Total Pageviews

Saturday, October 11, 2008

PENCEMARAN MARIN 1 – KEJADIAN TUMPAHAN MINYAK

Abstrak
Pencemaran marin merupakan satu isu baru yang perlu diberi perhatian oleh pembuat polisi, pelaksana dasar dan pihak-pihak yang berkepentingan seperti nelayan, pengurusan hotel, universiti, badan-badan bukan kerajaan dan pengguna. Kesedaran mengenai kesan-kesan pencemaran marin dan langkah-langkah yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas berlakunya pencemaran marin membolehkan malapetaka tersebut dapat dikurangkan impak negatifnya.

Pengenalan
Minyak merupakan sumber tenaga yang utama di dunia, tetapi disebabkan agihan yang tidak seimbang di antara negara, ianya mesti diangkut menggunakan kapal tangki melintasi lautan atau paip melalui daratan. Masalah timbul apabila berlaku kemalangan yang tidak diduga ketika minyak dipindahkan ke kapal, ketika membuat penghantaran antara negara menggunakan kapal, ketika paip minyak bocor, atau ketika kerja-kerja penggerudian pencarian minyak dilakukan. Tumpahan minyak memberi kesan kepada alam sekitar kerana ia mencemarkan pantai, hidupuan laut dan darat, serta kesihatan manusia. Disamping itu, kesan kepada ekonomi pula meliputi pengurangan hasil tangkapan ikan semasa kejadian berlaku dan musim-musim seterusnya kerana sumber makanan ikan terjejas, sektor pelancungan, dan peningkatan pengangguran. Dari sudut pengguna pula, mereka terpaksa membeli ikan dengan harga yang lebih mahal. Keseluruhannya pengguna, pengeluar dan masyarakat boleh terjejas apabila berlaku pencemaran marin.

Pencemaran Marin
Keseluruhan pengeluaran minyak telah meningkat dari 500 juta tan pada tahun 1950 kepada 2,500 juta tan pada pertengahn tahun 1990an (Picot and Gill, 1996). Peningkatan pengeluaran pula diikuti oleh kejadian tumpahan minyak. Diketahui umum tempat simpanan minyak yang utama di dunia ialah di Timur Tengah, dan kebanyakan aliran pengangkutan juga bermula dari Negara-negara di Timur Tengah. Disebabkan faktor minyak jugalah kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat berusaha mengawal Negara-negara Teluk supaya mengikut kehendak mereka. Tumpahan minyak, sama ada kecil atau besar, telah meningkat dengan peningkatan jumlah pengangkutan minyak oleh kapal tangki. Kapal tangki itu pula kebanyakannya telah usang dan kapal-kapal baru pula dibina dengan saiz yang lebih besar. Dilaporkan kargo minyak merupakan separuh dari keseluruhan kargo laut pada masa kini (Picot and Gill, 1996).

Sejak tahun 1960an terdapat lebih kurang dua puluh kejadian tumpahan minyak yang melibatkan lebih dari 70 juta tong minyak mentah (Burger, 1997). Tumpahan besar telah terjadi di persisiran pantai Mexico, Timur Tengah, Afrika Selatan, dan di Alaska, dan juga di saluran paip di Usink, Russia. Tumpahan minyak terbesar yang direkodkan ialah semasa perang teluk pada tahun 1991, apabila 36.5 juta tong minyak mentah dengan segaja ditumpahkan ke Laut Parsi untuk tujuan taktik peperangan semasa Iraq berperang dengan Amerika Syarikat. Tumpahan kedua terbesar ialah dari telaga Ixtox-1 di Mexico, melibatkan tumpahan 3.5 juta tong minyak mentah.

Tumpahan minyak yang besar tidak semestinya akan mendapat liputan media yang meluas, mungkin kerana lokasi, kurangnya kesan kepada kesihatan manusia dan kesan ekologi, atau media sendiri tidak berminat melaporkan kejadian yang berlaku. Contohnya tumpahan minyak di Nowruz di Arabia (1.93 juta tong) pada tahun 1980, dan di Lembah Fergan, Uzbekistan (2 juta tong) pada tahun 1992 telah tidak dihebahkan oleh media. Sebaliknya tumpahan yang kecil seperti tumpahan kapal tangki Amoco Cadiz yang melibatkan 1.63 juta tong minyak di pantai Perancis pada tahun 1978, dan kapal tangki Exxon Valdez yang menumpahkan 0.26 juta tong minyak di Alaska pada tahun 1989 telah dibuat hebahan secara meluas (Cahill, 1990).

Kesan jangka pendek dari tumpahan minyak termasuklah kemalangan jiwa semasa kemalangan berlaku, atau mereka yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan, dan gangguan kesihatan kerana bau tumpahan minyak atau memakan ikan atau hidupan laut lain yang telah tercemar. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan sampingan yang tidak ketara seperti kehilangan dan ganggunan terhadap perikanan komersial dan rekreasi, dan penggunaan lain terhadap air yang tercemar. Terdapat juga kesan ekonomi dan “aesthetic” serta tekanan psikologi dan sosial terhadap penduduk yang tinggal di kawasan yang tercemar.

