Pasaran Pertukaran Asing
Kadar pertukaran asing dimaksudkan sebagai matawang
sesebuah negara yang disebut dalam matawang negara lain. Contohnya matawang
Ringgit Malaysia disebut dalam nilai matawang Dollar Amerika Syarikat, Dollar
Singapura, Baht Thailand, Rupiah Indonesia, Yen Jepun dan lain-lain matawang
lagi. Nilai matawang sesebuah negara adalah ditentukan oleh permintaan
dan penawaran matawang negara tersebut sendiri. Apabila individu atau firma
asing membeli barangan Malaysia, penawaran matawang asing untuk ditukar kepada
Ringgit Malaysia terjadi. Begitu juga, apabila individu atau firma
Malaysia ingin membeli barangan atau perkhidmatan asing, permintaan terhadap
matawang asing akan berlaku.
Pertukaran asing pula dimaksudkan sebagai matawang sesebuah negara yang dipegang oleh rakyat negara lain dalam bentuk matawang atau deposit. Rakyat asing yang memegang Ringgit Malaysia mestilah menyimpannya di dalam Bank yang ada berurusan dengan Malaysia atau meminjamkannya kepada firma atau kerajaan Malaysia. Mereka memberi pinjaman kepada firma atau kerajaan Malaysia dengan membeli alat hutang firma atau alat hutang kerajaan Malaysia seperti bil-bil perbendaharaan dan bon. Rakyat asing yang memiliki Ringgit Malaysia boleh juga menggunakan wang tersebut untuk membuat pelaburan terus di Malaysia dengan membeli harta di Malaysia seperti membeli hartanah dan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Permintaan matawang Ringgit Malaysia sebagai Pertukaran
Asing bergantung kepada permintaan rakyat asing kepada barangan dan
perkhidmatan Malaysia dan keinginan rakyat asing menyimpan Ringgit Malaysia
mereka sebagai tunai atau deposit untuk membeli hartanah, saham, bon dan
lain-lain aset di Malaysia. Penawaran matawang Ringgit Malaysia pula
bergantung kepada keinginan pengguna, firma dan kerajaan Malaysia menukar
matawang Ringgit Malaysia mereka kepada matawang asing. Keadaan ini
bergantung kepada permintaan Malaysia kepada barangan asing dan keinginan
rakyat Malaysia menukar matawang Ringgit Malaysia kepada matawang asing untuk
membeli hartanah, saham, bon dan lain-lain aset di negara
lain. Apabila lebih rendah nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar
Amerika Syarikat, lebih rendahlah kos membeli barangan Malaysia oleh pemegang
matawang Dollar Amerika Syarikat. Sebagai contoh, harga semasa sebuah kereta
Proton Wira yang dibuat di Malaysia ialah RM50,000. Jika kadar pertukaran
semasa ialah US$0.4 untuk setiap Ringgit Malaysia (atau RM2.50 = US$1),
penduduk Amerika Syarikat akan membayar US$20,000 untuk membeli kereta
tersebut. Katakanlah pada masa sekarang kadar pertukaran ialah US$0.2
untuk setiap Ringgit Malaysia (atau RM5.00 = US$1), maka penduduk Amerika
Syarikat cuma perlu membayar US$10,000 untuk mendapatkan kereta tersebut. Maksudnya lebih rendah harga matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang
asing, lebih rendahlah harga barangan, perkhidmatan, dan aset Malaysia dalam
sebutan matawang asing tersebut. Seterusnya apa yang sepatutnya berlaku
ialah lebih banyak jugalah permintaan barangan Malaysia oleh negara yang mengalami
kenaikan nilai matawang tersebut. Keluk permintaan Ringgit Malaysia untuk
matawang asing cerun kebawah dari kiri ke kanan.
Penawaran terhadap Ringgit Malaysia sebagai pertukaran
untuk matawang asing, seperti Dollar Amerika Syarikat, bergantung kepada
keinginan mereka yang memiliki matawang Ringgit Malaysia untuk membeli matawang
Dollar Amerika Syarikat. Penawaran matawang Ringgit Malaysia untuk Dollar
Amerika Syarikat boleh berlaku apabila rakyat Malaysia membeli barangan dan
perkhidmatan Amerika Syarikat atau melabur di dalam sektor kewangan atau
hartanah Amerika Syarikat. Apabila lebih tinggi nilai Ringgit Malaysia
dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat, maka lebih banyaklah Ringgit Malaysia
ditawarkan untuk mendapatkan Dollar Amerika Syarikat. Keadaan ini
menyebabkan lebih tinggilah kos membeli barangan Malaysia oleh pemegang
matawang Dollar Amerika Syarikat. Sebagai contoh, harga semasa sebuah komputer
yang dibuat di Amerika Syarikat ialah US$1,600. Jika kadar pertukaran semasa
ialah US$0.4 untuk satu Ringgit Malaysia (atau RM2.50 = US$1), penduduk
Malaysia akan membayar RM4,000 untuk membeli komputer tersebut.
