Total Pageviews

Friday, July 16, 2010

Taraf hidup dan kos sara hidup

Selalu timbul persoalan perhubungan di antara taraf hidup dan kos sara hidup. Kos sara hidup merupakan pengiraan kos yang terpaksa ditanggung oleh seseorang, atau satu keluarga (jika telah berkeluarga) untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dan keperluan-keperluan untuk keselesaan hidup. Taraf hidup pula mengukur perbandingan di antara pendapatan boleh belanja yang diterima oleh seseorang atau satu keluarga yang tinggal serumah dengan kos sara hidup. Sekiranya peningkatan pendapatan berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup, bererti taraf hidup seseorang dikatakan semakin merosot. Begitulah sebaliknya, sekiranya taraf pendapatan meningkat pada kadar lebih tinggi dari kos sara hidup, taraf hidup dikatakan semakin meningkat.

Oleh yang demikian apabila kerajaan mengurangkan subsidi gula, petrol, “liquefied petroleum gas” (LPG) dan diesel pada hari ini, Jumaat, 16 Julai 2010 tentulah akan berlaku peningkatan kepada kos sara hidup penduduk Malaysia. Dilaporkan harga gula akan meningkat sebanyak 25 sen kepada RM1.75 sekilogram, LPG meningkat 10 sen kepada RM1.85 sekilogram, petrol RON95 meningkat 5 sen kepada RM1.85 seliter, dan diesel 5 sen kepada RM1.75 seliter. Maklumat ini boleh diperolehi dari PMO and PEMANDU websites, at: www.pmo.gov.my dan http://www.pemandu.gov.my/. Perubahan dasar subsidi ini bersesuaian dengan usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM750juta pada tahun 2010. Keadaan ini bermakna kerajaan semakin kurang memberikan tumpuan kepada pengawalan harga barangan keperluan, dan menuju kearah penentuan harga berdasarkan permintaan dan penawaran. Pelbagai strategi telah dibuat untuk menguatkan alasan kerajaan pengurangan subsidi tersebut seperti pengurangan subsidi gula akan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia dengan pengurangan penggunaan gula dalam makanan dan minuman. Dilaporkan 40% rakyat Malaysia menghadapi masalah obesity. Begitu juga pengurangan subsidi akan mengurangkan keuntungan yang banyak diperolehi oleh pengeluar makanan, yang didapati dua kali ganda lebih banyak menggunakan gula berbanding dengan isirumah. Penggunaan kereta lebih kecil dan motorsikal juga dijangkakan akan meningkat. Begitu juga penyeludupan gula dan diesel di kawasan sempadan, terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand akan berkurangan. Dilaporkan 200 metrik ton gula di jual ke negara jiran sepanjang tahun ini. Wang sebanyak RM750 juta itu dijanjikan akan dibelanjakan untuk perbelanjaan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Memang diketahui dasar pengurangan subsidi ini suatu dasar yang tidak popular, meyukarkan orang-ramai dan meningkatkan kos sara hidup. Apa yang pasti, harga barang makanan yang berasaskan gula akan meningkat, dan diikuti pula kos pengangkutan yang meningkat (lori menggunakan diesel untuk bergerak) akan meyebabkan pengeluar, pemborong dan peruncit menyerapkan kos tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan akhir.

Pada pandangan saya, dasar subsidi memang perlu dikaji, tetapi dasar pengurangan subsidi perlu dibuat berhati-hati. Kepastian peningkatan taraf hidup dengan pengkajian lebih terperinci kepada dasar-dasar yang membawa kepada pengurangan produktiviti seperti pergantungan buruh asing yang keterlaluan, projek-projek mega yang tidak pasti pulangan ekonominya, ketirisan dalam perlaksanaan projek-projek pembangunan, ketidakseimbangan agihan pendapatan, dan perbelanjaan yang membazir dalam sambutan-sambutan perayaan tertentu seperti menyambut tahun baru dan pesta-pesta tidak berfaedah perlu dikawal dan dilaksakan dasar yang bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan. Kenaikan kos sara hidup tanpa kenaikan pendapatan akan membawa kepada penurunan taraf hidup. Rakyat yang merosot taraf hidupnya akan memberikan tekanan dan mungkin membawa kepada peningkatan kejadian rasuah, penyelewengan wang awam dan kejadian jenayah.