Total Pageviews

Sunday, February 27, 2011

Perkembangan aktiviti sukan di sekolah

Pada hari Sabtu yang lalu saya menyaksikan satu permainan bola baling di Kangar Perlis. Pertandingan itu dibuat di dalam kawasan gelanggang Futsal. Walau pun jarang melibatkan diri dengan aktiviti sukan di sekolah, tetapi disebabkan anak saya mewakili sekolahnya sebagai pemain pertahanan dan beliau begitu mendesak kami menyaksikan permainannya, maka kami sekeluarga berkumpul digelanggang menyaksikan pertandingan tersebut. Saya memuji pihak penganjur, iaitu bahagian sukan sekolah-sekolah rendah di Negeri Perlis kerana berjaya menganjurkan pertandingan tersebut. Nampak dari gaya pakaian para pelajar yang menyertai pertandingan begitu bergaya dan kemas sekali. Setiap sekolah mempunyai jersi pasukan yang berbagai warna dan tercatat nama sekolah yang diwakili. Penyokong dari kalangan murid dan guru juga ramai, tetapi dari kalangan ibu-bapa agak sedikit bilangannya. Sepatutnya ibu-bapa lebih terlibat sama dalam aktiviti sebegini kerana selain dari menaikkan semangat anak, ianya juga boleh memberi idea bagaimana sesuatu permainan itu patut dijalankan. Pasukan sekolah anak saya mendapat naib johan, dan saya dapati pasukan yang menjadi johan didapati bermain dengan lebih baik dan patut pun memenangi pertandingan tersebut. Anak saya pula nampak tersenyum lebar dan berpuas hati kerana berjaya menunjukkan kebolehannya dalam permainan tersebut. Saya tidak tahu perasaannya dengan kehadiran kami, tetapi nampaknya dia gembira dengan kedatangan kami. Anak-anak ini juga ada pelbagai perangainya. Anak sulung masa bersekolah rendah dahulu, tidak begitu suka kami menyaksikan permainannya. Gemuruh katanya bila ada ibu-bapa.

Melalui sukan, selain menghasilkan badan yang sihat dan otak yang cerdas, budaya disiplin di kalangan anak-anak dapat dibentuk, contohnya budaya menepati masa, kerja berpasukan dan merasai perasaan kalah dan menang. Guru pula perlu benar-benar memahami strategi permainan dan tahu bagaimana memotivasikan setiap pemain di dalam pasukannya. Sebab itulah pada masa kini Universiti-universiti tempatan seperti UiTM, UM dan UPM menawarkan program Sains Sukan. Lulusan Sains Sukan ini boleh menjadi guru terlatih dan mengendalikan pasukan-pasukan di Sektor Kerajaan atau Sektor Swasta dengan baik. Begitu juga kursus ini memberi peluang kepada bekas-bekas atlit untuk mendapatkan segolong ijazah bagi menjamin masa depan mereka. Kursus di peringkat Universiti pula meliputi pelbagai aspek, sama ada pengendalian acara, tenik permainan pelbagai jenis sukan, psikologi, sosiologi, matematik, ekonomi dan sebagainya. Kurikulum itu pula mengikut kulikulum sepertimana universiti-universiti ternama di Negara Maju.

Saya mengetahui pada masa kini, anak-anak kita begitu banyak disogokkan dengan kelas-kelas tuisyen. Tuisyen ini sama ada dibuat oleh pihak sekolah atau phak swasta di luar. Ada yang sanggup menghabiskan wang untuk tuisyen personal pula. Bayaran kelas tuisyen ini juga berbeza-beza mengikut jenis kelas. Memang zaman saya tiada kelas tuisyen jadi saya memang tidak begitu berkenan dengan kelas tuisyen yang terlalu banyak ini. Saya lebih suka kanak-kanak belajar sendiri dan dapat berfikir dengan sendiri menyelesaikan masalah. Tetapi sylibus kanak-kanak sekolah pada masa kini juga saya dapati agak berbeza dan banyak yang perlu dipelajari. Saya juga berpandangan aktiviti luar kelas seperti aktiviti berpersatuan, kelas berdebat, kelas bahasa Arab, Persatuan Agama Islam, melukis, lawatan sambil belajar dan aktiviti pertukangan perlu digalakkan. Jika boleh kelab-kelab pelayaran, menembak, memanah, berkuda juga diwujudkan di sekolah-sekolah. Cuma mungkin kos mewujudkan kelab-kelab itu agak mahal dan memerlukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kukuh atau ada Firma-firma dari sektor swasta sanggup membuat penajaan. Pembentukan peribadi kanak-kanak bukan hanya di kelas, tetapi melalui aktiviti luar kelas dan kekukuhan dalam institusi keluarga.