Total Pageviews

Thursday, February 2, 2012

Pengetahuan, kemahiran berfikir dan membuat keputusan yang tepat

Kebelakangan ini di antara ‘Channel’ Astro yang popular ialah ‘Channel’ 393 yang menyiarkan drama-drama Korea. Saya pada permulaannya tidak berminat dengan drama bersiri ini kerana ianya mengambil masa yang lama mengetahui kesudahan ceritanya. Rancangan kesukaan saya ialah ‘Globe Trekker’ dari Channel 707 kerana ianya menunjukkan budaya dan tempat-tempat menarik di dunia ini. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan jalan cerita satu drama Korea bersiri yang bertajuk DEEP ROOTED TREE yang disiarkan setiap malam Isnin dan Selasa. Ianya mengisahkan seorang Raja di Korea yang bijak dan berfikiran ke hadapan berusaha mengujudkan satu sistem huruf yang lebih mudah untuk dipelajari oleh rakyatnya dan menjadikan mereka celik huruf. Walau bagaimanapun kumpulan bangsawan yang bergerak secara rahsia dan di antara ahlinya ialah Menteri beliau sendiri berusaha menentang usaha murni ini. Kumpulan bangsawan berpandangan jika rakyat mempunyai kemampuan membaca, mereka (rakyat) akan lebih berpengetahuan dan dapat mempertikaikan keputusan Raja dan kumpulan Bangsawan yang bertentangan dengan kepentingan rakyat. Ini akan menjejaskan kuasa Raja dan Bangsawan. Raja yang berpandangan jauh ini pula berpendapat rakyat yang boleh membaca boleh mengetahui lebih banyak maklumat, berfikiran dengan bijak dan waras dan menjaga kepentingan mereka dari diekploitasi oleh Raja dan kumpulan elit bangsawan. Raja lebih suka keadaan berubah dan mahukan pada masa akan datang Raja dan elit bangsawan lebih bertanggungjawab dalam mentadbir Negara. Rakyat boleh meningkatkan taraf hidup kerana mereka lebih berilmu bila majoriti rakyat dapat membaca dan mengetahui banyak maklumat berguna. Rakyat pula diberi kaedah yang bersesuaian dengan kebolehan mereka untuk cepat belajar membaca. Belakulah pertentangan di antara Raja dan pengikutnya yang jujur dengan elit Bangsawan yang diketuai oleh “akar”.

Apa yang diceritakan dalam drama itu menyentuh perasaan saya terhadap kepentingan ilmu, tanggung jawab pemerintah dan kawalan terhadap tingkahlaku pemerintah pada masa kini. Rakyat pada masa kini adalah rakyat yang bermaklumat dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber maklumat untuk membuat perbandingan keputusan kerajaan dalam mentadbir Negara. Sekiranya rakyat sentiasa diberikan maklumat yang tidak benar dan tidak tepat, maka akan wujudlah kehilangan kepercayaan terhadap saluran maklumat sedemikan. Ada kemungkinan mereka tidak lagi menggunakan sumber maklumat tersebut. Begitu juga dalam memberi maklumat, biarlah maklumat tersebut ada unsur yang boleh dibuktikan kebenaran maklumat tersebut dan lengkap. Maksudnya jika maklumat menunjukkan kejayaan sesuatu program, perlu ditunjukkan maksud program yang berjaya. Contohnya jika program bercorak peningkatan pendapatan, apakah program tersebut, bagaimana ia dijalankan, hasil peningkatan pendapatan, apa yang mempengaruhi keadaan, penjimatan kos, bagaimana ia boleh berlaku dan sebagainya perlu ada. Kita tidak mahu maksud berjaya yang samar-samar dan tidak dapat dibuktikan dengan fakta.