Total Pageviews

Friday, July 3, 2015

Pengajaran dari isu ekonomi di Greece kepada Malaysia

Sebagai ahli akademik yang berlatar belakang bidang ekonomi, saya sering ditanya oleh rakan-rakan berkaitan apa yang terjadi di Greece boleh terjadi kepada Malaysia atau tidak? Greece sekarang sebuah negara yang bermasalah kerana tidak mampu membayar hutang negara mereka yang jumlahnya melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) mereka. Kadar hutang dilaporkan melebihi dari 178% GDP. Mereka telah banyak mengambil hutang dari International Monetary Fund (IMF), Kerajaan German dan Perancis dan melakukan pelbagai langkah penjimatan seperti pengecilan saiz sektor kerajaan, pengurangan peruntukan untuk pencen, perbelanjaan pertahanan dan perbelanjaan kesihatan. Malangnya langkah-langkah tersebut sebenarnya telah menyusahkan rakyat Greece sendiri dan dengan ketiadaan sumber ekonomi yang dapat meningkatkan pertumbuhan GDP, hutang yang dipinjam tidak mampu dibayar dan negara yang memberi hutang tidak mahu memberi hutang baru lagi. Perdana Menteri bertukar-tukar sejak tahun 2004, dan yang terkini pemimpin muda yang baru berumur 40an. Mereka pernah gah dengan bangga menganjurkan sukan Olimpik pada tahu 2002. Begitu juga bangga dengan nama dengan ahli-ahli fikir yang terkenal seperti Socrates dan Plato, dan jutawan perkapalan seperti Aristotle. Tetapi keadaan ekonomi yang buruk di Greece pada masa sekarang, nama-nama besar itu hanya menjadi tinggalan sejarah sahaja.

Jawapan yang saya berikan dari segi ekonomi dengan keadaan ekonomi Malaysia berada dalam keadaan hutang negara pada paras 54% dari GDP dan sistem Kewangan Negara yang dikawal dengan baik oleh Bank Negara Malaysia, keadaan seperti Greece itu tidak berlaku pada masa kini, tetapi jika Malaysia terus mengamalkan sistem Belanjawan Defisit setiap tahun, hutang negara boleh meningkat dan boleh menjadikan negara kita bermasalah dari segi kewangan sepertimana yang berlaku di Greece. Pelbagai jawapan diberikan oleh ahli-ahli ekonomi dan politik mengenai kaedah untuk mengatasi isu ekonomi yang begitu banyak diperbincangkan pada masa kini, seperti isu kenaikan kos sara hidup disebabkan pengenaan cukai baru oleh kerajaan iaitu cukai barang dan perkhidmatan (GST), penghapusan subsidi minyak yang menyebabkan harga minyak berubah-ubah mengikut harga pasaran dan isu pelaburan institusi-institusi yang berkaitan dengan kerajaan yang diragui pulangan kewangannya.

Sebenarnya apabila diteliti isu ekonomi adalah pelbagai dan penyelesaian masalahnya boleh diselesaikan dalam berbagai kaedah, tetapi isu sebenarnya ialah pembuat polisi (pemimpin kerajaan) perlu bekerja dengan jujur dan berhemah. Perbelanjaan membazir, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentabiran perlu dikawal dan dihentikan. Kita tahu masalah manusia ialah ia mempunyai “nafsu” yang sukar dikawal. Sebab itu dalam Al-Quran selalu disebut amaran tindakan kita di dunia dan balasan di akhirat, perkataan Sholat dengan Zakat (pengagihan semula kekayaan kepada kumpulan asnaf yang tertentu) dan perbincangan berkaitan kebijaksanaan dalam mengurus harta sendiri dan negara.

Sekiranya pemimpin negara sentiasa beringat dan pemimpin yang beragama Islam cuba memahami apa yang dibaca dalam Sholat lima waktu mereka dan pada masa sentiasa cuba memahami ayat-ayat Al-Quran yang dibaca. Dengan membaca dan memahami pula ayat-ayat al-Quran yang dibaca, saya yakin mereka akan menjadi lebih baik dalam memimpin negara dan berupaya menjauhi sifat tidak bertanggungjawab seperti boros, menyalahgunakan kuasa dan mengumpul kekayaan di kalangan ahli keluarga dan kroni, dan pada masa yang sama tidak hipokrit dengan berlagak baik dengan menggunakan saluran media tertentu seperti TV, internet, papan iklan dan radio. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Greece terjadi kepada negara kita, kerana rantaian kesannya adalah panjang dan buruk, seperti menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi, ketidakmampuan kerajaan membayar gaji pekerja, kejatuhan pelaburan kerana pelabur luar negeri tidak mahu melabur di negara itu lagi, kemerosotan nilai matawang dan imej negara yang dipandang rendah oleh negara-negara lain.

Saya sangat terkesan dengan Surah Al-Mukminun (23) Ayat 1-11 berikut yang bermaksud:

                                                                   بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (١) ٱلَّذِينَ هُمۡ فِى صَلَاتِہِمۡ خَـٰشِعُونَ (٢) وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ (٣) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ (٤) وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ (٥) إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٲجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَإِنَّہُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٲلِكَ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ (٧

“Sangat beruntung orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam Sholatnya, dan orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna,  dan orang yang membayar zakat, dan orang yang memelihara kemaluannya, kecuali dengan isteri (isteri-isteri), maka mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa melakukan sebaliknya, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan sungguh beruntung orang yang memelihara amanah dan janjinya, serta orang yang memelihara Sholatnya. Mereka akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.”

