Total Pageviews

Wednesday, September 18, 2013

Kadar pertukaran matawang asing Malaysia

Pasaran Pertukaran Asing

Kadar pertukaran asing dimaksudkan sebagai matawang sesebuah negara yang disebut dalam matawang negara lain. Contohnya matawang Ringgit Malaysia disebut dalam nilai matawang Dollar Amerika Syarikat, Dollar Singapura, Baht Thailand, Rupiah Indonesia, Yen Jepun dan lain-lain matawang lagi.  Nilai matawang sesebuah negara adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran matawang negara tersebut sendiri. Apabila individu atau firma asing membeli barangan Malaysia, penawaran matawang asing untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia terjadi.  Begitu juga, apabila individu atau firma Malaysia ingin membeli barangan atau perkhidmatan asing, permintaan terhadap matawang asing akan berlaku.

Pertukaran asing pula dimaksudkan sebagai matawang sesebuah negara yang dipegang oleh rakyat negara lain dalam bentuk matawang atau deposit.  Rakyat asing yang memegang Ringgit Malaysia mestilah menyimpannya di dalam Bank yang ada berurusan dengan Malaysia atau meminjamkannya kepada firma atau kerajaan Malaysia.  Mereka memberi pinjaman kepada firma atau kerajaan Malaysia dengan membeli alat hutang firma atau alat hutang kerajaan Malaysia seperti bil-bil perbendaharaan dan bon. Rakyat asing yang memiliki Ringgit Malaysia boleh juga menggunakan wang tersebut untuk membuat pelaburan terus di Malaysia dengan membeli harta di Malaysia seperti membeli hartanah dan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. 
          
Permintaan matawang Ringgit Malaysia sebagai Pertukaran Asing bergantung kepada permintaan rakyat asing kepada barangan dan perkhidmatan Malaysia dan keinginan rakyat asing menyimpan Ringgit Malaysia mereka sebagai tunai atau deposit untuk membeli hartanah, saham, bon dan lain-lain aset di Malaysia.  Penawaran matawang Ringgit Malaysia pula bergantung kepada keinginan pengguna, firma dan kerajaan Malaysia menukar matawang Ringgit Malaysia mereka kepada matawang asing.  Keadaan ini bergantung kepada permintaan Malaysia kepada barangan asing dan keinginan rakyat Malaysia menukar matawang Ringgit Malaysia kepada matawang asing untuk membeli hartanah, saham, bon dan lain-lain aset di negara lain. Apabila lebih rendah nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat, lebih rendahlah kos membeli barangan Malaysia oleh pemegang matawang Dollar Amerika Syarikat. Sebagai contoh, harga semasa sebuah kereta Proton Wira yang dibuat di Malaysia ialah RM50,000. Jika kadar pertukaran semasa ialah US$0.4 untuk setiap Ringgit Malaysia (atau RM2.50 = US$1), penduduk Amerika Syarikat akan membayar US$20,000 untuk membeli kereta tersebut.  Katakanlah pada masa sekarang kadar pertukaran ialah US$0.2 untuk setiap Ringgit Malaysia (atau RM5.00 = US$1), maka penduduk Amerika Syarikat cuma perlu membayar US$10,000 untuk mendapatkan kereta tersebut. Maksudnya lebih rendah harga matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, lebih rendahlah harga barangan, perkhidmatan, dan aset Malaysia dalam sebutan matawang asing tersebut.  Seterusnya apa yang sepatutnya berlaku ialah lebih banyak jugalah permintaan barangan Malaysia oleh negara yang mengalami kenaikan nilai matawang tersebut.  Keluk permintaan Ringgit Malaysia untuk matawang asing cerun kebawah dari kiri ke kanan.
            
Penawaran terhadap Ringgit Malaysia sebagai pertukaran untuk matawang asing, seperti Dollar Amerika Syarikat, bergantung kepada keinginan mereka yang memiliki matawang Ringgit Malaysia untuk membeli matawang Dollar Amerika Syarikat. Penawaran matawang Ringgit Malaysia untuk Dollar Amerika Syarikat boleh berlaku apabila rakyat Malaysia membeli barangan dan perkhidmatan Amerika Syarikat atau melabur di dalam sektor kewangan atau hartanah Amerika Syarikat.  Apabila lebih tinggi nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat, maka lebih banyaklah Ringgit Malaysia ditawarkan untuk mendapatkan Dollar Amerika Syarikat.  Keadaan ini menyebabkan lebih tinggilah kos membeli barangan Malaysia oleh pemegang matawang Dollar Amerika Syarikat. Sebagai contoh, harga semasa sebuah komputer yang dibuat di Amerika Syarikat ialah US$1,600. Jika kadar pertukaran semasa ialah US$0.4 untuk satu Ringgit Malaysia (atau RM2.50 = US$1), penduduk Malaysia akan membayar RM4,000 untuk membeli komputer tersebut.  Katakanlah pada masa sekarang kadar pertukaran ialah US$0.5 untuk satu Ringgit Malaysia (atau RM2.00 = US$1), maka penduduk Malaysia cuma perlu membayar RM3,200 untuk mendapatkan komputer tersebut.  Keadaan ini menyebabkan harga komputer dan lain-lain barangan Amerika Syarikat menjadi lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia. Keadaan ini boleh menyebabkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dari Amerika Syarikat.

Akan tetapi, apabila lebih tinggi harga matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, bererti lebih mahallah harga barangan, perkhidmatan, dan aset Malaysia dalam sebutan matawang asing tersebut. Sebaliknya lebih murah pula harga harga barangan tersebut dalam sebutan Ringgit Malaysia. Seterusnya apa yang sepatutnya berlaku ialah lebih banyak jugalah permintaan barangan luar negeri oleh penduduk Malaysia, dan semakin kurang pula permintaan barangan Malaysia oleh penduduk luar negeri. Keluk penawaran Ringgit Malaysia untuk matawang asing cerun ke atas dari kiri ke kanan. 

Penentu-penentu Perubahan Nilai Kadar Pertukaran Matawang Asing: 

Sepertimana yang telah diterangkan, permintaan terhadap Ringgit Malaysia oleh individu atau ahli-ahli perniagaan asing bergantung kepada keinginan individu atau ahli-ahli perniagaan menggunakan matawang Ringgit Malaysia untuk membeli barangan dan perkhidmatan Malaysia atau melabur di dalam sektor kewangan atau hartanah Malaysia.

Kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia kebiasaannya akan berubah mengikut pelbagai keadaan ekonomi yang boleh mempengaruhi permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran pertukaran asing. Enam faktor utama yang boleh mempengaruhi permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia adalah permintaan negara asing terhadap eksport Malaysia, permintaan Malaysia terhadap import, jangkaan nilai matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, keuntungan dari pelaburan terus dalam aktiviti perniagaan dan hartanah di Malaysia berbanding dengan keuntungan aktiviti pelaburan tersebut di tempat lain, tingkat harga umum di Malaysia berbanding dengan tingkat harga umum di negara asing, dan kadar bunga di Malaysia berbanding dengan di negara lain.

a)      Permintaan Negara Asing Terhadap Eksport Malaysia

Sekiranya pengimport dari Amerika Syarikat meningkatkan import barangan elektronik dari Malaysia tanpa mengurangkan permintaan terhadap lain-lain barangan Malaysia, permintaan Amerika Syarikat terhadap Ringgit Malaysia akan meningkat. Peningkatan permintaan terhadap Ringgit Malaysia akan menyebabkan keluk permintaan Ringgit Malaysia beralih ke kanan. Keadaan ini akan menyebabkan kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat akan turut meningkat.
            
Kenaikan permintaan luar negeri terhadap eksport Malaysia boleh disebabkan oleh kenaikan pendapatan benar negara-negara pengimport barangan Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan import negara tersebut akan bertambah. Keadaan sebaliknya akan berlaku sekiranya pendapatan negara-negara yang banyak berdagang dengan Malaysia mengalami kejatuhan ekonomi, keadaan ini akan menyebabkan permintaan import negara-negara tersebut akan berkurangan.

b)      Permintaan Malaysia Terhadap Import

Kenaikan permintaan import Malaysia pula akan menyebabkan penawaran matawang Ringgit Malaysia di pasaran pertukaran asing meningkat. Contohnya jika permintaan Malaysia terhadap perisian komputer yang diimport dari Amerika Syarikat bertambah, keadaan ini akan menyebabkan pertambahan penawaran Ringgit di pasaran pertukaran asing. Ini akan menyebabkan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat. 
            
Andaikan permulaannya kadar pertukaran Dollar Amerika Syarikat dengan Ringgit Malaysia ialah US$0.4 bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia (atau RM2.50 =US$1). Kemudiannya apabila penawaran Ringgit Malaysia bertambah kesan dari peningkatan import oleh pengilang-pengilang di Malaysia, kadar pertukaran menjadi US$0.3 bersamaan satu Ringgit Malaysia (atau RM3.33 = US$1). Faktor utama yang boleh menyebabkan peningkatan permintaan Malaysia terhadap barangan import ialah peningkatan pendapatan benar di Malaysia. Di samping itu, dasar-dasar kerajaan seperti meningkatkan penggunaan Teknologi Maklumat, pembinaan bangunan-bangunan baru dan dasar industri berat telah juga menyebabkan peningkatan import. Ini kerana komputer, perisisan komputer, barangan perantaraan dan barangan modal yang diperlukan untuk mencapai dasar yang ditetapkan masih banyak yang diimport dari luar negeri.

Keadaan sebaliknya akan berlaku apabila terjadi kejatuhan permintaan Malaysia terhadap barangan import.  Contohnya untuk memperbaiki imbangan pembayaran, kerajaan Malaysia boleh membuat dasar mengurangkan import barangan dari Amerika Syarikat. Keadaan ini akan menyebabkan kejatuhan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran kewangan dan menyebabkan kenaikan semula nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat.

c)      Ramalan Nilai Matawang Ringgit Malaysia Dalam Sebutan Matawang Asing

Permintaan dan penawaran sesuatu matawang juga dipengaruhi oleh ramalan perubahan kadar pertukaran sesuatu matawang di masa hadapan oleh mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi matawang.  Jika nilai matawang Ringgit Malaysia diramalkan akan meningkat pada masa hadapan, maka permintaan matawang Ringgit Malaysia akan meningkat pada masa sekarang, menyebabkan nilai matawang Ringgit Malaysia tertekan untuk meningkat nilainya dalam sebutan matawang asing. Sebaliknya apabila diramalkan nilai matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing akan merosot pada masa hadapan, permintaan semasa Ringgit Malaysia akan merosot dan terjadilah tekanan untuk matawang Ringgit merosot nilainya.  

