Total Pageviews

Thursday, December 31, 2009

Pemasaran Produk Institusi Pengajian Tinggi

Pengenalan
Pentadbiran UUM boleh menggunakan konsep Audit Pemasaran perkhidmatan yang ditawarkan untuk bersaing dengan sektor pendidikan tinggi yang kompetitif pada masa kini. Di antara konsep pemasaran yang dimaksudkan ialah sasaran pasaran, konsep “positioning” untuk membolehkan produk diingati, perhubungan jaringan dengan stakeholder dan pembinaan “value delivery system”.

Pendekatan yang boleh digunakan ialah melihat apakah perancangan yang telah dibuat dan berjalan untuk mencapai keempat-empat Pelan Strategik UUM dari segi Akademik, Pembangunan Pelajar, Pengantarabangsaan dan Menjana Kekayaan. Kejayaan untuk mencapai strategi yang dirancang adalah bergantung kepada sumber, keadaan pasaran pendidikan tinggi yang ada, dan kekuatan dan kelemahan yang perlu di pertimbangkan dalam membuat keputusan.

Terdapat 5 langkah dalam membuat Audit Pemasaran iaitu:
i) Menganalisis kejayaan pemasaran setiap produk,
ii) Mengkaji keadaan pasaran,
iii) Mengenalpasti kelebihan,
iv) Menilai Perancangan Pemasaran dan Objektif, dan
v) Mengkaji sumber manusia dan struktur organisasi.

i) Menganalisi kejayaan pemasaran setiap produk – produk yang hendak dikeluarkan oleh UUM ialah perkhidmatan penyelidikan, perundingan dan penerbitan, selain dari perkhidmatan yang biasa bagi sesebuah Universiti iaitu pengeluaran graduan di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. Graduan di peringkat Sarjana Muda tidak menghadapi masalah kerana permintaan sentiasa melebihi penawaran kerana setiap Universiti Awam di Malaysia sememangnya menjadi tumpuan utama pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi untuk menyambung pengajian. Akan tetapi untuk Program Sarjana dan Ph.D. kebiasaannya akan berlaku persaingan untuk mendapatkan pelajar yang berkualiti dari dalam dan luar Negara.
Pihak pengurusan UUM dalam menilai pencapaian dalam bidang perkhidmatan penyelidikan, perundingan dan penerbitan perlu sentiasa berusaha menjawab soalan-soalan berikut:

a) Adakah UUM dapat bersaing dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam mencapai sasaran yang ditetapkan?
b) Adakah pesaing UUM mengeluarkan strategi baru, seperti mengujudan Pusat-pusat Kecemerlangan Akademik yang baru seperti “The Institute of Malaysian and International Studies” (IKMAS), di UKM; Pusat Penyelidikan Dadah, dan Basic Education Research Unit (UPPA) di USM; atau Pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan (RU) yang diperolehi oleh UM, UKM dan UPM; dan APEX Universiti oleh USM menjejaskan strategi pemasaran penyelidikan dan perundingan UUM?
c) Adakah UUM tidak berjaya melaksanakan perancangan yang dibuat dengan efektif? atau
d) Adakah matlamat yang hendak dicapai terlalu sukar untuk dicapai?

ii) Mengkaji keadaan pasaran – langkah ini meliputi penilaian terhadap kedudukan keadaan pasaran dan menjangka tren masa hadapan. Contohnya UUM diiktiraf sebagai Universiti yang dibuat dalam bidang pengkhususan tertentu, iaitu Bidang Pengurusan. Universiti yang mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dan Universiti APEX mempunyai program Sains, Sastera dan Pengurusan. Nampak dalam keadaan pasaran masa kini, Universiti yang menawarkan pelbagai program, lebih menonjol berbanding dengan Universiti yang khusus dalam bidang tertentu. UUM perlu melobi dan terus berusaha untuk mendapatkan program-program baru yang bercorak Sains. Program Sains Pengurusan Perniagaantani mungkin boleh menjadi pelopor kepada program-program baru yang bercorak sains. Kebanyakan peluang penyelidikan dan perundingan yang bernilai tinggi pada masa kini menjurus kepada program-program sains. Ianya bererti “positioning” produk yang hendak ditawarkan sama ada tertumpu kepada pengurusan sahaja, atau mahu melibatkan program baru dalam bidang sains perlu dikaji dengan teliti.

iii) Mengenalpasti kelebihan – langkah ini melibatkan kajian terhadap apa yang kita nampak UUM lebih menonjol berbanding dengan pesaing. Bidang pengurusan memang menjadi tunjang kekuatan UUM. Program MBA yang dikendalikan oleh UUM sendiri atau syarikat-syarikat swasta yang membuat perjanjian kerjasama seperti Rezzen dan Angkasa Training Centre (ATC) memang telah lama berjalan. UUM sebenarnya mempunyai ALUMNI yang ramai dari sektor kerajaan dan swasta hasil dari program MBA. Memang kajian memperbaiki perlaksanaan program MBA perlu diteliti lagi, tetapi hubungan yang boleh dibuat dengan bekas pelajar MBA sebenarnya boleh digunakan untuk mendapatkan projek-projek penyelidikan dan perundingan yang baru.