Monday, June 15, 2015

Kepentingan Modal Sosial dalam kehidupan – pengalaman masyarakat UK

Kebelakangan ini ramai pelajar yang membuat penyelidikan di peringkat Sarjana dan PhD mencadangkan tajuk penyelidikan yang berkaitan dengan konsep kehidupan lestari yang melibatkan hubungan modal sosial (social capital), modal manusia (human capital), modal fizikal (physical capital), modal kewangan (financial capital) dan modal semulajadi (natural capital). Faktor ini mungkin disebabkan oleh isu kehidupan lestari merupakan suatu pengukuran baru dalam menentukan kesejahteraan hidup dan kajian terhadap isu ini dapat memberi suatu sumbangan baru kepada pengetahuan dan menjadi matlamat sesuatu kajian di peringkat Sarjana dan Ph.D.
Saya akan membincangan isu kepentingan modal sosial kepada kehidupan masyarakat, di mana tanpa modal sosial, masyarakat sukar untuk menikmati pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan kesejahteraan kehidupan (human well-being).
Secara umumnya, modal sosial mewakili hubungan sosial di antara pasangan suami isteri, ahli keluarga, masyarakat setempat dan masyarakat dalam negara keseluruhannya. Hubungan tersebut boleh mengujudkan faedah seperti membolehkan perhubungan di antara indidvidu dan masyarakat, toleransi, kesediaan membantu di antara satu sama lain, dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu yang memberi faedah bersama (common goods). Keadaan tersebut membolehkan mereka mempercayai individu atau masyarakat lain, dan institusi (seperti kerajaan) yang terlibat dengan kehidupan mereka. Kepercayaan ini seterusnya dapat memberikan kesan positif dalam bentuk kesejahteraan individu dan keluarga, pekerjaan, kesihatan dan kawalan tehadapa tingkahlaku jenayah.
Pengukuran modal sosial adalah penting untuk menentukan keadaan modal sosial di sesuatu kawasan yang dikaji. Lima aspek modal sosial yang penting ialah hubungan personal (personal relationships), sokongan rantaian sosial (social network support), penglibatan sivik (civic engagement), kepercayaan (trust) dan norma-norma kerjasama (co-operative norms). Kajian yang telah dibuat di United Kingdom mendapati hubungan personal boleh mempengaruhi kegembiraan seseorang, kesihatan fizikal dan kesihatan mental. 
Dalam doa selepas sembahyang juga kita selalu berdoa “Ya Allah, berilah kesejahteraan kepada Agama kami, berilah kesihatan tubuh badan (fizikal) kami, berilah ilmu pengetahuan (fikiran) dan murahkan rezeki yang halal”. Ini menunjukkan kita telah lama diajar untuk berusaha mendapatkan kesihatan fizikal dan kesihatan mental (fikiran) dalam kehidupan seharian kita.
Satu kajian yang telah di buat di United Kingdom (UK) pada tahun 2011/12 mendapati kebanyakan penduduk di UK (95%) melaporkan mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang rakan, tetapi 11% dari mereka masih menyatakan mereka masih kesunyian dalam separuh dari masa harian mereka.
Modal sosial juga boleh dilihat kepentingannya dalam bentuk sokongan yang diterima dari keluarga, rakan dan jiran apabila kita menghadapai kesusahan, seperti masalah ekonomi. Ukuran kebolehharapan masyarakat di UK mendapati mereka boleh berharap kepada pasangan (83%), ahli keluarga (62%) dan cuma 45% dari rakan apabila menghadapi seuatu masalah yang serius. Maksudnya pasangan lebih sedia membantu berbanding dengan ahli keluarga dan rakan rapat.
Dari sumbangan kepada masyarakat pula, didapati masyarakt UK lebih sanggup menyumbang wang (67%), berbanding dengan masa kepada badan-badan kebajikan.  Lebihkurang 1/3 dari mereka (34%) melaporkan terlibat dalam aktiviti politik, yang biasanya melibatkan tandatangan petisyen terhadap sesuatu isu yang menjadi perhatian mereka. Malangnya hampir 1/4  dari mereka juga (23%) tidak berminat dengan isu-isu berkaitan politik. Begitu juga 2/3 dari masyarakat UK (69%) tidak mempercayai kerajaan pusat mereka. Faktor kemerosotan kepercayaan kepada kerajaan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh pemerintah, terutamanya apabila maklumat mengenai tingkahlaku menteri-menteri dalam kerajaan mudah diperolehi dari internet dan akhbar-akhbar. Kedudukan taraf hidup dan situasi keadaan ekonomi penduduk sangat mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Pemimpin negara perlu menunjukkan nilai-nilai kejujuran, toleransi dan menggalakkan perpaduan di antara ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat. Dasar yang boleh merenggangkan hubungan antara masyarakat perlu dihapuskan dan kefahaman untuk memahami budaya masyarakat yang berbeza perlu di pertingkatkan.
Usefull links:

  1. http://www.ons.gov.uk/ons/guide-method/user-guidance/social-capital-guide/index.html
  2. http://www.ons.gov.uk/ons/guide-method/user-guidance/well-being/index.html
  3. OECD Insights Blog