Jika dijangkakan nilai matawang Ringgit Malaysia akan meningkat, penawaran matawang Ringgit Malaysia akan jatuh. Pengimport-pengimport Malaysia akan menangguhkan pembelian barangan dari negara luar sehinggalah kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia benar-benar meningkat nilainya.  Ini kerana peningkatan dalam nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing akan menyebabkan nilai matawang asing lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia. Seterusnya keadaan ini menyebabkan barangan dari negara asing menjadi lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia.

Mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi akan cuba mengambil keuntungan dari ketidakstabilan nilai sesuatu matawang. Contohnya di Malaysia, pada bulan September tahun 2013 berlaku kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat. Nilai matawang Ringgit Malaysia telah merosot dari kepada US$0.304 = RM1 (atau US$1 = RM3.30)

Keyakinan para pelabur dan mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi adalah penting kerana apabila mereka kurang yakin dengan kekukuhan sesuatu matawang, mereka akan melepaskan lebih banyak matawang tersebut dan membeli matawang yang lebih kukuh nilainya.  Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi ramalan mereka yang terlibat dalam spekulasi matawang. Di antaranya ialah anggapan bahawa matawang sesebuah negara terlebih nilai, menyebabkan mereka melepaskan pegangan matawang yang terlebih nilai tersebut, seterusnya menjatuhkan nilai matawang itu. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi keputusan spekulator matawang ialah keyakinan pelabur terhadap sistem perbankkan sesebuah negara, ketelusan dan kecekapan sistem kewangan, dasar kerajaan terhadap ekonomi, dan anggapan mengenai kesilapan atau kelemahan kerajaan dalam menguruskan dasar ekonomi. Dalam isu terkini, kejatuhan matawang ringgit berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat dikaitkan dengan penjualan semula bon-bon yang di beli oleh pelabur Amerika Syarikat dari pasaran bon di Malaysia. Keadaan inibukan hanya terjadi di Malaysia, tetapi juga di India, Indonesia dan Thailand.

Persoalan yang timbul ialah adakah keadaan yang berlaku di atas akan berterusan, iaitu nilai Ringgit Malaysia akan terus merosot. Mengikut hipotesis pariti kuasa beli yang menerangkan perkaitan di antara harga di dalam negeri berbanding dengan harga barangan tersebut di pasaran asing melalui kadar pertukaran asing, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia tidak akan terus berkekalan berlaku. Ini kerana apabila nilai Ringgit Malaysia lebih rendah dari kadar pariti kuasa beli, mereka yang terlibat dengan aktiviti spekulasi akan merasakan negara pengimport barangan Malysia akan meningkatkan import barangan Malaysia kerana harganya yang lebih murah dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat. Mereka yang terlibat dalam aktiviti spekulasi ini seterusnya akan membeli Ringgit Malaysia kembali dan nilai Ringgit Malaysia akan kembali meningkat. Dengan demikian adalah jelas kerajaan perlu mengujudkan persekitaran yang menyakinkan supaya krisis ekonomi tidak terjadi akibat dari kejatuhan nilai matawang.

d)   Keuntungan Dari Pelaburan Terus Dalam Aktiviti Perniagaan Dan Hartanah Di Malaysia Berbanding Dengan Keuntungan Aktiviti Pelaburan Tersebut Di Tempat Lain

Rakyat negara asing juga meminta matawang Ringgit Malaysia untuk membeli saham di Bursa Saham Kuala Lumpur, sektor hartanah di Malaysia, dan lain-lain aset di Malaysia. Apabila keuntungan membeli aset di Malaysia lebih menguntungkan berbanding dengan membeli aset dari negara lain, permintaan terhadap Ringgit Malaysia untuk membuat pelaburan sedemikian akan bertambah, seterusnya menyebabkan peningkatan kepada nilai Ringgit Malaysia. Pada masa yang sama penduduk Malaysia sendiri akan lebih berminat membuat pelaburan saham dan hartanah di Malaysia berbanding dengan di negara asing. Keadaan ini akan menyebabkan penawaran Ringgit  jatuh dan meningkatkan lagi nilai Ringgit Malaysia.


e)   Tingkat Harga Umum Di Malaysia Berbanding Dengan Tingkat Harga Umum Di Negara Asing.

Jika harga barangan buatan Malaysia seperti kasut, pakaian dan peralatan elektrik secara keseluruhannya meningkat sebanyak 10 peratus, ini bererti pada nilai kadar pertukaran yang sama harga barangan Malaysia turut meningkat sebanyak 10 peratus di negara pengimport. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan barangan Malaysia oleh rakyat asing akan merosot, yang mana akan menjatuhkan permintaan terhadap Ringgit Malaysia. Seterusnya berlakulah penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia. Begitu juga kenaikan tingkat harga umum (disebut sebagai inflasi) di Malaysia berbanding dengan tingkat harga umum di negara lain akan menyebabkan barangan keluaran negara lain menjadi lebih murah berbanding dengan barangan keluaran Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan barangan dari negara asing oleh rakyat Malaysia bertambah, yang mana menyebabkan peningkatan penawaran Ringgit Malaysia. Seterusnya berlaku juga penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia.

f)   Kadar Bunga Di Malaysia Berbanding Dengan Di Negara Lain

Keinginan rakyat asing memegang harta kekayaan dalam sebutan Ringgit Malaysia bergantung kepada kepada kadar bunga yang boleh diperolehi dari harta yang disimpan dalam sebutan Ringgit Malaysia tersebut. Lebih tinggi kadar bunga, lebih tinggi jugalah permintaan oleh rakyat asing untuk menyimpan harta mereka di Malaysia dalam sebutan Ringgit Malaysia.  Keadaan ini akhirnya akan meningkatkan lagi nilai matawang Ringgit Malaysia. Bagi rakyat Malaysia pula, kadar bunga yang tinggi akan menyebabkan pelabur-pelabur Malaysia lebih berminat menyimpan wang mereka di institusi kewangan di dalam negara. 

RUMUSAN


Bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia, sistem ekonominya adalah terbuka kepada keadaan ekonomi antarabangsa. Dasar Malaysia untuk memperkembangkan asas industri dari tertumpu kepada industri kecil dan sederhana kepada industri berat telah menyebabkan pengimportan barang modal dan barangan perantaraan yang begitu besar jumlahnya pada tahun-tahun 1990an.  Usaha-usaha perlu dibuat untuk memperbaiki Imbangan Pembayaran kerana apabila Imbangan Pembayaran mengalami defisit yang keterlaluan, wujud pula masalah seperti kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia. Didapati pada masa kini aktiviti spekulasi matawang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pasaran kewangan dunia. Liberalisasi dalam sistem kewangan yang menyebabkan pengurangan atau penghapusan sepenuhnya kawalan kewangan menyebabkan ada organisasi antarabangsa yang mendapatkan keuntungan dari aktiviti spekulasi matawang telah menimbulkan ketidakstabilan ekonomi negara-negara di Asia Tenggara.  Secara tidak langsung ianya juga menunjukkan keburukan globalisasi sistem kapitalis yang begitu jelas telah mempengaruhi ekonomi negara-negara di dunia sekarang ini. Walau bagaimanapun dengan keadaan sistem ekonomi Malaysia yang mempunyai asas ekonomi yang kukuh seperti kadar inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, kemudahan infrastruktur yang baik, buruh mahir yang ramai dan mudah dilatih, imbangan pembayaran yang kukuh kerana prestasi komoditi utama yang baik dan kestabilan politik telah membolehkan kerajaan dapat bertahan dengan kemelut ekonomi yang berlaku.

Sunday, August 11, 2013

Ukuran pencapaian program pembasmian kemiskinan

Artikel saya sebelum ini membincangkan kepentingan keseimbangan agihan pendapatan berbanding dengan peningkatan pendapatan (pada 27 Julai 2013) dan strategi yang dibuat untuk mencapai keseimbangan agihan pendapatan melalui program-program pembasmian kemiskinan (pada 30 Julai 2013). Kali ini saya ingin membincangkan ukuran pencapaian program yang dilaksanakan dan mengapa ukuran mengunakan teknik baru ini lebih relevan dan sesuai berbanding dengan ukuran peningkatan pendapatan semata-mata.

Ukuran pencapaian yang boleh digunakan untuk mengukur kejayaan sesuatu program yang kebiasaannya digunakan oleh penyelidik ialah perubahan tingkat pendapatan penerima sesuatu program tersebut. Walau bagaimanapun pengukuran pendapatan bukanlah suatu kaedah pengukuran yang baik. Kebiasaannya orang tidak suka memberikan maklumat pendapatan mereka yang sebenar atas pelbagai alasan. Antaranya takut tidak menerima bantuan di masa hadapan atau menghadapi kesukaran untuk mengukur perubahan pendapatan. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah menggunakan pengukuran keuntungan perniagaan, kesejahteraan hidup, perbelanjaan harian atau perubahan dari segi pemilikan aset kehidupan. Aset kehidupan yang dimaksudkan ialah modal fizikal (seperti pemilikan tanah, barang-barang dalam rumah seperti komputer, kemudahan internet, perabut, tv, peti ais, bilangan bilik, kereta, motorsikal, bilik air dan alat hawa dingin, jentera dan barang-barang yang boleh diniagakan), modal kewangan (wang tunai, simpanan dan pelaburan), modal manusia (tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman) dan modal semulajadi (seperti keadaan persekitan yang bebas dari pencemaran, kejadian jenayah, keharmonian kehidupan dan persekitaran yang baik).

Perbincangan pengukuran kejayan program peningkatan pendapatan dan seterusnya pengurangan kadar kemiskinan untuk topik ini akan mengunakan penemuan kajian terhadap penanam padi di kawasan perairan Muda (MADA) dan penerima bantuan keusahawanan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Indikator indeks kehidupan lestari petani di kawasan MADA

Pemilikan rumah dan alat kelengkapan rumah. Hampir kesemua petani didapati memilik rumah sendiri, bekalan air paip, elektrik, peti ais dan televisyen. Majoriti petani didapati memiliki sofa, radio, telefon talian mudah alih, mesin basuh, dapur gas dengan ketuhar dan set meja makan. Manakala, bagi alat kelengkapan Teknologi Maklumat (ICT) seperti internet dan komputer, peratus pemilikan adalah rendah (kurang daripada 11%). 