Katakanlah pada masa sekarang kadar pertukaran ialah US$0.5 untuk satu Ringgit
Malaysia (atau RM2.00 = US$1), maka penduduk Malaysia cuma perlu membayar
RM3,200 untuk mendapatkan komputer tersebut. Keadaan ini menyebabkan
harga komputer dan lain-lain barangan Amerika Syarikat menjadi lebih murah
dalam sebutan Ringgit Malaysia. Keadaan ini boleh menyebabkan lebih banyak
permintaan terhadap barangan dari Amerika Syarikat.
Akan tetapi, apabila lebih tinggi harga matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, bererti lebih mahallah harga barangan, perkhidmatan, dan aset Malaysia dalam sebutan matawang asing tersebut. Sebaliknya lebih murah pula harga harga barangan tersebut dalam sebutan Ringgit Malaysia. Seterusnya apa yang sepatutnya berlaku ialah lebih banyak jugalah permintaan barangan luar negeri oleh penduduk Malaysia, dan semakin kurang pula permintaan barangan Malaysia oleh penduduk luar negeri. Keluk penawaran Ringgit Malaysia untuk matawang asing cerun ke atas dari kiri ke kanan.
Penentu-penentu Perubahan Nilai Kadar Pertukaran Matawang Asing:
Sepertimana yang telah diterangkan, permintaan terhadap Ringgit Malaysia oleh individu atau ahli-ahli perniagaan asing bergantung kepada keinginan individu atau ahli-ahli perniagaan menggunakan matawang Ringgit Malaysia untuk membeli barangan dan perkhidmatan Malaysia atau melabur di dalam sektor kewangan atau hartanah Malaysia.
Kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia kebiasaannya akan berubah mengikut pelbagai keadaan ekonomi yang boleh mempengaruhi permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran pertukaran asing. Enam faktor utama yang boleh mempengaruhi permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia adalah permintaan negara asing terhadap eksport Malaysia, permintaan Malaysia terhadap import, jangkaan nilai matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, keuntungan dari pelaburan terus dalam aktiviti perniagaan dan hartanah di Malaysia berbanding dengan keuntungan aktiviti pelaburan tersebut di tempat lain, tingkat harga umum di Malaysia berbanding dengan tingkat harga umum di negara asing, dan kadar bunga di Malaysia berbanding dengan di negara lain.
a) Permintaan Negara Asing Terhadap
Eksport Malaysia
Sekiranya pengimport dari Amerika Syarikat meningkatkan
import barangan elektronik dari Malaysia tanpa mengurangkan permintaan terhadap
lain-lain barangan Malaysia, permintaan Amerika Syarikat terhadap Ringgit Malaysia
akan meningkat. Peningkatan permintaan terhadap Ringgit Malaysia akan
menyebabkan keluk permintaan Ringgit Malaysia beralih ke kanan. Keadaan ini
akan menyebabkan kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding dengan Dollar
Amerika Syarikat akan turut meningkat.
Kenaikan permintaan luar negeri terhadap eksport Malaysia
boleh disebabkan oleh kenaikan pendapatan benar negara-negara pengimport
barangan Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan import negara
tersebut akan bertambah. Keadaan sebaliknya akan berlaku sekiranya pendapatan
negara-negara yang banyak berdagang dengan Malaysia mengalami kejatuhan
ekonomi, keadaan ini akan menyebabkan permintaan import negara-negara tersebut
akan berkurangan.
b) Permintaan Malaysia Terhadap Import
Kenaikan permintaan import Malaysia pula akan menyebabkan
penawaran matawang Ringgit Malaysia di pasaran pertukaran asing meningkat.
Contohnya jika permintaan Malaysia terhadap perisian komputer yang diimport
dari Amerika Syarikat bertambah, keadaan ini akan menyebabkan pertambahan
penawaran Ringgit di pasaran pertukaran asing. Ini akan menyebabkan kejatuhan
nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat.
Andaikan permulaannya kadar pertukaran Dollar Amerika Syarikat
dengan Ringgit Malaysia ialah US$0.4 bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia
(atau RM2.50 =US$1). Kemudiannya apabila penawaran Ringgit Malaysia bertambah
kesan dari peningkatan import oleh pengilang-pengilang di Malaysia, kadar
pertukaran menjadi US$0.3 bersamaan satu Ringgit Malaysia (atau RM3.33 = US$1).