iv) Menilai Perancangan Pemasaran dan Objektif – strategi ini memerluaka penialian setiap masa strategi yang telah ditetapkan. Ini memang ada dibuat melalui penilaian KPI setiap unit. Selain dari itu analisis juga perlu dibuat terhadap keadaan pasaran pendidikan tinggi Negara masa kini, dan menilai semula kekuatan UUM dalam bidang pengurusan. Perancangan yang baik tidak akan berjaya jika tidak dilaksanakan dengan berkesan. Menggunakan strategi pemasaran seperti konsep “Universiti Pengurusan”, “Profesor Adjung yang berkaliber”, Penglibatan Alumni, dan bekas pensyarah-pensyarah UUM yang telah berkhidmat di Kuala Lumpur atau Putrajaya adalah strategi yang boleh dirancang untuk dilaksanakan. Maksudnya pembinaan jaringan dengan “stakeholder” adalah penting.

v) Mengkaji sumber manusia dan struktur organisasi – menyedari pensyarah dan struktur organisasi penting dalam proses pemasaran, bahagian sumber manusia dan struktur organisasi perlu juga dilihat oleh UUM. Adakah pembentukan Expert Group yang tidak dijenamakan atau diberi “branding” yang sesuai boleh berjaya meningkatkan penyelidikan dan perundingan di UUM? Khidmat sokongan dan nama baik kumpulan penyelidik tertentu adalah strategi yang baik untuk dilaksanakan. Projek penyelidikan dan perundingan yang diperolehi perlu disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, dan dapat memenuhi kehendak pelanggan. Kepuasan pelanggan dan “value delivery system” adalah perlu dikekalkan.

Kepentingan Belanjawan Kepada Ekonomi Malaysia

Pengenalan
Malaysia mengamalkan sistem ekonomi campuran di mana kerajaan dan pasaran secara bersama memainkan peranan masing-masing dalam perlaksanaan asas ekonomi seperti apa, berapa banyak perlu dikeluarkan, bagaimana ia dikeluarkan dan untuk siapa ia dikeluarkan. Campurtangan kerajaan dalam urusan ekonomi boleh digolongkan kepada dua kumpulan iaitu:-

a) Mengadakan peraturan-peraturan untuk memperbaiki mekanisme pasaran. Di dalam keadaan ini, pemerintah menyediakan dasar sosio-ekonomi tertentu agar mekanisme pasaran berjalan dengan cekap. Pada asasnya ia bertujuan untuk menghindarkan gejala pertandingan yang tidak sempurna daripada ujud dalam pasaran misalnya peraturan menghadkan monopoli dan menyekat pengeluaran barangan tertentu yang tidak baik kepada masyarakat umum.

b) Campurtangan secara langsung dalam urusan menyediakan barangan awam, keluaran barangan strategik dan mengawal kestabilan ekonomi. Dalam konteks ini kita boleh melihat penglibatan pemerintah dalam aspek-aspek mendapatkan hasil untuk negara dan menjalankan dasar belanjawan serta jalankan perusahaan-perusahaan awan untuk keluarkan sebahagian daripada barang yang disebutkan.

Alasan Mengapa Belanjawan Penting dalam Pengurusan Kewangan Negara
Dasar Belanjawan merupakan satu perancangan tahunan yang mempunyai kepentingan tersendiri untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi dan agihan pendapatan yang adil dalam rangka kewangan yang mantap. Ia mengandungi perancangan ekonomi, kewangan dan sosial untuk pertumbuhan berterusan serta menjamin agihan kekayaan negara dengan adil. Objektif dan kepentingan Dasar Belanjawan adalah untuk:
1. Ke arah pengurusan ekonomi yang cekap
2. Pertumbuhan ekonomi
3. Mencapai kestabilan harga
4. Sebagai mekanisme pengagihan yang lebih setara

1. Ke arah pengurusan ekonomi yang cekap
Pengurusan ekonomi yang cekap bertujuan untuk mencapai matlamat pembangunan. Ia memainkan peranan penting dalam menjamin kedudukan kewangan dan imbangan pembayaran yang kukuh. Oleh itu, bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik, pihak swasta dan persendirian perlu memainkan peranannya sebagai jentera pertumbuhan manakala pihak kerajaan adalah penyokongnya. Sebagai contoh, untuk menggalakkan perkembangan ekonomi, keperluan infrastruktur yang baik diperlukan. Oleh yang demikian pada pembentangan belanjawan peruntukan tertentu diberikan untuk pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalanraya, landasan keretapi dan pelabuhan. Begitu juga dasar pencukaian misalnya boleh digunakan untuk mengarah kegiatan ekonomi, contohnya untuk mengelakkan penggunaan barangan yang boleh menjejaskan kesihatan seperti rokok dan minuman keras, cukai ke atas barangan tersebut dinaikkan. Sebaliknya pengeluaran barangan makanan adalah penting untuk menjamin kestabilan ekonomi negara, dengan demikian banyak insentif cukai dan pemberian subsidi diberikan kepada pengeluaran padi, ikan, sayur-sayuran dan hasil ternakan.