Kejadian tumpahan minyak
Sebenarnya terdapat 15 kejadian tumpahan minyak yang besar telah direkodkan. Di antara tumpahan minyak yang besar yang telah dilaporkan ialah tumpahan minyak semasa perang teluk, bencana di telaga carigali Ixtoc 1, tumpahan kapal tangki Atlantic Empress, Amaco Cadiz, Amaco Haven dan Exxon Valdez.

a)Tumpahan minyak semasa perang teluk
Tumpahan minyak semasa Perang Teluk pada tahun 1991 di anggap tumpahan paling buruk dalam sejarah. Ia menyebabkan kerosakan teruk kepada hidupan liar di Teluk Parsi, terutamanya di pantai Kuwait dan Iraq. Dianggarkan tumpahan melibatkan 36.5 juta tong minyak mentah, meliputi kawasan seluas 40 batu dan ketebalan 4 inci.
Punca tumpahan: Pada 23 Januari 1991, tentera Iraq dengan sengaja telah menumpahkan minyak tersebut ke laut untuk menghalang kemasukan tentera Amerika melalui laut. Pihak Iraq pula mengatakan tumpahan terjadi akibat dari pengeboman tentera Amerika terhadap dua kapal tangki Iraq. Punca tumpahan lain ialah dari kerosakan pusat pemprosesan minyak Mina Al Ahmadi di Kuwait, kapal tangki berhampiran Pulau Bubiyan, dan terminal Mina Al Bakr di Iraq.

b)Tumpahan minyak di Telaga carigali Ixtoc I
Telaga minyak Ixtoc I merupakan satu kawasan carigali minyak di Teluk Mexiko, lebih kurang 600 km dari Texas. Syarikat carigali yang terlibat ialah Pemex (Petroleos Mexicanos) yang menggali sehingga 2 batu kedalaman penggalian. Pada bulan 3 Jun 1979, berlaku kesilapan semasa kerja-kerja penggalian dan menyebabkan satu letupan besar di kawasan penggalian. Pada 23 Mac 1980 barulah kebocoran dapat dikawal dan dan telaga yang bocor dapat ditutup. Setiap hari selama 8 bulan dianggarkan 10 ribu ke 30 ribu tong minyak sehari tumpah ke laut di Teluk Mexiko. Aliran arus pula membawa tumpahan tersebut ke pesisiran pantai Texas. Kawasan penternakan kura-kura di Kemp Ridley telah terjejas teruk dan kura-kura tersebut telah terpaksa dipindahkan ke kawan lain.

c)Tumpahan dari kapal tangki Atlantic Empress
Kapal tangki Atlantic Empress milik negara Greek. Pada 19 Julai 1979 kapal tersebut berlanggar dengan kapal Aegean Captain, berhampiran Negara Trinidad dan Tobago. Berlaku tumpahan minyak sebanyak 2.1 juta tong. Semasa ditunda pada 2 Ogos 1979, berlaku tumpahan lagi sebanyak 2 juta tong minyak mentah berhampiran Barbados.

d)Tumpahan dari kapal tangki Amoco Cadiz
Kapal tangki Amoco Cadiz telah terbelah dua pada 16 Mac 1978, kesan dari perlanggaran dengan batu. Kejadian berlaku di Brittany, Perancis ketika dalam perjalanan penghantaran minyak dari Teluk Parsi ke Rotterdam, Holland. Semasa kejadian kapal tersebut membawa sejumlah 1.6 juta tong minyak mentah. Usaha-usaha untuk memindahkan minyak dari kapal Amico Cadiz ke kapal lain telah dibuat sebelum kapal tersebut tenggelam, tetapi usaha itu gagal kerana keadaan cuaca yang buruk. Malapetaka tersebut telah menyebabkan berlaku tumpahan minyak sepanjang 45 batu di pesisiran pantai Perancis. Tiupan angin yang kuat dari arah Barat pada bulan April telah menyebabkan tumpahan tersebut merebak seluas 100 batu di pesisiran pantai Perancis. Minyak telah meliputi pantai sehingga mencapai ketebalan 20 inci. Kawasan pelancungan di Plougasnou telah terjejas akibat dari kejadian tersebut.

e)Tumpahan kapal tangki Amoco Haven
Pada 11 April 1991, kapal Amaco Haven yang membawa 1 juta tong minyak yang dimiliki oleh Troodos Shipping telah meletup dan terbakar di pantai Genoa, Itali. Lima orang telah terbunuh, termasuk kaptan kapal Petros Grigorakikis. Tumpahan minyak telah mencemarkan kawasan pantai seluas 20 km di Genoa dan Selatan Perancis.

f) Kebakaran kapal tangki Exxon Valdez
Pada tengah malam bulan Mac 1989 kapal tangki Exxon Valdez telah melanggar Bligh Reef di Prince William Sound, Alaska. Kesannya, berlaku tumpahan minyak sebanyak 0.26juta tong minayak mentah. Malapetaka ini adalah malapetaka terbesar dalam tumpahan minyak di Amerika Syarikat. Kejadian juga telah menguji kemampuan institusi yang terlibat di peringkat tempatan dan kebangsaan untuk bertindakbalas terhadap bencana sedemikian. Banyak faktor telah dikenalpasti mencabar usaha-usaha pembersihan selepas kejadian berlaku. Kawasan yang terpencil menyebabkan Cuma helikopter dan bot sahaja yang dapat pergi ke kawasan kajian.

Artikel seterusnya akan membincangkan kesan pencemaran marin kepada Alam Sekitar

(Kertas kerja dibentangkan untuk Program Isu-isu Alam Sekitar dan Kepenggunaan 2008, anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis di Hotel Putra Palace, Kangar, pada 13 Oktober 2008)

Friday, October 3, 2008

Penyata Kewangan Sebagai Petunjuk Prestasi

Penyata Kewangan merupakan satu struktur kewangan yang mengandungi Kunci Kira-kira, Penyata Pendapatan, Penyata Pergerakan di dalam Ekuiti, Penyata Aliran Tunai dan Polisi Perakaunan dan Nota Penjelasan yang berfungsi untuk mempersembahkan kedudukan kewangan sesebuah entiti perniagaan. Maklumat yang sering dilihat dalam penyata kewangan ialah Aset, Liabiliti, Ekuiti, Untung dan Rugi dan Aliran Tunai. Analisis nisbah yang boleh digunakan dalam mengukur prestasi ialah nisbah-nisbah keberuntungan (profitability ratios), nisbah-nisbah kecekapan (efficiency ratios), dan nisbah-nisbah kecairan (liquidity ratios).

