Kaedah untuk mengururangkan risiko perniagaan:
- Membentuk institusi perniagan yang kukuh
Pertamanya,
risiko boleh diurus dan dikurangkan melalui pemilikan dan pembangunan entiti
perniagaan yang kukuh. Dalam erti kata lain, sesebuah perniagaan akan dapat
merendahkan risiko yang dihadapi atau risiko masa hadapan dengan memiliki
kewangan yang kukuh dan aliran tunai yang mencukupi bagi melangsungkan aktiviti
seharian perniagaan. Sesebuah perniagaan juga harus mempunyai simpanan wang atau
jumlah aset semasa yang mencukupi bagi memudahkan pinjaman-pinjaman baru
dilakukan bagi kelangsungan perniagaan.
Pengekalan simpanan pada tahap yang diandaikan
selamat untuk kelangsungan perniagaan amatlah mustahak bagi mengelakkan perkara
seperti muflis atau masalah kewangan dalam perniagaan. .Dengan adanya simpanan
yang mencukupi, peniaga boleh mengelakkan daripada menambah hutang sedia ada
terutamanya pada waktu-waktu yang boleh mendatangkan ancaman perniagaan.
Jelasnya di sini, simpanan perniagaan boleh merendahkan kesan buruk daripada
aliran tunai yang negatif dengan cara menggunakan dana yang tersimpan.
Ringkasnya, memiliki entiti perniagaan yang kukuh
dalam industri yang diceburi seperti industri pertanian dapat mengurangkan risiko,
walau pun tidak menghapuskan risiko secara keseluruhan. Kesannya, kelangsungan
perniagaan dapat ditingkatkan dalam jangka masa panjang.
2. Kepelbagaian aktiviti perniagaan
Kaedah yang kedua dalam mengurangkan risiko ialah
dengan meningkatkan kepelbagaian aktiviti perniagaan. Sebagai contoh seorang
petani selain daripada mengerjakan sawah, beliau juga turut melakukan pekerjaan
lain seperti menternak lembu dan kambing serta menjalankan perniagaan kedai
runcit. Ia merupakan salah satu pekerjaan sampingan dalam menampung keperluan
harian sementara menunggu waktu untuk menuai hasil padi dalam masa empat bulan.
Selain itu, ia juga dapat menampung kos petani dalam
pembelian baja bagi penanaman padi. Pada masa yang sama, ia merupakan suatu jaminan
kepada para petani bahawa mereka mampu menjana pendapatan meskipun berlaku
banjir yang telah memusnahkan hasil tanaman padi. Dalam meningkatkan
kepelbagaian aktiviti perniagaan yang lebih baik adalah dengan memastikan
perniagaan itu tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pertanian. Sebagai
contoh ialah melakukan perniagaan runcit dimana keadaan cuaca yang tidak
menentu langsung tidak mengugat perniagaan tersebut.
Sehubungan dengan itu, petani tidak akan mengalami
kerugian yang besar kerana hasil perniagaan runcit yang tidak berkaitan dengan
pertanian dapat menampung kos lepas tersebut. Petani juga dapat belajar
pelbagai perkara baru seperti menjalinkan hubungan dengan lebih ramai
pelanggan, belajar cara untuk melakukan transaksi pembelian serta mempunyai
pengalaman dalam menjalankan perniagaan dalam skop yang lebih besar berbanding
dengan hanya mempunyai kemahiran penanaman padi sahaja.
Dengan ini, ia dapat membantu petani dalam membuka
minda dan dapat memahami dunia dengan lebih mendalam. Petani juga dapat belajar
cara memahirkan diri dalam melakukan urusan komunikasi dengan pelanggan. Hal
diatas jelas menunjukkan kepentingan mempelbagaikan aktiviti perniagaan bagi
seseorang petani.
3. Membeli
Insurans
Insurans merupakan kaedah ketiga yang dapat diguna
pakai dalam mengurangkan risiko dalam pertanian.Ianya merupakan satu kaedah
yang sering digunakan untuk mendapatkan pampasan bagi kerugian yang berpunca
daripada sumber-sumber yang spesifik seperti risiko dalam menjalankan
perniagaan. Selain itu, jenis-jenis insurans lain yang turut
dilindungi oleh undang-undang adalah insurans
kemalangan, insurans kebakaran, insurans liabiliti ke atas harta tanah dan
insurans peribadi. Malahan insurans hayat awam turut direka untuk mengurangkan kesan
kewangan daripada kematian kepada ketua keluarga yang merupakan pencari nafkah
utama untuk keluarga.
Dalam bidang perniagaantani contohnya, para petani
boleh mengambil insurans liabiliti ke atas kenderaan seperti kereta, van dan
lori yang digunakan untuk mengangkut hasil pertanian dari suatu destinasi ke
destinasi yang lain. Malah pelbagai jentera yang digunakan oleh para petani
dalam menjalankan pelbagai aktiviti pertanian dan perladangan turut mempunyai
insurans.
Disamping itu, para petani juga boleh mengambil
insurans bagi melindungi sumber yang berisiko tinggi seperti insurans tanaman. Di
Negara maju seperti di Amerika Syarikat, insurans ini diujudkan bagi membantu
para petaninya dalam mengurangkan risiko dalam keadaan tidak menentu di dalam aktiviti
pertanian. Terdapat juga program insurans
yang meliputi perlindungan terhadap kerugian
daripada bencana berskala besar.
Insurans ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan
petani itu sendiri. Untuk mengambil bahagian dalam program ini, petani perlu
membayar sejumlah premium tertentu per tanaman. Tuntutan dibayar kepada mereka
yang mengalami kerugian yang lebih besar daripada 50% dari hasil purata
pengeluar dengan menggunakan harga 55% daripada harga pasaran yang dijangka.