2. Pertumbuhan ekonomi
Kerajaan perlu menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi yang dicapai melalui aktiviti-aktiviti dalam sektor pertama, kedua dan ketiga akan memberikan pendapatan dan pekerjaan kepada penduduk. Untuk membiayai pelaburan dalam ekonomi, tabungan diperlukan. Oleh yang demikian usaha menggalakkan tabungan persendirian dikalangan penduduk perlu diberi perhatian. Dari segi dasar belanjawan pula, dibuat perbelanjaan ke atas kemudahan awam, perdagangan dan perindustrian, pengangkutan, perhubungan komunikasi dan pentadbiran awam. Bagi menggalakkan kemasukan pelabur asing ke Malaysia, insentif pengecualian cukai boleh diberikan kepada pelabur baru. Begitu juga bagi pengusaha sektor perindustrian dan pertanian, pembelian jentera dan lain-lain kelengkapan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran boleh diberi insentif cukai.

3. Mencapai kestabilan harga
Kestabilan harga dan kawalan inflasi turut diberi penekanan. Hasil daripada kekukuhan ekonomi, peningkatan pendapatan berlaku. Akibatnya permintaan dalam negeri meningkat dan jika ia tidak diikuti dengan tambahan penawaran barangan, harga barangan akan meningkat (ditunjukkan oleh angka indeks harga pengguna yang meningkat). Ini memberikan satu kesan yang tidak baik terhadap ekonomi sesebuah negara. Pembendungan inflasi dapat dibuat melalui kawalan ke atas tingkat harga supaya wujud kestabilan harga di pasaran serta menggalakkan tabungan di kalangan penduduk. Dasar kewangan yang ketat seperti syarat pinjaman ketat serta pengeluaran dan penggunaan kad kredit yang lebih terkawal juga dapat membantu dalam mengawal inflasi.

4. Sebagai mekanisme pengagihan yang lebih setara
Disebabkan manusia mempunyai kebolehan, kemahiran, kecekapan, kesihatan, kekuatan semangat dan sebagainya yang berbeza-beza, sudah tentu pendapatan yang diterima oleh mereka juga berbeza-beza. Untuk mengurangkan perbezaan agihan pendapatan tersebut, kerajaan perlu membuat dasar belanjawan yang sesuai untuk mengagihkan semula pendapatan dari golongan yang kaya kepada golongan yang miskin. Contoh dasar yang boleh dibuat ialah mengenakan cukai dan menggunakan hasil cukai tersebut untuk memberi biasiswa kepada anak-anak orang miskin, menyediakan rumah yang bersesuaian dan mengujudkan peluang-peluang perniagaan.

Melalui peruntukan belanjawan dalam sektor-sektor tertentu seperti peruntukan projek-projek pelaburan baru bagi meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan boleh juga memperbaiki keadaan pengagihan kekayaan di kalangan penduduk di Malaysia.

Secara keseluruhan, peruntukan belanjawan kepada sector-sektor tertentu boleh memberi kesan pada:-
a) Tenaga manusia - menambah kecekapan dan daya pengeluaran melalui pendidikan dan latihan,
b) Menghasilkan modal yang lebih sesuai, cekap dan produktif,
c) Meninggikan pengetahuan sains dan teknologi melalui penyelidikan dan pembangunan (P&P),
d) Dapat usahakan hasil-hasil bumi seperti perlombongan, pembukaan tanah baru dan mewujudkan pengairan.

Jenis-jenis Belanjawan
Belanjawan negara merupakan penyata hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi satu tahun tertentu. Belanjawan negara boleh berlaku dalam 3 keadaan iaitu:

i. Belanjawan kurangan - berlaku apabila jumlah perbelanjaan melebihi jumlah hasil bagi satu tahun fiskal tertentu. Keadaan seperti ini berlaku apabila kerajaan meningkatkan perbelanjaan atau mengurangkan cukai-cukai, atau kedua-duanya sekali. Apabila wujud belanjawan ini, pembiayaannya adalah melalui pinjaman.

ii. Belanjawan lebihan - apabila jumlah hasil kerajaan melebihi jumlah perbelanjaan bagi satu tahun fiskal tertentu. Keadaan ini berlaku apabila kerajaan mengurangkan perbelanjaan, menaikkan cukai atau kedua-duanya sekali.

iii. Belanjawan terimbang - berlaku apabila jumlah perbelanjaan adalah sama dengan jumlah hasil bagi tahun fiskal tertentu.

