Total Pageviews

Monday, June 22, 2009

Pengagihan kekayaan dalam Ekonomi Islam 2

Artikel saya pada 20 Jun 2009 (Hari Sabtu) membincangkan langkah-langkah positif yang boleh dibuat oleh kerajaan dalam melakukan aktiviti agihan semula pendapatan atau kekayaan, dari kumpulan yang kaya kepada kumpulan yang berkemampuan. Sempena dengan hari bapa pada hari ini, 21 Jun 2009 (Hari Ahad), ingin saya sentuh berkaitan rencana yang disiarkan oleh TV2 pada hari ini. Selain tersentuh dengan pengorbanan bapa yang berusaha menjaga kebajikan anak-anak mereka untuk menjadi manusia berguna, saya tersentuh juga dengan pengorbanan seorang bapa keturunan India yang berkorban wang ringgit dan masa untuk menjaga dan membesarkan anak-anak orang lain yang tidak berkemampuan agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna. Harapan bapa ini ialah agar kanak-kanak ini apabila telah dewasa melakukan pengorbanan yang sama sepertinya, iaitu melakukan aktiviti kebajikan kepada orang lain. Sebenarnya selain dari pengorbanan individu, pemerintah boleh melakukan beberapa aktiviti lain seperti menghalang aktiviti-aktiviti yang merosakkan ekonomi, disamping menggalakkan aktiviti moral tertentu seperti memberi Sadaqah, Nafaqah dan Waqf.

Langkah-langkah Menghalang
i) Pengharaman Riba’
Amalan Riba’ mempunyai unsur-unsur penindasan kepada orang yang meminjam. Oleh yang demikian sistem ekonomi Islam perlu mencari alternatif terbaik untuk mengatasi masalah penggunaan sistem kewangan berunsur Riba’. Maklumat berkenaan Bank Islam dan Sistem Perbankkan Tanpa Faedah perlu diberi publisiti yang meluas. Al-Quran melarang amalan Riba’ dengan firman Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat ganda; dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.
(Terjemahan al-Quran Surah ali-Imran 3:130)

ii) Larangan Menyembunyikan Harta
Orang yang menyembunyikan atau membekukan hartanya merupakan musuh masyarakat. Harta yang dibekukan boleh menyebabkan perkembangan ekonomi seperti di sektor pertanian dan perindustrian tersekat. Sekiranya harta tersebut tidak dibekukan, harta tersebut boleh digunakan oleh orang yang kekurangan sumber kewangan tetapi mempunyai kesanggupan, idea dan keinginan untuk membuat sesuatu kegiatan ekonomi yang berfaedah. Al-Quran mengutuk amalan menyembunyikan harta dengan firman Allah yang bermaksud:

Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari Kiamat”.
(Terjemahan al-Quran Surah ali-Imran 3:180)

iii) Perbelanjaan Yang Membazir
Islam telah melarang perbelanjaan yang tidak membazir dan tidak perlu. Ini kerana ia boleh menyebabkan orang-orang kaya terjerumus ke dalam kemewahan. Keadaan ini juga menyebabkan faktor-faktor pengeluaran seperti modal, buruh dan tanah digunakan untuk mengeluarkan barangan tersebut dan tidak barangan keperluan asasi yang diperlukan oleh orang-orang miskin.

Contohnya masyarakat Islam dilarang menggunakan bekas emas dan perak, menggunakan perhiasan emas (kecuali wanita), ghairah terhadap hiburan, berjudi, meminum arak, melakukan zina dan menghiasi rumah dengan gambar-gambar dan patung-patung. Penggunaan barang emas dan perak dilarang kerana ianya melambangkan kemewahan dan menggalakkan ujudnya industri-industri yang tidak berfaedah. Judi dan arak pula boleh menimbulkan perasaan benci dan permusuhan di antara anggota masyarakat. Menghiasi rumah dengan gambar-gambar dan patung-patung pula mengujudkan unsur-unsur Syirik (menyengutukan Allah). Al-Quran mengutuk amalan perbelanjaan yang membazir dengan firman Allah yang bermaksud:

“... dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Isra’ 17:26-27)

iv) Perniagaan Yang Tidak Sihat
Semua bentuk perniagaan yang tidak sihat akan meningkatkan ketidakseimbangan agihan pendapatan dan kekayaan. Jenis kegiatan seperti spekulasi, menipu, menyorok barangan, pasaran gelap dan kegiatan monopoli pasaran barangan.

