Sebagai ahli akademik yang berlatar belakang bidang
ekonomi, saya sering ditanya oleh rakan-rakan berkaitan apa yang terjadi di
Greece boleh terjadi kepada Malaysia atau tidak? Greece sekarang sebuah negara
yang bermasalah kerana tidak mampu membayar hutang negara mereka yang jumlahnya
melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) mereka. Kadar hutang dilaporkan
melebihi dari 178% GDP. Mereka telah banyak mengambil hutang dari International
Monetary Fund (IMF), Kerajaan German dan Perancis dan melakukan pelbagai langkah
penjimatan seperti pengecilan saiz sektor kerajaan, pengurangan peruntukan
untuk pencen, perbelanjaan pertahanan dan perbelanjaan kesihatan. Malangnya
langkah-langkah tersebut sebenarnya telah menyusahkan rakyat Greece sendiri dan
dengan ketiadaan sumber ekonomi yang dapat meningkatkan pertumbuhan GDP, hutang
yang dipinjam tidak mampu dibayar dan negara yang memberi hutang tidak mahu
memberi hutang baru lagi. Perdana Menteri bertukar-tukar sejak tahun 2004, dan
yang terkini pemimpin muda yang baru berumur 40an. Mereka pernah gah dengan
bangga menganjurkan sukan Olimpik pada tahu 2002. Begitu juga bangga dengan
nama dengan ahli-ahli fikir yang terkenal seperti Socrates dan Plato, dan
jutawan perkapalan seperti Aristotle. Tetapi keadaan ekonomi yang buruk di
Greece pada masa sekarang, nama-nama besar itu hanya menjadi tinggalan sejarah
sahaja.
Jawapan yang saya berikan dari segi ekonomi dengan
keadaan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan hutang negara pada paras 54% dari
GDP dan sistem Kewangan Negara yang dikawal dengan baik oleh Bank Negara
Malaysia, keadaan seperti Greece itu tidak berlaku pada masa kini, tetapi jika
Malaysia terus mengamalkan sistem Belanjawan Defisit setiap tahun, hutang
negara boleh meningkat dan boleh menjadikan negara kita bermasalah dari segi
kewangan sepertimana yang berlaku di Greece. Pelbagai jawapan diberikan oleh
ahli-ahli ekonomi dan politik mengenai kaedah untuk mengatasi isu ekonomi yang
begitu banyak diperbincangkan pada masa kini, seperti isu kenaikan kos sara
hidup disebabkan pengenaan cukai baru oleh kerajaan iaitu cukai barang dan
perkhidmatan (GST), penghapusan subsidi minyak yang menyebabkan harga minyak
berubah-ubah mengikut harga pasaran dan isu pelaburan institusi-institusi yang
berkaitan dengan kerajaan yang diragui pulangan kewangannya.
Sebenarnya apabila diteliti isu ekonomi adalah
pelbagai dan penyelesaian masalahnya boleh diselesaikan dalam berbagai
kaedah, tetapi isu sebenarnya ialah pembuat polisi (pemimpin kerajaan) perlu
bekerja dengan jujur dan berhemah. Perbelanjaan membazir, rasuah dan
penyalahgunaan kuasa dalam pentabiran perlu dikawal dan dihentikan. Kita tahu
masalah manusia ialah ia mempunyai “nafsu” yang sukar dikawal. Sebab itu dalam
Al-Quran selalu disebut amaran tindakan kita di dunia dan balasan di
akhirat, perkataan Sholat dengan Zakat (pengagihan semula kekayaan kepada
kumpulan asnaf yang tertentu) dan perbincangan berkaitan kebijaksanaan dalam
mengurus harta sendiri dan negara.
Sekiranya pemimpin negara sentiasa beringat dan
pemimpin yang beragama Islam cuba memahami apa yang dibaca dalam Sholat lima
waktu mereka dan pada masa sentiasa cuba memahami ayat-ayat Al-Quran yang
dibaca. Dengan membaca dan memahami pula ayat-ayat al-Quran yang dibaca, saya
yakin mereka akan menjadi lebih baik dalam memimpin negara dan berupaya
menjauhi sifat tidak bertanggungjawab seperti boros, menyalahgunakan kuasa dan
mengumpul kekayaan di kalangan ahli keluarga dan kroni, dan pada masa yang sama
tidak hipokrit dengan berlagak baik dengan menggunakan saluran media tertentu
seperti TV, internet, papan iklan dan radio. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Greece
terjadi kepada negara kita, kerana rantaian kesannya adalah panjang dan buruk,
seperti menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi, ketidakmampuan kerajaan
membayar gaji pekerja, kejatuhan pelaburan kerana pelabur luar negeri tidak
mahu melabur di negara itu lagi, kemerosotan nilai matawang dan imej negara
yang dipandang rendah oleh negara-negara lain.
Saya sangat terkesan dengan Surah Al-Mukminun (23)
Ayat 1-11 berikut yang bermaksud:
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ (٧
“Sangat
beruntung orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam Sholatnya,
dan orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak
berguna, dan orang yang membayar zakat,
dan orang yang memelihara kemaluannya, kecuali dengan isteri (isteri-isteri),
maka mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa melakukan sebaliknya, maka mereka
itulah orang yang melampaui batas. Dan sungguh beruntung orang yang memelihara
amanah dan janjinya, serta orang yang memelihara Sholatnya. Mereka akan
mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”