Sumber
risiko
Terdapat banyak unsur ketidakpastian dan risiko
dalam perniagaantani. Sebagai contoh penternakan ayam memerlukan masa
sekurang-kurangnya 42 hari sebelum ayam yang diternak boleh dipasarkan. Begitu
juga penanaman kelapa sawit dan getah memerlukan masa sekurang-kurangnya lima
tahun sebelum pokok kelapa sawit dan getah tersebut dapat dikutip hasilnya. Semasa hasil
pertanian tersebut dikutip, petani atau penternak tersebut tidak mengetahui
keadaan harga dan keadaan hasil pertanian mereka. Faktor seperti perubahan
permintaan dan penawaran boleh mempengaruhi harga, manakala faktor seperti
perubahan cuaca, keadaan pasaran buruh
dan searangan penyakit boleh mempengaruhi keadaan hasil pengeluaran
barangan pertanian tersebut. Bidang
perniagaantani sentiasa menghadapi risiko perubahan harga, perubahan musim
seperti kemarau dan hujan, atau serangan penyakit. Pengurusan risiko pula mengambilkira faktor
yang boleh mengurangkan ketidakpastian tersebut atau cara mengurangkan kesan
dari keadaan ketidakpastian tersebut. Di antara risiko yang sering diberi
perhatian di dalam perniagaantani ialah risiko dalam Pengeluaran, Pasaran, Kewangan,
Undang-undang dan Personaliti individu pengusaha perniagaantani itu sendiri.
i)
Pengeluaran
Pengurus dalam firma perindustrian mengetahui penggunaan kombinasi input
tertentu akan memberikan sejumlah kuantiti dan kualiti outoput yang tertentu.
Walau bagaimanapun keadaan ini tidak semestinya berlaku dalam pengeluaran di
sector pertanian. Prestasi dalam hasil pengeluaran barang pertanian dan
penternakan dipengaruhi oleh keadaan cuaca, penyakit, serangan serangga
perosak, genetic dan rumpai. Faktor-faktor yang disebutkan tadi tidak boleh
diramalkan dengan tepat. Dari segi susunan risiko, penanam sayur menghadapi
risiko cuaca tidak menentu seperti kemarau dan banjir, penurunan harga, penyakit
dan pasaran. Mereka pula terpaksa menanggung kos pembelian input, buruh dan kos
pinjaman. Penternak ayam dan lembu pula menghadapi risiko perubahan harga,
barang makanan, kawasan ragut dan pasaran. Risiko juga boleh
berlaku dari perubahan teknologi. Contohnya teknologi dalam penternakan ayam.
Kos pembelian teknologi dalam penternakan ayam misalnya begitu tinggi tetapi
hasil dari penggunaan teknologi tersebut masih tidak dapat dipastikan lagi. Sebab
itu dalam industry penternakan ayam sekarang konsep kontrak perternakan begitu popular
sekali. Contoh lain yang boleh dinyatakan ialah teknologi yang ditemui dalam
penternakan ikan keli di dalam kanvas, didapati kos penggunaan kanvas adalah
tinggi kerana 100% dari keperluan makanan ikan adalah dari penternak berbanding
dengan kaedah penternakan di dalam kolam, di mana sebahagian dari makanan ikan
keli tersebut boleh dicari oleh ikan dari keadaan semulajadi di dalam kolam.
Petani menggunakan teknologi baru biasanya atas alasan memperbaiki kaedah
pengeluaran yang lebih cepat dan berkualiti dan untuk mendapatkan hasil yang
lebih banyak.
ii)
Pasaran
Permintaan oleh pengguna dipengaruhi oleh keutamaan pengguna barang yang
hendak dibeli, citarasa, kadar pertukaran, polisi eksport, kekukuhan ekonomi,
harga barang pesaing, dan pendapatan. Keadaan pasaran boleh mempengaruhi harga.
Begitu juga keadaan harga berubah-ubah mengikut keadaan penawaran dan
permintaan. Ada barang pertanian pula
dikeluarkan mengikut musim, seperti buah mangga harum manis, buah durian dan
buah manggis dan rambutan. Pada musim buah rambutan misalnya, harga buah rambutan
itu boleh merosot jatuh kerana begitu banyaknya penawaran buah tersebut di pasaran.
