Total Pageviews

Tuesday, July 30, 2013

Program pembasmian kemiskinan

Isu kemiskinan suatu isu yang penting untuk dikaji. Perbincangan saya kali ini akan merujuk kepada isu kemiskinan, definisi kemiskinan, program-program pembasmian kemiskinan dan keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dijalankan di Malaysia, terutama yang dijalankan oleh MADA, AIM dan TEKUN. Dari segi ekonomi, kemiskinan dimaksudkan sebagai satu golongan masyarakat yang berada di dalam keadaan kekurangan daripada keperluan asas tertentu. Kemiskinan sering dirujuk kepada kekurangan pendapatan, wang, atau modal. Dari segi sosiobudaya, kemiskinan sering dikaitkan dengan budaya kemiskinan dan kemiskinan sikap yang menuntut kepada perubahan sikap positif. Manakala dari segi pendidikan, kemiskinan sering dikaitkan dengan kemiskinan pengetahuan, ilmu dan pelajaran. Keciciran dalam bidang pendidikan boleh menyumbang kepada kemiskinan melalui pencapaian akademik, pekerjaan dan pendapatan yang bergaji rendah. Dari segi kesihatan, kemiskinan boleh dikaitkan dengan kekurangan pengambilan makanan berkhasiat yang boleh menyumbang kepada kekurangan tenaga untuk bekerja dengan baik. Dari segi kawasan, kemiskinan sering dirujuk sebagai fenomena di luar bandar, walaupun pada masa kini ianya telah banyak menunjuk kepada kemiskinan di bandar. Dari segi gender, kemiskinan sering berlaku di kalangan wanita atau pun ketua isirumah adalah terdiri dari wanita. Dari segi alam sekitar, sebahagian besar golongan miskin tinggal dalam situasi persekitaran yang rapuh seperti keadaan rumah yang tidak baik, sistem pengairan yang tidak teratur dan mudah terdedah dengan masalah banjir, keadaan tanah yang tidak subur, saiz yang kecil dan tidak ekonomik untuk diusahakan (Chamhuri, 2001).

Pendapatan isi rumah atau pendapatan per kapita sering digunakan sebagai ukuran kebajikan (Zulkarnain dan Isahaque, 2013), namun mempunyai kelemahan yang nyata ialah isi rumah lebih cenderung merendah anggaran pendapatan untuk beberapa tujuan, contohnya untuk tujuan mengelak dari dikenakan cukai atau untuk kekal dalam kategori miskin supaya mereka terus mendapat bantuan dan sokongan (Peter dan Bruce, 2006). Selain itu juga, pendapatan penduduk Negara Sedang Membangun (NSM) sebahagian besarnya terdiri daripada sumber pertanian yang sentiasa berhadapan dengan masalah turun-naik dalam hasil dan pendapatan dari tahun ke tahun.

Berasaskan pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan bagi satu tahun tertentu, jumlah isi rumah yang berada di bawah dan di atas PGK dapat ditentukan. Jumlah isi rumah miskin ditentukan sebagai mereka yang berada di bawah PGK, manakala kadar kemiskinan dan ketermiskinan ditentukan dengan membahagi jumlah isi rumah miskin dan termiskin dengan jumlah isi rumah. Penggunaan konsep jumlah pendapatan dan pendapatan per kapita akan memberikan jumlah isi rumah miskin dan tahap kadar kemiskinan yang berbeza. Penggunaan konsep per kapita yang mengambil kira saiz isi rumah merupakan pendekatan yang lebih tepat dan cenderung menghasilkan jumlah isi rumah miskin dan kadar kemiskinan yang lebih rendah. Mengikut Unit Perancang Ekonomi (EPU), pendapatan garis kemiskinan (PGK) pada tahun 2009 bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia sebanyak RM763  sebulan (US$254) untuk dianggap ‘miskin‘ (Laporan Audit Negara, 2011). Ukuran RM763 sebulan tersebut adalah terkurang anggar sekiranya mengikut piawai piawai Bank Dunia. Ini kerana piawai Bank Dunia menetapkan keperluan untuk sara hidup seorang individu ialah RM6.20 per kapita/hari (US$2 PPP). Dengan demikian jika purata isirumah ialah 4.4 orang, maka PGK ialah RM818 sebulan (RM6.2 0/hari x 4.4 orang  x 30 hari). Di Australia dan Britain, pendapatan ‘median’ digunakan sebagai petunjuk untuk mengukur PGK, iaitu dua per tiga (2/3) dari pendapatan median.  Pada tahun 2010 pendapatan median bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia ialah RM2,830 (US$944). Maka pendapatan PGL ialah RM1,885 sebulan (US$629) (Zulkarnain dan Isahaque, 2013). Dengan keadaan kos kehidupan pada masa kini, maka penggunaan dua per tiga (2/3) dari pendapatan median lebih sesuai digunakan dan munasabah.