Pendapatan. Adalah didapati bahawa petani di Projek Ladang Contoh mempunyai nilai purata jumlah pendapatan ketua isi rumah yang tertinggi, mencapai RM2,887 sebulan, manakala, petani projek lain-lain pendapatan puratanya ialah RM2,264 sebulan. Majoriti pendapatan ini datang dari hasil pertanian. Sisihan piawai nilai purata jumlah pendapatan ketua isi rumah adalah agak tinggi, sejumlah RM1,437. Dari segi jumlah pendapatan bukan pertanian, petani projek ladang contoh mempunyai nilai purata tertinggi, iaitu RM1,107 sebulan. Faktor umur, pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan sampingan mempengaruhi penglibatan petani dalam aktiviti kerja sampingan

Kepuasan dan kegembiraan hidup. Sama ada di dalam atau di luar projek, petani didapati berpuas hati dengan dimensi kesihatan fizikal, kualiti alam sekitar, kegiatan istirehat bersama keluarga, hidup kerja dan keselamatan awam di tempat tinggal. Tambahan pula, dari dimensi kegembiraan hidup, petani (sama ada di dalam atau di luar projek) juga menunjukkan tahap kegembiraan yang tinggi terhadap kehidupan, kesihatan diri dan keluarga, kewangan dan hubungan rakan sekerja.

Pendapatan pertanian dan kesan subisdi

Pendapatan Pertanian. Petani-petani yang menyertai projek 10 Tan, Estet Padi dan Ladang Contoh, didapati mempunyai pendapatan pertanian yang lebih tinggi berbanding dengan di luar projek. Pendapatan petani di projek Ladang Contoh lebih tinggi sebanyak RM206 sebulan berbanding dengan pendapatan petani di luar projek. Begitu juga, pendapatan petani di projek 10 Tan lebih tinggi sebanyak RM129 sebulan, manakala, petani di projek Estet Padi lebih tinggi sebanyak RM46 sebulan berbanding dengan pendapatan petani di luar projek.

Implikasi dasar dari projek MADA

Majoriti petani di kawasan kajian adalah petani berumur, di mana purata umur adalah 57 tahun. Bilangan petani berumur yang ramai menyebabkan program-program pembaharuan seperti penstrukturan penanaman padi sukar dilakukan. Petani berumur kebiasaannya lebih suka kepada perlaksanaan kerja yang telah biasa mereka amalkan. Begitu juga umur yang telah memasuki umur pencen menyukarkan mereka untuk bekerja di luar dari aktiviti penanaman padi, dan usaha-usaha untuk memindahkan mereka dari aktiviti penanaman padi tentu sukar. Disamping itu insentif juga perlu diberi kepada penyewa agar mereka boleh meneruskan kehidupan mereka dalam tempuh masa tertentu sehingga mereka mendapat pekerjaan yang lain. Untuk menggalakkan  mereka keluar dari aktiviti pertanian, kaedah pemberian pendapatan gantian seperti imbuhan bulanan bersesuaian dengan saiz tanah mungkin lebih sesuai dilaksanakan.
           
Kefahaman berkaitan projek yang hendak dijalankan oleh MADA adalah penting kepada petani. Rancangan MADA untuk mempertingkatkan aktiviti pengurusan alternatif seperti Projek Estet Padi boleh menyebabkan petani merasa tergugat dengan kehilangan pendapatan dan sumber pekerjaan. Oleh yang demikian, maklumat dan penerangan kepada petani sebelum sesuatu projek dijalankan adalah baik untuk dilaksanakan.  Petani dijangka lebih bekerjasama sekiranya projek yang dijalankan itu dapat dibuktikan akan memberikan keuntungan kepada mereka.   

Indikator indeks kehidupan lestari projek AIM

Aset Kehidupan seperti modal kewangan adalah penting untuk mewujudkan peluang kepada usahawan kecil-kecilan seperti peserta projek AIM. Lebih-lebih lagi sekiranya modal kewangan secara khusus melibatkan pembiayaan kepada golongan miskin atau berkesejahteraan hidup rendah. Melalui pembiayaan kredit mikro ini mereka yang tidak bekerja akan berusaha untuk bekerja sendiri dan mereka yang telah bekerja sendiri akan dapat mengembangkan lagi aktiviti perusahaan. Sebenarnya melalui pembiayaan mikro kredit secara berterusan ini telah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menjana kesejahteraan hidup khususnya melalui perusahaan kecil dan sederhana dan memberi harapan untuk keluar dari kemiskinan. Kajian ini hanya memfokuskan kepada kesan pembiayaan mikro ke atas kesejahteraan hidup di kalangan peserta AIM. Secara keseluruhannya penemuan mendapati kesejahteraan hidup daripada aktiviti yang dibiayai oleh AIM menyumbang kepada pengurangan ketaksamarataan kesejahteraan hidupantara peserta isi rumah secara relatif berbanding bukan aktiviti yang dibiayai oleh AIM.

Justeru penyaluran kredit secara konsisten dan prosedur pemantauan yang berkesan telah berjaya mengurang insiden kemiskinan dikalangan peserta AIM. Seharusnya, dengan AIM membesarkan lagi pembiayaan projek ekonomi AIM, akan lebih cenderung mensetarakan kesejahteraan. Dapatan juga menunjukkan sumber kesejahteraan hidup daripada aktiviti di sektor pembuatan dan perubatan telah menyumbangkan kepada pengurangan jumlah peningkatan pendapatan yang begitu ketara. Walau bagaimanapun untuk terlibat dalam aktiviti pembuatan dan perniagaan perkhidmatan seperti perubatan (farmasi) memerlukan kemahiran khusus yang tertentu. Di sini pentingnya peningkatan kualiti modal manusia seperti pendidikan dan latihan.  

Implikasi dasar dari projek AIM

Dari segi implikasi dasar, walau pun dapatan kajian menunjukkan pembiayaan kredit-mikro memberi kesan positif kepada pengurangan kemiskinan, tetapi kajian ini juga mendapati faktor ketegasan institusi yang terlibat dari segi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mengikut masa yang ditetapkan adalah penting untuk memastikan projek kredit mikro ini terus lestari. Di dapati kaedah permohonan pinjaman yang memerlukan sokongan sahabat, bayaran secara kecil-kecilan dan dibuat secara mingguan dan hubungan rapat antara pemautau pinjaman dengan sahabat telah mempengaruhi kelestarian pinjaman AIM. Adalah menarik sekiranya kajian dapat dibuat kepada ciri-ciri aset kehidupan penerima bantuan AIM yang telah berjaya dan menjadi jutawan. Mereka ini tentunya mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti kesesuaian perniagaan yang diceburi dan pemilikan aset kehidupan yang positif dan boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka. Menarik jika kejayan mereka dapat dikongsi bersama dan menjadi teladan kepada penerima pinjaman AIM yang lain. 

Tuesday, July 30, 2013

Program pembasmian kemiskinan

Isu kemiskinan suatu isu yang penting untuk dikaji. Perbincangan saya kali ini akan merujuk kepada isu kemiskinan, definisi kemiskinan, program-program pembasmian kemiskinan dan keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dijalankan di Malaysia, terutama yang dijalankan oleh MADA, AIM dan TEKUN. Dari segi ekonomi, kemiskinan dimaksudkan sebagai satu golongan masyarakat yang berada di dalam keadaan kekurangan daripada keperluan asas tertentu. Kemiskinan sering dirujuk kepada kekurangan pendapatan, wang, atau modal. Dari segi sosiobudaya, kemiskinan sering dikaitkan dengan budaya kemiskinan dan kemiskinan sikap yang menuntut kepada perubahan sikap positif. Manakala dari segi pendidikan, kemiskinan sering dikaitkan dengan kemiskinan pengetahuan, ilmu dan pelajaran. Keciciran dalam bidang pendidikan boleh menyumbang kepada kemiskinan melalui pencapaian akademik, pekerjaan dan pendapatan yang bergaji rendah. Dari segi kesihatan, kemiskinan boleh dikaitkan dengan kekurangan pengambilan makanan berkhasiat yang boleh menyumbang kepada kekurangan tenaga untuk bekerja dengan baik. Dari segi kawasan, kemiskinan sering dirujuk sebagai fenomena di luar bandar, walaupun pada masa kini ianya telah banyak menunjuk kepada kemiskinan di bandar. Dari segi gender, kemiskinan sering berlaku di kalangan wanita atau pun ketua isirumah adalah terdiri dari wanita. Dari segi alam sekitar, sebahagian besar golongan miskin tinggal dalam situasi persekitaran yang rapuh seperti keadaan rumah yang tidak baik, sistem pengairan yang tidak teratur dan mudah terdedah dengan masalah banjir, keadaan tanah yang tidak subur, saiz yang kecil dan tidak ekonomik untuk diusahakan (Chamhuri, 2001).

Pendapatan isi rumah atau pendapatan per kapita sering digunakan sebagai ukuran kebajikan (Zulkarnain dan Isahaque, 2013), namun mempunyai kelemahan yang nyata ialah isi rumah lebih cenderung merendah anggaran pendapatan untuk beberapa tujuan, contohnya untuk tujuan mengelak dari dikenakan cukai atau untuk kekal dalam kategori miskin supaya mereka terus mendapat bantuan dan sokongan (Peter dan Bruce, 2006). Selain itu juga, pendapatan penduduk Negara Sedang Membangun (NSM) sebahagian besarnya terdiri daripada sumber pertanian yang sentiasa berhadapan dengan masalah turun-naik dalam hasil dan pendapatan dari tahun ke tahun.