Analisis Seluruh Perniagaan Ladang
Analisis seluruh ladang memerlukan beberapa maklumat penting untuk meningkatkan atau membaiki sesuatu perniagaan. Kebiasaannya analisis menggunakan ringkasan kewangan yang utama: penyata pendapatan (penyata untung rugi), kunci kira-kira dan penyata aliran tunai.

Penyata pendapatan penting untuk menunjukkan prestasi perniagaan sepanjang tahun tersebut. Daripada penyata ini, gambaran tentang pulangan pelbagai sumber setelah ditolak semua perbelanjaan akan diperolehi. Kunci kira-kira merupakan maklumat yang penting untuk membandingkan perubahan yang berlaku tahun ke setahun ataupun untuk beberapa tahun. Penyata aliran tunai pula dapat membantu analisis dengan menunjukkan punca-punca dan kegunaan tunai sepanjang tahun. Ianya juga dapat membantu bila keperluan tunai diperlukan.

Analisis Perbandingan
Dengan menggunakan kaedah ini, keputusan yang diperolehi dibandingkan dengan suatu standard atau piawai yang telah ditetapkkan. Salah satu contoh standard ialah objektif belanjawan semasa merancang belanjawan.
Sekiranya keputusan yang diperolehi tidak mencapai matlamat yang ditentukan, ianya menunjukkan masalah sehingga menjejaskan prestasi perniagaan tersebut. Piawaian lain yang boleh digunakan ialah membandingkan pencapaian perniagaan dengan ladang-ladang lain yang hampir sama dari segi jenis dan saiz.

Analisis Arah Aliran
Bagi membolehkan analisis arah aliran, peladang perlu merekodkan rekod kewangan perniagaan mereka untuk beberapa tahun. Daripada analisis tersebut, peladang boleh mengenalpasti sama ada prestasi ladangnya menaik atau menurun. Untuk prestasi yang menunjukkan aliran menurun, kajian lebih terperinci perlu dilakukan.

Proses membuat analisis dan Jenis analisis
Sepertimana melakukan penyelidikan, analisis seluruh ladang dimulakan dengan mengenalpasti masalah, diikuti dengan mendefinisikan masalah, dan mencari alternatif bagi mengatasi masalah tersebut. Di antara analisis seluruh ladang yang boleh dibuat ialah analisis kewangan, keberuntungan, saiz ladang, kecekapan dan bidang kuasa.

Analisis Kewangan
Analisis kewangan tertumpu kepada kedudukan modal perniagaan termasuk kemampubayaran, kecairan, dan perubahan nilai bersih perniagaan tersebut. Di antara analisis kewangan yang kerap digunakan ialah Nisbah Semasa, Nisbah modal operasi, Nisbah hutang-ekuiti, nisbah modal bersih, dan nilai bersih.

Analisis keberuntungan
Perniagaan yang mempunyai kemampubayaran dan kecairan yang baik tidak semestinya merupakan sebuah perniagaan yang menguntungkan. Keberuntungan boleh ditentukan dengan mengkaji rekod Penyata Pendapatan (atau akaun untung rugi). Ukuran keberuntungan yang boleh dilakukan ialah pendapatan ladang bersih, pulangan buruh, pulangan pengurusan, modal dan ekuiti. Kritikan terhadap kaedah ini ialah ianya hanyalah ukuran pulangan faktor dan bukannya pulangan sut. Sebagai contoh, kadar pulangan modal ialah purata kadar pulangan semua modal yang dilaburkan dalam perniagaan dan bukannya pulangan sut bagi ringgit terakhir yang dilaburkan.

Analisis Saiz
Masalah pendapatan dan keberuntungan mungkin wujud pada sesuatu musim disebabkan oleh cuaca yang buruk yang menjejaskan hasil tanaman, serangan penyakit, atau harga yang rendah akibat dari peningkatan pengeluaran barangan pengganti. Jika masalah ini berterusan pada musim-musim apabila purata hasil dan harga adalah baik, masalah ini boleh dikesan dengan mengkaji saiz ladang atau operasi ladang tidak cekap.

Penggunaan Penyata Kewangan - Penyata Aliran Tunai

PENYATA ALIRAN TUNAI

Penyata aliran tunai merupakan satu penyata yang menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar kesetaraan tunai. Dengan melihat penyata ini, kita mendapat maklumat mengenai factor-faktor yang menyebabkan perubahan baki tunai syarikat dari tempoh awal hingga tempoh akhir sesuatu laporan kewangan. Terdapat tiga elemen penting dalam penyata aliran tunai, iaitu:
a) Aliran tunai daripada aktiviti kendalian – merupakan aktiviti utama pengeluaran hasil perusahaan dan aktiviti lain, selain dari aktiviti pelaburan dan pembiayaan.
b) Aliran tunai daripada aktiviti pelaburan – Aliran masuk dan keluar tunai daripada pemerolehan dan pelupusan aset jangka panjang, serta pelaburan lain.
c) Aliran tunai daripada aktiviti pembiayaan – Aliran masuk dan keluar tunai daripada aktiviti yang menyebabkan perubahan saiz dan komposisi modal ekuiti dan pinjaman perusahaan.

Polisi perakaunan dan nota penjelasan (explanatory notes)
Nota penyata kewangan perusahaan perlu:
a) Membentangkan maklumat mengenai asas penyediaan penyata kewangan dan dasar perakaunan tertentu yang dipilih dan digunakan untuk urus niaga dan butiran penting.
b) Mendedahkan maklumat yang dikehendaki oleh piawaian perakaunan yang tidak dibentangkan di mana-mana tempat dalam penyata kewangan.
c) Menyediakan maklumat tambahan yang tidak dibentangkan pada muka penyata kewangan, tetapi ia perlu bagi pembentangan yang saksama.

