Kebelakangan ini di antara ‘Channel’ Astro yang popular ialah ‘Channel’ 393 yang menyiarkan drama-drama Korea. Saya pada permulaannya tidak berminat dengan drama bersiri ini kerana ianya mengambil masa yang lama mengetahui kesudahan ceritanya. Rancangan kesukaan saya ialah ‘Globe Trekker’ dari Channel 707 kerana ianya menunjukkan budaya dan tempat-tempat menarik di dunia ini. Walau bagaimanapun saya tertarik dengan jalan cerita satu drama Korea bersiri yang bertajuk DEEP ROOTED TREE yang disiarkan setiap malam Isnin dan Selasa. Ianya mengisahkan seorang Raja di Korea yang bijak dan berfikiran ke hadapan berusaha mengujudkan satu sistem huruf yang lebih mudah untuk dipelajari oleh rakyatnya dan menjadikan mereka celik huruf. Walau bagaimanapun kumpulan bangsawan yang bergerak secara rahsia dan di antara ahlinya ialah Menteri beliau sendiri berusaha menentang usaha murni ini. Kumpulan bangsawan berpandangan jika rakyat mempunyai kemampuan membaca, mereka (rakyat) akan lebih berpengetahuan dan dapat mempertikaikan keputusan Raja dan kumpulan Bangsawan yang bertentangan dengan kepentingan rakyat. Ini akan menjejaskan kuasa Raja dan Bangsawan. Raja yang berpandangan jauh ini pula berpendapat rakyat yang boleh membaca boleh mengetahui lebih banyak maklumat, berfikiran dengan bijak dan waras dan menjaga kepentingan mereka dari diekploitasi oleh Raja dan kumpulan elit bangsawan. Raja lebih suka keadaan berubah dan mahukan pada masa akan datang Raja dan elit bangsawan lebih bertanggungjawab dalam mentadbir Negara. Rakyat boleh meningkatkan taraf hidup kerana mereka lebih berilmu bila majoriti rakyat dapat membaca dan mengetahui banyak maklumat berguna. Rakyat pula diberi kaedah yang bersesuaian dengan kebolehan mereka untuk cepat belajar membaca. Belakulah pertentangan di antara Raja dan pengikutnya yang jujur dengan elit Bangsawan yang diketuai oleh “akar”.
Apa yang diceritakan dalam drama itu menyentuh perasaan saya terhadap kepentingan ilmu, tanggung jawab pemerintah dan kawalan terhadap tingkahlaku pemerintah pada masa kini. Rakyat pada masa kini adalah rakyat yang bermaklumat dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber maklumat untuk membuat perbandingan keputusan kerajaan dalam mentadbir Negara. Sekiranya rakyat sentiasa diberikan maklumat yang tidak benar dan tidak tepat, maka akan wujudlah kehilangan kepercayaan terhadap saluran maklumat sedemikan. Ada kemungkinan mereka tidak lagi menggunakan sumber maklumat tersebut. Begitu juga institusi yang ditubuhkan seperti Jabatan Audit Negara sangat penting dalam mengawal tingkahlaku pegawai-pegawai kerajaan dan Institusi yang dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan dasar kerajaan. Segala ketirisan dan perlanggaran peraturan ditegur dan dicadangkan apa yang patut dibuat untuk memperbaiki keadaan.
Kemahiran berfikir dan membuat keputusan yang tepat juga penting dalam pengurusan sekolah. Pada masa kini pentadbiran sekolah dibantu oleh penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Saya berkesempatan pergi ke perjumpaan PIBG di sekolah anak saya yang baru memasuki Tingkatan Satu. Disebabkan mesyuarat PIBG dibuat pada waktu petang, saya dapati ramai ibu-bapa yang hadir sehingga kerusi terpaksa disediakan di luar dewan. Saya dapati Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah tersebut dipegang oleh kumpulan veteran yang majoritinya telah berumur melebihi 60 tahun. Apabila dibuat cadangan perlantikan ahli jawatankuasa baru pula, dengan cepat ada satu usul mohon dikekalkan yang lama dan majoriti yang hadir menyokong usul tersebut. Saya yang baru menghadiri untuk pertama kali ke mesyuarat sedemikian agak terkejut dengan cara pengundiaan sedemikian. Sebaiknya setiap jawatan perlu dipertandingkan dan ini membolehkan kumpulan muda dan berkebolehan memberi idea baru dapat terlibat sama menjadi ahli jawatankuasa PIBG.