Berasaskan pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan bagi satu tahun tertentu, jumlah isi rumah yang berada di bawah dan di atas PGK dapat ditentukan. Jumlah isi rumah miskin ditentukan sebagai mereka yang berada di bawah PGK, manakala kadar kemiskinan dan ketermiskinan ditentukan dengan membahagi jumlah isi rumah miskin dan termiskin dengan jumlah isi rumah. Penggunaan konsep jumlah pendapatan dan pendapatan per kapita akan memberikan jumlah isi rumah miskin dan tahap kadar kemiskinan yang berbeza. Penggunaan konsep per kapita yang mengambil kira saiz isi rumah merupakan pendekatan yang lebih tepat dan cenderung menghasilkan jumlah isi rumah miskin dan kadar kemiskinan yang lebih rendah. Mengikut Unit Perancang Ekonomi (EPU), pendapatan garis kemiskinan (PGK) pada tahun 2009 bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia sebanyak RM763  sebulan (US$254) untuk dianggap ‘miskin‘ (Laporan Audit Negara, 2011). Ukuran RM763 sebulan tersebut adalah terkurang anggar sekiranya mengikut piawai piawai Bank Dunia. Ini kerana piawai Bank Dunia menetapkan keperluan untuk sara hidup seorang individu ialah RM6.20 per kapita/hari (US$2 PPP). Dengan demikian jika purata isirumah ialah 4.4 orang, maka PGK ialah RM818 sebulan (RM6.2 0/hari x 4.4 orang  x 30 hari). Di Australia dan Britain, pendapatan ‘median’ digunakan sebagai petunjuk untuk mengukur PGK, iaitu dua per tiga (2/3) dari pendapatan median.  Pada tahun 2010 pendapatan median bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia ialah RM2,830 (US$944). Maka pendapatan PGL ialah RM1,885 sebulan (US$629) (Zulkarnain dan Isahaque, 2013). Dengan keadaan kos kehidupan pada masa kini, maka penggunaan dua per tiga (2/3) dari pendapatan median lebih sesuai digunakan dan munasabah.

Jefrey Sachs (2005) dalam bukunya The End of Poverty mengatakan faktor intervensi dari kerajaan adalah penting untuk meningkatkan keupayaan individu miskin untuk keluar dari keadaan miskin dan berupaya meningkatkan tabungan dan pelaburan yang menjadi penggerak kepada pengumpulan modal untuk menjadi tidak miskin. Jefrey Sachs menunjukkan terdapat hubungan di antara aktiviti ekonomi, tabungan, pelaburan modal dan peningkatan aktiviti ekonomi. Isirumah menggunakan pendapatan untuk tujuan penggunaan, tabungan dan cukai. Kerajaan pula menggunakan hasil cukai kepada perbelanjaan semasa dan perbelanjaan pembangunan. Modal ekonomi pula dihasilkan oleh penjimatan isi rumah dan pelaburan kerajaan. Pembentukan modal yang lebih tinggi membawa kepada pertumbuhan ekonomi, yang seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah melalui kesan dari pertumbuhan pendapatan.

Bantuan modal untuk sesuatu projek akan membawa kepada proses pengumpulan modal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan di kalangan isirumah yang menerima faedah dari bantuan yang diberikan. Melalui program-program pembiayaan mikro dan peningkatan hasil padi dijangkakan perangkap kemiskinan dapat dimusnahkan dan pengumpulan modal akan berlaku. Pertumbuhan ini dilihat dari segi peningkatan tabungan isi rumah dan pelaburan kerajaan yang dapat dibuat selepas isirumah yang mengalami peningkatan pendapatan dari projek yang dijalankan, mula membayar cukai atau menyumbang hasil zakat kepada kerajaan. Kerajaan pula melalui hasil cukai atau zakat tersebut dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan lain yang akan memberi faedah kepada lebih ramai orang.

Tiga institusi yang aktif dalam program pembangunan dan seterusnya boleh dikaitkan dengan program pembasmiaan kemiskinan di Malaysia ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Tiga institusi ini merupakan tiga institusi yang penting dan aktif membuat program meningkatkan pendapatan golongan miskin dan penduduk luar Bandar. MADA terlibat dalam projek pembangunan pengeluaran padi, manakala AIM memang terlibat secara langsung dengan program mikrokredit untuk kaum wanita yang miskin. TEKUN pula terlibat dengan program mikro-kredit untuk usahawan yang telah sedia terlibat dalam program pembangunan keusahawanan.

Penemuan dari kajian yang saya jalankan berkaitan dengan peranan institusi-institusi tersebut dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar dan seterusnya mengurangkan kemiskinan golongan tersebut mendapati MADA didapati memberi sumbangan besar dari segi khidmat nasihat dan program-program memperbaiki infrastruktur dan peningkatan hasil padi, manakala AIM dan TEKUN dari segi peranan sahabat, kemudahan pinjaman, dan latihan keusahawanan Walau bagaimanapun, faktor individu itu sendiri juga memainkan peranan yang sama penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka. Sebagai contoh untuk petani di kawasan MADA faktor pengurusan masa lapang, pemilikan modal kewangan dan modal manusia sangat mempengaruhi kehidupan lestari mereka. Untuk peserta AIM dan TEKUN pula dipengaruhi oleh ciri pembangunan keusahawanan dikalangan usahawan itu sendiri.

Keseluruhannya dapat dinyatakan bahawa institusi yang terlibat perlu, pertama, mengukuhkan sistem penyampaian, bimbingan dan pemantauan institusi; kedua, mengukuhkan rantaian sosial sesama petani atau usahawan melalui penubuhan persatuan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan persatuan peniaga-peniaga kecil; dan ketiga, memperkukuhkan modal kewangan dan modal manusia petani atau usahawan melalui peruntukan kewangan yang berterusan dan terkawal serta latihan dari usahawan yang telah berjaya.

Saturday, July 27, 2013

Kepentingan keseimbangan pengagihan pendapatan berbanding dengan peningkatan pendapatan

Saya tertarik dengan artikel oleh Profesor Miles Corak dari University of Otawa, Kanada bertajuk “Income Inequality, Equality of Opportunity, and Intergenerational Mobility” yang diterbitkan dalam Journal of Economic Perspectives. Beliau berpendapat penduduk sebuah Negara yang bebas bersuara dan melakukan apa yang dikehendaki, dan boleh mencapai apa yang dikehendaki dengan syarat perlu bekerja dengan kuat adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua penduduk di mana-mana negara di dunia ini.  Lebih penting lagi semua orang boleh berjaya tidak kira asal usul seseorang, dari keluarga berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi. Walau bagaimanapun dalam keadaan sekarang di mana berlaku ketidakseimbangan agihan pendapatan yang ketara, iaitu yang kaya terlalu kaya dan menguasai ekonomi, dan yang miskin terus miskin, mobiliti golongan muda untuk berjaya ke arah mencapai pendapatan tinggi melalui pekerjaan atau perniagaan yang diceburi semakin sukar terjadi. Kumpulan berpendapatan tinggi melakukan pelaburan yang besar dalam “modal manusia” anak-anak mereka seperti melalui kelas tuisyen, menyertai persatuan yang ekslusif, dan penghantaran anak untuk mendapat ijazah kedua (master) di luar Negara. Hubungan antara keluarga, pasaran buruh, dan polisi awam di dapati telah mencorakkan peluang untuk berjaya dalam pekerjaan dan perniagaan bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi berbanding anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

Ketidakseimbangan agihan pendapatan masa kini mempengaruhi pula modal sosial golongan muda tersebut. Mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang berjaya didapati mempunyai peluang yang lebih besar untuk terus kekal dalam kelompok elit tersebut. Dengan kata lain terdapat hubungan songsang di antara ketidakseimbangan agihan pendapatan yang diukur dengan “Gini Coeficient” dengan “intergeneration economic mobility”. Di Malaysia boleh dilihat contoh ahli-ahli perniagaan terkenal seperti ahli keluarga kumpulan Naza, Sapura, Genting Berhad, CIMB Bank dan  Public Bank.  Ramai ahli keluarga dari pemilik atau pengurusan tertinggi dari institusi perniagaan tersebut meneruskan tradisi ahli keluarga mereka, terutama dari hubungan ayah dan anak. Dari kalangan ahli politik pula, boleh dilihat dari kalangan ahli politik sama ada dari kalangan parti pemerintah mahu pun dari kalangan parti pembangkang. Pucuk pimpinan parti politik tersebut mempunyai ahli keluarga, terutamanya anak yang berjaya dalam politik.

Selain dari mobiliti sosial, indeks masalah sosial dan kesihatan juga boleh dibentuk dari petunjuk-petunjuk isu-isu sosial dan kesihatan seperti kadar kematian kanak-kanak yang baru lahir, jangka hayat penduduk mengikut tingkat pendapatan, masalah sosial seperti “mat rempit”, lari dari rumah dan kelahiran anak luar nikah, keciciran di sekolah (school drop outs),  jenayah dan obesiti.  Adalah menarik kajian mengikut negara mendapati tidak ada hubungan di antara tingkat Keluaran Negara Kasar (GNP) dengan indeks isu-isu sosial dan kesihatan, tetapi bila di lihat mengikut ketidakseimbangan agihan pendapatan, di dapati ada hubungan yang positif. Negara yang mempunyai agihan pendapatan yang tidak seimbang, lebih tinggi pula masalah sosial dan kesihatan.

Saya membangkitkan isu ini kerana saya merasakan ketidakseimbangan agihan pendapatan yang berlaku di Malaysia kini berada di tahap yang membimbangkan, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Isu kenaikan harga barang keperluan asas seperti tempat tinggal (rumah), pendidikan,  harga barang makanan dan kos utiliti seperti bil letrik dan bil air menjadi perhatian utama isirumah kumpulan pendapatan sederhana pertengahan dan kumpulan pendapatan rendah pada masa kini. Pertama - Isu perumahan. Harga rumah di bandar-bandar besar tersebut begitu tinggi dan di luar dari rasional golongan muda yang baru bekerja untuk memilikinya. Walau bagaimanapun bila dibina projek perumahan baru dan diiklankan di akhbar, harga rumah yang mencecah melebihi RM350 ribu tersebut dengan cepat habis dijual. Maksudnya ada permintaan dan permintaan tersebut melebihi dari penawaran. Persoalannya siapakah sebenarnya pembeli tersebut? Adakah mereka pembeli rumah pertama? Atau spekulator yang membeli rumah dengan tujuan untuk menjualnya dengan harga lebih mahal? Atau pembeli luar terutama pembeli dari Singapura yang ingin memiliki harta di Malaysia hasil dari pemilikan kekayaan mereka yang begitu tinggi? Sekiranya spekulator atau pembeli rumah dari Singapura yang membeli, sesuatu polisi yang sesuai untuk menyekat keadaan ini berlaku perlu dibuat oleh kerajaan. Rumah adalah keperluan asas, dan jika ramai penduduk tidak memiliki rumah yang mampu milik, maka ianya petunjuk ketidakseimbangan agihan pendapatan telah berlaku dan boleh menyebabkan banyak isu sosial dan kesihatan yang tidak baik kepada kesejahteraan Malaysia di masa hadapan.