Borang Penyata Aliran Tunai
Jadual 7.7 menunjukkan contoh belanjawan aliran tunai. Semua aliran masuk tunai yang diunjurkan daripada kedua-dua punca, iaitu lading dan bukan lading dicatatkan pada 13barisan yang pertama. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan bukan lading juga mempengaruhi kedudukan tunai sesuatu perniagaan berbentuk lading, butiran tersebut harus dimasukkan dalam Penyata Aliran Tunai. Setiap jenis pendapatan yang dijangkakan harus dijumlahkan untuk tahun berkenaan dan diisi pada ruangan jumlah yang terdapat pada boring tersebut, dan jumlah ini kemudiannya dibuat mengikut bulan bila pendapatan tersebut diterima.

Sekiranya jumlah aliran masuk tunai untuk bulan tersebut adalah lebih besar daripada jumlah aliran keluar tunai, jumlah ini boleh digunakan untuk membayar sebahagian atau semua hutang jangka pendek yang baru dibuat pada awal tahun. Baki tunai akhir untuk bulan tersebut dimasukkan sebagai baki tunai awal untuk bulan berikutnya. Proses ini berulang untuk bulan seterusnya.

Jadual 7.7 Penyata Aliran Tunai Syarikat Perniagaan ABC

PERKARA

Januari Februari …. Disember

1. BAKI TUNAI AWAL
2. Jualan tanaman
3. Jualan Ternakan
4. Keluaran Ternakan
5. Jualan Ladang yang lain
6. Pendapatan dari modal
7. Ternakan Baka
8. Jentera dan Peralatan
9. Pendapatan bukan lading
10. Upah dan gaji
11. Pelaburan
12. Lain-lain
13. JUMLAH ALIRAN TUNAI MASUK
14. Benih
15. Baja
16. Bahan kimia
17. Perbelanjaan tanaman yang lain
18. Gas dan minyak pelincir
19. Upah Buruh
20. Sewa alat Jentera
21. Bijirin dan Makanan Ternakan
22. Ternakan Induk
23. Perbelanjaan Ternakan
24. Pembaikan Alat Jentera
25. Pembaikan bangunan dan Pemulihan
26. Sewa tunai
27. Bekalan
28. Cukai harta
29. Insurans
30. Kemudahan pejabat
31. Kenderaan ladang
32. Pelbagai Perbelanjaan Ladang
33. Jumlah Perbelanjaan Tunai (Perbelanjaan Modal)
34. Jentera dan Peralatan
35. Ternakan baka
36. Belanja sara hidup keluara
37. Cukai pendapatan
38. Bayaran hutang - pokok
39. Bayaran hutang - bunga
40. JUMLAH ALIRAN KELUAR TUNAI
41. BAKI TUNAI AKHIR
(Rujuk laporan tahunan PNK untuk lihat maklumat sebenar)

Kegunaan Belanjawan Aliran Tunai
Kegunaan belanjawan aliran tunai adalah untuk menentukan masa dan jumlah pinjaman yang diperlukan untuk sesuatu perniagaan dalam sesuatu tahun serta pembayaran baliknya. Selain itu, kegunaan dan kebaikan belanjawan tunai adalah seperti berikut:
1. Sesuatu rancangan pinjaman dan pembayaran balik pinjaman boleh dibentuk mengikut kesesuaian sesuatu perniagaan lading. Belanjawan ini boleh menghalang pinjaman yang terlalu banyak atau terlalu cepat. Begitu juga pembayaran hutang dengan cepat dapat mengurangkan kos pembayaran bunga.
2. Belanjawan aliran tunai dapat memberikan cadangan tentang cara untuk mengatur pembelian dan pembayaran balik hutang supaya pinjaman dapat dikurangkan. Sebagai contoh, perbelanjaan modal boleh dibuat apabila aliran masuk modal dijangka besar.
3. Belanjawan aliran tunai boleh digunakan untuk urusan perniagaan atau untuk tujuan peribadi atau kedua-duanya sekali.
4. Berasaskan laporan belanjawan aliran tunai yang lengkap, bank atau institusi kewangan akan dapat memberikan nasihat kewangan yang lebih mantap dan mengenalpasti kelemahan dan kekuatan sesuatu perniagaan itu.
5. Dengan membuat perancangan kehadapan, kita boleh mengetahui bila keperluan tunai akan mencukupi dan ini akan membolehkan seseorang peladang atau pengurus ladang membeli keperluan ladang secara diskaun dengan membuat pembayaran tunai yang segera.
6. Belanjawan aliran tunai juga boleh digunakan untuk merancang pembayaran cukai dengan lebih berkesan dengan menentukan pembelian, jualan dan sebagainya pada masa yang tepat.
7. Sekiranya ketidakseimbangan antara pinjaman jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang, belanjawan aliran tunai juga boleh mengenalpasti dan seterusnya mencadangkan cara-cara untuk membaiki keadaan tersebut. Sebagai contoh, terlalu banyak pinjaman jangka pendek berbanding dengan pinjaman jangka panajang akan menimbulkan masalah aliran tunai.

Walaupun terdapat beberapa kelebihan penyata belanjawan aliran tunai, maklumat dari belanjawan aliran tunai tidak boleh digunakan untuk keadaan tertentu. Kesilapan sering berlaku dengan membuat anggaran keuntungan perniagaan atau pendapatan bersih berdasarkan anggaran aliran tunai. Anggaran keuntungan tidak boleh dibuat dengan merujuk penyata belanjawan aliran tunai kerana beberapa butiran bukan tunai seperti susut nilai dan perubahan nilai inventori yang turut boleh mempengaruhi keuntungan tidak dimasukkan penyata belanjawan aliran tunai.