Jefrey Sachs (2005) dalam bukunya The End of Poverty mengatakan faktor intervensi dari kerajaan adalah penting untuk meningkatkan keupayaan individu miskin untuk keluar dari keadaan miskin dan berupaya meningkatkan tabungan dan pelaburan yang menjadi penggerak kepada pengumpulan modal untuk menjadi tidak miskin. Jefrey Sachs menunjukkan terdapat hubungan di antara aktiviti ekonomi, tabungan, pelaburan modal dan peningkatan aktiviti ekonomi. Isirumah menggunakan pendapatan untuk tujuan penggunaan, tabungan dan cukai. Kerajaan pula menggunakan hasil cukai kepada perbelanjaan semasa dan perbelanjaan pembangunan. Modal ekonomi pula dihasilkan oleh penjimatan isi rumah dan pelaburan kerajaan. Pembentukan modal yang lebih tinggi membawa kepada pertumbuhan ekonomi, yang seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah melalui kesan dari pertumbuhan pendapatan.

Bantuan modal untuk sesuatu projek akan membawa kepada proses pengumpulan modal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan di kalangan isirumah yang menerima faedah dari bantuan yang diberikan. Melalui program-program pembiayaan mikro dan peningkatan hasil padi dijangkakan perangkap kemiskinan dapat dimusnahkan dan pengumpulan modal akan berlaku. Pertumbuhan ini dilihat dari segi peningkatan tabungan isi rumah dan pelaburan kerajaan yang dapat dibuat selepas isirumah yang mengalami peningkatan pendapatan dari projek yang dijalankan, mula membayar cukai atau menyumbang hasil zakat kepada kerajaan. Kerajaan pula melalui hasil cukai atau zakat tersebut dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan lain yang akan memberi faedah kepada lebih ramai orang.

Tiga institusi yang aktif dalam program pembangunan dan seterusnya boleh dikaitkan dengan program pembasmiaan kemiskinan di Malaysia ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Tiga institusi ini merupakan tiga institusi yang penting dan aktif membuat program meningkatkan pendapatan golongan miskin dan penduduk luar Bandar. MADA terlibat dalam projek pembangunan pengeluaran padi, manakala AIM memang terlibat secara langsung dengan program mikrokredit untuk kaum wanita yang miskin. TEKUN pula terlibat dengan program mikro-kredit untuk usahawan yang telah sedia terlibat dalam program pembangunan keusahawanan.

Penemuan dari kajian yang saya jalankan berkaitan dengan peranan institusi-institusi tersebut dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar dan seterusnya mengurangkan kemiskinan golongan tersebut mendapati MADA didapati memberi sumbangan besar dari segi khidmat nasihat dan program-program memperbaiki infrastruktur dan peningkatan hasil padi, manakala AIM dan TEKUN dari segi peranan sahabat, kemudahan pinjaman, dan latihan keusahawanan Walau bagaimanapun, faktor individu itu sendiri juga memainkan peranan yang sama penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka. Sebagai contoh untuk petani di kawasan MADA faktor pengurusan masa lapang, pemilikan modal kewangan dan modal manusia sangat mempengaruhi kehidupan lestari mereka. Untuk peserta AIM dan TEKUN pula dipengaruhi oleh ciri pembangunan keusahawanan dikalangan usahawan itu sendiri.

