MEMBELI
ATAU MEMAJAK TANAH
Berapa
banyak tanah untuk diusahakan dan bagaimana cara untuk memperolehinya adalah
dua daripada keputusan penting yang akan dibuat oleh petani atau penternak.
Kesilapan keputusan yang dibuat sekarang boleh mempengaruhi keadaan pada masa
hadapan pelaburan yang telah dibuat.
Terlalu
sedikit tanah mungkin bermakna perniagaan adalah terlalu kecil untuk
menggunakan sepenuhnya sumber-sumber lain yang ada seperti jentera ladang,
lori, mesin membajak, modal dan buruh. Sebaliknya pula jika membeli tanah yang
terlalu besar menyebabkan peruntukan pelaburan wang yang banyak telah berlaku
dan menyebabkan masalah aliran tunai yang serius kepada petani, dan menyebabkan
terpaksa menggunakan sumber pengurusan dan input lain seperti jentera dan mesin
membajak secara keterlaluan melebihi had yang ditetapkan. Keputusan yang salah
dalam pelaburan, sama ada membeli terlalu sedikit tanah atau terlalu banyak
tanah boleh membawa kepada kegagalan perniagaan.
Pengambilan
tanah harus difikirkan juga dari segi kawalan dan bukan hanya pemilikan.
Kawalan boleh dicapai sama ada melalui pemilikan atau pajakan. Banyak daripada
tanah sawah di kawasan Jelapang padi seperti di Kawasan Perairan Muda (MADA)
dan Kawasan Perairan Kemubu (KADA), petani padi memajak tanah padi yang
diusahakan dari pemilik sebenar tanah tersebut. Ramai petani menganggap
gabungan pemilikan dan pajakan menjadi wajar, terutama apabila modal adalah
terhad dan sikap petani yang tidak mahu menjual tanah pertanian mereka walau
pun mereka tidak lagi mengusahakan tanah pertanian tersebut.
Dalam
satu kajian yang dibuat terhadap perancangan masa depan petani di kawasan MADA
(Muda Agricultural Development Authority) yang telah dijalankan pada
tahun 2012 mendapati seramai 82.4% dari petani yang dikaji (1,445 petani)
menyatakan untuk memberi tanah sawah yang dimiliki kepada anak mereka pada masa
hadapan, berbanding diserahkan kepada pihak lain untuk seperti Pertubuhan
Peladang Kawasan untuk diusahakan. Ini menunjukkan hukum warisan harta seperti
tanah begitu kuat lagi di kawasan-kawasan pertanian seperti di kawasan MADA.
Tiada
kelebihan yang jelas sama ada memiliki atau memajak. Kawalan adalah
masih faktor yang penting, Pendapatan boleh diperolehi sama ada dari tanah
yang dimiliki atau disewa. Dalam analisis terakhir, gabungan tanah yang
betul yang dimiliki dan disewa adalah salah satu yang menyediakan tanah yang
cukup untuk menggunakan sepenuhnya tenaga kerja yang sedia ada, jentera,
pengurusan dan modal kerja tanpa menimbulkan risiko kewangan yang berlebihan.
Pemilikan
tanah
Memiliki
tanah merupakan satu matlamat penting penternak dan petani yang terlibat dalam
aktiviti pertanian. Mereka yang memiliki tanah akan merasa bangga, kepuasan,
dan mempunyai prestij yang tertentu. Ia juga membolehkan aset tersebut di
wariskan kepada waris yang layak mengikut hokum warisan.
Kelebihan
memiliki tanah:
1. Jaminan
dapat mengusahakan tanah: Milikan tanah menghapuskan
ketidaktentuan kehilangan pajakan dan pengurangan saiz perniagaan yang tidak
disangka-sangka apabila pihak yang member pajakan tidak mahu member pajakan
lagi. Ia juga memastikan bahawa pemilik menikmati faedah daripada apa-apa penambahbaikan
jangka panjang yang dibuat kepada tanah.
2. Cagaran
untuk pinjaman: Pemilikan tanah membolehkan pemilik meminjam wang dari
institusi kewangan kerana tanah boleh digunakan sebagai cagaran untuk membuat
pinjaman. Peningkatan nilai tanah dari masa ke masa telah menyebabkan
peningkatan ekuiti yang besar kepada pemilik tanah, walau bagaimanapun jumlah
ekuiti ini boleh berkurangan sekiranya berlaku penurunan kepada harga tanah.
3. Kebebasan pengurusan: Pemilik
tanah bebas untuk membuat keputusan mengenai bagaimana tanah yang dimiliki akan
digunakan, jenis baja dan cara pengairan yang akan dibuat ke atas tanah.
Sebaliknya jika tanah dipajak, persetujuan kombinasi input dan aktiviti
pengubahsuaian cara penggunaan tanah tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya
tanpa berunding dengan tuan tanah terlebih dahulu.
4. Melindungi Nilai Terhadap Inflasi: Dalam
jangka masa panjang, tanah menyediakan lindung nilai yang baik terhadap inflasi
kerana nilai tanah kebiasaannya selari dengan peningkatan inflasi.
5. Kebanggaan Pemilikan: Memiliki dan
memperbaiki kualiti harta seperti tanah oleh seseorang adalah suatu kebanggaan.