Seperti biasa, dalam mesyuarat PIBG akan dibentangkan usul dan dibahaskan minit mesyuarat yang lepas. Saya dapati ada beberapa usul yang menarik seperti kelulusan untuk mendapatkan dana dari ibu bapa untuk perbelanjaan aktiviti yang dirancang oleh sekolah dan pembelian van baru. Begitu juga cadangan majalah sekolah yang kebiasaannya dicetak ditukar ke bentuk CD. Ini membolehkan kos pengeluaran majalah dijimatkan. Zaman teknologi maklumat sekarang membolehkan maklumat tersebut di simpan dalam komputer dan boleh dikongsi dalam laman sosial seperti Facebook. Disebabkan sekolah tersebut adalah salah sebuah sekolah Cemerlang yang pelajarnya dipilih dari mereka yang dapat keputusan UPSR 4A dan 5A maka saya mencadangkan beberapa usul. Pertama, saya mohon pihak sekolah dalam mesyuarat membentangkan laporan prestasi keputusan peperiksaan PMR, SPM dan STPM dan butiran prestasi setiap matapelajaran dan kenapa terjadi keputusan sedemikian. Perbandingan perlu dibuat dengan keputusan satu tahun atau dua tahun yang lalu. Kedua, saya mencadangkan dikumpulkan maklumat ALUMNI sekolah dan digunakan untuk bantuan melaksanakan aktiviti sekolah dan mendapatkan sumbangan bantuan kewangan yang diperlukan oleh pihak sekolah. Sudah tentu ada ALUMNI yang telah berjaya dalam kerjaya atau perniagaan dan bersedia membantu tempat mereka belajar dahulu. Ketiga, saya cadangkan kecerian sekolah dipertingkatkan seperti dibuat kawasan tanaman buah Harumanis dan Anggur yang popular di Perlis. Di samping menceriakan sekolah, ianya juga boleh menggalakkan pelajar yang tidak biasa bercucuk tanam kerana kebanyakan pelajar sekolah sekarang tinggal di taman-taman perumahan mendekatkan diri dan memahami teknik bercucuk tanam. Setiap seorang ibu bapa boleh menyumbang sebatang pokok untuk aktiviti sedemikian. Keempat, saya juga mencadangkan sekolah melakukan aktiviti ko-kurikulum terutamanya aktiviti sukan yang boleh membentuk peribadi pelajar dan meningkatkan nama baik sekolah. Aktiviti ko-kurikulum tersebut tidak terbatas kepada satu aktiviti tertentu sahaja tetapi perlu ada pelbagai aktiviti.
Saya agak berpuashati kerana nampaknya Guru Besar sekolah tersebut agak positif dengan cadangan-cadangan ibu-bapa yang hadir dalam mesyuarat tersebut. Sesuatu yang pasti dalam mesyuarat sebegini, masa mesyuarat yang dirancang hendak dibuat perlu dipatuhi. Mesyuarat tersebut dirancang bermula jam 3 petang, tetapi akhirnya bermula jam 3.45 petang. Masyarakat Malaysia masih perlu mematuhi ketepatan masa bermesyuarat.
1 comments:
Assalamu'alaikum prof, mungkin prof sudah lupa akan saya, saya bekas pelajar ekonomi uum sekitar tahun 2007- 2010...sangat menarik blog prof, saya menjelajah blog terjumpa blog prof...semoga prof terus mencetuskan idealisme terutama tentang isu2 semasa saya juga akan sentiasa merujuk blog prof yang menjadi medan saya mempertingkatkan pengetahuan ilmu saya...sekian
muhammad yasser
Post a Comment