Kedua- isu pendidikan. Pendidikan adalah penting kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik. Sekiranya kajian dibuat dengan baik, kita boleh dapat hubungan yang positif di antara latar belakang keluarga dengan pelajar yang pandai dan duduk di kelas teratas di sesebuah sekolah. Begitu juga menarik jika dapat dilihat hubungan di antara pencapaian pelajar yang cemerlang di peperiksaan UPSR, SRP dan SPM dengan latar belakang keluarga. Saya tertarik dengan sebuah sekolah rendah di Arau, Perlis yang berjaya meningkatkan prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR dengan membuat strategi memasukkan kesemua pelajar Darjah Enam ke dalam asrama. Dengan strategi tersebut, kesemua pelajar mempunyai peluang yang sama dari segi pembelajaran, makanan, masa belajar dan kemudahan pembelajaran. Mereka tidak perlu lagi menjaga adik kerana ibu dan bapa bekerja, tidak ada kemudahan meja dan buku untuk belajar dan ketidakcukupan makanan yang boleh mempengaruhi kesihatan mereka. Hasilnya pada tahun lepas prestasi akademik pelajar di sekolah luar bandar tersebut mendadak meningkat, dengan bilangan pelajar mendapat keputusan 5A dan peratusan pelajaran yang lulus 100 peratus meningkat. Faktor persekitaran pelajar yang dikawal didapati telah mempengaruhi keputusan pelajar tersebut.

Program sekolah berasrama penuh pada masa saya dahulu perlu dipraktikkan semula. Pelajar yang ibu bapanya berpendapatan kurang dari jumlah pendapatan tertentu, seperti RM3,000 sebulan sahaja dipilih untuk ke sekolah berasrama penuh tersebut. Pemilihan pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana rendah dan berpendapatan rendah ini perlu dipraktikkan dengan sepenuhnya. Ibu bapa berpendapatan tinggi mempunyai kelebihan untuk memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka di sekolah yang biasa. Pada zaman saya, kebanyakan kami yang berasal dari luar bandar, dan di hantar ke sekolah berasrama penuh tersebut, majoritinya telah berjaya dalam pembelajaran dan kerjaya. Ada yang telah menjadi kontraktor kelas A, doktor pakar, ahli farmasi, ahli perniagaan dan guru. Saya berasal dari Melaka dan sekolah saya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Oleh yang demikian perjalanan dari kampung ke sekolah pada setiap cuti persekolahan hanya menggunakan keretapi. Waran keretapi diberikan kepada kami dan majoriti ibu-bapa yang menghantar anak menggunakan pengangkutan awam, terutamanya keretapi dan bas sahaja. Perjalanan dari Stesen keretapi Tampin ke Bukit Mertajam tersebut memberikan pengalaman yang menarik kerana setiap gerabak keretapi ditanda dengan nama sekolah kami seperti gerabak “SM Tengku Kursiah” Seremban, “SM Alam Shah” Selangor, STAR (Sekolah Tunku Abdul Rahman) Ipoh, MCKK (Malay College Kuala Kangsar) Kuala Kangsar dan SMSPP (Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang) Bukit Mertajam. Program-program lain seperti program pengagihan semula pendapatan yang seimbang ini suatu program yang penting dan perlu diberi penekanan yang kuat oleh pembuat polisi di Malaysia.

Ketiga - isu harga barang makanan. Isu ini telah saya bincangkan pada penulisan yang lalu. Keempat - isu kos utiliti seperti bil letrik dan bil air. Saya dapati dari pengalaman saya sendiri terdapat kenaikan kadar caj bil elektrik isirumah yang keterlaluan pada masa kini. Bermula dari kadar RM0.218 sen seunit untuk 200 unit yang pertama dan terus kepada RM0.334 sen seunit, RM0.40 sen seunit, RM0.402 sen seunit, RM0.416 sen seunit, RM0.426 sen seunit, RM0.437 sen seunit, RM0.453 sen seunit, dan RM0.454 sen seunit untuk setiap 100 unit yang berikutnya. Kalau dulu caj bulan elektrik di antara RM100 ke RM 200 sahaja, sekarang caj bulanan naik kepada di antara RM200 hingga RM400. Alasan pembekal perkhidmatan letrik ialah kenaikan kos bahan api seperti gas dan petroleum yang mana bahan api ini digunakan untuk menggerakkan stesen janakuasa elektrik. Masalahnya kos bahan api ini ada masanya turun dan naik, mengapakah pada masa kos bahan api turun, kadar caj letrik tidak akan turun? Dari segi ekonomi dilihat pula cara pengurusan institusi pembekal perkhidmatan letrik ini. Masihkah perjanjian yang berat sebelah dengan pembekal tenaga elektrik swasta 'Independent Power Plant' (IPP) diteruskan? Mengapakah instusi yang dikatakan mengalami kerugian masih membayar bonos tahunan kepada kakitangannya sehingga empat bulan gaji? Kebiasaanya syarikat yang untung sahaja yang membayar bonos tahunan. Faktor-faktor pertimbangan kebajikan rakyat perlu diambil perhatian oleh institusi sebegini dan pembuat polisi perlu perihatin dengan kenaikan kos sara hidup yang keterlaluan pada masa kini.


SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG SAYA. SEBARANG KOMEN YANG MEMBINA ADALAH DIPERSILAKAN.

Sunday, July 21, 2013

Penyelesaian kenaikan harga ayam di musim perayaan

Seperti biasa, harga ayam di musim perayaan kini telah mencecah kepada RM9 sekilogram, dan menjadi kebiasaan juga pihak media pergi ke pasar-pasar bertanya kepada penjual dan pembeli. Dua tiga hari kemudian mulalah operasi pemeriksaan pegawai penguatkuasa di pasar-pasar berkenaan. Peniga pasar dengan selamba pula akan menjawab mereka menjual berdasarkan margin tertentu dari harga borong yang diberikan oleh pembekal. Pembekal pula meletakkan harga selepas mengambilkira margin tertentu dari bekalan yang diperolehi di peringkat ladang dari penternak. Peniaga kecil ayam hanya menerima harga borong yang ditetapkan oleh penternak dan pemborong, dan jualan mereka dalam jumlah yang kecil sahaja. Perkara ini memang menjadi isu dikalangan pengguna dan pihak kerajaan. Peruncit hanya memindahkan kenaikan harga ayam di peringkat borong kepada pengguna yang membeli ayam di peringkat runcit.

Sebenarnya harga sesuatu barang dipengaruhi oleh faktor seperti keadaan permintaan, keadaan penawaran, perkhidmatan pemasaran dan kos dan campurtangan kerajaan. Penternak kecil-kecilan sukar bersaing dengan penternak besar, dan pada masa kini lebih tertumpu untuk menjalankan perniagaan secara "contract farming" dengan pasaran runcit besar seperti Kentucky Fried Chicken dan Ayamas.  Faktor seperti bekalan anak ayam, makanan ayam, ubat-ubatan dan kos pembinaan reban ayam berubah-ubah mengikut masa. Kebiasaannya musim perayaan menjanjikan keuntungan yang tinggi kepada penternak kecil-kecilan untuk menampung kerugian di luar musim perayaan. Penternak besar-besaran pula sentiasa dapat menyesuaikan keadaan harga dengan penawaran kerana mereka mengeluarkan sendiri anak ayam, makanan ayam dan ubat-ubatan yang diperlukan dalam industri penternakan. Pada masa sekarang pula, diketahui 12 penternak utama menguasai melebihi 80 peratus dari pasaran ayam di Malaysia. Keadaan perniagaan ayam menjadi seperti organisasi perniagaan bercorak Oligopoli apabila penternak-penternak besar ini berjumpa dan berbincang menentukan penawaran, penentuan harga pasaran yang sesuai dan berbincang dengan kerajaan. Pusat persatuan penternak ayam ini adalah di Selangor. Pada setiap bulan pengusaha penternakan ayam yang utama dari setiap negeri akan berbincang untuk menentukan harga ayam dan lain-lain isu berkaitan dengan penternakan dan pemasaran ayam.

Dalam artikel saya yang lalu saya ada menyebut tindakan yang perlu dibuat oleh kerajaan untuk mengelakkan penguasaan pasaran oleh beberapa penternak besar ini. Di antaranya ialah galakan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan penternakan secara kecil-kecilan terutama ternakan ayam kampung atau ayam organik. Peningkatan bekalan ayam dari kawasan luar bandar tentunya akan mengurangkan tekanan permintaan yang boleh menaikkan harga ayam. Langkah memboikot mungkin sukar dilakukan kerana ketidakanjalan permintaan harga bagi ayam. Faktor kedudukan ayam sebagai barangan keperluan isirumah dan tidak mempunyai pengganti yang hampir menjadikan permintaan ayam tidak anjal harga. Harga barang pengganti yang hampir seperti daging pun sudah mencecah RM22 sekilogram. Begitu juga harga ikan yang turut mengalami peningkatan harga yang ketara. Persoalanya adakah penduduk luar Bandar tahu bagaimana menternak ayam? Anak-anak muda sekarang sudah ramai yang tidak tahu pergi ke sawah, ladang dan berkebun lagi. Program-program di Universiti asal ada nama pertanian sudah tidak popular di kalangan pelajar. Kementerian pendidikan sepatutnya mewajibkan setiap sekolah ada persatuan pertanian dan penternakan. Pelajar-pelajar sepatutnya dilatih mengenai pertanian di peringkat sekolah mengenai teknik-teknik menanam sayur, buah-buahan dan menternak. Kawasan pertanian perlu ada di setiap sekolah. Graduan lepasan Institut Latihan Pertanian di Bukit Tangga atau Institut Latihan Pertanian yang lain boleh diserap untuk menjadi tenaga pengajar di setiap sekolah. Ini kerana graduan tersebut dengan latihan pertanian yang begitu intensif sekali tentunya menjadi tenaga pengajar di bidang pertanian yang sesuai di sekolah-sekolah. Dengan adanya pengetahuan dan kemahiran bertani dan berternak barulah pelajar tersebut apabila dewasa mudah menjalankan projek-projek yang bercorak pertanian. Pada masa kini setahu saya kemahiran pertanian diajar kepada pelajar yang tidak berkebolehan dari segi akademik sahaja. Sepatutnya program pendidikan pertanian ini diajar kepada semua pelajar yang berminat. Diketahui umum sekarang ramai lepasan sekolah yang tidak berpengalaman langsung dalam bersawah, berkebun dan menternak. Sudah tentu apabila dewasa, lepasan sekolah yang tidak ada pengetahuan asa pertanian dan penternakan tidak akan terlibat langsung dengan aktiviti pertanian dan penternakan. Seterusnya sukarlah untuk menggalakkan aktiviti pertanian di rumah, terutamanya dalam aktiviti sampingan pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran, ayam dan itik dan sebagainya.