Mana-mana petani yang menginsuranskan tanaman di bawah program ini, disyaratkan
untuk mengambil bahagian dalam program-program lain yang dianjurkan oleh
kerajaan persekutuan termasuk bantuan bencana.
Di bawah prograam yang kedua pula para petani boleh
meningkatkan liputan di atas paras bencana. Program subsidi persekutuan ini
boleh didapati melalui insurans swasta dan terpakai kepada kira-kira lima puluh
jenis tanaman yang berbeza. Petani dapat menginsuranskan dan melindungi
kerugian dari 25 hingga 50% dalam pengeluaran. Semakin kecil peratusan kerugian
yang diinsuranskan, semakin tinggi premium dan semakin rendah subsidi kerajaan.
Petani juga mampu untuk menetapkan harga tuntutan yang akan dibayar di antara
60 hingga 100% daripada harga yang telah ditetapkan oleh Perbadanan Insurans
Tanaman Persekutuan. Kepentingan insurans memang tidak dapat disangkal lagi
dalam memastikan para petani dapat menjalankan aktiviti pertanian dengan risiko
yang minimum.
4. Menjalankan kontrak niaga hadapan
Kaedah yang digunakan ialah mengurangkan risiko
harga denagn cara memberi satu perjanjian kontrak kepada sesiapa yang terlibat
dalam pasaran tersebut. Kontrak tersebut dinamakan sebagai kontrak niaga
hadapan. Broker akan bertindak sebagai perantara di antara kedua-dua pihak, pembeli
dan penjual. Kontrak niaga hadapan adalah satu perjanjian kontrak yang biasanya
di buat di atas harga lantai perdagangan di bursa niaga hadapan untuk membeli
atau menjual komoditi tertentu atau instrumen kewangan pada harga yang telah
ditetapkan pada masa hadapan. Harga juga pada kebiasaannya telah ditetapkan
terlebih dahulu untuk membuat penghantaran atau mengambil penghantaran kuantiti
komoditi pada atau sebelum tarikh tamat tempoh kontrak.
Disebabkan adanya mekanisme penghantaran di kawasan
berdagang di Bursa Komoditi, ini menyebabkan kontrak niaga hadapan mempunyai
nilai pasaran berdasarkan harga komoditi sebenar yang di dagangkan pada
hari-hari tertentu. Kontrak niaga hadapan ini juga memberikan butiran yang
terperinci berkaitan kualiti dan kuantiti aset yang disandarkan, semua ini
telah di standarkan untuk memudahkan perdagangan di bursa niaga hadapan.
2 comments:
Salam Dr. Jamal. Terima kasih di atas perkongsian ini.
Saya ada terbaca tentang Risk Diversification di dalam sebuah buku. Merujuknya, risiko ialah potensi kepelbagaian dalam aliran tunai masa hadapan. Ia adalah kemungkinan bahawa pulangan sebenar berlainan daripada pulangan jangkaan. Konsep yang sering kali diguna pakai dalam Kewangan Perniagaantani ialah apabila tinggi risiko, pulangan juga tinggi. Risiko boleh dikurangkan melalui milikan portfolio. Portfolio didefinisi sebagai apa-apa koleksi atau kombinasi beberapa aset kewangan (pelaburan) pada masa yang sama. Menggabung beberapa pelaburan di dalam portfolio boleh mengurangkan risiko keseluruhan. Jika pelabur hanya melabur dalam satu aset, maka kerugian akan ditanggung sepenuhnya apabila terjadi prestasi buruk dalam perniagaan. Dalam memiliki portfolio, pelabur dinasihatkan untuk melabur dalam pelaburan yang tidak saling berkait (negatively correlated). Contohnya, seorang petani dalam industri penternakan boleh melabur dalam industri hartanah. Dengan ini, jika berlakunya kenaikan harga kos pernternakan, pelaburannya dalam industri hartanah tidak akan terjejas. Maka, wang dari pelaburan hartanah boleh diguna untuk menampung keperluan penternakan.
Oleh itu, pelaburan yang berkait (positively correlated) seperti melabur dalam anak syarikat yang sama harus dielakkan kerana jika satu pelaburan terjejas, pelaburan yang lain turut terkesan.
Terima kasih.
Farah Farhana Che Amat (204732)
Kuliah Kewangan Perniagaantani
Salam Dr Jamal. Kaedah untuk mengurangkan risiko perniagaan yang dicadangakan oleh Dr Jamal amat bagus sekali.
Saya juga ingin mencadangkan kaedah lain seperti menambahkan lagi jaringan perniagaan seperti mempunyai rakan kongsi dalam perniagaan untuk mengurangkan risiko dalam aliran tunai jika terjadi sesuatu. Dengan mempunyai rakan kongsi juga kita mampu bekerjasama dalam membentuk strategi yang bagus bagi membentuk perniagaan yang kukuh. Selain itu ialah mengelak risiko sama sekali seperti dengan menutup kawasan perniagaan berisiko tinggi. misalnya ialah petani merancang untuk menanam tebu di ladang, namun akhir-akhir ini keadaan cuaca tidak menentu dan dijangka akan banjir hingga memusnahkan hasil tanaman. Oleh itu, daripada mendapat risiko kerugian yang besar adalah lebih baik jika petani tersebut menutup terus rancangan untuk menanam tebu daripada berisiko tinggi untuk menghadapai kerugian yang besar.
Diharap dengan cadangan saya ini mendapat perhatian daripada Dr Jamal.
Sekian terima kasih.
Najwa Adeela Bt Mohd Ali (204731)
Post a Comment