Untuk mengatasi masalah lebihan penawaran, buah rambutan tersebut boleh diproses
menjadi barang yang diproses seperti jem rambutan. Pemprosesan membolehkan kestabilan
harga terjamin dan tidak ada buah yang dibuang begitu sahaja. Sesetengah
pasaran yang moden mungkin menetapkan kualiti produk mengikut piawaian
tertentu. Jika barang pertanian yang dikeluarkan didapati mengandungi kadar
racun yang tinggi, barang tersebut boleh ditolak untuk dipasarkan.
iii)
Kewangan
Risiko kewangan berlaku apabila wang dipinjam untuk menjalankan aktiviti
pengeluaran atau pemasaran. Risiko ini disebabkan oleh kadar bunga atau kadar
keuntungan yang ditetapkan oleh pemberi pinjaman, kesediaan untuk mendapatkan
hasil yang mencukupi untuk menampung kos pinjaman dan seterusnya membiayai
projek pertanian atau penternakan yang dijalankan. Bagi kebanyakan perniagaan
seperti pekebun kecil dan penternak, agensi-agensi kerajaan seperti Agrobank,
Pertubuhan Peladang, MADA, KADA, dan Jabatan Haiwan ada menyediakan bantuan
input secara langsung untuk mengurangkan pergantungan petani atau penternakan
dari sumber kewangan institusi kewangan.
iv)
Undang-undang
Kebanyak aktiviti pertanian dilakukan di luar Bandar. Keadaan aktiviti
pertanian boleh menyebabkan pengeluaran sisa pertanian atau penternakan seperti
najis binatang yang boleh mencemarkan sungai, bau busuk dan membahayakan
penduduk setempat. Penternakan ayam biasanya boleh menimbulkan bau busuk dan
lalat dan menyebabkan kawasan penternakan perlu dibuat jauh dari kawasan
penempatan penduduk. Penanam sayur di Cameron Highland pula yang menanam sayur
di lereng bukit boleh menyebabkan hakisan tanah dan membahayakan pengguna
jalan raya dan penduduk setempat. Oleh
yang demikian petani atau penternak perlu mematuhi undang-undang penggunaan
racun perosak, penempatan kawasan pengeluaran penternakan, pembuangan najis
binatang, Petani juga boleh didakwa sekiranya berlaku kemalangan penggunaan
jentera penuai atau mesin pengeluaran, kesihatan pengguna dan keselamatan
penduduk sekitar.
v)
Individu
Aktiviti
pertanian biasanya boleh menjejaskan kesihatan petani atau penternak sekiranya
prosedur pertanian yang betul tidak dipraktikkan. Petani yang terdedah kepada
racun perosak boleh menjejaskan keadaan hati dan limpa. Begitu juga kerosakan
akibat dari bau busuk atu terdedah kepada keadaan panas dan hujan yang berterusan.
Penyakit yang dihadapi mungkin tidak ketara pada masa kini tetapi boleh
terkumpul dalam tempoh jangkamasa panjang.
Keadaan penawaran buruh juga boleh member risiko kepada petani. Pada
masa kini buruh ladang sukar dicari. Kekurangan buruh dalam aktiviti penanaman
sayur, pemetikan buah mangga dan penternakan akibat dari persaraan, perubahan
kareer pekerjaan atau tarikan di luar sector pertanian. Keuntungan perniagaan adalah penting dan faktor
yang mempengaruhi keuntungan perniagaan adalah pelbagai dan petani boleh
mengurangkan risiko ini dengan membeli pelbagai insurans separti insurans
kemalangan, kesihatan dan pengeluaran.
2 comments:
Terima kasih atas perkongsian yang menarik ni Prof!
Dalam apa jua bidang perniagaan yang kita ceburi, kita seharusnya mengenal pasti peluang yang kita ada. Hal ini kerana ia dapat memudahkan kita untuk memulakan perniagaan dengan secepat mungkin dan dapat mengurangkan tahap risiko yang diambil.
204095
Terima kasih atas info yang telah Dr. Jamal kongsikan. Sememangnya terdapat banyak sumber risiko dan ketidakpastian dalam perniagaantani lebih-lebih lagi berpunca dari pertanian itu sendiri. Sepertimana kita ketahui ciri-ciri produk pertanian itu sendiri telah menyumbang kepada pelbagai risiko. Antara ciri-ciri barang pertanian ialah ianya mudah rosak, bermusim, mempunyai tempoh tunggu, kualiti bergantung kepada tempoh penghantaran, bervariasi dan tidak mempunyai standard tertentu. Semua ciri-ciri ini penting dan sepatutnya diketahui oleh para petani sebelum menjalankan pertanian atau mengeksport hasil pertanian ke luar negara. Kepekaan terhadap sumber-sumber risiko ini dapat membantu para petani mengurangkan risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga. Selain mengambil langkah berjaga-jaga R&D dalam bidang pertanian juga perlu dipertingkatkan untuk meningkatkan kualiti dan hasil pertanian di Malaysia agar dapat diterima di pasaran domestik dan antarabangsa. Sekian Terima Kasih
Suzana Agus (204718)
Post a Comment