Keseluruhannya dapat dinyatakan bahawa institusi yang terlibat perlu, pertama, mengukuhkan sistem penyampaian, bimbingan dan pemantauan institusi; kedua, mengukuhkan rantaian sosial sesama petani atau usahawan melalui penubuhan persatuan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan persatuan peniaga-peniaga kecil; dan ketiga, memperkukuhkan modal kewangan dan modal manusia petani atau usahawan melalui peruntukan kewangan yang berterusan dan terkawal serta latihan dari usahawan yang telah berjaya.

Saturday, July 27, 2013

Kepentingan keseimbangan pengagihan pendapatan berbanding dengan peningkatan pendapatan

Saya tertarik dengan artikel oleh Profesor Miles Corak dari University of Otawa, Kanada bertajuk “Income Inequality, Equality of Opportunity, and Intergenerational Mobility” yang diterbitkan dalam Journal of Economic Perspectives. Beliau berpendapat penduduk sebuah Negara yang bebas bersuara dan melakukan apa yang dikehendaki, dan boleh mencapai apa yang dikehendaki dengan syarat perlu bekerja dengan kuat adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua penduduk di mana-mana negara di dunia ini.  Lebih penting lagi semua orang boleh berjaya tidak kira asal usul seseorang, dari keluarga berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi. Walau bagaimanapun dalam keadaan sekarang di mana berlaku ketidakseimbangan agihan pendapatan yang ketara, iaitu yang kaya terlalu kaya dan menguasai ekonomi, dan yang miskin terus miskin, mobiliti golongan muda untuk berjaya ke arah mencapai pendapatan tinggi melalui pekerjaan atau perniagaan yang diceburi semakin sukar terjadi. Kumpulan berpendapatan tinggi melakukan pelaburan yang besar dalam “modal manusia” anak-anak mereka seperti melalui kelas tuisyen, menyertai persatuan yang ekslusif, dan penghantaran anak untuk mendapat ijazah kedua (master) di luar Negara. Hubungan antara keluarga, pasaran buruh, dan polisi awam di dapati telah mencorakkan peluang untuk berjaya dalam pekerjaan dan perniagaan bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi berbanding anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

Ketidakseimbangan agihan pendapatan masa kini mempengaruhi pula modal sosial golongan muda tersebut. Mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang berjaya didapati mempunyai peluang yang lebih besar untuk terus kekal dalam kelompok elit tersebut. Dengan kata lain terdapat hubungan songsang di antara ketidakseimbangan agihan pendapatan yang diukur dengan “Gini Coeficient” dengan “intergeneration economic mobility”. Di Malaysia boleh dilihat contoh ahli-ahli perniagaan terkenal seperti ahli keluarga kumpulan Naza, Sapura, Genting Berhad, CIMB Bank dan  Public Bank.  Ramai ahli keluarga dari pemilik atau pengurusan tertinggi dari institusi perniagaan tersebut meneruskan tradisi ahli keluarga mereka, terutama dari hubungan ayah dan anak. Dari kalangan ahli politik pula, boleh dilihat dari kalangan ahli politik sama ada dari kalangan parti pemerintah mahu pun dari kalangan parti pembangkang. Pucuk pimpinan parti politik tersebut mempunyai ahli keluarga, terutamanya anak yang berjaya dalam politik.

Selain dari mobiliti sosial, indeks masalah sosial dan kesihatan juga boleh dibentuk dari petunjuk-petunjuk isu-isu sosial dan kesihatan seperti kadar kematian kanak-kanak yang baru lahir, jangka hayat penduduk mengikut tingkat pendapatan, masalah sosial seperti “mat rempit”, lari dari rumah dan kelahiran anak luar nikah, keciciran di sekolah (school drop outs),  jenayah dan obesiti.  Adalah menarik kajian mengikut negara mendapati tidak ada hubungan di antara tingkat Keluaran Negara Kasar (GNP) dengan indeks isu-isu sosial dan kesihatan, tetapi bila di lihat mengikut ketidakseimbangan agihan pendapatan, di dapati ada hubungan yang positif. Negara yang mempunyai agihan pendapatan yang tidak seimbang, lebih tinggi pula masalah sosial dan kesihatan.