Faktor utama yang boleh menyebabkan peningkatan permintaan Malaysia terhadap
barangan import ialah peningkatan pendapatan benar di Malaysia. Di samping itu,
dasar-dasar kerajaan seperti meningkatkan penggunaan Teknologi Maklumat,
pembinaan bangunan-bangunan baru dan dasar industri berat telah juga
menyebabkan peningkatan import. Ini kerana komputer, perisisan komputer,
barangan perantaraan dan barangan modal yang diperlukan untuk mencapai dasar
yang ditetapkan masih banyak yang diimport dari luar negeri.
Keadaan sebaliknya akan berlaku apabila terjadi kejatuhan permintaan Malaysia terhadap barangan import. Contohnya untuk memperbaiki imbangan pembayaran, kerajaan Malaysia boleh membuat dasar mengurangkan import barangan dari Amerika Syarikat. Keadaan ini akan menyebabkan kejatuhan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran kewangan dan menyebabkan kenaikan semula nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat.
c) Ramalan Nilai Matawang Ringgit
Malaysia Dalam Sebutan Matawang Asing
Permintaan dan penawaran sesuatu matawang juga dipengaruhi
oleh ramalan perubahan kadar pertukaran sesuatu matawang di masa hadapan oleh
mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi matawang. Jika nilai
matawang Ringgit Malaysia diramalkan akan meningkat pada masa hadapan, maka
permintaan matawang Ringgit Malaysia akan meningkat pada masa sekarang,
menyebabkan nilai matawang Ringgit Malaysia tertekan untuk meningkat nilainya
dalam sebutan matawang asing. Sebaliknya apabila diramalkan nilai matawang Ringgit
Malaysia dalam sebutan matawang asing akan merosot pada masa hadapan,
permintaan semasa Ringgit Malaysia akan merosot dan terjadilah tekanan untuk
matawang Ringgit merosot nilainya.
Jika dijangkakan nilai matawang Ringgit Malaysia akan meningkat, penawaran matawang Ringgit Malaysia akan jatuh. Pengimport-pengimport Malaysia akan menangguhkan pembelian barangan dari negara luar sehinggalah kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia benar-benar meningkat nilainya. Ini kerana peningkatan dalam nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing akan menyebabkan nilai matawang asing lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia. Seterusnya keadaan ini menyebabkan barangan dari negara asing menjadi lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia.
Mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi akan cuba mengambil keuntungan dari ketidakstabilan nilai sesuatu matawang. Contohnya di Malaysia, pada bulan September tahun 2013 berlaku kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat. Nilai matawang Ringgit Malaysia telah merosot dari kepada US$0.304 = RM1 (atau US$1 = RM3.30)
Keyakinan para pelabur dan mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi adalah penting kerana apabila mereka kurang yakin dengan kekukuhan sesuatu matawang, mereka akan melepaskan lebih banyak matawang tersebut dan membeli matawang yang lebih kukuh nilainya. Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi ramalan mereka yang terlibat dalam spekulasi matawang. Di antaranya ialah anggapan bahawa matawang sesebuah negara terlebih nilai, menyebabkan mereka melepaskan pegangan matawang yang terlebih nilai tersebut, seterusnya menjatuhkan nilai matawang itu. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi keputusan spekulator matawang ialah keyakinan pelabur terhadap sistem perbankkan sesebuah negara, ketelusan dan kecekapan sistem kewangan, dasar kerajaan terhadap ekonomi, dan anggapan mengenai kesilapan atau kelemahan kerajaan dalam menguruskan dasar ekonomi. Dalam isu terkini, kejatuhan matawang ringgit berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat dikaitkan dengan penjualan semula bon-bon yang di beli oleh pelabur Amerika Syarikat dari pasaran bon di Malaysia. Keadaan inibukan hanya terjadi di Malaysia, tetapi juga di India, Indonesia dan Thailand.
Persoalan yang timbul ialah adakah keadaan yang berlaku di
atas akan berterusan, iaitu nilai Ringgit Malaysia akan terus merosot. Mengikut
hipotesis pariti kuasa beli yang menerangkan perkaitan di antara
harga di dalam negeri berbanding dengan harga barangan tersebut di pasaran
asing melalui kadar pertukaran asing, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia tidak
akan terus berkekalan berlaku. Ini kerana apabila nilai Ringgit Malaysia lebih
rendah dari kadar pariti kuasa
beli, mereka yang terlibat dengan aktiviti spekulasi akan merasakan negara
pengimport barangan Malysia akan meningkatkan import barangan Malaysia kerana
harganya yang lebih murah dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat. Mereka
yang terlibat dalam aktiviti spekulasi ini seterusnya akan membeli Ringgit
Malaysia kembali dan nilai Ringgit Malaysia akan kembali meningkat. Dengan
demikian adalah jelas kerajaan perlu mengujudkan persekitaran yang menyakinkan
supaya krisis ekonomi tidak terjadi akibat dari kejatuhan nilai matawang.