Penggunaan Penyata Pendapatan: Kajian Kes - Prestasi Perniagaan ABC

Kajian Kes - Prestasi Perniagaan ABC

Selepas artikel lalu membincangkan bagaimana melapor dan menggunakan maklumat dalam Penyata Pendapatan (atau Penyata Untung Rugi), artikel kali ini membincangkan kajian kes satu Perniagaan yang berasaskan aktiviti Penangkapan ikan di Utara Semenanjung Malaysia. Perniagaan tersebut dipanggil Perniagaan ABC. Dari analisis Penyata Pendapatan, didapati Nisbah keuntungan kasar berbanding jualan Perniagaan ABC adalah 9.6% (Jadual 7.3). Ini bermakna bagi setiap RM1 jualan, Perniagaan ABC memperolehi 9.6 sen. Dari segi nisbah keuntungan bersih berbanding dengan jumlah aset pula, nisbahnya ialah 14.9 %. Ini bermakna bagi setiap RM1 aset milik persatuan yang digunakan, telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak 14.9 sen. Petunjuk nisbah ini menunjukkan ALP Perniagaan ABC dapat menghasilkan pulangan yang baik kepada aset milik persatuan.

Berdasarkan nisbah kecairan pula, didapati Perniagaan ABC tidak mempunyai masalah dalam membiayai hutang-hutang mereka. Persatuan mempunyai cukup wang tunai dan aset-aset lain untuk membayar hutang-hutang mereka sebelum hutang tersebut matang. Nisbah semasa ialah 3.1, bererti persatuan mempunyai aset semasa tiga kali lebih banyak berbanding dengan liabiliti (tanggungan) semasa. Maklumat dari nisbah kecairan 3.1 pula menunjukkan persatuan tidak menghadapi masalah kecairan, kerana diketahui sekiranya entiti perniagaan mempunyai nisbah kecairan lebih dari satu, bererti entiti perniagaan tidak menghadapi masalah kecairan.

Jadual 7.3: Analisis Nisbah Perniagaan ABC pada 31 hb. Disember 2007
Jenis Analisis Nisbah
keuntungan kasar 9.6%
keuntungan bersih 4.1%
keuntungan berbanding dengan jumlah aset 14.9%
Semasa 3.1 kali
kecairan 3.1 kali
Pulangan aset tetap 14.7 kali
Pulangan aset 3.7 kali
Jum. Hutang/jum. Aset 0.36

Jika dilihat kepada prestasi Perniagaan ABC dari segi kecekapan mengguna sumbernya menghasilkan jualan, didapati nisbah pulangan aset tetap Perniagaan ABC ialah 14.7 kali. Ini bermakna Perniagaan ABC adalah juga cekap dalam menggunakan sumbernya untuk menghasilkan jualan.

Di antara projek-projek ekonomi yang utama dijalankan oleh Perniagaan ABC pada tahun 2007 (berdasarkan Laporan Tahunan 2008) ialah perniagaan minyak diesel, pengangkutan, pemasaran ikan, lori tangki, perniagaan air batu, dan simpanan kereta (tempat letak kereta) bagi pengunjung ke Langkawi:

a) Projek Perniagaan Minyak Diesel
Perniagaan ABC menjalankan projek perniagaan jualan minyak diesel bersubsidi di lima buah pusat jualan, iaitu di Kompleks Perikanan ABC. Jualan minyak diesel di ABC telah meningkat dari RM10.18 juta pada tahun 2002 kepada RM23.52 juta pada tahun 2008. Begitu juga dari segi keuntungan bersih, berlaku peningkatan ketara dari RM0.411 juta kepada RM0.842 juta pada tempoh yang sama (Jadual 7.4). Berbanding dengan jualan keseluruhan, aktiviti Perniagaan ABC bernilai RM28.81 juta, aktiviti perniagaan jualan minyak diesel bersubsidi menghasilkan 81.6 % dari hasil jualan Perniagaan ABC. Perangkaan ini menunjukkan pergantungan yang besar terhadap aktiviti jualan minyak diesel sebagai sumber pendapatan Perniagaan ABC.

Jadual 7.4: Penyata Untung Rugi dari Aktiviti Jualan Minyak Diesel Perniagaan ABC
Perkara/Tahun (dalam RM)

2006 2007

Jualan 10,177,304 23,515,575
(-) Kos Barangan dijual 9,281,728 21,257,609
Untung kasar 895,576 2,257,966
(+) Lain-lain pendapatan 525 36
(-) Perbelanjaan 484,738 1,416,367
Keuntungan / Kerugian 411,367 841,635

Sumber: Penyata Mesyuarat Agung Tahunan 2008, Perniagaan ABC

Untuk meningkatkan kecekapan dari perniagaan jualan minyak diesel, Perniagaan ABC telah meningkatkan kemudahan tangki dan membekalkan kemudahan pam kelajuan tinggi. Dengan penggunaan peralatan baru tersebut, dijangkakan kesesakan di tempat jualan dapat dielakkan dan volum urusniaga dapat ditingkatkan dari masa ke semasa kerana penjualan menjadi lebih pantas.

b) Projek Pengangkutan
Projek Pengangkutan melibatkan pembelian dua buah lori kecil yang digunakan untuk mengangkut air batu, ikan dan lain-lain peralatan yang menggunakan lori. Pada tahun 2008, Akaun Projek Pengangkutan telah disatukan di dalam Akaun Projek Pemasaran.

c) Projek Pemasaran Ikan
Urusniaga Pemasaran Ikan melibatkan aktiviti penjualan secara terus dan borong dengan mendapatkan bekalan daripada 88 buah bot ahli-ahli PN. Aktiviti pemasaran dibuat secara lelongan terbuka. Aktiviti jualan Pemasaran Ikan menghasilkan jualan sebanyak RM4.73 juta pada tahun 2008, berbanding dengan jualan sebanyak RM4.24 juta pada tahun 2002. Berbanding dengan jualan keseluruhan aktiviti Perniagaan ABC bernilai RM28.81 juta, bererti aktiviti pemasaran ikan menghasilkan 16.4 % dari hasil jualan Perniagaan ABC. Setelah ditolak kos jualan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain, keuntungan bersih dari aktiviti projek Pemasaran Ikan cuma RM23,631 setahun, atau RM1,969 sebulan (Jadual 7.5).

