Pada waktu petang tadi ada dua orang bekas pelajar berbincang
dengan saya berkaitan Pilihanraya 2013. Mereka bertanya kenapa sekarang ini
sokongan terhadap pembangkang begitu ketara sekali. Di Johor Bahru dan Putrajaya
sambutan kempen parti pembangkang begitu ramai sekali orang yang datang sehingga
mencecah puluhan ribu orang. Saya beritahu mereka golongan yang berpendidikan sekarang
tidak hanya bergantung kepada maklumat kepada berita dari akhbar bercetak atau
TV sahaja. Sumber dari internet telah banyak menggantikan sumber maklumat dari
akhbar dan TV. Apabila timbul keraguan dari berita TV dan akhbar, lama kelamaan
masyarakat tidak mempercayai maklumat tersebut lagi dan mula mencari kebenaran
dari sumber maklumat lain. Seterusnya janji pembangkang dengan penurunan harga
minyak, harga kereta, pendidkan percuma, caj elektrik dan seterusnya harga
barang makanan telah menarik golongan muda dan terpelajar untuk meneliti
keupayaan untuk melaksanakan manifesto tersebut.
Sebab itulah saya mengatakan pentingnya
debat di antara calon-calon pilihanraya untuk menunjukkan kecerdikan dan
kecekapan mereka mempertahankan idea yang mereka bawakan. Kita boleh menilai
kebenaran janji-janji yang disebutkan tersebut. Jika tidak dinilai dan
diperdebatkan, setiap pihak boleh memberikan pelbagai janji semasa pilihanraya.
Sebagai contoh, tahukah perbezaan kesan kenaikan perbelanjaan sebanyak RM80
sebulan bagi rakyat yang berpendapatan RM1,000 sebulan berbanding dengan mereka
yang berpendapatan RM8,000 sebulan? Apakah kesan pendidikan percuma kepada
perbelanjaan kerajaan berbanding dengan hasil kerajaan? Apakah kesannya kepada
hutang Negara? Tetapi sayangnya debat secara terbuka di antara calon
pilihanraya tidak berlaku lagi di Malaysia. Alangkah baiknya isu-isu yang
berkaitan dengan kebajikan rakyat dibincangkan dan dicari penyelesaian yang
terbaik.
Rakyat tentunya tidak mahu kenyataan yang popular dari satu
pihak sepertimana yang berlaku sekarang tidak dibuktikan kebenarannya. Kita tahu ada pemimpin pembangkang yang begitu
popular hinggakan jika beliau datang berkempen, ramai yang akan keluar
mendengar celotehnya. Tetapi saya lebih suka jika ada perdebatan terbuka yang membolehkan
setiap pemimpin dapat mempertahankan hujah mereka dengan bijak. Memang
kepetahan bercakap boleh menarik perhatian kepada pendengar, tapi yang penting
ialah kebenaran apa yang dipercakapkan itu. Isu seperti penyelewengan wang yang
diperuntukkan untuk projek pembangunan yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara
sudah menjadi isu pilihanraya sekarang ini. Kita tidak mahu tindakan
penyelewengan tersebut ditunjukkan seperti sesuatu yang telah biasa berlaku. Semua isu ini diperhatikan oleh rakyat yang
prihatin dan bermaklumat.
Begitu juga jika dilihat dari pengumpulan kekayaan dari
pemimpin negeri yang kaya kerana kekukuhan sumber ekonomi negeri tersebut.
Didapati mereka mengumpul kekayaan seberapa banyak yang boleh sehingga dapat
membina rumah yang berjuta-juta ringgit nilainya. Hal ini tidak juga dikritik
oleh pemimpin-pemimpin lain kerana mereka juga didapati melakukan perkara yang
sama. Sekiranya pemimpin berkenaan masih mengekalkan kesederhanaan dalam
kehidupan walau pun telah menjadi pemimpin, tentu mereka mendapat perhatian dan
penghormatan dari rakyat tidak kira bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban
dan sebagianya. Ada dua orang Menteri Besar, seorang dari parti pemerintah dan
seorang dari parti pembangkang yang saya dapati dapat mengekalkan keserderhanaan
kehidupan tersebut. Syabas kepada mereka.
Ada menteri pula bila majlis kenduri perkahwinan anak mereka
berbelanja secara besar-besaran dan tidak segan silu mengatakan majlis tersebut
dibiayai oleh ahli perniagaan tertentu. Bukankah bila dibiayai sedemikian tentu
ada imbuhan yang telah didapati atau diminta nanti? Begitu juga isu kenaikan
harga barang, tidak bolehkan dibuat sesuatu yang sesuai untuk mengawalnya?
Bukankah faktor kos dan pemasaran sangat penting untuk dikaji? Mengapakah perjanjian yang berat
sebelah seperti perjanjian di antara pembekal tenaga elektrik (Independent Power Producers, IPP) dengan Tenaga Nasional boleh berlaku dan tidak
boleh diselesaikan? Mengapakah perjanjian tersebut dibuat walau pun diketahui
berat sebelah? Apakah rasional tindakan sedemikian? Persoalan-persoalan yang
tidak logik difikirkan oleh akal inilah yang menyebabkan ramai rakyat yang berpendidikan sering
bertanya dan mahukan jawapan yang dapat
diterima umum.
Sistem satu parti yang berkuasa dan kurangnya “check and balance” mungkin menjadikan
perkara ini terjadi. Jadi rakyat berpendidikan sekarang mahukan sistem dua
parti. Dijangkakan sistem dua parti akan menyebabkan parti yang memerintah lebih
berhati-hati bila memerintah kerana penyelewengan yang berlaku boleh
menyebabkan mereka kehilangan kuasa pada masa pilihanraya. Negara-negara maju
seperti Amerika Syarikat bukankah sudah ada sistem dua parti, Parti Democrat dan Parti Repulican; dan di England, parti Buruh dan parti Konservatif.
Tibalah masanya Malaysia menuju kearah sistem dua parti.
Pada masa yang sama, perlu juga ada
pengasingan kuasa yang jelas di antara eksekutif (pemerintah), pihak berkuasa
undang-undang dan badan kehakiman. Ianya penting untuk memastikan keadilan yang
sebenar terlaksana.
Selamat mengundi….salah seorang bekas pelajar saya itu memberitahu
ibunya adalah Ketua Bahagian Wanita parti pemerintah di Johor. Ha..ha..perbincangan apa salahnya, malahan
beliau beberapa kali memberikan pandangan yang baik berkaitan isu pilihanraya
pada kali ini. Kita tak pernah mengalami sistem dua parti, jadi kerisauan
mereka berkaitan kestabilan dan keamanan Negara ada kebenarannya juga.
Diharapkan pihak polis dapat menjamin ketenteraman dalam Negara.
Selamat mengundi rakyat Malaysia pada 5 Mei 2013.
No comments:
Post a Comment