Ia menjamin perlindungan masa depan. Pemilikan tanah yang
dikawal oleh entiti perniagaan juga boleh mempunyai beberapa kelemahan.
Kekurangan
memiliki tanah:
Kelemahan
ini terutamanya berkaitan dengan kedudukan modal perniagaan. Antara kemungkinan
kelemahan adalah:
1. Aliran Tunai: Hutang yang
besar atau beban yang berkaitan dengan pembelian tanah ladang boleh menimbulkan
masalah aliran tunai yang serius. Perolehan tunai daripada tanah mungkin tidak
mencukupi untuk memenuhi bayaran yang perlu dibuat seperti bayaran faedah atas
pinjaman serta pelbagai kewajipan tunai perniagaan yang perlu dipatuhi.
2. Pulangan
Rendah Ke Atas Modal: Jika modal adalah terhad, mungkin ada
alternatif untuk kegunaan wang berbanding dengan pelaburan dalam tanah.
Pulangan dari pelaburan ke atas jentera, ternakan, dan input operasi seperti
baja, benih dan makanan, sering menghasilkan kadar pulangan yang lebih tinggi
ke atas pelaburan berbanding tanah.
3. Kurang Modal Kerja: Satu
pelaburan yang besar atau beban hutang yang besar kesan dari pelaburan ke atas
tanah boleh menyekat jumlah modal kerja yang ada, menghadkan jumlah
pengeluaran, pilihan bentuk perniagaan, jumlah input dan keuntungan.
4. Batasan Saiz: Gabungan modal
terhad dan keinginan untuk memiliki semua tanah yang akan diusahakan akan
menghadkan saiz perniagaan. Saiz perniagaan yang kecil mungkin menghalang
penggunaan teknologi tertentu dan menyebabkan kos purata yang tinggi.
Kelemahan
pemilikan tanah adalah lebih cenderung untuk menjejaskan prestasi
kepada petani baru dengan modal yang terhad. Petani yang berumur dan
berpengalaman kebiasaannya cenderung untuk memiliki lebih banyak tanah dan
menanggung kurang hutang berbanding dengan petani muda.
Pajakan
Tanah
Petani
atau penternak baru sering dinasihatkan untuk memajak tanah berbanding dengan
pembelian tanah. Dengan modal yang terhad, pajakan adalah satu cara untuk
mendapatkan lebih luas tanah untuk diusahakan.
Kelebihan
memajak tanah:
1. Lebih Banyak Modal Kerja: Apabila
modal tidak terikat dalam pembelian tanah, lebih modal dapat disediakan untuk
membeli jentera, ternakan dan lain-lain input pertanian.
2. Pengurusan Tambahan: Seorang
petani baru mungkin kekurangan kemahiran pengurusan. Bantuan pengurusan boleh
disediakan oleh tuan tanah atau pengurus ladang professional yang
berpengetahuan yang dibayar gaji oleh tuan tanah.
3. Saiz Lebih Fleksibel: Kontrak
pajakan biasanya hanya untuk satu tahun atau selama beberapa tahun. Perubahan
dari tahun ke tahun pada saiz perniagaan mudah dicapai dengan melepaskan
pajakan lama atau memajak tanah tambahan.
4. Kewajipan Kewangan Lebih Fleksibel: Bayaran
pajakan adalah lebih fleksibel daripada bayaran gadai janji yang boleh
ditetapkan untuk tempoh yang lama. Nilai sewa akan secara automatik berbeza
dengan hasil tanaman dan harga. Sewa tunai adalah kurang fleksibel tetapi boleh
dirundingkan setiap kali pajakan itu diperbaharui dengan mengambilkira keadaan
ekonomi semasa dan unjuran.
Kekurangan
memajak tanah:
Tanah
pajakan juga mempunyai kelemahan ketidakpastian dan keadaan kemudahan yang
tidak memuaskan.
1. Ketidakpastian: Memandangkan
jangka pendek kebanyakkan pajakan, bahaya sentiasa wujud bahawa semua atau
sebahagian daripada tanah yang dicucuk tanam boleh hilang dalam masa yang
singkat. Kemungkinan ini tidak menggalakkan pelaburan jangka panjang dan
menyumbang kepada perasaan umum yang tidak menentu tentang masa depan
perniagaan.
2. Kemudahan Yang Kurang Memuaskan: Sesetengah
tuan tanah enggan untuk melabur wang di dalam penambahbaikan keadaan
infrastruktur dan pembaikan lain. Penyewa pula sukar melabur dalam
penambahbaikan yang menjadi harta kepada orang lain. Oleh itu, perumahan
keluarga, kemudahan ternakan, simpanan bijirin, pagar, dan perumahan jentera
boleh menjadi usang, dalam keadaan buruk, atau tidak wujud.
3. Pengumpulan
Ekuiti Perlahan: Tanpa pemilikan tanah, ekuiti boleh dikumpulkan hanya
dalam jentera, ternakan, atau simpanan wang tunai. Dalam tempoh nilai
tanah yang semakin meningkat, penyewa perlu membayar sewa yang lebih tinggi
tanpa sebarang ekuiti terkumpul.