Saya membangkitkan isu ini kerana saya merasakan ketidakseimbangan agihan pendapatan yang berlaku di Malaysia kini berada di tahap yang membimbangkan, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Isu kenaikan harga barang keperluan asas seperti tempat tinggal (rumah), pendidikan,  harga barang makanan dan kos utiliti seperti bil letrik dan bil air menjadi perhatian utama isirumah kumpulan pendapatan sederhana pertengahan dan kumpulan pendapatan rendah pada masa kini. Pertama - Isu perumahan. Harga rumah di bandar-bandar besar tersebut begitu tinggi dan di luar dari rasional golongan muda yang baru bekerja untuk memilikinya. Walau bagaimanapun bila dibina projek perumahan baru dan diiklankan di akhbar, harga rumah yang mencecah melebihi RM350 ribu tersebut dengan cepat habis dijual. Maksudnya ada permintaan dan permintaan tersebut melebihi dari penawaran. Persoalannya siapakah sebenarnya pembeli tersebut? Adakah mereka pembeli rumah pertama? Atau spekulator yang membeli rumah dengan tujuan untuk menjualnya dengan harga lebih mahal? Atau pembeli luar terutama pembeli dari Singapura yang ingin memiliki harta di Malaysia hasil dari pemilikan kekayaan mereka yang begitu tinggi? Sekiranya spekulator atau pembeli rumah dari Singapura yang membeli, sesuatu polisi yang sesuai untuk menyekat keadaan ini berlaku perlu dibuat oleh kerajaan. Rumah adalah keperluan asas, dan jika ramai penduduk tidak memiliki rumah yang mampu milik, maka ianya petunjuk ketidakseimbangan agihan pendapatan telah berlaku dan boleh menyebabkan banyak isu sosial dan kesihatan yang tidak baik kepada kesejahteraan Malaysia di masa hadapan.

Kedua- isu pendidikan. Pendidikan adalah penting kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik. Sekiranya kajian dibuat dengan baik, kita boleh dapat hubungan yang positif di antara latar belakang keluarga dengan pelajar yang pandai dan duduk di kelas teratas di sesebuah sekolah. Begitu juga menarik jika dapat dilihat hubungan di antara pencapaian pelajar yang cemerlang di peperiksaan UPSR, SRP dan SPM dengan latar belakang keluarga. Saya tertarik dengan sebuah sekolah rendah di Arau, Perlis yang berjaya meningkatkan prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR dengan membuat strategi memasukkan kesemua pelajar Darjah Enam ke dalam asrama. Dengan strategi tersebut, kesemua pelajar mempunyai peluang yang sama dari segi pembelajaran, makanan, masa belajar dan kemudahan pembelajaran. Mereka tidak perlu lagi menjaga adik kerana ibu dan bapa bekerja, tidak ada kemudahan meja dan buku untuk belajar dan ketidakcukupan makanan yang boleh mempengaruhi kesihatan mereka. Hasilnya pada tahun lepas prestasi akademik pelajar di sekolah luar bandar tersebut mendadak meningkat, dengan bilangan pelajar mendapat keputusan 5A dan peratusan pelajaran yang lulus 100 peratus meningkat. Faktor persekitaran pelajar yang dikawal didapati telah mempengaruhi keputusan pelajar tersebut.