Hasil Sektor Awam
Bagi menampung kos perbelanjaan, sektor awam mengutip hasilnya melalui hasil cukai, hasil bukan cukai, serta pinjaman dan penggunaan harta kerajaan. Sepintas lalu, hasil Kerajaan Persekutuan terus meningkat dari tahun ke tahun. Ini bersesuaian dengan pertumbuhan ekonomi negara yang meningkat dengan kadar lapan peratus setahun pada masa kini.

i. Hasil cukai
Hasil cukai terdiri daripada cukai langsung dan cukai tak langsung, yang dikenakan di bawah pelbagai undang-undang seperti Akta Cukai Pendapatan 1947 dan Akta Kastam 1967 dan lain-lain.
a. Cukai Langsung - terdiri daripada cukai pendapatan korporat, cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan individu, cukai harta pusaka, cukai spekulasi tanah dan cukai atas keuntungan harta benda.
b. Cukai Tak Langsung - terdiri daripada duti eksport, duti import, duti eksais, cukai jualan, cukai perolehan, cukai perkhidmatan, cukai perjudian dan lesen-lesen selain daripada pengangkutan jalanraya.

ii. Hasil Bukan Cukai dan Penerimaan
a. Hasil Bukan Cukai - mencakupi bayaran lesen kenderaan bermotor, faedah dan perolehan pelaburan (dari Kumpulan Wang Matawang Lebihan dan keuntungan Bank Negara Malaysia) dan royalti ke atas petroleum.
b. Penerimaan - terdiri daripada bayaran balik bagi perbelanjaan, kredit antara jabatan, pulangan balik bayaran lebihan atau bayaran tersilap dalam tahun fiskal yang lepas, penerimaan daripada agensi kerajaan yang lain dan hasil daripada Wilayah Persekutuan dan Labuan.

Perbelanjaan Sektor Awam
Perbelanjaan sektor awam adalah perbelanjaan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Perusahaan Awam Bukan Kerajaan (PABK). Perbelanjaan kerajaan ini terbahagi kepada dua iaitu:

i. Perbelanjaan mengurus
Meliputi perbelanjaan pembayaran gaji untuk kakitangan kerajaan (emolumen), pencen dan ganjaran, bayaran khidmat hutang dalam dan luar negeri, pemberian kepada kerajaan negeri, bekalan dan perkhidmatan dan lain-lain perbelanjaan.

ii. Perbelanjaan pembangunan
Meliputi perbelanjaan barang-barang modal untuk sektor-sektor ekonomi seperti perkhidmatan ekonomi, perkhidmatan sosial dan keselamatan. Perbelanjaan ini akan dapat dilihat hasilnya dalam jangkamasa panjang dan sangat penting kerana ia akan menaikkan tingkat sosioekonomi dan pembangunan ekonomi negara.

a) Perkhidmatan Ekonomi
Perbelanjaan Perkhidmatan Ekonomi penting untuk meninggikan pembangunan ekonomi Malaysia. Diantara perkhidmatan-perkhidmatan ekonomi tersebut ialah pertanian dan pembangunan luarbandar, kemudahan awam (bekalan elektrik dan air), perdagangan dan perindustrian, pengangkutan, perhubungan dan pentadbiran awam.

b) Perkhidmatan Sosial
Untuk perkhidmatan sosial, peruntukan ditumpukan pada perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan perumahan. Keperluan perkhidmatan ini sendiri meningkat apabila semakin ramai bilangan penduduk.

c) Keselamatan
Di Malaysia, perbelanjaan keselamatan sangat dipengaruhi oleh keadaan yang berlaku di Asia Tenggara. Semakin tidak stabil keadaan politik semakin banyak perbelanjaan keselamatan. Angkatan tentera Malaysia juga pada masa kini sedang giat membuat pembelian kelengkapan ketenteraan bagi menggantikan peralatan sedia ada dan memodenkan angkatan tentera seperti pembelian kapal selam dari sebuah syarikat di Perancis.

Monday, October 5, 2009

Potensi Perkembangan Sektor Pelancongan di Malaysia

Apabila kita membincangkan sumber pendapatan negara, kita sering kaitkan sumbangan sektor pertanian, perindustrian, perlombongan, pemborongan dan runcit, kewangan dan pelancongan. Kepelbagaian pergantungan ekonomi negara terhadap pelbagai sektor ini telah membantu negara menghadapi keadaan turun-naik ekonomi kesan dari prestasi ekonomi negara-negara yang banyak berdagang dengan Malaysia. Negara kita pula tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan sahaja, kerana saiz penduduk Malaysia yang berjumlah 26 juta orang adalah kecil berbanding dengan potensi pasaran global yang memberikan peluang pasaran mencecah 7 bilion orang.

