Isu
kemiskinan suatu isu yang penting untuk dikaji. Perbincangan saya kali ini akan
merujuk kepada isu kemiskinan, definisi kemiskinan, program-program pembasmian
kemiskinan dan keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dijalankan di
Malaysia, terutama yang dijalankan oleh MADA, AIM dan TEKUN. Dari segi ekonomi,
kemiskinan dimaksudkan sebagai satu golongan masyarakat yang berada di dalam
keadaan kekurangan daripada keperluan asas tertentu. Kemiskinan sering dirujuk
kepada kekurangan pendapatan, wang, atau modal. Dari segi sosiobudaya,
kemiskinan sering dikaitkan dengan budaya kemiskinan dan kemiskinan sikap yang
menuntut kepada perubahan sikap positif. Manakala dari segi pendidikan,
kemiskinan sering dikaitkan dengan kemiskinan pengetahuan, ilmu dan pelajaran.
Keciciran dalam bidang pendidikan boleh menyumbang kepada kemiskinan melalui
pencapaian akademik, pekerjaan dan pendapatan yang bergaji rendah. Dari segi
kesihatan, kemiskinan boleh dikaitkan dengan kekurangan pengambilan makanan
berkhasiat yang boleh menyumbang kepada kekurangan tenaga untuk bekerja dengan
baik. Dari segi kawasan, kemiskinan sering dirujuk sebagai fenomena di luar
bandar, walaupun pada masa kini ianya telah banyak menunjuk kepada kemiskinan
di bandar. Dari segi gender, kemiskinan sering berlaku di kalangan wanita atau
pun ketua isirumah adalah terdiri dari wanita. Dari segi alam sekitar,
sebahagian besar golongan miskin tinggal dalam situasi persekitaran yang rapuh seperti keadaan rumah yang tidak baik, sistem pengairan yang tidak teratur dan mudah
terdedah dengan masalah banjir, keadaan tanah yang tidak subur, saiz yang kecil dan tidak ekonomik untuk diusahakan (Chamhuri, 2001).
Pendapatan isi rumah atau pendapatan per kapita sering
digunakan sebagai ukuran kebajikan (Zulkarnain dan Isahaque, 2013), namun
mempunyai kelemahan yang nyata ialah isi rumah lebih cenderung merendah
anggaran pendapatan untuk beberapa tujuan, contohnya untuk tujuan mengelak dari
dikenakan cukai atau untuk kekal dalam kategori miskin supaya mereka terus
mendapat bantuan dan sokongan (Peter dan Bruce, 2006). Selain itu juga,
pendapatan penduduk Negara Sedang Membangun (NSM) sebahagian besarnya terdiri
daripada sumber pertanian yang sentiasa berhadapan dengan masalah turun-naik
dalam hasil dan pendapatan dari tahun ke tahun.
Berasaskan
pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan bagi satu tahun
tertentu, jumlah isi rumah yang berada di bawah dan di atas PGK dapat
ditentukan. Jumlah isi rumah miskin ditentukan sebagai mereka yang berada di
bawah PGK, manakala kadar kemiskinan dan ketermiskinan ditentukan dengan
membahagi jumlah isi rumah miskin dan termiskin dengan jumlah isi rumah.
Penggunaan konsep jumlah pendapatan dan pendapatan per kapita akan memberikan
jumlah isi rumah miskin dan tahap kadar kemiskinan yang berbeza. Penggunaan
konsep per kapita yang mengambil kira saiz isi rumah merupakan pendekatan yang
lebih tepat dan cenderung menghasilkan jumlah isi rumah miskin dan kadar
kemiskinan yang lebih rendah. Mengikut Unit Perancang Ekonomi (EPU), pendapatan
garis kemiskinan (PGK) pada tahun 2009 bagi setiap isi rumah di Semenanjung
Malaysia sebanyak RM763 sebulan (US$254)
untuk dianggap ‘miskin‘ (Laporan Audit Negara, 2011). Ukuran RM763 sebulan
tersebut adalah terkurang anggar sekiranya mengikut piawai piawai Bank
Dunia. Ini kerana piawai Bank Dunia menetapkan keperluan untuk sara hidup
seorang individu ialah RM6.20 per kapita/hari (US$2 PPP). Dengan demikian jika
purata isirumah ialah 4.4 orang, maka PGK ialah RM818 sebulan (RM6.2 0/hari x
4.4 orang x 30 hari). Di Australia dan Britain, pendapatan ‘median’ digunakan sebagai
petunjuk untuk mengukur PGK, iaitu dua per tiga (2/3) dari pendapatan
median. Pada tahun 2010 pendapatan
median bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia ialah RM2,830 (US$944).