Program sekolah berasrama penuh pada masa saya dahulu perlu dipraktikkan semula. Pelajar yang ibu bapanya berpendapatan kurang dari jumlah pendapatan tertentu, seperti RM3,000 sebulan sahaja dipilih untuk ke sekolah berasrama penuh tersebut. Pemilihan pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana rendah dan berpendapatan rendah ini perlu dipraktikkan dengan sepenuhnya. Ibu bapa berpendapatan tinggi mempunyai kelebihan untuk memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka di sekolah yang biasa. Pada zaman saya, kebanyakan kami yang berasal dari luar bandar, dan di hantar ke sekolah berasrama penuh tersebut, majoritinya telah berjaya dalam pembelajaran dan kerjaya. Ada yang telah menjadi kontraktor kelas A, doktor pakar, ahli farmasi, ahli perniagaan dan guru. Saya berasal dari Melaka dan sekolah saya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Oleh yang demikian perjalanan dari kampung ke sekolah pada setiap cuti persekolahan hanya menggunakan keretapi. Waran keretapi diberikan kepada kami dan majoriti ibu-bapa yang menghantar anak menggunakan pengangkutan awam, terutamanya keretapi dan bas sahaja. Perjalanan dari Stesen keretapi Tampin ke Bukit Mertajam tersebut memberikan pengalaman yang menarik kerana setiap gerabak keretapi ditanda dengan nama sekolah kami seperti gerabak “SM Tengku Kursiah” Seremban, “SM Alam Shah” Selangor, STAR (Sekolah Tunku Abdul Rahman) Ipoh, MCKK (Malay College Kuala Kangsar) Kuala Kangsar dan SMSPP (Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang) Bukit Mertajam. Program-program lain seperti program pengagihan semula pendapatan yang seimbang ini suatu program yang penting dan perlu diberi penekanan yang kuat oleh pembuat polisi di Malaysia.

Ketiga - isu harga barang makanan. Isu ini telah saya bincangkan pada penulisan yang lalu. Keempat - isu kos utiliti seperti bil letrik dan bil air. Saya dapati dari pengalaman saya sendiri terdapat kenaikan kadar caj bil elektrik isirumah yang keterlaluan pada masa kini. Bermula dari kadar RM0.218 sen seunit untuk 200 unit yang pertama dan terus kepada RM0.334 sen seunit, RM0.40 sen seunit, RM0.402 sen seunit, RM0.416 sen seunit, RM0.426 sen seunit, RM0.437 sen seunit, RM0.453 sen seunit, dan RM0.454 sen seunit untuk setiap 100 unit yang berikutnya. Kalau dulu caj bulan elektrik di antara RM100 ke RM 200 sahaja, sekarang caj bulanan naik kepada di antara RM200 hingga RM400. Alasan pembekal perkhidmatan letrik ialah kenaikan kos bahan api seperti gas dan petroleum yang mana bahan api ini digunakan untuk menggerakkan stesen janakuasa elektrik. Masalahnya kos bahan api ini ada masanya turun dan naik, mengapakah pada masa kos bahan api turun, kadar caj letrik tidak akan turun? Dari segi ekonomi dilihat pula cara pengurusan institusi pembekal perkhidmatan letrik ini. Masihkah perjanjian yang berat sebelah dengan pembekal tenaga elektrik swasta 'Independent Power Plant' (IPP) diteruskan? Mengapakah instusi yang dikatakan mengalami kerugian masih membayar bonos tahunan kepada kakitangannya sehingga empat bulan gaji? Kebiasaanya syarikat yang untung sahaja yang membayar bonos tahunan. Faktor-faktor pertimbangan kebajikan rakyat perlu diambil perhatian oleh institusi sebegini dan pembuat polisi perlu perihatin dengan kenaikan kos sara hidup yang keterlaluan pada masa kini.


SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG SAYA. SEBARANG KOMEN YANG MEMBINA ADALAH DIPERSILAKAN.

Sunday, July 21, 2013

Penyelesaian kenaikan harga ayam di musim perayaan

Seperti biasa, harga ayam di musim perayaan kini telah mencecah kepada RM9 sekilogram, dan menjadi kebiasaan juga pihak media pergi ke pasar-pasar bertanya kepada penjual dan pembeli. Dua tiga hari kemudian mulalah operasi pemeriksaan pegawai penguatkuasa di pasar-pasar berkenaan. Peniga pasar dengan selamba pula akan menjawab mereka menjual berdasarkan margin tertentu dari harga borong yang diberikan oleh pembekal. Pembekal pula meletakkan harga selepas mengambilkira margin tertentu dari bekalan yang diperolehi di peringkat ladang dari penternak. Peniaga kecil ayam hanya menerima harga borong yang ditetapkan oleh penternak dan pemborong, dan jualan mereka dalam jumlah yang kecil sahaja. Perkara ini memang menjadi isu dikalangan pengguna dan pihak kerajaan. Peruncit hanya memindahkan kenaikan harga ayam di peringkat borong kepada pengguna yang membeli ayam di peringkat runcit.