d) Keuntungan
Dari Pelaburan Terus Dalam Aktiviti Perniagaan Dan Hartanah Di Malaysia
Berbanding Dengan Keuntungan Aktiviti Pelaburan Tersebut Di Tempat Lain
Rakyat negara asing juga meminta matawang Ringgit Malaysia
untuk membeli saham di Bursa Saham Kuala Lumpur, sektor hartanah di Malaysia,
dan lain-lain aset di Malaysia. Apabila keuntungan membeli aset di Malaysia
lebih menguntungkan berbanding dengan membeli aset dari negara lain, permintaan
terhadap Ringgit Malaysia untuk membuat pelaburan sedemikian akan bertambah,
seterusnya menyebabkan peningkatan kepada nilai Ringgit Malaysia. Pada masa
yang sama penduduk Malaysia sendiri akan lebih berminat membuat pelaburan saham
dan hartanah di Malaysia berbanding dengan di negara asing. Keadaan ini akan
menyebabkan penawaran Ringgit jatuh dan meningkatkan lagi nilai Ringgit
Malaysia.
e) Tingkat
Harga Umum Di Malaysia Berbanding Dengan Tingkat Harga Umum Di Negara Asing.
Jika harga barangan buatan Malaysia seperti kasut, pakaian
dan peralatan elektrik secara keseluruhannya meningkat sebanyak 10 peratus, ini
bererti pada nilai kadar pertukaran yang sama harga barangan Malaysia turut
meningkat sebanyak 10 peratus di negara pengimport. Keadaan ini akan
menyebabkan permintaan barangan Malaysia oleh rakyat asing akan merosot, yang
mana akan menjatuhkan permintaan terhadap Ringgit Malaysia. Seterusnya
berlakulah penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia. Begitu juga kenaikan
tingkat harga umum (disebut sebagai inflasi) di Malaysia berbanding dengan
tingkat harga umum di negara lain akan menyebabkan barangan keluaran negara
lain menjadi lebih murah berbanding dengan barangan keluaran Malaysia. Keadaan
ini akan menyebabkan permintaan barangan dari negara asing oleh rakyat Malaysia
bertambah, yang mana menyebabkan peningkatan penawaran Ringgit Malaysia.
Seterusnya berlaku juga penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia.
f) Kadar
Bunga Di Malaysia Berbanding Dengan Di Negara Lain
Keinginan rakyat asing memegang harta kekayaan dalam
sebutan Ringgit Malaysia bergantung kepada kepada kadar bunga yang boleh
diperolehi dari harta yang disimpan dalam sebutan Ringgit Malaysia tersebut.
Lebih tinggi kadar bunga, lebih tinggi jugalah permintaan oleh rakyat asing
untuk menyimpan harta mereka di Malaysia dalam sebutan Ringgit Malaysia.
Keadaan ini akhirnya akan meningkatkan lagi nilai matawang Ringgit
Malaysia. Bagi rakyat Malaysia pula, kadar bunga yang tinggi akan menyebabkan
pelabur-pelabur Malaysia lebih berminat menyimpan wang mereka di institusi
kewangan di dalam negara.
RUMUSAN
Bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia, sistem ekonominya adalah terbuka kepada keadaan ekonomi antarabangsa. Dasar Malaysia untuk memperkembangkan asas industri dari tertumpu kepada industri kecil dan sederhana kepada industri berat telah menyebabkan pengimportan barang modal dan barangan perantaraan yang begitu besar jumlahnya pada tahun-tahun 1990an. Usaha-usaha perlu dibuat untuk memperbaiki Imbangan Pembayaran kerana apabila Imbangan Pembayaran mengalami defisit yang keterlaluan, wujud pula masalah seperti kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia. Didapati pada masa kini aktiviti spekulasi matawang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pasaran kewangan dunia. Liberalisasi dalam sistem kewangan yang menyebabkan pengurangan atau penghapusan sepenuhnya kawalan kewangan menyebabkan ada organisasi antarabangsa yang mendapatkan keuntungan dari aktiviti spekulasi matawang telah menimbulkan ketidakstabilan ekonomi negara-negara di Asia Tenggara. Secara tidak langsung ianya juga menunjukkan keburukan globalisasi sistem kapitalis yang begitu jelas telah mempengaruhi ekonomi negara-negara di dunia sekarang ini. Walau bagaimanapun dengan keadaan sistem ekonomi Malaysia yang mempunyai asas ekonomi yang kukuh seperti kadar inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, kemudahan infrastruktur yang baik, buruh mahir yang ramai dan mudah dilatih, imbangan pembayaran yang kukuh kerana prestasi komoditi utama yang baik dan kestabilan politik telah membolehkan kerajaan dapat bertahan dengan kemelut ekonomi yang berlaku.