Strategi mengimport ayam dari negara lain bukan penyelesaian terbaik kerana harga ayam di Negara pengeksport sendiri boleh berubah-ubah mengikut kos pengeluaran serta keadaan permintaan dan penawaran di Negara tersebut sendiri, di samping isu halal yang menjadi isu utama kepada umat Islam di Malaysia. Dalam hal pemakanan, kita bukan hanya melihat kepada produk makanan tersebut, tetapi juga perlu dilihat apa yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut. Dalam kes penternakan ayam, perlu dikaji juga makanan dan ubat-ubatan yang digunakan untuk membesarkan ayam tersebut perlu dari sumber yang halal. Bolehkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memastikan ayam diimport memenuhi standard halal yang ditetapkan?

Saturday, July 20, 2013

Salmon Fishing in Yemen

Petang ini saya menonton filem “Salmon Fishing in Yemen” di  TV Astro. Apa yang menarik mengenai filem ini ialah kreativiti pemimpin (Sheikh) Yemen yang melihat potensi untuk penternakan ikan Salmon di sungai di Yemen (ini hanya cerita kerana semasa saya ke Yemen pensyarah di sana tak pernah pun cerita fasal penternakan ikan Salmon). Seperti biasa penduduk lain yang konservatif menentang proses pembangunan ini dengan anggapan ianya sebagai penjajahan bentuk baru bila bekerjasama dengan orang Eropah. Cerita ini  menunjukkan betapa pentingnya pendidikan, modal, pengetahuan, kefahaman kumpulan sasar dan kerjasama penduduk setempat untuk menjayakan sesuatu projek pembangunan.

Pengalaman saya semasa pergi ke Yemen pada Tahun 2010 memang menarik. Saya dijemput untuk mengajar subjek Managerial Economics program MBA kerjasama Universiti of Yemen, Sanaa dengan OUM, Kuala Lumpur. Negara Yemen mempunyai cuaca 4 musim dan cuacanya sangat nyaman. Bilik tempat saya tinggal tidak ada alat hawa dingin dan kipas. Semasa masa lapang, saya di bawa melawat ke kawasan-kawasan yang menarik di Sanaa. Memang kawasan di Yemen tidak banyak pokok dan tanahnya berbatu. Penduduknya mengamalkan cara hidup sederhana dan masjid boleh didapati dengan mudah di setiap kawasan penempatan. Memang sesuai untuk mereka yang hendak belajar bahasa Arab atau pengajian Al-Quran di sana. Kerjasama Universiti of Yemen itu bukan hanya dengan OUM, tetapi juga dengan universiti-universiti lain seperti UUM, UKM dan UiTM. Presiden universiti tersebut memang mempunyai wawasan yang baik. Beliau sedar pendidikan penting kepada pembangunan Yemen. Malangnya pada masa sekarang berlaku ketidakstabilan politik di Yemen dan banyak program kerjasama tersebut tergendala atau kini dijalankan secara bersendirian oleh Universiti of Yemen.

Di Malaysia, kita dapat lihat projek-projek seperti Lebuhraya Utara Selatan, keretapi berkembar dan kemudahan lain yang terdapat di Kuala Lumpur seperti projek pencegahan banjir SMART, sistem monorail, Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) dan keretapi komuter di antara projek-projek yang baik dan memandang ke hadapan. Begitu juga projek memperkasakan sistem pendidikan seperti pembentukan MQF (Malaysian Qualification Framework) yang dapat menjaga kualiti pendidikan di Universiti awam mahupun di universiti swasta.

Dua minggu yang lepas semasa menyampaikan satu ceramah atas jemputan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perlis (UPEN) untuk projek Perlis Maju saya ada memberikan beberapa pandangan berkaitan aplikasi teori pembangunan dan kepentingan golongan usahawan sebagai penggerak sesuatu projek pembangunan. Projek-projek yang dibuat oleh usahawan seperti projek perniagaan pasaraya Cmart di Arau, produk herba oleh HPA di Jejawi, pusat perikanan di Kuala Perlis dan Kuala Sungai Baru adalah di antara projek-projek yang boleh dilihat potensinya. Seterusnya kerajaan negeri perlu mengenalpasti apa yang boleh dibuat untuk mempertingkatkan lagi prestasi projek yang telah sedia ada tersebut. Perbincangan yang melibatkan pelbagai ‘stakeholder’ adalah baik dan dapat dikumpulkan pelbagai idea yang tepat dan bersesuaian.  Medan ikan bakar di Kuala Perlis adalah popular kepada penduduk tempatan dan pelawat-pelawat dari negeri lain yang datang ke negeri Perlis. Kebersihan dan tempat meletak kereta yang baik sahaja yang perlu diperbaiki lagi. Disebabkan kawasan tersebut berhampiran dengan Jeti ke Langkawi, maka ada kalanya mereka yang hendak ke Langkawi juga meletak kereta berhampiran dengan medan ikan bakar. Berlakulah kesesakan dan menyukarkan pelawat yang hendak ke medan ikan bakar untuk meletak kereta mereka. Sebaik-baiknya dibuat tempat meletak kereta bertingkat berhampiran dengan jeti tersebut, dan mereka yang hendak ke Langkawi perlu meletak kereta di situ. Pemilik tanah persendirian boleh diajak untuk memberikan tanah mereka dan dijanjikan perkongsian keuntungan dari projek yang dijalankan.

Usahawan sangat penting kepada proses memajukan sesebuah negeri atau Negara. Idea dari mereka adalah pelbagai dan mereka bebas menggunakan kreativiti mereka untuk menjalankan perniagaan yang hendak dijalankan. Apabila perniagaan mereka maju, mereka akan mengambil lebih ramai pekerja dan meningkatkan kutipan cukai kepada Majlis Perbandaran dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Hasil cukai yang diperolehi itu pula boleh digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek-projek yang lain pula. Dari pusingan ekonomi sebeginilah baru sesebuah negeri tersebut boleh maju.

Usahawan seperti Tan Sri Mokhtar yang menguasai pelbagai perniagaan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, BERNAS, KTM, dan lain-lain lagi yang membolehkan projek-projek tersebut memperolehi keuntungan adalah sesuatu yang boleh dijadikan contoh kepada usahawan yang lain.  Keuntungan usahawan ini pula digunakan juga untuk membuat projek-projek untuk masyarakat umum di peringkat tempatan dan antarabangsa seperti pembinaan Masjid AlBukhary dan Universiti swasta AlBukhary di Alor Setar. Masjid tersebut sangat lengkap dengan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh musafir. Begitu juga ada kemudahan untuk rawatan pesakit yang kurang berkemampuan dan tempat tinggal orang tua. Universiti swasta itu pula memberikan pendidikan percuma kepada golongan muda Islam dari seluruh dunia. Pelajar Islam dari seluruh dunia yang berkumpul belajar di Malaysia ini akhirnya akan menjadi duta untuk memudahkan Malaysia mencari pasaran baru di luar Negara. Diketahui umum telah ramai pelajar antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa yang telah menjadi usahawan atau pemimpin di negara-negara asal pelajar berkenaan. Ini telah banyak membantu Malaysia dalam usaha mencari rakan dagangan atau kerjasama lain dalam bidang akademik dan politik.

Monday, May 27, 2013

Keputusan membeli atau memajak tanah (3)

MEMBELI TANAH
Pembelian sebuah ladang adalah keputusan penting yang sering melibatkan jumlah wang yang besar. Pembelian tanah akan mempunyai kesan jangka panjang pada kecairan perniagaan. Langkah pertama dalam keputusan pembelian tanah adalah untuk menentukan nilai tanah tersebut. Potensi pendapatan adalah penentu yang paling penting dalam nilai tanah. Seterusnya tanah yang hendak dibeli perlu diperiksa dengan teliti untuk mengenal pasti mana-mana kawasan yang bermasalah yang mungkin mengurangkan nilainya. Bangunan juga perlu diperiksa kekukuhan strukturnya, dan jenis tanah perlu dikenal pasti. Parit dan masalah hakisan, pasir dan kawasan batu, batu batuan, dan bahaya lain harus diperhatikan dan jangkaan hasil diselaraskan sewajarnya. Bahaya alam sekitar seperti pencemaran air boleh mengurangkan nilai tanah. Faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah:

1. Tanah, Topografi dan Iklim. Faktor-faktor ini bergabung untuk menjejaskan tanaman dan potensi pengeluaran ternakan dan oleh itu aliran pendapatan yang diharapkan.

2. Bangunan dan Penambahbaikan. Bilangan, saiz, keadaan, dan kegunaan bangunan, pagar, struktur penyimpanan, dan pembaikan lain akan menjejaskan nilai sebidang tanah. Ladang  yang kemas dan menarik boleh menambah nilai kewangan kepada sebuah ladang; manakala ladang yang tidak teratur dan bangunan yang usang boleh mengurangkan nilai ladang tersebut.

3. Saiz. Ladang-ladang kecil dan sederhana boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi bagi setiap ekar daripada ladang-ladang besar. Satu jumlah harga pembelian yang lebih kecil meletakkan ladang dalam jangkauan kewangan sebilangan besar pembeli. Beberapa jiran petani boleh mempertimbangkan pembelian sebuah ladang kecil dengan cara yang baik untuk meningkatkan saiz perniagaan mereka, dan membuat tawaran harga yang tinggi.

4. Pasaran. Jarak ke beberapa pasaran akan mengurangkan kos pengangkutan, meningkatkan persaingan bagi produk ladang, dan mungkin menaikkan harga jualan bersih.

5. Masyarakat. Sebuah ladang yang terletak di kawasan yang diurus dengan baik, dijaga rapi atau dalam komuniti di mana tanah jarang bertukar tangan akan mempunyai harga jualan yang lebih tinggi.

6. Lokasi. Lokasi berkaitan dengan sekolah-sekolah, gereja, bandar-bandar, kemudahan rekreasi, jalan berturap, dan pembekal input pertanian juga akan menjejaskan nilai. Bakal pembeli yang merancang untuk tinggal di ladang akan memberi perhatian khusus kepada komuniti dan perkhidmatan yang disediakan di kawasan umum.

7.  Bersaing Penggunaan. Tanah berhampiran bandar atau kawasan rekreasi, atau yang mempunyai deposit mineral, mungkin mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada tanah pertanian yang lain kerana kegunaan lain yang berpotensi. Potensi perolehan modal yang boleh melebihi pendapatan daripada pengeluaran pertanian.

