Total Pageviews

Monday, December 27, 2010

Kos ekonomi majlis perkahwinan

Banyak keluarga membuat kenduri kahwin pada musim cuti sekolah sekarang. Majlis perkahwinan adalah suatu majlis yang meriah, maklumlah bagi kebanyakan pasangan ianya berlangsung sekali dalam seumur hidup. Ada yang membuat kenduri kahwin di rumah, dan ada yang buat di dewan yang ditempah khas. Ada yang menggunakan sistem pakatan yang dipanggil Pakatan Pinggan Mangkuk Taman atau kampung, dan ada yang menempah makanan, khemah dan hiasan lain dari Pengusaha Makanan dan sebagainya. Minimum kos perkahwinan sekarang rasanya mencecah RM10,000 untuk sesuatu majlis. Kalau dulu cuma masyarakat China atau India di Malaysia yang ada perunding majlis perkahwinan, sekarang ini sudah ada perunding perkahwinan di kalangan masyarakat Melayu. Tugas perunding perkahwinan ini meliputi hiasan bilik pengantin, pelamin, jemputan, aturcara majlis, hadiah kepada tetamu, dan sebagainya. Semakin ekslusif tempat majlis berlangsung dan semakin banyak aturcara semasa majlis berlangsung semakin mahallah kos perkahwinan.

Saya memikirkan tanggungan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga pengantin di sesuatu majlis perkahwinan. Pihak lelaki lagi terasa, kena menyediakan wang hantaran dan mas kahwin. Jika pasangan jauh seperti di Selatan Semenanjung atau di Pantai Timur, atau di Sabah dan Sarawak lagilah tinggi kos yang perlu ditanggung. Dari segi pulangan, adakah telah dikira berapakah yang biasanya tetamu berikan? Bolehkah dalam surat jemputan dinyatakan kos untuk seorang tetamu agar tetamu yang hadir memberikan wang kepada ahli keluarga pengantin setimpal dengan kos setiap jamuan? Mungkin perkara ini agak luarbiasa tetapi tetamu sebaiknya perlu membantu keluarga pengantin dari segi kos sesuatu majlis perkahwinan. Kajian perlu dibuat untuk melihat bebanan keluarga pengantin yang membuat sesuatu majlis perkahwinan. Kita tidak mahu pengantin terpaksa menanggung hutang dari majlis perkahwinan sehingga kepada masa menimang cahaya mata. Diketahui sekarang pegawai kredit bank sentiasa bersedia memberikan pinjaman peribadi untuk tujuan-tujuan sebegini. Perunding perkahwinan sepatutnya perlu memberi nasihat mengenai pembiayaan perkahwinan untuk keluarga pengantin dalam hal ini.

Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada “rakan baik saya” yang melangsungkan perkahwinan pada bulan lepas.

Dikepilan pantun nasihat:

Anak ayam turun enam,
Satu mati tinggal lima,
Minta doa tetapkan iman,
Minta mati dalam agama. .

Insentif ekonomi dalam mencapai sasaran kerajaan dalam gunatenaga

Dalam bulan ini saya terpaksa berbelanja lebih kerana membeli pakaian sekolah anak, buku dan membawa mereka bercuti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Dalam hal pakaian, kebiasaanya terpaksa di tempah kerana saya merasakan pakaian yang ditempah lebih sesuai dan selesa dipakai oleh anak-anak saya. Di kedai yang biasa saya membuat tempahan saya dapati pengukur saiz baju memang orang Malaysia, tetapi mereka yang menjahitnya saya dapati semuanya orang Vietnam. Begitu juga kedai gunting rambut di negeri Perlis. Saya amat menghormati semangat keusahawanan yang ditunjukkan oleh seorang anak muda yang berpengalaman bekerja dengan orang lain di Johor Baharu sebagai penggunting rambut. Selepas tujuh tahun, beliau balik ke Perlis dan membuka rangkaian kedai Gunting Rambut di kebanyakan Bandar-bandar utama di Perlis dan Kedah. Rangkaian kedai beliau sekarang meliputi di Arau, Kangar, Padang Besar dan Changlun. Sebelum rangkaian kedai ini dibuka memang apabila hendak menggunting rambut, perlu menunggu giliran. Sekarang masalah mendapatkan khidmat gunting rambut itu telah dapat diatasi di Perlis dan Changlun, Kedah.

Isu yang saya ingin bangkitkan ialah pekerja di kedua-dua kedai yang dikategorikan perkhidmatan tersebut mempunyai hampir 90 peratus pekerja warga asing, Vietnam dan India. Saya memikirkan belia tempatan juga sebenarnya boleh bekerja di kedua-dua kedai tersebut, kedai tempahan pakaian dan kedai gunting rambut. Dari perbualan dengan kedua-dua anak muda pemilik kedai tersebut, mereka menyatakan anak tempatan sukar dikawal, mengkehendaki gaji yang lebih tinggi dan boleh menjadi pesaing mereka pada suatu masa nanti. Memang diakui kebenaran kenyataan tersebut, tetapi bila dilihat dari peluang pekerjaan dan pengaliran keluar ringgit Malaysia ke Vietnam dan India, ianya perlu dikaji semula. Pemilik kedai mungkin perlu diberi insentif ekonomi oleh kerajaan untuk menggalakkan mereka lebih berminat menggunakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing. Insentif cukai seperti kadar cukai yang lebih rendah atau rebat cukai boleh digunakan sebagai alat insentif. Kedai yang menggunakan kesemua pekerja tempatan diberi rebate 30% dari jumlah cukai yang dikenakan misalnya. Dengan insentif sebegini diharapkan kadar penggunaan buruh asing tersebut dapat dikurangkan dan peluang pekerjaan penjahit pakaian dan penggunting rambut tempatan dapat ditingkatkan.

Begitu juga kajian perlu dibuat terhadap keberkesanan institut-institut latihan yang diwujudkan oleh kerajaan seperti Institut Latihan Belia Dusun Tua yang melahirkan tenaga mahir seperti pendandan rambut dan juruteknik motorsikal. Khabarnya kursus-kursus seperti pendandan rambut begitu popular dan mudah mendapat pekerjaan. Persoalan juga timbul dimanakah penggunting rambut dari India itu mendapat latihan?

Nasihat ilmu:

Dimasukkan di sini makna bacaan dalam sholat agar sholat kita lebih khusyuk dan diberkati Allah s.w.t.

1. Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

2. Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

3. Bacaan ketika rukuk

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

4. Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

5. Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

6. Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku

8. Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

9. Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

10. Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.