Sebenarnya harga sesuatu barang dipengaruhi oleh faktor seperti keadaan permintaan, keadaan penawaran, perkhidmatan pemasaran dan kos dan campurtangan kerajaan. Penternak kecil-kecilan sukar bersaing dengan penternak besar, dan pada masa kini lebih tertumpu untuk menjalankan perniagaan secara "contract farming" dengan pasaran runcit besar seperti Kentucky Fried Chicken dan Ayamas.  Faktor seperti bekalan anak ayam, makanan ayam, ubat-ubatan dan kos pembinaan reban ayam berubah-ubah mengikut masa. Kebiasaannya musim perayaan menjanjikan keuntungan yang tinggi kepada penternak kecil-kecilan untuk menampung kerugian di luar musim perayaan. Penternak besar-besaran pula sentiasa dapat menyesuaikan keadaan harga dengan penawaran kerana mereka mengeluarkan sendiri anak ayam, makanan ayam dan ubat-ubatan yang diperlukan dalam industri penternakan. Pada masa sekarang pula, diketahui 12 penternak utama menguasai melebihi 80 peratus dari pasaran ayam di Malaysia. Keadaan perniagaan ayam menjadi seperti organisasi perniagaan bercorak Oligopoli apabila penternak-penternak besar ini berjumpa dan berbincang menentukan penawaran, penentuan harga pasaran yang sesuai dan berbincang dengan kerajaan. Pusat persatuan penternak ayam ini adalah di Selangor. Pada setiap bulan pengusaha penternakan ayam yang utama dari setiap negeri akan berbincang untuk menentukan harga ayam dan lain-lain isu berkaitan dengan penternakan dan pemasaran ayam.

Dalam artikel saya yang lalu saya ada menyebut tindakan yang perlu dibuat oleh kerajaan untuk mengelakkan penguasaan pasaran oleh beberapa penternak besar ini. Di antaranya ialah galakan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan penternakan secara kecil-kecilan terutama ternakan ayam kampung atau ayam organik. Peningkatan bekalan ayam dari kawasan luar bandar tentunya akan mengurangkan tekanan permintaan yang boleh menaikkan harga ayam. Langkah memboikot mungkin sukar dilakukan kerana ketidakanjalan permintaan harga bagi ayam. Faktor kedudukan ayam sebagai barangan keperluan isirumah dan tidak mempunyai pengganti yang hampir menjadikan permintaan ayam tidak anjal harga. Harga barang pengganti yang hampir seperti daging pun sudah mencecah RM22 sekilogram. Begitu juga harga ikan yang turut mengalami peningkatan harga yang ketara. Persoalanya adakah penduduk luar Bandar tahu bagaimana menternak ayam? Anak-anak muda sekarang sudah ramai yang tidak tahu pergi ke sawah, ladang dan berkebun lagi. Program-program di Universiti asal ada nama pertanian sudah tidak popular di kalangan pelajar. Kementerian pendidikan sepatutnya mewajibkan setiap sekolah ada persatuan pertanian dan penternakan. Pelajar-pelajar sepatutnya dilatih mengenai pertanian di peringkat sekolah mengenai teknik-teknik menanam sayur, buah-buahan dan menternak. Kawasan pertanian perlu ada di setiap sekolah. Graduan lepasan Institut Latihan Pertanian di Bukit Tangga atau Institut Latihan Pertanian yang lain boleh diserap untuk menjadi tenaga pengajar di setiap sekolah. Ini kerana graduan tersebut dengan latihan pertanian yang begitu intensif sekali tentunya menjadi tenaga pengajar di bidang pertanian yang sesuai di sekolah-sekolah. Dengan adanya pengetahuan dan kemahiran bertani dan berternak barulah pelajar tersebut apabila dewasa mudah menjalankan projek-projek yang bercorak pertanian. Pada masa kini setahu saya kemahiran pertanian diajar kepada pelajar yang tidak berkebolehan dari segi akademik sahaja. Sepatutnya program pendidikan pertanian ini diajar kepada semua pelajar yang berminat. Diketahui umum sekarang ramai lepasan sekolah yang tidak berpengalaman langsung dalam bersawah, berkebun dan menternak. Sudah tentu apabila dewasa, lepasan sekolah yang tidak ada pengetahuan asa pertanian dan penternakan tidak akan terlibat langsung dengan aktiviti pertanian dan penternakan. Seterusnya sukarlah untuk menggalakkan aktiviti pertanian di rumah, terutamanya dalam aktiviti sampingan pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran, ayam dan itik dan sebagainya.