8.  Ciri-ciri Program Pertanian. Beberapa bidang tanah yang mempunyai sejarah tanaman corak dan hasil yang mempengaruhi tahap faedah yang disediakan untuk program komoditi tertentu.

Keputusan membeli atau memajak tanah (2)

MEMBELI ATAU MEMAJAK TANAH
Berapa banyak tanah untuk diusahakan dan bagaimana cara untuk memperolehinya adalah dua daripada keputusan penting yang akan dibuat oleh petani atau penternak. Kesilapan keputusan yang dibuat sekarang boleh mempengaruhi keadaan pada masa hadapan pelaburan yang telah dibuat.

Terlalu sedikit tanah mungkin bermakna perniagaan adalah terlalu kecil untuk menggunakan sepenuhnya sumber-sumber lain yang ada seperti jentera ladang, lori, mesin membajak, modal dan buruh. Sebaliknya pula jika membeli tanah yang terlalu besar menyebabkan peruntukan pelaburan wang yang banyak telah berlaku dan menyebabkan masalah aliran tunai yang serius kepada petani, dan menyebabkan terpaksa menggunakan sumber pengurusan dan input lain seperti jentera dan mesin membajak secara keterlaluan melebihi had yang ditetapkan. Keputusan yang salah dalam pelaburan, sama ada membeli terlalu sedikit tanah atau terlalu banyak tanah boleh membawa kepada kegagalan perniagaan.
            
Pengambilan tanah harus difikirkan juga dari segi kawalan dan bukan hanya pemilikan. Kawalan boleh dicapai sama ada melalui pemilikan atau pajakan. Banyak daripada tanah sawah di kawasan Jelapang padi seperti di Kawasan Perairan Muda (MADA) dan Kawasan Perairan Kemubu (KADA), petani padi memajak tanah padi yang diusahakan dari pemilik sebenar tanah tersebut. Ramai petani menganggap gabungan pemilikan dan pajakan menjadi wajar, terutama apabila modal adalah terhad dan sikap petani yang tidak mahu menjual tanah pertanian mereka walau pun mereka tidak lagi mengusahakan tanah pertanian tersebut.

Dalam satu kajian yang dibuat terhadap perancangan masa depan petani di kawasan MADA (Muda Agricultural Development Authority) yang telah dijalankan pada tahun 2012 mendapati seramai 82.4% dari petani yang dikaji (1,445 petani) menyatakan untuk memberi tanah sawah yang dimiliki kepada anak mereka pada masa hadapan, berbanding diserahkan kepada pihak lain untuk seperti Pertubuhan Peladang Kawasan untuk diusahakan. Ini menunjukkan hukum warisan harta seperti tanah begitu kuat lagi di kawasan-kawasan pertanian seperti di kawasan MADA.

Tiada kelebihan yang jelas sama ada memiliki atau memajak. Kawalan adalah masih faktor yang penting, Pendapatan boleh diperolehi sama ada dari tanah yang dimiliki atau disewa. Dalam analisis terakhir, gabungan tanah yang betul yang dimiliki dan disewa adalah salah satu yang menyediakan tanah yang cukup untuk menggunakan sepenuhnya tenaga kerja yang sedia ada, jentera, pengurusan dan modal kerja tanpa menimbulkan risiko kewangan yang berlebihan.  

Pemilikan tanah
Memiliki tanah merupakan satu matlamat penting penternak dan petani yang terlibat dalam aktiviti pertanian. Mereka yang memiliki tanah akan merasa bangga, kepuasan, dan mempunyai prestij yang tertentu. Ia juga membolehkan aset tersebut di wariskan kepada waris yang layak mengikut hokum warisan.

Kelebihan memiliki tanah:
1. Jaminan dapat mengusahakan tanah: Milikan tanah menghapuskan ketidaktentuan kehilangan pajakan dan pengurangan saiz perniagaan yang tidak disangka-sangka apabila pihak yang member pajakan tidak mahu member pajakan lagi. Ia juga memastikan bahawa pemilik menikmati faedah daripada apa-apa penambahbaikan jangka panjang yang dibuat kepada tanah.

2. Cagaran untuk pinjaman: Pemilikan tanah membolehkan pemilik meminjam wang dari institusi kewangan kerana tanah boleh digunakan sebagai cagaran untuk membuat pinjaman. Peningkatan nilai tanah dari masa ke masa telah menyebabkan peningkatan ekuiti yang besar kepada pemilik tanah, walau bagaimanapun jumlah ekuiti ini boleh berkurangan sekiranya berlaku penurunan kepada harga tanah.

3. Kebebasan pengurusan: Pemilik tanah bebas untuk membuat keputusan mengenai bagaimana tanah yang dimiliki akan digunakan, jenis baja dan cara pengairan yang akan dibuat ke atas tanah. Sebaliknya jika tanah dipajak, persetujuan kombinasi input dan aktiviti pengubahsuaian cara penggunaan tanah tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa berunding dengan tuan tanah terlebih dahulu.

4. Melindungi Nilai Terhadap Inflasi: Dalam jangka masa panjang, tanah menyediakan lindung nilai yang baik terhadap inflasi kerana nilai tanah kebiasaannya selari dengan peningkatan inflasi.

5. Kebanggaan Pemilikan: Memiliki dan memperbaiki kualiti harta seperti tanah oleh seseorang adalah suatu kebanggaan. Ia menjamin perlindungan masa depan. Pemilikan tanah yang dikawal oleh entiti perniagaan juga boleh mempunyai beberapa kelemahan. 

Kekurangan memiliki tanah:
Kelemahan ini terutamanya berkaitan dengan kedudukan modal perniagaan. Antara kemungkinan kelemahan adalah:

1. Aliran Tunai: Hutang yang besar atau beban yang berkaitan dengan pembelian tanah ladang boleh menimbulkan masalah aliran tunai yang serius. Perolehan tunai daripada tanah mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi bayaran yang perlu dibuat seperti bayaran faedah atas pinjaman serta pelbagai kewajipan tunai perniagaan yang perlu dipatuhi.

2. Pulangan Rendah Ke Atas Modal: Jika modal adalah terhad, mungkin ada alternatif untuk kegunaan wang berbanding dengan pelaburan dalam tanah. Pulangan dari pelaburan ke atas jentera, ternakan, dan input operasi seperti baja, benih dan makanan, sering menghasilkan kadar pulangan yang lebih tinggi ke atas pelaburan berbanding tanah.

3. Kurang Modal Kerja: Satu pelaburan yang besar atau beban hutang yang besar kesan dari pelaburan ke atas tanah boleh menyekat jumlah modal kerja yang ada, menghadkan jumlah pengeluaran, pilihan bentuk perniagaan, jumlah input dan keuntungan.

4. Batasan Saiz: Gabungan modal terhad dan keinginan untuk memiliki semua tanah yang akan diusahakan akan menghadkan saiz perniagaan. Saiz perniagaan yang kecil mungkin menghalang penggunaan teknologi tertentu dan menyebabkan kos purata yang tinggi.

Kelemahan pemilikan  tanah adalah  lebih cenderung untuk menjejaskan prestasi kepada petani baru dengan modal yang terhad. Petani yang berumur dan berpengalaman kebiasaannya cenderung untuk memiliki lebih banyak tanah dan menanggung kurang hutang berbanding dengan petani muda.

Pajakan Tanah
Petani atau penternak baru sering dinasihatkan untuk memajak tanah berbanding dengan pembelian tanah. Dengan modal yang terhad, pajakan adalah satu cara untuk mendapatkan lebih luas tanah untuk diusahakan. 

Kelebihan memajak tanah:
1. Lebih Banyak Modal Kerja: Apabila modal tidak terikat dalam pembelian tanah, lebih modal dapat disediakan untuk membeli jentera, ternakan dan lain-lain input pertanian.

2. Pengurusan Tambahan: Seorang petani baru mungkin kekurangan kemahiran pengurusan. Bantuan pengurusan boleh disediakan oleh tuan tanah atau pengurus ladang professional yang berpengetahuan yang dibayar gaji oleh tuan tanah.

3. Saiz Lebih Fleksibel: Kontrak pajakan biasanya hanya untuk satu tahun atau selama beberapa tahun. Perubahan dari tahun ke tahun pada saiz perniagaan mudah dicapai dengan melepaskan pajakan lama atau memajak tanah tambahan.

4. Kewajipan Kewangan Lebih Fleksibel: Bayaran pajakan adalah lebih fleksibel daripada bayaran gadai janji yang boleh ditetapkan untuk tempoh yang lama. Nilai sewa akan secara automatik berbeza dengan hasil tanaman dan harga. Sewa tunai adalah kurang fleksibel tetapi boleh dirundingkan setiap kali pajakan itu diperbaharui dengan mengambilkira keadaan ekonomi semasa dan unjuran.

Kekurangan memajak tanah:
Tanah pajakan juga mempunyai kelemahan ketidakpastian dan keadaan kemudahan yang tidak memuaskan.

1.  Ketidakpastian: Memandangkan jangka pendek kebanyakkan pajakan, bahaya sentiasa wujud bahawa semua atau sebahagian daripada tanah yang dicucuk tanam boleh hilang dalam masa yang singkat. Kemungkinan ini tidak menggalakkan pelaburan jangka panjang dan menyumbang kepada perasaan umum yang tidak menentu tentang masa depan perniagaan.

2.  Kemudahan Yang Kurang Memuaskan: Sesetengah tuan tanah enggan untuk melabur wang di dalam penambahbaikan keadaan infrastruktur dan pembaikan lain. Penyewa pula sukar melabur dalam penambahbaikan yang menjadi harta kepada orang lain. Oleh itu, perumahan keluarga, kemudahan ternakan, simpanan bijirin, pagar, dan perumahan jentera boleh menjadi usang, dalam keadaan buruk, atau tidak wujud.


3. Pengumpulan Ekuiti Perlahan: Tanpa pemilikan tanah, ekuiti boleh dikumpulkan hanya dalam jentera, ternakan, atau simpanan  wang tunai. Dalam tempoh nilai tanah yang semakin meningkat, penyewa perlu membayar sewa yang lebih tinggi tanpa sebarang ekuiti terkumpul.