Jadual 7.5: Penyata Untung Rugi dari Aktiviti Projek Pemasaran Ikan di Perniagaan ABC
Perkara/Tahun (dalam RM)


2006 2007

Jualan 4,243,691 4,732,135
(-) Kos Barangan dijual 3,950,441 4,372,228
Untung kasar 293,250 359,907
(+) Lain-lain pendapatan 1,355 11,502
(-) Perbelanjaan 321,674 347,777
Keuntungan / Kerugian (27,070) 23,631
Sumber: Penyata Mesyuarat Agung Tahunan 2008, Perniagaan ABC

Untuk meningkatkan lagi aktiviti pemasaran ikan, Perniagaan ABC telah membina jeti-jeti pendaratan khusus untuk bot-bot nelayan tradisi (bot pukat hanyut dan tradisi) di luar kawasan jeti pendaratan kompleks ABC. Ini kerana saiz bot nelayan tradisi yang bersaiz kecil akan rosak sekiranya terpasa bersesakan dengan bot-bot pukat tunda dan pukat jerut di jeti pendaratan kompleks ABC. Begitu juga Perniagaan ABC telah membeli dua buah bangunan di Kuala Kedah berharga RM260,000 sebuah yang dicadangkan sebagai tempat untuk jualan terus hasil-hasil nelayan. Ini mungkin menjadi asas kepada membantu nelayan-nelayan terutama ahli-ahlinya menjual terus menerusi konsep Pasar Nelayan yang di cadangkan oleh pihak Kerajaan. Di negara maju seperti Jepun, pihak PN di beri hak untuk menjaga dan menyelia tempat jeti pendaratan ikan di mana nelayan dapat memasarkan terus hasil perikanan kepada orang ramai. Di samping itu ahli-ahli persatuan dapat menggunakan kemudahan bilik sejuk dan air batu untuk menempatkan ikan-ikan yang tidak habis di jual oleh nelayan. Perancangan juga telah dibuat untuk Perniagaan ABC membekalkan peralatan penangkapan ikan kepada ahli-ahli persatuan supaya nelayan mempunyai alat penangkapan ikan yang lebih baik.

d) Perniagaan Air Batu

Urusniaga projek air batu Perniagaan ABC dikhususkan kepada pembekalan ais kepada pemborong ikan di kompleks dan keperluan projek pemasaran ikan oleh ABC sendiri. Dari segi jualan, kilang air batu Perniagaan ABC telah menghasilkan jualan sebanyak RM64,002 pada tahun 2003, atau 0.2 peratus sahaja dari keseluruhan hasil jualan Perniagaan ABC. Setelah ditolak kos jualan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain, keuntungan bersih dari aktiviti projek perniagaan airbatu ialah RM4,120 (Jadual 7.6). Suatu yang menarik dilihat ialah pada tahun 2006, jualan air batu ialah RM72,693, tetapi keuntungan bersih cuma RM784. Sebaliknya pada tahun 2007, jualan air batu ialah RM64,002. Ini kerana perbelanjaan jualan air batu pada tahun 2006 ialah RM21,044, sedangkan pada tahun 2007 perbelanjaan cuma RM10,946.

Jadual 7.6: Penyata Untung rugi dari projek air batu di Perniagaan ABC
Perkara/Tahun (dalam RM)


2006 2007

Jualan 72,694 64,003
(-) Kos Barangan dijual 52,434 49,647
Untung kasar 20,260 14,355
(+) Lain-lain pendapatan - 712
(-) Perbelanjaan 21,045 10,946
Keuntungan / Kerugian 785 4,120
Sumber: Penyata Mesyuarat Agung Tahunan 2008, Perniagaan ABC


Projek Sosial Perniagaan ABC

Selain dari projek-projek ekonomi, Perniagaan ABC juga menjalankan projek-projek sosial seperti tabung pelajaran, tabung kebajikan, insurans, bantuan bencana alam dan tabung khairat kematian. Pada tahun 2007, Perniagaan ABC memberi peruntukan tabung pelajaran RM11,055, sumbangan dan derma sebanyak RM13,886, tabung khairat kematian RM27,000, kursus dan latihan RM9,329, dan bayaran zakat RM35,750.

Penyata Kewangan - Kegunaan Penyata Pendapatan

PENYATA PENDAPATAN

Selain dari Kunci Kira-kira, maklumat berkaitan dengan prestasi perniagaan juga boleh dianalisa dengan menggunakan Penyata Pendapatan. Penyata Pendapatan (Income Statement) atau Penyata Untung dan Rugi (Profit & Loss Statement (P & L) statement) menunjukkan ringkasan pendapatan dan perbelanjaan pada masa tertentu. Ia dapat menunjukkan apa yang berlaku di dalam butiran kunci kira-kira. Aset selepas digunakan, ia menjadi perbelanjaan kepada perniagaan. Bagaimana ianya boleh berlaku? Ia boleh berlaku melalui perbelanjaan yang dipanggil susut nilai (depreciation). Ianya juga menunjukkan nilai dalam bentuk RM produk dan perkhidmatan yang dijual, sama ada dalam bentuk tunai atau kredit.