Kelmarin semasa saya berada di Kuala Lumpur kerana satu tugas rasmi, saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang pelancong luar negeri yang melancong di Malaysia. Pertemuan pertama dengan satu keluarga pelancong dari Rusia, yang terdiri dari ibu dan dua anak gadisnya. Saya bertanya apakah pengalaman menarik mereka melancong di Malaysia. Mereka dengan segera menjawab sangat menarik kerana kepelbagaian budaya dan banyaknya tempat menarik di Kuala Lumpur. Seterusnya semasa menaiki Monorail dari Stesen Chow Kit, satu pasangan yang telah berumur dari Amerika Syarikat meminta saya menunjukkan cara untuk pergi ke KL Central. Secara kebetulan sememangnya saya hendak ke KL Central, saya mempelawa mereka mengikuti saya ke sana dengan menaiki Monorail. Di dalam Monorail, saya dapati bahagian kerusi untuk orang-orang kurang upaya dan berumur diduduki oleh orang-orang muda, dan tidak ada keinginan pula golongan muda ini untuk mempelawa mereka yang telah berumur ini menduduki kerusi tersebut. Setibanya di Stesen Tun Sambanthan, pasangan berumur ini menghadapi kesukaran untuk membawa turun beg mereka kerana di Stesen tersebut tidak ada kemudahan lift atau eskalator. Saya mempelawa mereka untuk membantu membawa salah satu beg mereka. Pada permulaan mereka keberatan, tetapi di pertengahan jalan, bila mereka memang merasa sukar untuk turun, mereka membenarkan saya membantu. Apa yang ketara, mereka nampaknya merasa agak ragu-ragu untuk menerima pertolongan dari orang yang tak dikenali di Malaysia. Semasa sampai di bawah, saya memberitahu kerjaya saya sebagai pensyarah dan mereka memberitahu mereka bekas guru.

Disebabkan perkhidmatan monorail, tidak seperti perkhidmatan Putra dan LRT, yang perkhidmatannya terus ke KL Central, saya terpaksa berjalan sejauh lebih kurang satu kilometer ke situ. Saya ditegur pula seorang pelancong dari Sudan yang mahukan bantuan untuk ke KL Central, dan seterusnya ke Genting Highland. Beliau memberitahu beliau sedang meneliti tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur, dan bercadang membawa pelancong dari Sudan ke Malaysia. Di dalam perjalanan, berjumpa pula pelancong dari China yang agak berumur. Pelancong dari Sudan ini berbicara dengan pelancong dari China ini dalam bahasa China. Beliau memberitahu saya beliau telah biasa membuat lawatan pelancongan ke China.

Apa yang saya perhatikan dalam perjalanan saya di Kuala Lumpur kelmarin, kemudahan pusat informasi untuk pelancong masih tidak mencukupi. Sebaik-baiknya ditambah pusat-pusat informasi di tempat-tempat strategik untuk kemudahan pelancong-pelancong ini. Begitu juga pelancong lebih berminat menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Sebagaimana diketahui, selain dari membeli tiket teksi di kaunter, kita biasanya terkena dengan caj perkhidmatan yang mahal dari sebilangan kecil pemandu teksi yang tidak jujur. Mungkin satu kaedah seperti di Hadyaai, Thailand, bila kita menaiki Toot-Toot, dikenakan bayaran 20 Baht tidak kira berapa jauh perjanan di bandar Haadyai perlu difikirkan. Begitu juga, pelancong ini biasanya membawa wang untuk dibelanjakan di sektor pengangkutan, peruncitan, makanan, perhotelan dan sebagainya. Pusat informasi yang lebih banyak dan baik perlu disediakan oleh stakeholder atau pihak yang berkepentingan. Kita mempunyai ramai graduan yang mana, jika diberi sedikit latihan, mereka boleh menjadi pegawai yang bertugas di tempat-tempat informasi yang diketahui menjadi tumpuan pelancong. Tidak seperti di negara-negara jiran, sebenarnya banyak potensi Malaysia untuk menjadi pusat tumpuan pelancongan. Kestabilan politik, bebas dari bencana besar seperti taufan dan gempabumi, dan keupayaan ramai penduduknya berbahasa Inggeris sepatutnya digunakan dengan sebaiknya untuk memperkembangkan sektor pelancongan, dan seterusnya sumber pendapatan ekonomi negara.