Keputusan membeli atau memajak tanah (1)

Pengenalan
Aktiviti pertanian memerlukan penggunaan kawasan tanah yang besar, yang membezakan ia daripada kebanyakan aktiviti ekonomi yang lain seperti aktiviti perindustrian dan perkhidmatan. Tanah adalah sumber asas yang menyokong pengeluaran semua komoditi pertanian termasuk ternakan kerana mereka bergantung kepada tanah untuk menghasilkan makanan ternakan seperti rumput dan bijirin. Tanah adalah aset yang paling berharga dalam aktiviti pertanian. Satu relong tanah sawah di Kedah dan Perlis misalnya boleh mencecah harga di antara RM25,000 hingga RM30,000. Faktor-faktor seperti kadar faedah yang tinggi, keadaan musim (seperti kemarau atau hujan), dan harga komoditi (seperti getah dan kelapa sawit) boleh mempengaruhi harga tanah dan ladang. Apabila harga getah tinggi, maka harga tanah yang ditanam dengan pokok getah juga tinggi, begitulah sebaliknya (ceteris paribus). Mereka yang mempunyai beban kewangan atau berhasrat membuat pelaburan baru atau tambahan kebiasaannya akan menggunakan tanah sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi nilai tanah 
Beberapa faktor penting mempengaruhi nilai pasaran tanah. Potensi keuntungan seekar tanah daripada aktiviti pengeluaran makanan, galian atau apabila ditukar kepada kawasan perumahan atau perindustrian boleh mempengaruhi nilai tanah. Peningkatan permintaan untuk makanan dan peningkatan harga komoditi pertanian seperti getah dan kelapa sawit telah mempengaruhi peningkatan harga tanah pertanian di Malaysia. Peningkatan dalam nilai tanah ladang kebiasaannya seiring dengan kadar inflasi, menjadikan pemilikan tanah pelindung nilai yang baik terhadap inflasi. Kadar faedah dan kadar pulangan daripada pelaburan lain juga boleh memberi kesan kepada permintaan dan harga tanah ladang.

Di sesetengah kawasan, perbandaran telah mempengaruhi nilai tanah, di mana terdapat sebilangan tanah pertanian telah dijual kepada pemaju untuk tujuan pembinaan kawasan penempatan, perniagaan dan perkhidmatan seperti sekolah, bank, pusat pentadbiran dan pusat rekreasi. Contoh yang baik di Malaysia ialah kawasan pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya. Proses perbandaran boleh memberi kesan negatif kepada aktiviti pertanian secara keseluruhan dan kualiti hidup di kawasan luar bandar. Perbandaran juga boleh membawa kepada konflik antara jiran petani dan petani disebabkan oleh kenderaan pertanian bergerak perlahan di jalan raya, atau aktiviti pertanian menghasilkan bunyi bising dan masalah bau yang tidak menyenankgan seperti di kawasan penternakan lembu dan ayam. Walau bagaimanapun, sesetengah pemilik tanah mungkin sangat gembira dengan nilai tanah yang meningkat kerana ia meningkatkan nilai kekayaan mereka yang boleh digunakan ketika masa persaraan nanti. Jarak ke kawasan bandar juga membolehkan pengeluar untuk mencari potensi pasaran yang menguntungkan, memudahkan peluang mendapatkan pekerja ladang, dan potensti untuk ahli keluarga yang tidak bekerja di sektor pertanian untuk bekerja di sektor industi dan perkhidmatan yang terdapat di kawasan bandar.

Walaupun pelabur bukan ladang dan pemaju telah menjadi pembeli utama kawasan tanah pertanian yang strategik terutama di Semenanjung Malaysia, ada juga pelabur besar yang telah membuat pelaburan di tanah pertanian di Sabah dan Sarawak yang masih kompetitif dari segi harga dan berpotensi untuk dibangunkan. Syarikat ladang besar seperti Tradewinds dan Sime Darby mengembangkan saiz operasi mereka di kawasan-kawasan pertanian baru bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian aktiviti ekonomi, menambahkan sumber pendapatan dan mengambil kesempatan daripada penggunaan teknologi yang berskala besar. Mereka menyedari faedah ekonomi bidangan syarikat mereka boleh dicapai dengan operasi yang lebih besar dan mendapat faedah kesan daripada peningkatan nilai tanah ke atas nilai ekuiti mereka.

Ekonomi penggunaan dan pengurusan tanah 
Tanah mempunyai beberapa ciri-ciri unik yang tidak boleh ditemui dalam faktor-faktor pengeluaran yang lain seperti buruh dan modal.

Tanah adalah sumber yang kekal yang tidak akan susut nilai dengan syarat kesuburan tanah dikekalkan dan langkah-langkah perlindungan yang sesuai dibuat. Pengurusan yang betul bukan sahaja akan mengekalkan produktiviti yang ada pada tanah tetapi juga boleh memperbaiki produktiviti tanah tersebut. Tanah adalah produktif dalam keadaan semulajadinya menghasilkan kayu dan rumput tetapi usaha-usaha pengurusan oleh petani dan peladang telah meningkatkan produktiviti tanah tersebut apabila ditukar kepada tanah pertanian seperti ditanam dengan sayur-sayuran, buah-buahan atau tanaman komoditi seperti kelapa sawit. Usaha pembangunan kawasan FELDA pada tahun 1970an misalnya telah banyak membantu program pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat yang dijalankan oleh kerajaan. Masyarakat luar bandar yang tidak bertanah telah diberi 10 ekar tanah dan membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan dan melakukan aktiviti yang produktif. Produktiviti dari penggunaan tanah dapat ditingkatkan dengan cara melaksanakan aktiviti perparitan, amalan pemuliharaan yang baik, pengairan, pengenalan spesies tumbuhan yang baru dan lebih baik, dan penggunaan batu kapur dan baja. Hasil dari tanah yang dibangunkan untuk aktiviti pertanian sering berubah kesan daripada pelbagai aktiviti yang meningkatkan kualiti tanah ini.
            
Setiap tanah pertanian mempunyai peraturan tertentu yang menhalang pengubahsuaian tanah pertanian kepada kawasan penempatan atau perindustrian. Peraturan ini dibuat untuk mengelakkan kawasan tanah pertanian diubah dengan mudah kepada aktiviti ekonomi yang lain. Begitu juga tanah kekal di sesuatu tempat tertentu, walau bagaimanapun benih, baja, air, dan input lain boleh diangkut ke kawasan tanah dan digabungkan dengannya untuk menghasilkan tanaman dan ternakan.


Setiap tanah ladang juga adalah unik. Sebidang tanah ladang yang besar kebiasaannya mengandungi dua atau lebih jenis tanah yang berbeza, dan memberikan keadaan kesesuaian tanaman yang berbeza pula. Sesetengah kawasan sesuai untuk tanaman getah, manakala sesetengah kawasan sesuai dengan tanaman padi, durian, manggis dan koko. Tanaman ini pula perlu dikaitkan dengan keadaan cuaca. Tanaman buah harum manis yang dianggap sebagai raja buah mangga sekarang ini kerana harganya yang tinggi di pasaran sehingga mencecah RM20 sekilogram hanya sesuai ditanam di Perlis kerana kesesuaian tanah dan keadaan cuacanya yang panas. Topografi, saliran, bahan organik, dan kejadian bencana alam seperti banjir, angin dan hakisan air adalah faktor-faktor lain yang saling berkaitan untuk menyebabkan nilai tanah berbeza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain.
            
Sumber tanah yang sesuai untuk pengeluaran pertanian pada dasarnya tetap, walaupun sebahagian kecil dari tanah ladang yang ada mungkin diperlukan untuk diubah kepada kawasan pengairan, pembersihan atau aktiviti bukan peladangan. Ini menjadikan harga tanah sangat sensitif kepada perubahan dalam permintaan kepada produk yang dihasilkannya. Sebagai contoh, apabila harga getah meningkat, maka harga tanah yang ditanam dengan pokok getah akan meningkat. Begitu juga harga tanah sawah meningkat hingga mencapai RM25,000 hingga RM30,000 serelong sekarang kerana permintaan beras dan seterusnya harga padi yang berterusan meningkat. Tidak seperti input pertanian yang lain, input tanah tidak boleh ditambah keluasannya apabila berlaku peningkatan permintaan terhadap tanah. Oleh itu, perubahan dalam keuntungan pertanian adalah akhirnya ditentukan oleh harga tanah dan sewa, dan pemilik tanah mendapat manfaat atau kerugian ekonomi dari aktiviti yang dijalankan terhadap tanah yang dimiliki atau disewa.

Perancangan penggunaan tanah
Perbezaan dalam kualiti tanah mengikut kawasan menyebabkan keperluan kepada inventori lengkap terhadap tanah yang hendak dimajukan dibuat seperti jenis tanah, system perparitan yang ada, keadaan kecerunan, dan kesuburan tanah. Dengan mendapatkan maklumat-maklumat yang disebutkan, perancangan bagaimana menggunakan tanah tersebut dengan cara terbaik dan menguntungkan boleh dibuat. Perancangan keseluruhan ladang sering melibatkan usaha memaksimumkan pulangan kepada sumber tanah yang terhad. Sifat tetap tanah dalam jangka pendek menjadikan permulaan bagi kebanyakan usaha perancangan penggunaan tanah.

Penggunaan tanah dipengaruhi oleh perbezaan serantau dalam produktiviti tanah. Walau dalam sesebuah kawasan, nilai tanah ladang boleh berbeza bergantung kepada kualiti tanah, jarak dengan kawasan bandar, dan sama ada wujud system pengairan yang baik. Walau bagaimanapun, penggunaan yang paling menguntungkan untuk tanah juga bergantung kepada harga komoditi yang boleh ditanam di sesuatu kawasan dan teknologi pengeluaran. Kedua-duanya boleh berubah mengikut masa dan membawa perubahan dalam penggunaan tanah. Pengeluaran kelapa sawit telah meningkat menggantikan kawasan tanaman getah. Begitu juga banyak kawasan hutan di Pahang, Sabah dan Sarawak telah dimajukan dan dijadikan kawasan tanaman kelapa sawit. Kawasan tanaman sayur-sayuran di Cameron Highland telah meningkat disebabkan peningkatan permintaan terhadap sayur-sayuran, sebaliknya kawasan tanaman bunga-bungaan semakin berkurangan, Perkembangan pengairan telah mengubah bekas kawasan ragut ternakan menjadi kawasan-kawasan penting pengeluaran hasil tanaman di Amerika Syarikat. Semua perubahan ini boleh diperhatikan dipengaruhi oleh perubahan dalam harga relatif produk dan input pertanian, teknologi baru, dan persaingan untuk kegunaan tanah.