Total Pageviews

Monday, May 2, 2016

Ulul Albab


Pada 30.4.2016 (Sabtu), Ustaz Ali b. Muda memberi kuliah di Masjid Negeri Arau berkaitan kumpulan manusia yang mendapat pengitirafan sebagai “ulul Albab”. Selain dari pengisian yang menarik, beliau menggunakan pendekatan baru menggunakan 'powerpoint slide' dalam pembentangannya di antara waktu sembahyang Maghrib dan Isha’.
“Ulul Albab” menerangkan mengenai konsep manusia ideal menurut Al-Quran. Dalam Al-Quran “Ulul Albab” disebutkan sebanyak 16 kali. Di antara ayat yang dimaksudkan ialah:
1. Surah Al baqarah (2): 179 - hukuman Qisas (balasan yang seimbang) mempunyai hikmah yang tertentu untuk kelangsungan kehidupan manusia;
2. Surah Al baqarah (2): 197 - masa mengerjakan haji, adab semasa mengerjakan haji dan keperluan kewangan untuk mengerjakan haji;
3. Surah Al baqarah (2): 269 - orang yang mendapat hikmah dari al-Quran dan seterusnya melakukan semua perkara kerana Allah S.W.T.;
4. Surah Ali imran (3): 7 - orang yang beriman dengan semua ayat Allah dan tidak bertakwil tanpa ilmu;
5. Surah Ali Imran (3) :190-191 - orang yang berfikir pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) dan memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sebagai sesuatu yang mempunyai sebab dan berguna;
6. Surah Al Maidah (5):100 - orang yang dapat menjaga hawa nafsunya dengan meninggalkan perbuatan yang buruk kerana tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun kebiasaannya yang buruk itu menarik hati kita;
7. Surah Yusuf (12):111 - orang yang mengambil iktibar dan pelajaran dari kisah Nabi-nabi;
8. Surah Ar Ra’d (13) :19 - orang yang mengetahui dan mengakui apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah sesuatu yang benar;
9. Surah Ibrahim (14): 52, orang yang menerima peringatan dan menerima nasihat daripada hujah-hujah yang tersebut di dalam al-Quran bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf;
10. Surah Shad (38): 29, orang yang mengakui al-Quran itulah yang membimbing kepada tujuan-tujuan yang mulia dan prinsip-prinsip akal yang benar;
11.Surah Shad (38): 43 - orang yang mengambil iktibar dari kisah nabi Ayub supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa musibah;
12. Surah Az Zumar (39): 9 - orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya;
13. Surat Az Zumar (39):18 - orang-orang yang mempunyai akal sihat dan fitrah yang lurus, yang tidak dipengaruhi oleh hawa nafsu. Mereka memilih yang terbaik diantara dua perkara dalam agama maupun dalam kehidupan dunia mereka;
14. Surat Az Zumar (39):21 - orang yang tidak terperdaya dengan keelokan dunia, dan tidak tergoda dengan keindahannya kerana semuanya tidak kekal, akhirat sahaja yang kekal. Diambil contoh dari keadaan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu tumbuh segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu tumbuhan itu berubah menjadi kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai;
15. Surat Al Mu’min atau Surah Ghafir (40): 54 - orang yang berfikir dan menjadikan kisah-kisah di dalam Al-Quran sebagai petunjuk dan peringatan; dan
16. Surat Al Thalaaq (65):10 - orang yang mengambil peringatan supaya tidak menjadi seperti umat terdahulu yang ditimpa azab seksa kerana keingkaran mereka kepada perintah Allah S.W.T.
Wallahualam.