Di antara butiran yang perlu ada di dalam Penyata Pendapatan ialah:
a. Hasil
b. Keputusan aktiviti kendalian
c. Kos kewangan
d. Pembahagian keuntungan dan kerugian daripada syarikat sekutu dan usahasama
e. Belanja cukai
f. Untung atau rugi daripada aktiviti biasa
g. Kepentingan minoriti
h. Untung atau rugi bersih bagi sesuatu tempoh

Pendapatan
Pendapatan boleh diterima dalam dua bentuk, iaitu tunai dan bukan tunai. Pendapatan tunai ialah bayaran yang diterima dari jualan ladang dan pendapatan lain. Pendapatan bukan tunai pula diterima dalam bentuk barangan dan perkhidmatan. Bayaran yang diterima dalam bentuk hasil padi, umpamanya ialah pendapatan bukan tunai. Satu lagi ialah hasil ladang yang digunakan sendiri oleh keluarga petani, seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang digunakan sendiri.

Perbelanjaan
Perbelanjaan juga boleh diterima dalam dua bentuk, iaitu tunai dan bukan tunai. Perbelanjaan tunai meliputi pembelian baja, racun, baka ternakan, makanan ternakan dan biji benih. Perbelanjaan bukan tunai pula ialah perbelanjaan seperti susut-nilai jentera, peralatan dan bangunan. Walaupun tiada pembayaran tunai dibuat untuk susut-nilai tahunan, tetapi pengurangan nilai ini menunjukkan satu perbelanjaan perniagaan dan mesti dimasukkan ke dalam penyata pendapatan.

Jadual 7.2 menunjukkan penyata pendapatan Perniagaan ABC, sebuah syarikat perladangan yang menunjukkan pendapatan dan perbelanjaan ladang pada tahun 2008.

Pendapatan Ladang tunai
Pendapatan tunai biasanya diperolehi daripada jualan tanaman seperti getah, jagung, buah-buahan dan ternakan kambing. Sebarang keuntungan atau kerugian hasil daripada penjualan asset yang digunakan di lading seperti jentera dan mesin juga dikira sebagai pendapatan lading. Nilai yang disenaraikan adalah perbezaan di antara harga jualan asset dengan nilai bukunya. Jika harga jualan lebih besar daripada nilai buku, keuntungan ini dianggap sebagai pendapatan tambahan. Keuntungan ini mungkin timbul kerana susut-nilai yang besar telah dikira terdahulu. Kerugian pula berlaku apabila harga jualan kurang dari niali buku. Ini menunjukkan jumlah susut-nilai telah dikira rendah pada tahun-tahun terdahulu, atau asset terlebih nilai dalam inventori.

Perbelanjaan Ladang tunai
Terdapat dua kategori perbelanjaan ladang tunai yang ditunjukkan dalam Jadual 7.2. Perbelanjaan tetap tunai termasuklah cukai tanah, bunga dan sewa. Susut nilai tidak termasuk dalam perbelanjaan tetap tunai. Perbelanjaan berubah tunai pula termasuklah baja, biji benih, makanan ternakan, upah buruh dan kos input-input lain yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Pelarasan bagi pendapatan bukan tunai
Di antara butirannya ialah susut-nilai dan nilai inventori. Pelarasan bagi pendapatan bukan tunai seperti susut nilai ini akan mengurangkan keuntungan perniagaan pada tahun tersebut. Begitu juga pelarasan bukan tunai yang kedua ialah nilai inventori. Di antara contoh inventori ialah aset yang mempunyai nilai di tambah diladang, aset yang dibeli untuk dijual semula, dan bekalan makanan seperti makanan ternakan dan baja diambilkira dalam pelarasan ini. Baka ternakan yang bertambah seperti kambing baka dari tiga ekor kepada lima ekor dianggap sebagai aset dan dianggap sebagai perubahan inventori. Nilai perubahan inventori positif jika ada pertambahan inventori dan negatif jika sebaliknya berlaku.

Pelarasan yang terakhir untuk pendapatan bukan tunai ialah nilai keluaran yang digunakan oleh keluarga peladang.

Pendapatan ladang bersih tunai
Pendapatan ladang bersih tunai ialah perbezaan di antara jumlah pendapatan tunai dengan jumlah perbelanjaan tunai. Pendapatan ini lebih tepat jika dianggap sebagai aliran tunai bersih tunai daripada perniagaan ladang setelah diselaraskan untuk sebarang keuntungan atau kerugian daripada jualan aset. Pendapatan ladang bersih tunai tidak boleh dianggap keuntungan perniagaan pada tahun tersebut kerana ia tidak memasukkan butiran seperti susut-nilai dan perubahan inventori.


Jadual 7.2: Penyata Pendapatan (atau Akaun Untung Rugi) Perniagaan ABC pada 31 hb. Disember 2008 (dalam RM)

PENDAPATAN LADANG TUNAI
Jualan ternakan 20,000,000
Jualan getah 8,000,000
Pendapatan tunai lain 800,000
Untung/rugi atas jualan aset 13,626
Jumlah pendapatan tunai __ 28,813,626

PERBELANJAAN LADANG TUNAI
Bahan mentah (Raw materials) 10,000,000
Kos pengeluaran (direct manufacturing costs)10,000,000
Perbelanjaan Pemasaran (Mkting. Expenses):
Upah (wages) 1,000,000
Komisyen pengangkutan (commissions transportation)500,000
Pelancongan dan promosi (advertising & promotion)500,000
Perbelanjaan Pentadbiran (Administrative expenses)
Yuran audit (auditing fees) 57,445
Gaji pengurusan (management salary) 1,000,000
Perbelanjaan pejabat (office expenses) 1,000,000
Perbelanjaan am (General expenses)
Insuran (insurance) 500,000
Cukai (taxes) 250,000
Sewa (rent) 250,000
Pembaikan (repairs) 250,000
Utiliti (utilities) 250,000
Jumlah perbelanjaan tunai __ 26,057,445

Pelarasan bagi pendapatan bukan tunai
Susut nilai (depreciation) 700,000

Pendapatan Kasar (Untung kasar) __ 2,056,181
Lain-lain Pendapatan 454,083

Pendapatan ladang bersih (Untung bersih) __ 2,510,264

Analisis Nisbah-nisbah keberuntungan (Profitability Ratios)
Nisbah keberuntungan menggambarkan peratus keberuntungan syarikat berbanding jualan yang telah dibuat, dan jumlah aset yang telah digunakan sepanjang satu tempoh kewangan.

