Artikel saya sebelum ini membincangkan kepentingan
keseimbangan agihan pendapatan berbanding dengan peningkatan pendapatan (pada
27 Julai 2013) dan strategi yang dibuat untuk mencapai keseimbangan agihan
pendapatan melalui program-program pembasmian kemiskinan (pada 30 Julai 2013).
Kali ini saya ingin membincangkan ukuran pencapaian program yang dilaksanakan
dan mengapa ukuran mengunakan teknik baru ini lebih relevan dan sesuai
berbanding dengan ukuran peningkatan pendapatan semata-mata.
Ukuran pencapaian yang boleh digunakan untuk mengukur
kejayaan sesuatu program yang kebiasaannya digunakan oleh penyelidik ialah
perubahan tingkat pendapatan penerima sesuatu program tersebut. Walau
bagaimanapun pengukuran pendapatan bukanlah suatu kaedah pengukuran yang baik.
Kebiasaannya orang tidak suka memberikan maklumat pendapatan mereka yang
sebenar atas pelbagai alasan. Antaranya takut tidak menerima bantuan di masa
hadapan atau menghadapi kesukaran untuk mengukur perubahan pendapatan. Kaedah lain
yang boleh digunakan ialah menggunakan pengukuran keuntungan perniagaan, kesejahteraan hidup, perbelanjaan harian atau perubahan dari segi pemilikan
aset kehidupan. Aset kehidupan yang dimaksudkan ialah modal fizikal (seperti
pemilikan tanah, barang-barang dalam rumah seperti komputer, kemudahan internet, perabut, tv, peti
ais, bilangan bilik, kereta, motorsikal, bilik air dan alat hawa dingin,
jentera dan barang-barang yang boleh diniagakan), modal kewangan (wang tunai,
simpanan dan pelaburan), modal manusia (tahap pendidikan, kemahiran dan
pengalaman) dan modal semulajadi (seperti keadaan persekitan yang bebas dari
pencemaran, kejadian jenayah, keharmonian kehidupan dan persekitaran yang baik).
Perbincangan pengukuran kejayan program peningkatan
pendapatan dan seterusnya pengurangan kadar kemiskinan untuk topik ini akan
mengunakan penemuan kajian terhadap penanam padi di kawasan perairan Muda
(MADA) dan penerima bantuan keusahawanan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Indikator indeks
kehidupan lestari petani di kawasan MADA
Pemilikan rumah dan alat
kelengkapan rumah. Hampir kesemua petani
didapati memilik rumah sendiri, bekalan air paip, elektrik, peti ais dan
televisyen. Majoriti petani didapati memiliki sofa, radio, telefon talian mudah
alih, mesin basuh, dapur gas dengan ketuhar dan set meja makan. Manakala, bagi
alat kelengkapan Teknologi Maklumat (ICT) seperti internet dan komputer,
peratus pemilikan adalah rendah (kurang daripada 11%).
Pendapatan. Adalah didapati bahawa petani di Projek Ladang Contoh mempunyai nilai
purata jumlah pendapatan ketua isi rumah yang tertinggi, mencapai RM2,887 sebulan, manakala, petani projek
lain-lain pendapatan puratanya ialah RM2,264 sebulan.
Majoriti pendapatan ini datang dari hasil pertanian. Sisihan piawai nilai
purata jumlah pendapatan ketua isi rumah adalah agak tinggi, sejumlah RM1,437.
Dari segi jumlah pendapatan bukan pertanian, petani projek ladang contoh
mempunyai nilai purata tertinggi, iaitu RM1,107 sebulan. Faktor umur,
pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan sampingan mempengaruhi penglibatan
petani dalam aktiviti kerja sampingan
Kepuasan dan kegembiraan hidup. Sama ada di dalam atau di luar projek, petani didapati berpuas hati
dengan dimensi kesihatan fizikal, kualiti alam sekitar, kegiatan istirehat
bersama keluarga, hidup kerja dan keselamatan awam di tempat tinggal. Tambahan
pula, dari dimensi kegembiraan hidup, petani (sama ada di dalam atau di luar
projek) juga menunjukkan tahap kegembiraan yang tinggi terhadap kehidupan,
kesihatan diri dan keluarga, kewangan dan hubungan rakan sekerja.
Pendapatan Pertanian. Petani-petani yang menyertai projek 10 Tan, Estet Padi dan
Ladang Contoh, didapati mempunyai pendapatan pertanian yang lebih tinggi
berbanding dengan di luar projek. Pendapatan petani di projek Ladang Contoh
lebih tinggi sebanyak RM206 sebulan berbanding dengan pendapatan petani di luar
projek. Begitu juga, pendapatan petani di projek 10 Tan lebih tinggi sebanyak
RM129 sebulan, manakala, petani di projek Estet Padi lebih tinggi sebanyak RM46
sebulan berbanding dengan pendapatan petani di luar projek.
Implikasi dasar dari projek MADA
Majoriti petani di kawasan kajian adalah petani berumur, di
mana purata umur adalah 57 tahun. Bilangan petani berumur yang ramai
menyebabkan program-program pembaharuan seperti penstrukturan penanaman padi
sukar dilakukan. Petani berumur kebiasaannya lebih suka kepada perlaksanaan
kerja yang telah biasa mereka amalkan. Begitu juga umur yang telah memasuki
umur pencen menyukarkan mereka untuk bekerja di luar dari aktiviti penanaman
padi, dan usaha-usaha untuk memindahkan mereka dari aktiviti penanaman padi
tentu sukar. Disamping itu insentif juga perlu diberi kepada penyewa agar
mereka boleh meneruskan kehidupan mereka dalam tempuh masa tertentu sehingga
mereka mendapat pekerjaan yang lain. Untuk menggalakkan mereka keluar dari aktiviti pertanian,
kaedah pemberian pendapatan gantian seperti imbuhan bulanan bersesuaian dengan
saiz tanah mungkin lebih sesuai dilaksanakan.
