johor.

Monday, October 1, 2012

Belanjawan 2013 dan harga rumah di bandar

Pada pembentangan belanjawan 2013 yang dibentangkan pada 28 September 2012 (Jumaat) oleh PM Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak menunjukkan beberapa insentif diberikan kepada kakitangan kerajaan melalui pemberian bonos satu setengah bulan gaji dan golongan muda yang berumur di antaran 21 hingga 30 tahun seperti pembelian rebet pembelian alat komunikasi. Pada masa yang sama kita dapati sumber hasil kerajaan dan bagaimana hasil tersebut dibelanjakan juga dinyatakan dengan jelas. Apa yang menarik juga ialah penggalakan berterusan untuk pembangunan ekonomi melalui pembangunan di sektor perkhidmatan, sektor pembuatan dan sektor pertanian. Kerajaan juga masih terus mengamalkan belanjawan defisit (perbelanjaan melebihi hasil) dan ini tentunya akan meningkatkan hutang kerajaan. Positifnya belanjawan defisit ini ialah ianya akan meningkatkan permintaan agregat melalui perbelanjaan kerajaan (G), selain dari harapan peningkatan dari penggunaan (C) dan pelaburan (I). Krisis ekonomi di negara-negara Eropah seperti di Greece, dan dijangka merebak kepada Portugal, Sepanyol dan Itali tentunya akan membawa tempias kepada ekonomi Malaysia dari segi eksport barangan Malaysia ke negara-negara Kesatuan Eropah tersebut. Ahli ekonomi tentunya tidak menyangka bahawa penggunaan matawang Euro yang diramalkan membawa kesan positif kepada ekonomi negara-negara tersebut, tetapi apabila sesebuah negara yang terjejas dengan kedudukan kewangan mereka, penggunaan Euro menjadikan negara berkenaan yang tidak mempunyai kedudukan imbangan eksport yang kukuh boleh terjejas dari segi ekonomi.

Berbalik kepada perbincangan belanjawan 2012, sesuatu yang dinantikan oleh penduduk bandar ialah kenaikan cukai keuntungan hartanah untuk rumah yang dibeli dan dijual semula dalam tempoh kurang dari dua tahun dari kadar biasa sebanyak 10% dari nilai hartanah tersebut. Belanjawan cuma menaikkan cukai keuntungan hartanah tersebut kepada 15%. Ramai penganilis ekonomi mengatakan kadar tersebut masih rendah dan sepatutnya dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 30%. Pembeli rumah yang sudah memiliki rumah dan hanya mahu mendapatkan keuntungan cepat dari spekulasi harga rumah tentu akan terus aktif dalam pembelian rumah untuk tujuan spekulasi. Kontraktor permahan pula yang mendapati permintaan rumah yang terus meningkat akibat dari permintaan dari pembeli spekulator, permintaan pembeli oleh rakyat asing di samping permintaan pembeli rumah pertama (golongan yang patut dijaga kebajikan mereka) akan terus menaikkan harga rumah yang dibina. Golongan muda yang berada diperingkat umur 25 tahun dan ke atas tentunya tertekan dengan beban hutang yang tinggi akibat terpaksa membeli rumah pada harga melebihi RM300,000 sebuah. Ditambah dengan bebanan hutang lain seperti pembelian kereta, ansuran pembayaran hutang pengajian dan kad kredit, ianya boleh membawa kepada tekanan hidup kepada pasangan muda yang bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Malahan kesan kenaikan harga rumah tersebut telah melangkaui kawasan tersebut seperti berlakunya kenaikan harga rumah di Rawang, Seremban, Pasir Gudang, dan Sungai Petani. Pembentukan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) adalah sesuatu yang baik sebagai suatu strategi meningkatkan pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat. Walau bagaimanapun kepastian ketirisan projek sedemikan perlu dikaji dan diatasi sebaiknya juga.

Stategi tambahan yang boleh dibuat oleh kerajaan ialah memastikan pemaju perumahan di kawal dari menumpukan kepada projek perumahan yang melebih dari RM500,000, kawalan pemilikan oleh rakyat asing, menetapkan piawai tertentu dari segi keperluan rumah seperti saiz minimum ruang tetamu, bilik tidur, dua bilik air dan tiga bilik tidur (untuk suami isteri, anak perempuan dan anak lelaki). Kumpulan berkepentingan yang tidak bermotifkan keuntungan seperti Persatuan Pengguna, Persatuan Pembeli Rumah, Majlis Perbandaran, Ahli Akademik dan Persatuan Belia boleh diminta memberi pandangan untuk pelan strategi perumahan mampu milik yang boleh dilaksanakan. Malahan mereka yang telah lama terlibat dengan aktiviti spekulatif pembelian dan penjualan rumah dan pakar-pakar lain dalam kajian harga rumah juga boleh diminta memberi pandangan dari masa ke semasa. Kesedaran juga perlu diberikan kepada mereka yang telah kaya dengan aktiviti spekulatif ini dan mempunyai lebih dari sebuah rumah untuk terus mendapatkan keuntungan tinggi dari kegiatan mereka. Walau bagaimanapun dari segi ekonomi, strategi terbaik ialah mengenalpasti bagaimana kegiatan spekulatif ini boleh berlaku dan merancang strategi terbaik mengatasi kegiatan spekulatif tersebut. Strategi lain ialah kempen-kempen pujukan moral dan pengaruh sosial agar aktiviti yang sah dari segi undang-undang tetapi memberi kesan buruk kepada pembeli rumah pertama tidak berterusan berlaku lagi di kawasan bandar. Bank Negara juga boleh membuat polisi meningkatkan keperluan pembelian rumah kedua dan seterusnya sehingga keperluan 50% dari harga rumah boleh dibiayai dari pinjaman atau jumlah pinjaman bergantung kepada pendapatan bersih.