Antara nisbah keberuntungan yang penting termasuk nisbah keuntungan kasar berbanding dengan jualan (gross profit ratio), nisbah keuntungan bersih berbanding dengan jualan (net profit ratio), nisbah keuntungan berbanding dengan jumlah aset (return on capital employed) dan nisbah pulangan pelaburan (return on investment).

Formula untuk mengira nisbah keuntungan kasar ke atas jualan (profit on sales ratio) adalah:

(keuntungan kasar)/(jumlah jualan) x 100% = X%

Nisbah ini menunjukkan keberkesanan pengurusan PNK mengendalikan perniagaan. Contohnya jika nilai X ialah 25%, ini bermakna bagi setiap RM1 jualan, sebanyak RM0.25 diperolehi sebagai keuntungan kasar.

Formula untuk mengira nisbah keuntungan bersih ke atas jualan (net profit on sales ration, POS) adalah:

(keuntungan bersih)/(jumlah jualan) x 100% = X%

Nisbah ini menunjukkan keberkesanan pengurusan PNK mengendalikan perniagaan. Contohnya jika nilai X ialah 10%, ini bermakna bagi setiap RM1 jualan, sebanyak RM0.10 diperolehi sebagai keuntungan bersih. Ia menunjukkan keuntungan yang diperolehi bagi setiap 1 RM jualan.

Formula untuk mengira nisbah keuntungan berbanding dengan jumlah aset (atau nisbah tanggungan) adalah:

(keuntungan bersih)/(jumlah aset) x 100% = X%

Nisbah ini tanggungan ini digunakan untuk menunjukkan kebolehan syarikat untuk menggunakan aset bagi menghasilkan keuntungan. Sekiranya nilai X ialah 15%, bererti setiap RM1 aset yang digunakan, telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM0.15.

Nisbah-nisbah kecairan (Efficiency Ratios)
Nisbah kecairan mengukur keupayaan sesebuah entiti perniagaan untuk membayar hutang jangka pendeknya tepat pada waktunya. Keupaayan entiti perniagaan tersebut melaksanakan tanggungjawab tersebut tentunya bergantung kepada kecukupan wang tunai dan aset-aset lain yang boleh ditukar kepada tunai sebelum tanggungan (liabiliti) semasa tersebut matang. Ada dua formula yang kerap digunakan untuk mengukur nisbah kecairan, iaitu nisbah semasa (current ratio) dan nisbah kecairan (acid test ratio atau quick asets ratio).

i) Formula untuk nisbah semasa (current ratio)

(jumlah aset semasa)/(jumlah liabiliti semasa) = X:Y

Contohnya nisbah semasa ialah 2 kali. Ini bermakna bagi perniagaan tersebut aset semasa entiti perniagaan tersebut melebihi sebanyak 2 kali ganda dari tanggungan semasa. Perniagaan ini mampu memenuhi tanggungan dan bil-bil semasa (current bills and obligation).

ii) Formula untuk nisbah kecairan (acid test ratio atau quick asets ratio)

(aset semasa-stok inventori)/(liabiliti semasa) = X:Y

Disebabkan stok inventori merupakan aset yang mempunyai kecairan yang rendah, maka ada kalanya ianya diasingkan dari aset semasa, maka didapati aset semasa yang lebih mudah dicairkan. Contohnya nisbah kecairan ialah 1.2 kali. Ini bererti aset semasa yang mudah ditukar kepada tunai adalah 1.2 kali ganda dari liabbiliti semasa. Jika nisbah kecairan lebih dari satu, bererti firma tidak menghadapi masalah kecairan.

Nisbah-nisbah kecekapan (Efficiency Ratios)
Nisbah kecekapan mengukur kecekapan entiti perniagaan menggunakan sumbernya untuk menghasilkan jualan. Sebagai contoh, firma yang menghasilkan jualan bernilai RM8 juta menggunakan aset bernilai RM4 juta tentulah lebih cekap menggunakan sumbernya berbanding dengan firma menggunakan bernilai RM6 juta.

i) Nisbah pulangan aset tetap (fixed aset turnover ratio)
Nisbah pulangan aset tetap mengukur kecekapan firma membuat pelaburan ke atas aset tetapnya. Formula pengiraan:

(Jumlah Jualan)/(Jumlah aset tetap) = Pulangan (turnover)

(ii) Nisbah pulangan jumlah aset (total aset turnover ratio)
Nisbah pulangan jumlah aset mengukur kecekapan firma menggunakan aset untuk menghasilkan jualan. Formula pengiraan:

(Jumlah Jualan)/(Jumlah aset tetap) = Pulangan (turnover)

Semakin tinggi pulangan, bererti semakin besar pulangan ke atas pelaburan (ROI). Kebiasaannya nilai pulangan (turnover) dengan pulangan perniagaan lain dalam industri yang sama (industry norms). Sekiranya nilai pulangan rendah, pihak pengurusan perniagaan perlu menggunakan aset mereka dengan lebih cekap, meningkatkan harga keluaran jika boleh, menjual aset yang tidak efektif, atau mengurangkan akaun hutang tak berbayar.