Tuesday, August 4, 2009

Kesan Kemiskinan kepada Individu dan Masyarakat

Sebenarnya kemiskinan boleh disebabkan oleh faktor kebudayaan, personaliti, demografi dan kekurangan teknologi moden. Budaya tidak mahu bekerja kuat dan mencari peluang yang ada di sekeliling kita boleh mempengaruhi peluang mencari rezeki dan mengurangkan masalah kemiskinan. Begitu juga kesan demografi, sebagai contoh jika sekumpulan penduduk tinggal di kawasan terpinggir dari arus pembangunan dan tidak mempunyai tanah yang subur untuk bertani tentulah sukar untuk mendapatkan pekerjaan untuk memperolehi pendapatan berbanding dengan penduduk yang tinggal di kawasan yang maju dengan arus pembangunan dan mempunyai kawasan tanah yang subur. Ada juga sebahagian ahli ekonomi yang mengatakan hukum warisan di dalam pemilikan tanah juga boleh menyebabkan tanah masyarakat petani menjadi tidak ekonomik, kerana saiznya menjadi semakin kecil dari satu generasi ke generasi yang lain.

Di antara kesan kemiskinan yang ketara ialah wujudnya satu golongan masyarakat yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi, kekurangan kuasa sosial, kekurangan pendidikan dan ketidakupayaan memiliki faktor-faktor pengeluaran.

Kemiskinan Dari Perspektif Islam
Dalam Islam, hubungan yang berbentuk menegak di antara manusia dengan Penciptanya akan menentukan pula hubungan mendatar di antara manusia dengan manusia di muka bumi ini. Dengan cara inilah juga kejayaan (falah), iaitu kesejahteraan dan kemewahan di mukabumi dan di Akhirat akan kita nikmati.

Sistem Ekonomi Islam membahagikan golongan miskin kepada dua golongan iaitu fakir dan miskin. Golongan tersebut adalah 2 daripada 8 asnaf yang layak menerima hasil zakat. Mengikut Imam Shafie fakir ialah orang yang tidak mempunyai harta dan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap; atau ia mempunyai sedikit harta dan juga mempunyai pekerjaan tetai pendapatannya hanya cukup untuk memenuhi separuh daripada keperluan asasnya. Jelaslah bahawa istilah golongan termiskin yang digunakan oleh Kerajaan sekarang iaitu mereka yang mempunyai pendapatan tidak lebih dari 50% dari Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sejajar dengan istilah fakir yang digunakan oleh Imam Shafie.

Kedua-dua kumpulan asnaf yang berhak menerima hasil zakat, iaitu fakir dan miskin mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
1. mereka yang tidak mempunyai sebarang harta atau sebarang sumber pendapatan;
2. mereka yang mempunyai harta atau sumber pendapatan tetapi tidak mencapai tahap memerlukan mereka membayar zakat;
3. mereka mempunyai pendapatan yang hanya cukup untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan-keperluan asas kehidupan;
4. mereka yang menghadapi kesusahan secara sementara atau secara berterusan dan tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk menyara hidup yang secukupnya;
5. mereka yang tidak dapat bekerja disebabkan oleh kecacatan anggota atau akal atau sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka tidak boleh bekerja.

Kesan Kemiskinan
Manusia di dalam keadaan kemiskinan tidak akan mampu melaksanakan tuntutan “amal ma’ruf” dan mengelakkan “nahi munkar’ sama ada untuk dirinya atau bagi kepentingan masyarakat. Islam dalam hal ini memberi perhatian yang berat terhadap kemiskinan yang menimpa umatnya. Di antara bahaya kemiskinan yang dapat dinyatakan ialah:

1. Akidah. Kemiskinan mungkin menimbulkan bahaya besar terhadap akidah terutama di dalam situasi dimana orang-orang miskin berada dalam keadaan tidak menentu sumber pendapatannya sedangkan orang-orang kaya pula tidak bersedia menghulurkan bantuan. Terdapat doa Rasulullah s.a.w yang memohon perlindungan dari Allah dengan ungkapan yang bermaksud:

“Ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari kekufuran dan kemelaratan”.

2. Etika dan Moral. Di dalam situasi seseorang yang miskin berada ditengah-tengah orang kaya boleh mengujudkan perasaan kecewa dan putus asa. Keadaan ini boleh mendorong mereka berhutang, berbohong, mencuri dan sebagainya.

3. Pemikiran. Seseorangan yang berada dalam kemiskinan mudah terganggu pemikirannya dan tidak terteram emosinya.

4. Rumahtangga. Di dalam membina rumahtangga yang aman damai, tanggungjawab dari segi nafkah zahir dan (ekonomi) dan kerohanian amat diperlukan.

5. Masyarakat. Situasi kemiskinan juga mampu menggugat ketenteraman masyarakat serta kemajuan umat. Kecenderungan untuk berlakunya jenayah dan kekejaman akan meningkat sekiranya masalah kemiskinan tidak diatasi. Masyarakat yang ramai dikalangan mereka terdiri dari golongan miskin tidak akan dihormati.