Amalan spekulasi mengujudkan satu bentuk perniagaan yang memperolehi keuntungan tanpa menggunakan buruh dan tanpa perlu membuat sebarang bayaran. Rasulullah s.a.w. pernah menghalang penjualan buah-buahan sebelum ia masak. Ini kerana jika buahan-buahan tersebut rosak dan tidak dapat diambil sebelum ianya masak, sudah tentu ianya akan menganiayai pembeli. Begitu juga terdapat riwayat yang menyebut Rasulullah s.a.w. pernah menghalang amalan menjual pakaian dengan hanya menyentuhnya sebelum pembeli sempat melihatnya.

Kegiatan menipu dalam perniagaan, contohnya menipu dalam timbangan dan sukatan dengan harapan menerima keuntungan untuk jangka masa panjang dilarang sama sekali. Mereka yang menipu diberi amaran siksaan yang pedih di akhirat kelak. Al-Quran mengutuk amalan menipu dengan firman Allah yang bermaksud:

Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang sukatan dan timbangannya dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-A’raf 7:85)

2. Langkah Moral
i) Sadaqah
Orang ramai mestilah mensedekahkan lebihan kekayaan mereka kepada orang-orang miskin. Apabila wujudnya keadaan dalam sesebuah masyarakat di mana orang-orang kaya menyimpan kekayaan dan tidak suka berbelanja dan menderma, kemiskinan akan berkembang dengan pesat dan jurang perbezaan kekayaan akan meningkat. Kekayaan akan hanya dimiliki oleh sekumpulan kecil masyarakat. Ini secara beransur-ansur akan mengurangkan kuasa beli orang awam dan menghancurkan sistem ekonomi. Orang-orang kaya selalunya suka membeli barang-barang yang tidak mengembangkan ekonomi- lihat sahaja minat mereka terhadap perhiasan antik dan barang emas. Sebaliknya orang-orang miskin menggunakan wang mereka membeli barang-barang makanan - kesannya pengeluar barang makanan mendapat keuntungan dan menarik minat mereka untuk mengeluarkan lebih banyak makanan. Al-Quran menggalakkan amalan Sadaqah dengan firman Allah yang bermaksud:

“Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan (sebahagian) dari hartanya akan memperolehi pahala yang besar”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Hadid 57:7)

ii) Nafaqah
Nafaqah bermaksud memberi sara hidup kepada orang lain yang ada hubungan keluarga dan persaudaraan. Ia boleh jatuh di bawah hukum wajib, seperti menanggung ahli keluarga. Islam sentiasa menekankan layanan yang baik kepada ibubapa, anak-anak dan saudara mara (lihat surah al-Anfal: ayat 75, al-Nahl: ayat 90, al-Nisa’: ayat 36 dan al-Isra’: ayat 26).

Nafaqah yang dimaksudkan di sini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
Kategori Pertama - Seorang suami adalah wajib memberi nafaqah kepada isterinya tanpa mengira kedudukan kewangan masing-masing.
Kategori Kedua - Seorang bapa wajib memberi nafaqah kepada anak-anaknya dengan syarat bapa itu berkemampuan dan anaknya masih kecil atau miskin, atau anak yang telah dewasa tetapi tidak berkeupayaan menyara dirinya kerana sakit atau cacat.
Kategori Ketiga - Seseorang yang berkemampuan adalah dianjurkan memberi nafaqah kepada saudara maranya yang miskin sama ada keluarga terdekat atau jauh.

iii) Waqf
Waqf ialah memindahkan harta dari milik persendirian kepada milik ramai yang berfaedah. Waqf tidak diwajibkan oleh syariah tetapi dibiarkan kepada inisiatif sukarela setiap individu. Walaupun demikian, orang-orang Islam telah menerimanya dengan sukarela dan membentuk amalan waqf semenjak zaman Rasulullah s.a.w. sehingga hari ini, untuk berbagai tujuan sosial dan ekonomi termasuk pendidikan, kesihatan, ibadat dan keselamatan sosial. Waqf telah berjaya membawa berbagai perubahan bagi kebajikan mereka yang memerlukan dan berperanan mengagihkan kekayaan dengan berkesan untuk kebajikan ummah.