Sebab itu dalam Sistem Ekonomi Islam barangan ekonomi dibahagikan kepada empat kategori iaitu (i)Dharuriyat (Essentials) - barang yang diklasifikasikan keperluan untuk kehidupan seperti makanan, pakaian, rumah, pendidikan, khidmat kesihatan, pengangkutan dan perlindungan keselamatan; (ii) Hajiyat (Complementary) - barangan yang meningkatkan kualiti kehidupan seperti telefon, TV, perabut, motorsikal dan kereta; (iii) Kamaliat (Perfection) - barangan yang memberikan kesempurnaan kepada kehidupan seperti rumah bungalow, kereta besar, kawasan penginapan yang mempunyai pemandangan menarik dan sebagainya; dan (iv) Tarafiat (Extravagant) - barangan yang membazir seperti perhiasan rumah yang melampau mewahnya dan perabut antik dan lain-lain perkara yang membazir. Tentunya kepentingan terhadap keperluan barangan Dharuriyat mengatasi keperluan barangan lain yang lebih berbentuk mewah. Dengan perasaan tanggungjawab, tentunya barangan Tarafiat dan membazir tidak diperlukan dalam ekonomi bila ramai rakyat yang memerlukan permintaan barangan Dharuriyat tidak dapat dipenuhi permintaan mereka. Adalah menjadi tanggungjawab pemaju perumahan, spekulator, agen hartanah dan pembuat polisi untuk memahami kepentingan hirarki keperluan barangan untuk kehidupan ini agar kesejahteraan bersama dapat dinikmati oleh kesemua orang dan bukannya segolongan kecil penduduk sahaja.


Thursday, February 2, 2012

Pengetahuan, kemahiran berfikir dan membuat keputusan yang tepat

Kebelakangan ini di antara ‘Channel’ Astro yang popular ialah ‘Channel’ 393 yang menyiarkan drama-drama Korea. Saya pada permulaannya tidak berminat dengan drama bersiri ini kerana ianya mengambil masa yang lama mengetahui kesudahan ceritanya. Rancangan kesukaan saya ialah ‘Globe Trekker’ dari Channel 707 kerana ianya menunjukkan budaya dan tempat-tempat menarik di dunia ini. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan jalan cerita satu drama Korea bersiri yang bertajuk DEEP ROOTED TREE yang disiarkan setiap malam Isnin dan Selasa. Ianya mengisahkan seorang Raja di Korea yang bijak dan berfikiran ke hadapan berusaha mengujudkan satu sistem huruf yang lebih mudah untuk dipelajari oleh rakyatnya dan menjadikan mereka celik huruf. Walau bagaimanapun kumpulan bangsawan yang bergerak secara rahsia dan di antara ahlinya ialah Menteri beliau sendiri berusaha menentang usaha murni ini. Kumpulan bangsawan berpandangan jika rakyat mempunyai kemampuan membaca, mereka (rakyat) akan lebih berpengetahuan dan dapat mempertikaikan keputusan Raja dan kumpulan Bangsawan yang bertentangan dengan kepentingan rakyat. Ini akan menjejaskan kuasa Raja dan Bangsawan. Raja yang berpandangan jauh ini pula berpendapat rakyat yang boleh membaca boleh mengetahui lebih banyak maklumat, berfikiran dengan bijak dan waras dan menjaga kepentingan mereka dari diekploitasi oleh Raja dan kumpulan elit bangsawan. Raja lebih suka keadaan berubah dan mahukan pada masa akan datang Raja dan elit bangsawan lebih bertanggungjawab dalam mentadbir Negara. Rakyat boleh meningkatkan taraf hidup kerana mereka lebih berilmu bila majoriti rakyat dapat membaca dan mengetahui banyak maklumat berguna. Rakyat pula diberi kaedah yang bersesuaian dengan kebolehan mereka untuk cepat belajar membaca. Belakulah pertentangan di antara Raja dan pengikutnya yang jujur dengan elit Bangsawan yang diketuai oleh “akar”.

Apa yang diceritakan dalam drama itu menyentuh perasaan saya terhadap kepentingan ilmu, tanggung jawab pemerintah dan kawalan terhadap tingkahlaku pemerintah pada masa kini. Rakyat pada masa kini adalah rakyat yang bermaklumat dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber maklumat untuk membuat perbandingan keputusan kerajaan dalam mentadbir Negara. Sekiranya rakyat sentiasa diberikan maklumat yang tidak benar dan tidak tepat, maka akan wujudlah kehilangan kepercayaan terhadap saluran maklumat sedemikan. Ada kemungkinan mereka tidak lagi menggunakan sumber maklumat tersebut. Begitu juga dalam memberi maklumat, biarlah maklumat tersebut ada unsur yang boleh dibuktikan kebenaran maklumat tersebut dan lengkap. Maksudnya jika maklumat menunjukkan kejayaan sesuatu program, perlu ditunjukkan maksud program yang berjaya. Contohnya jika program bercorak peningkatan pendapatan, apakah program tersebut, bagaimana ia dijalankan, hasil peningkatan pendapatan, apa yang mempengaruhi keadaan, penjimatan kos, bagaimana ia boleh berlaku dan sebagainya perlu ada. Kita tidak mahu maksud berjaya yang samar-samar dan tidak dapat dibuktikan dengan fakta.