Monday, June 22, 2009

Pengagihan kekayaan dalam Ekonomi Islam 2

Artikel saya pada 20 Jun 2009 (Hari Sabtu) membincangkan langkah-langkah positif yang boleh dibuat oleh kerajaan dalam melakukan aktiviti agihan semula pendapatan atau kekayaan, dari kumpulan yang kaya kepada kumpulan yang berkemampuan. Sempena dengan hari bapa pada hari ini, 21 Jun 2009 (Hari Ahad), ingin saya sentuh berkaitan rencana yang disiarkan oleh TV2 pada hari ini. Selain tersentuh dengan pengorbanan bapa yang berusaha menjaga kebajikan anak-anak mereka untuk menjadi manusia berguna, saya tersentuh juga dengan pengorbanan seorang bapa keturunan India yang berkorban wang ringgit dan masa untuk menjaga dan membesarkan anak-anak orang lain yang tidak berkemampuan agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Harapan bapa ini ialah agar kanak-kanak ini apabila telah dewasa melakukan pengorbanan yang sama sepertinya, iaitu melakukan aktiviti kebajikan kepada orang lain. Sebenarnya selain dari pengorbanan individu, pemerintah boleh melakukan beberapa aktiviti lain seperti menghalang aktiviti-aktiviti yang merosakkan ekonomi, disamping menggalakkan aktiviti moral tertentu seperti memberi Sadaqah, Nafaqah dan Waqf.

Langkah-langkah Menghalang
i) Pengharaman Riba’
Amalan Riba’ mempunyai unsur-unsur penindasan kepada orang yang meminjam. Oleh yang demikian sistem ekonomi Islam perlu mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah penggunaan sistem kewangan berunsur Riba’. Maklumat berkenaan Bank Islam dan Sistem Perbankkan Tanpa Faedah perlu diberi publisiti yang meluas. Al-Quran melarang amalan Riba’ dengan firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat ganda; dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.
(Terjemahan al-Quran Surah ali-Imran 3:130)

ii) Larangan Menyembunyikan Harta
Orang yang menyembunyikan atau membekukan hartanya merupakan musuh masyarakat. Harta yang dibekukan boleh menyebabkan perkembangan ekonomi seperti di sektor pertanian dan perindustrian tersekat. Sekiranya harta tersebut tidak dibekukan, harta tersebut boleh digunakan oleh orang yang kekurangan sumber kewangan tetapi mempunyai kesanggupan, idea dan keinginan untuk membuat sesuatu kegiatan ekonomi yang berfaedah. Al-Quran mengutuk amalan menyembunyikan harta dengan firman Allah yang bermaksud:

Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari Kiamat”.
(Terjemahan al-Quran Surah ali-Imran 3:180)

iii) Perbelanjaan Yang Membazir
Islam telah melarang perbelanjaan yang tidak membazir dan tidak perlu. Ini kerana ia boleh menyebabkan orang-orang kaya terjerumus ke dalam kemewahan. Keadaan ini juga menyebabkan faktor-faktor pengeluaran seperti modal, buruh dan tanah digunakan untuk mengeluarkan barangan tersebut dan tidak barangan keperluan asasi yang diperlukan oleh orang-orang miskin.

Contohnya masyarakat Islam dilarang menggunakan bekas emas dan perak, menggunakan perhiasan emas (kecuali wanita), ghairah terhadap hiburan, berjudi, meminum arak, melakukan zina dan menghiasi rumah dengan gambar-gambar dan patung-patung. Penggunaan barang emas dan perak dilarang kerana ianya melambangkan kemewahan dan menggalakkan ujudnya industri-industri yang tidak berfaedah. Judi dan arak pula boleh menimbulkan perasaan benci dan permusuhan di antara anggota masyarakat. Menghiasi rumah dengan gambar-gambar dan patung-patung pula mengujudkan unsur-unsur Syirik (menyengutukan Allah). Al-Quran mengutuk amalan perbelanjaan yang membazir dengan firman Allah yang bermaksud:

“... dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Isra’ 17:26-27)

iv) Perniagaan Yang Tidak Sihat
Semua bentuk perniagaan yang tidak sihat akan meningkatkan ketidakseimbangan agihan pendapatan dan kekayaan. Jenis kegiatan seperti spekulasi, menipu, menyorok barangan, pasaran gelap dan kegiatan monopoli pasaran barangan.

Amalan spekulasi mengujudkan satu bentuk perniagaan yang memperolehi keuntungan tanpa menggunakan buruh dan tanpa perlu membuat sebarang bayaran. Rasulullah s.a.w. pernah menghalang penjualan buah-buahan sebelum ia masak. Ini kerana jika buahan-buahan tersebut rosak dan tidak dapat diambil sebelum ianya masak, sudah tentu ianya akan menganiayai pembeli. Begitu juga terdapat riwayat yang menyebut Rasulullah s.a.w. pernah menghalang amalan menjual pakaian dengan hanya menyentuhnya sebelum pembeli sempat melihatnya.