Strategi mengimport ayam dari negara lain bukan penyelesaian terbaik kerana harga ayam di Negara pengeksport sendiri boleh berubah-ubah mengikut kos pengeluaran serta keadaan permintaan dan penawaran di Negara tersebut sendiri, di samping isu halal yang menjadi isu utama kepada umat Islam di Malaysia. Dalam hal pemakanan, kita bukan hanya melihat kepada produk makanan tersebut, tetapi juga perlu dilihat apa yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut. Dalam kes penternakan ayam, perlu dikaji juga makanan dan ubat-ubatan yang digunakan untuk membesarkan ayam tersebut perlu dari sumber yang halal. Bolehkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memastikan ayam diimport memenuhi standard halal yang ditetapkan?

Saturday, July 20, 2013

Salmon Fishing in Yemen

Petang ini saya menonton filem “Salmon Fishing in Yemen” di  TV Astro. Apa yang menarik mengenai filem ini ialah kreativiti pemimpin (Sheikh) Yemen yang melihat potensi untuk penternakan ikan Salmon di sungai di Yemen (ini hanya cerita kerana semasa saya ke Yemen pensyarah di sana tak pernah pun cerita fasal penternakan ikan Salmon). Seperti biasa penduduk lain yang konservatif menentang proses pembangunan ini dengan anggapan ianya sebagai penjajahan bentuk baru bila bekerjasama dengan orang Eropah. Cerita ini  menunjukkan betapa pentingnya pendidikan, modal, pengetahuan, kefahaman kumpulan sasar dan kerjasama penduduk setempat untuk menjayakan sesuatu projek pembangunan.

Pengalaman saya semasa pergi ke Yemen pada Tahun 2010 memang menarik. Saya dijemput untuk mengajar subjek Managerial Economics program MBA kerjasama Universiti of Yemen, Sanaa dengan OUM, Kuala Lumpur. Negara Yemen mempunyai cuaca 4 musim dan cuacanya sangat nyaman. Bilik tempat saya tinggal tidak ada alat hawa dingin dan kipas. Semasa masa lapang, saya di bawa melawat ke kawasan-kawasan yang menarik di Sanaa. Memang kawasan di Yemen tidak banyak pokok dan tanahnya berbatu. Penduduknya mengamalkan cara hidup sederhana dan masjid boleh didapati dengan mudah di setiap kawasan penempatan. Memang sesuai untuk mereka yang hendak belajar bahasa Arab atau pengajian Al-Quran di sana. Kerjasama Universiti of Yemen itu bukan hanya dengan OUM, tetapi juga dengan universiti-universiti lain seperti UUM, UKM dan UiTM. Presiden universiti tersebut memang mempunyai wawasan yang baik. Beliau sedar pendidikan penting kepada pembangunan Yemen. Malangnya pada masa sekarang berlaku ketidakstabilan politik di Yemen dan banyak program kerjasama tersebut tergendala atau kini dijalankan secara bersendirian oleh Universiti of Yemen.

Di Malaysia, kita dapat lihat projek-projek seperti Lebuhraya Utara Selatan, keretapi berkembar dan kemudahan lain yang terdapat di Kuala Lumpur seperti projek pencegahan banjir SMART, sistem monorail, Sistem Transit Aliran Ringan (STAR) dan keretapi komuter di antara projek-projek yang baik dan memandang ke hadapan. Begitu juga projek memperkasakan sistem pendidikan seperti pembentukan MQF (Malaysian Qualification Framework) yang dapat menjaga kualiti pendidikan di Universiti awam mahupun di universiti swasta.