Maka pendapatan PGL ialah RM1,885 sebulan (US$629) (Zulkarnain dan Isahaque, 2013). Dengan keadaan kos kehidupan pada masa kini, maka penggunaan dua per
tiga (2/3) dari pendapatan median lebih sesuai digunakan dan munasabah.
Jefrey
Sachs (2005) dalam bukunya The End of
Poverty mengatakan faktor intervensi dari kerajaan adalah penting untuk
meningkatkan keupayaan individu miskin untuk keluar dari keadaan miskin dan
berupaya meningkatkan tabungan dan pelaburan yang menjadi penggerak kepada
pengumpulan modal untuk menjadi tidak miskin. Jefrey Sachs menunjukkan terdapat hubungan di antara
aktiviti ekonomi, tabungan, pelaburan modal dan peningkatan aktiviti ekonomi. Isirumah
menggunakan pendapatan untuk tujuan penggunaan, tabungan dan cukai. Kerajaan pula menggunakan hasil cukai kepada perbelanjaan semasa dan perbelanjaan
pembangunan. Modal ekonomi pula dihasilkan oleh penjimatan isi rumah dan
pelaburan kerajaan. Pembentukan modal yang lebih tinggi membawa kepada
pertumbuhan ekonomi, yang seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah melalui kesan
dari pertumbuhan pendapatan.
Bantuan modal untuk sesuatu
projek akan membawa kepada proses pengumpulan modal, pertumbuhan ekonomi dan
peningkatan pendapatan di kalangan isirumah yang menerima faedah dari bantuan
yang diberikan. Melalui program-program pembiayaan mikro dan peningkatan hasil
padi dijangkakan perangkap kemiskinan dapat dimusnahkan dan pengumpulan modal akan
berlaku. Pertumbuhan ini dilihat dari segi peningkatan tabungan isi rumah dan
pelaburan kerajaan yang dapat dibuat selepas isirumah yang mengalami
peningkatan pendapatan dari projek yang dijalankan, mula membayar cukai atau
menyumbang hasil zakat kepada kerajaan. Kerajaan pula melalui hasil cukai atau
zakat tersebut dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan lain yang akan
memberi faedah kepada lebih ramai orang.
Tiga institusi yang aktif dalam
program pembangunan dan seterusnya boleh dikaitkan dengan program pembasmiaan kemiskinan di Malaysia ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), dan Lembaga Kemajuan Pertanian
Muda (MADA). Tiga institusi ini merupakan tiga institusi yang penting dan aktif
membuat program meningkatkan pendapatan golongan miskin dan penduduk luar
Bandar. MADA terlibat dalam projek pembangunan pengeluaran padi, manakala AIM
memang terlibat secara langsung dengan program mikrokredit untuk kaum wanita
yang miskin. TEKUN pula terlibat dengan program mikro-kredit untuk usahawan yang
telah sedia terlibat dalam program pembangunan keusahawanan.
Penemuan
dari kajian yang saya jalankan berkaitan dengan peranan institusi-institusi tersebut dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar dan seterusnya mengurangkan kemiskinan golongan tersebut mendapati MADA didapati memberi sumbangan besar
dari segi khidmat nasihat dan program-program memperbaiki infrastruktur dan peningkatan hasil padi,
manakala AIM dan TEKUN dari segi peranan sahabat, kemudahan
pinjaman, dan latihan keusahawanan Walau
bagaimanapun, faktor individu itu sendiri juga memainkan peranan
yang sama penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka. Sebagai
contoh untuk petani di kawasan MADA faktor
pengurusan masa lapang, pemilikan modal kewangan dan modal manusia sangat
mempengaruhi kehidupan lestari mereka. Untuk peserta AIM dan TEKUN pula
dipengaruhi oleh ciri pembangunan keusahawanan dikalangan usahawan
itu sendiri.
Keseluruhannya dapat
dinyatakan bahawa institusi yang terlibat perlu, pertama, mengukuhkan sistem penyampaian, bimbingan dan
pemantauan institusi; kedua, mengukuhkan rantaian sosial sesama petani atau
usahawan melalui penubuhan persatuan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan persatuan peniaga-peniaga kecil; dan ketiga, memperkukuhkan modal kewangan
dan modal manusia petani atau usahawan melalui peruntukan kewangan yang berterusan dan terkawal serta latihan dari usahawan yang telah berjaya.