Kegiatan menipu dalam perniagaan, contohnya menipu dalam timbangan dan sukatan dengan harapan menerima keuntungan untuk jangka masa panjang dilarang sama sekali. Mereka yang menipu diberi amaran siksaan yang pedih di akhirat kelak. Al-Quran mengutuk amalan menipu dengan firman Allah yang bermaksud:

Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang sukatan dan timbangannya dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-A’raf 7:85)

2. Langkah Moral
i) Sadaqah
Orang ramai mestilah mensedekahkan lebihan kekayaan mereka kepada orang-orang miskin. Apabila wujudnya keadaan dalam sesebuah masyarakat di mana orang-orang kaya menyimpan kekayaan dan tidak suka berbelanja dan menderma, kemiskinan akan berkembang dengan pesat dan jurang perbezaan kekayaan akan meningkat. Kekayaan akan hanya dimiliki oleh sekumpulan kecil masyarakat. Ini secara beransur-ansur akan mengurangkan kuasa beli orang awam dan menghancurkan sistem ekonomi. Orang-orang kaya selalunya suka membeli barang-barang yang tidak mengembangkan ekonomi- lihat sahaja minat mereka terhadap perhiasan antik dan barang emas. Sebaliknya orang-orang miskin menggunakan wang mereka membeli barang-barang makanan - kesannya pengeluar barang makanan mendapat keuntungan dan menarik minat mereka untuk mengeluarkan lebih banyak makanan. Al-Quran menggalakkan amalan Sadaqah dengan firman Allah yang bermaksud:

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) dari hartanya akan memperolehi pahala yang besar”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Hadid 57:7)

ii) Nafaqah
Nafaqah bermaksud memberi sara hidup kepada orang lain yang ada hubungan keluarga dan persaudaraan. Ia boleh jatuh di bawah hukum wajib, seperti menanggung ahli keluarga. Islam sentiasa menekankan layanan yang baik kepada ibubapa, anak-anak dan saudara mara (lihat surah al-Anfal: ayat 75, al-Nahl: ayat 90, al-Nisa’: ayat 36 dan al-Isra’: ayat 26).

Nafaqah yang dimaksudkan di sini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
Kategori Pertama - Seorang suami adalah wajib memberi nafaqah kepada isterinya tanpa mengira kedudukan kewangan masing-masing.
Kategori Kedua - Seorang bapa wajib memberi nafaqah kepada anak-anaknya dengan syarat bapa itu berkemampuan dan anaknya masih kecil atau miskin, atau anak yang telah dewasa tetapi tidak berkeupayaan menyara dirinya kerana sakit atau cacat.
Kategori Ketiga - Seseorang yang berkemampuan adalah dianjurkan memberi nafaqah kepada saudara maranya yang miskin sama ada keluarga terdekat atau jauh.

iii) Waqf
Waqf ialah memindahkan harta dari milik persendirian kepada milik ramai yang berfaedah. Waqf tidak diwajibkan oleh syariah tetapi dibiarkan kepada inisiatif sukarela setiap individu. Walaupun demikian, orang-orang Islam telah menerimanya dengan sukarela dan membentuk amalan waqf semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehingga hari ini, untuk berbagai tujuan sosial dan ekonomi termasuk pendidikan, kesihatan, ibadat dan keselamatan sosial. Waqf telah berjaya membawa berbagai perubahan bagi kebajikan mereka yang memerlukan dan berperanan mengagihkan kekayaan dengan berkesan untuk kebajikan ummah.

iv) Al Maniha
Al Maniha juga boleh ditakrifkan sebagai membenarkan kegunaan sesuatu aset yang produktif kepada orang yang memerlukan bagi suatu tempoh tertentu atau pemberian yang khusus. Misalnya, seseorang memberikan tanah kepada rakannya untuk diusahakan buat beberapa lama dan kemudian memulangkannya. Dari takrif ini, kita dapati bahawa institusi ini bukan sahaja boleh membantu seseorang dalam mendapatkan keperluan bahkan ia merupakan suatu pemindahan pendapatan yang besar.

RUMUSAN

Terdapat ketidakseimbangan pengagihan pendapatan di antara kaum, kawasan bandar dan luar bandar, dan negeri di Malaysia. Sebenarnya kita perlu berfikir secara kreatif dan bersungguh-sunguh melihat alternatif yang boleh dibuat untuk membetulkan ketidakseimbangan agihan pendapatan yang berlaku di kalangan masyarakat. Sekarang ini telah terdengar program-program ekonomi yang dikatakan bersifat 'pro-poor' sedang giat dilaksanakan.