Total Pageviews

Tuesday, March 23, 2010

Pengasingan Murid di Sekolah Rendah

Apabila pergi kerja dari Arau ke UUM, Sintok yang mengambil tempoh masa perjalananan selama setengah jam, saya sentiasa memerhatikan dan berfikir apa yang berlaku di persekitaran saya. Dalam perjalanan, saya sering kali ternampak pelbagai tingkahlaku manusia yang melakukan pelbagai aktiviti ekonomi. Terfikir sumbangan setiap orang dari mereka kepada kehidupan kita seharian, tidak kira pengangkut sampah dan pengawal keselamatan bank, pemandu bas, buruh, sehinggalah kepada pensyarah Matrikulasi dan UiTM, Pemilik Mini Market, Jurutera JKR, peniaga di tepi jalan dan sebagainya.

Dari aktiviti persekolahan pula, apabila ada kelapangan, saya sendiri akan menghantar dua orang anak saya ke sekolah mereka di Sekolah Rendah Tengku Budriah, Arau. Apa yang menarik dalam sistem persekolahan di tempat anak saya belajar ialah selepas tamat Darjah Satu, murid-murid akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut keputusan peperiksaan Darjah Satu mereka. Kebiasaannya mereka dipecahkan kepada tujuh kelas,dan setiap kelas terdapat secara purata 35 orang murid. Alasan yang diberikan oleh guru ialah memudahkan pengajaran diberikan kepada anak murid yang mempunyai prestasi yang baik, sederhana baik, dan kurang baik.

Terfikir saya pernahkah kajian dibuat keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah pengasingan murid mengikut keputusan peperiksaan sebegini. Apakah latar belakang murid yang berada di kelas A, B, C, D, E, F, dan G tersebut? Pendapatan ibu-bapa mereka, tahap pendidikan keluarga, jenis rumah yang diduduki, persekitaran tempat tinggal, tahap pemakanan dan sebagainya. Saya khuatir dasar pengasingan murid dari darjah satu lagi ini telah membawa kepada keadaan penentu masa depan mereka – untuk menjadi mereka yang berjaya dalam kerjaya, dan mereka yang akan menjadi buruh kasar, peniaga kecil-kecilan atau mat rempit yang merempit pada waktu malam. Memang matlamat utama pengasingan baik, iaitu memudahkan guru menumpukan kaedah pengajaran yang sesuai mengikut tahap kemampuan murid, tetapi jika pengasingan dari darjah dua lagi telah dibuat, murid yang lemah terus-menerus bergaul dengan murid yang lemah. Begitu juga guru, persepsi mereka terhadap murid yang baik dan lemah tentu berbeza. Mereka tentunya berminat mengajar di kelas A berbanding dengan kelas F dan G. Kajian boleh dibuat kemanakah perginya murid yang berada di kelas yang lemah tersebut, latar belakang keluarga mereka dan peratusan yang berjaya ditingkatkan prestasi mereka apabila mereka berada di darjah enam.

Saya berpandangan, pengasingan mengikut keputusan peperiksaan baik dibuat untuk kelas yang pertama sahaja, kelas kedua hingga ketujuh biar dicampurkan murid yang mempunyai keputusan peperiksaan yang baik, sederhana dan lemah. Strategi ini bagi menggalakkan persaingan berterusan murid-murid tersebut. Perkembangan prestasi murid diandaikan akan berubah apabila mereka dapat bercampur gaul di antara murid berprestasi baik, sederhana dan lemah. Diketahui juga murid boleh berubah-ubah prestasinya dari masa ke semasa. Faktor pemakanan, persaingan, latar belakang keluarga, persekitaran, dan persepsi guru semasa mengajar boleh mempengaruhi prestasi murid berkenaan. Kajian boleh dibuat untuk menentukan keberkesanan kaedah ini.

Begitu juga selepas tamat Darjah Enam, kebanyakan ibu-bapa masa kini berlumba-lumba menghantar anak mereka ke Sekolah Berasrama Penuh, terutamanya ke sekolah Berprestasi Tinggi yang diwujudkan sekarang. Mengikut pengalaman saya sendiri, sepatutnya murid yang dipilih ke sekolah berasrama penuh tersebut majoritinya ialah murid luar Bandar, latar belakang keluarga yang mempunyai pendapatan rendah atau sederhana, di samping peratusan yang kecil dari keluarga yang berpendapatan tinggi. Biarlah sebilangan murid yang terpilih mempunyai keputusan peperiksaan 3A 2B dan 4A 1B, atau mungkin 4A 1C. Murid luar Bandar yang menghadapi keadaan serba kekurangan seperti kemudahan tuisyen tambahan tentulah lebih memerlukan kemudahan tinggal di asrama yang serba lengkap berbanding murid Bandar dan murid yang mempunyai latar belakang keluarga yang berkemampuan. Strategi ini boleh dicuba dengan mengambil beberapa buah sekolah berasrama penuh sebagai projek perintis. Pengalaman saya dengan sistem sekolah berasrama penuh yang serba lengkap, seperti kemudahan kelas yang berhampiran dengan asrama, makanan yang berkhasiat dan baik, sistem kelas waktu petang dan malam, kemudahan pusat sukan dan sebagainya memang boleh membentuk murid untuk berjaya dalam proses pembelajaran mereka. Majoriti dari mereka akan berjaya memasuki Universiti Awam.

Walau apa pun, apa yang saya cadangkan ini perlu dikaji dan dibuat beberapa percubaan dahulu sebelum dilaksanakan. Apa yang diceritakan hanya dari pengalaman dan pemerhatian saya sahaja, dan belum dibuat kajian saintifik lagi.