iv) Al Maniha
Al Maniha juga boleh ditakrifkan sebagai membenarkan kegunaan sesuatu aset yang produktif kepada orang yang memerlukan bagi suatu tempoh tertentu atau pemberian yang khusus. Misalnya, seseorang memberikan tanah kepada rakannya untuk diusahakan buat beberapa lama dan kemudian memulangkannya. Dari takrif ini, kita dapati bahawa institusi ini bukan sahaja boleh membantu seseorang dalam mendapatkan keperluan bahkan ia merupakan suatu pemindahan pendapatan yang besar.

RUMUSAN

Terdapat ketidakseimbangan pengagihan pendapatan di antara kaum, kawasan bandar dan luar bandar, dan negeri di Malaysia. Sebenarnya kita perlu berfikir secara kreatif dan bersungguh-sunguh melihat alternatif yang boleh dibuat untuk membetulkan ketidakseimbangan agihan pendapatan yang berlaku di kalangan masyarakat. Sekarang ini telah terdengar program-program ekonomi yang dikatakan bersifat 'pro-poor' sedang giat dilaksanakan.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Dr, dan rakan MBA semua..
Topic kemiskinan bagi saya begitu luas..definasi yang diberikan oleh imam shafie dan ahli ilmuan lain adalah tepat dan benar..malah saya ingin menambah sedikit di mana jika dilihat dari sudut definasi kekadang di golongan kita yang berkerja tetap dan berpendapatan agak besar ini juga tersepit dicelah definasi kemiskinan ini. Tidak terlampau jika saya katakan, ada sesetengah kita, menerima gaji bulanan..suami dan isteri tetapi ianya tidak pernah mencukupi dengan perbelanjaan harian dan segala tanggungan bulanan. Di 3 per 4 bulan kita mula menggunakan kad kredit untuk membeli itu dan ini...sebenarnya kita sendiri tahu ianye membebankan dan mungkin tidak mampu untuk dibayar.Persoalannya adakah kita boleh kategorikan diri kita tergolong dalam orang yang miskin atau orang yang tidak bijak berbelanja...sedangkan dari definasi pendapatan yang kita perolehi tidak mencukupi perbelanjaan...maka bagi saya inikah yang digelar "miskin kota"...Apa pun dari sudut islam..eloklah kita sentiasa membandingkan diri kita dengan orang yang lebih rendah dari kita..agar kita tidak berlebih-lebih..Sahabat saya selalu berpesan, biarlah Allah menguji kita dengan kesusahan..insyallah kita akan sentiasa ingat pada nya..kerana jika allah menguji kita dalam kesenangan, mungkin kita akan terus lalai.. tetapi perlu kita ingat kemiskinan boleh membuat seseorang itu menjadi kufur begitu juga kekayaan.. Oleh yang demikian, bersederhanalah dalam hidup...

kemeskinan bagi saya, kurangnya daya usaha. Kenapa bangsa lain sanggup meninggalkan negara mereka untuk mencari rezeki. Kekadang saya mengambil contoh yang mudah ..pembantu rumah indonesia atau dari negara lain, atas desakan hidup berhijrah kenegara kita..sedangkan di negara kita pekerja pembantu rumah di anggap pekerjaan "kelas bawahan" oleh sebahagian masyarakat malaysia..buruh, tukang cuci..bangsa mana yang memonopoli?, pastinya bukan bangsa kita. Bangsa kita, mereka sanggup hidup dalam kemiskinan daripada bekerja di sektor "kelas bawahan"...walahualam. Ketiadaan harta bagi saya boleh dicari, yang penting, bangsa kita perlu merubah paradigma, dan melihat kehidupan dan peluang seperti bangsa lain. Ini hanya pandangan kudus saya seorang pemerhati setia masyarakat malaysia abad ini. 1 Malaysia, 1 Paradigma Baru..Insyallah, Hartini Mohamed 801009.

Rushdi Baharum said...

Oleh kerana itu, dalam Islam,Nabi menggalakkan kita berhijrah. DEngan harapan penghijrahan itu akan membawa kebaikkan dan membuka peluang yang lebih luas.