Kefahaman berkaitan projek yang hendak dijalankan oleh MADA
adalah penting kepada petani. Rancangan MADA untuk mempertingkatkan aktiviti
pengurusan alternatif seperti Projek Estet Padi boleh menyebabkan petani merasa
tergugat dengan kehilangan pendapatan dan sumber pekerjaan. Oleh yang demikian,
maklumat dan penerangan kepada petani sebelum sesuatu projek dijalankan adalah
baik untuk dilaksanakan. Petani dijangka lebih bekerjasama sekiranya
projek yang dijalankan itu dapat dibuktikan akan memberikan keuntungan kepada
mereka.
Indikator indeks
kehidupan lestari projek AIM
Aset Kehidupan seperti modal kewangan adalah penting untuk
mewujudkan peluang kepada usahawan kecil-kecilan seperti peserta projek AIM.
Lebih-lebih lagi sekiranya modal kewangan secara khusus melibatkan pembiayaan
kepada golongan miskin atau berkesejahteraan hidup rendah. Melalui pembiayaan
kredit mikro ini mereka yang tidak bekerja akan berusaha untuk bekerja sendiri
dan mereka yang telah bekerja sendiri akan dapat mengembangkan lagi aktiviti
perusahaan. Sebenarnya melalui pembiayaan mikro kredit secara berterusan ini
telah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menjana kesejahteraan hidup
khususnya melalui perusahaan kecil dan sederhana dan memberi harapan untuk
keluar dari kemiskinan. Kajian ini hanya memfokuskan kepada kesan pembiayaan
mikro ke atas kesejahteraan hidup di kalangan peserta AIM. Secara
keseluruhannya penemuan mendapati kesejahteraan hidup daripada aktiviti yang
dibiayai oleh AIM menyumbang kepada pengurangan ketaksamarataan kesejahteraan
hidupantara peserta isi rumah secara relatif berbanding bukan aktiviti yang
dibiayai oleh AIM.
Justeru penyaluran kredit secara konsisten dan prosedur pemantauan
yang berkesan telah berjaya mengurang insiden kemiskinan dikalangan peserta
AIM. Seharusnya, dengan AIM membesarkan lagi pembiayaan projek ekonomi AIM,
akan lebih cenderung mensetarakan kesejahteraan. Dapatan juga menunjukkan
sumber kesejahteraan hidup daripada aktiviti di sektor pembuatan dan perubatan
telah menyumbangkan kepada pengurangan jumlah peningkatan pendapatan yang
begitu ketara. Walau bagaimanapun untuk terlibat dalam aktiviti pembuatan dan
perniagaan perkhidmatan seperti perubatan (farmasi) memerlukan kemahiran khusus
yang tertentu. Di sini pentingnya peningkatan kualiti modal manusia seperti
pendidikan dan latihan.
Implikasi dasar dari
projek AIM
Dari segi implikasi dasar, walau pun dapatan kajian menunjukkan pembiayaan kredit-mikro memberi kesan positif kepada pengurangan kemiskinan, tetapi kajian ini juga mendapati faktor ketegasan institusi yang terlibat dari segi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mengikut masa yang ditetapkan adalah penting untuk memastikan projek kredit mikro ini terus lestari. Di dapati kaedah permohonan pinjaman yang memerlukan sokongan sahabat, bayaran secara kecil-kecilan dan dibuat secara mingguan dan hubungan rapat antara pemautau pinjaman dengan sahabat telah mempengaruhi kelestarian pinjaman AIM. Adalah menarik sekiranya kajian dapat dibuat kepada ciri-ciri aset kehidupan penerima bantuan AIM yang telah berjaya dan menjadi jutawan. Mereka ini tentunya mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti kesesuaian perniagaan yang diceburi dan pemilikan aset kehidupan yang positif dan boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka. Menarik jika kejayan mereka dapat dikongsi bersama dan menjadi teladan kepada penerima pinjaman AIM yang lain.
Dari segi implikasi dasar, walau pun dapatan kajian menunjukkan pembiayaan kredit-mikro memberi kesan positif kepada pengurangan kemiskinan, tetapi kajian ini juga mendapati faktor ketegasan institusi yang terlibat dari segi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mengikut masa yang ditetapkan adalah penting untuk memastikan projek kredit mikro ini terus lestari. Di dapati kaedah permohonan pinjaman yang memerlukan sokongan sahabat, bayaran secara kecil-kecilan dan dibuat secara mingguan dan hubungan rapat antara pemautau pinjaman dengan sahabat telah mempengaruhi kelestarian pinjaman AIM. Adalah menarik sekiranya kajian dapat dibuat kepada ciri-ciri aset kehidupan penerima bantuan AIM yang telah berjaya dan menjadi jutawan. Mereka ini tentunya mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti kesesuaian perniagaan yang diceburi dan pemilikan aset kehidupan yang positif dan boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka. Menarik jika kejayan mereka dapat dikongsi bersama dan menjadi teladan kepada penerima pinjaman AIM yang lain.