Dua minggu yang lepas semasa menyampaikan satu ceramah atas jemputan Unit Perancang Ekonomi Negeri Perlis (UPEN) untuk projek Perlis Maju saya ada memberikan beberapa pandangan berkaitan aplikasi teori pembangunan dan kepentingan golongan usahawan sebagai penggerak sesuatu projek pembangunan. Projek-projek yang dibuat oleh usahawan seperti projek perniagaan pasaraya Cmart di Arau, produk herba oleh HPA di Jejawi, pusat perikanan di Kuala Perlis dan Kuala Sungai Baru adalah di antara projek-projek yang boleh dilihat potensinya. Seterusnya kerajaan negeri perlu mengenalpasti apa yang boleh dibuat untuk mempertingkatkan lagi prestasi projek yang telah sedia ada tersebut. Perbincangan yang melibatkan pelbagai ‘stakeholder’ adalah baik dan dapat dikumpulkan pelbagai idea yang tepat dan bersesuaian.  Medan ikan bakar di Kuala Perlis adalah popular kepada penduduk tempatan dan pelawat-pelawat dari negeri lain yang datang ke negeri Perlis. Kebersihan dan tempat meletak kereta yang baik sahaja yang perlu diperbaiki lagi. Disebabkan kawasan tersebut berhampiran dengan Jeti ke Langkawi, maka ada kalanya mereka yang hendak ke Langkawi juga meletak kereta berhampiran dengan medan ikan bakar. Berlakulah kesesakan dan menyukarkan pelawat yang hendak ke medan ikan bakar untuk meletak kereta mereka. Sebaik-baiknya dibuat tempat meletak kereta bertingkat berhampiran dengan jeti tersebut, dan mereka yang hendak ke Langkawi perlu meletak kereta di situ. Pemilik tanah persendirian boleh diajak untuk memberikan tanah mereka dan dijanjikan perkongsian keuntungan dari projek yang dijalankan.

Usahawan sangat penting kepada proses memajukan sesebuah negeri atau Negara. Idea dari mereka adalah pelbagai dan mereka bebas menggunakan kreativiti mereka untuk menjalankan perniagaan yang hendak dijalankan. Apabila perniagaan mereka maju, mereka akan mengambil lebih ramai pekerja dan meningkatkan kutipan cukai kepada Majlis Perbandaran dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Hasil cukai yang diperolehi itu pula boleh digunakan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek-projek yang lain pula. Dari pusingan ekonomi sebeginilah baru sesebuah negeri tersebut boleh maju.

Usahawan seperti Tan Sri Mokhtar yang menguasai pelbagai perniagaan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, BERNAS, KTM, dan lain-lain lagi yang membolehkan projek-projek tersebut memperolehi keuntungan adalah sesuatu yang boleh dijadikan contoh kepada usahawan yang lain.  Keuntungan usahawan ini pula digunakan juga untuk membuat projek-projek untuk masyarakat umum di peringkat tempatan dan antarabangsa seperti pembinaan Masjid AlBukhary dan Universiti swasta AlBukhary di Alor Setar. Masjid tersebut sangat lengkap dengan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh musafir. Begitu juga ada kemudahan untuk rawatan pesakit yang kurang berkemampuan dan tempat tinggal orang tua. Universiti swasta itu pula memberikan pendidikan percuma kepada golongan muda Islam dari seluruh dunia. Pelajar Islam dari seluruh dunia yang berkumpul belajar di Malaysia ini akhirnya akan menjadi duta untuk memudahkan Malaysia mencari pasaran baru di luar Negara. Diketahui umum telah ramai pelajar antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa yang telah menjadi usahawan atau pemimpin di negara-negara asal pelajar berkenaan. Ini telah banyak membantu Malaysia dalam usaha mencari rakan dagangan atau kerjasama lain dalam bidang akademik dan politik.