Total Pageviews

Saturday, April 18, 2009

Dasar Buruh Asing di Malaysia

Kemelesetan Ekonomi yang berpunca dari keruntuhan sistem Kewangan di Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain telah memberi kesan yang ketara kepada ekonomi dan seterusnya peluang pekerjaan kepada penduduk Malaysia. Kemelesetan ekonomi di negara maju tersebut bererti penurunan kuasa beli rakyat mereka, dan keadaan ini berlarutan kepada penurunan permintaan terhadap barangan yang diimport dari luar negeri. Seterusnya permintaan eksport keatas barangan keluaran di sektor pertanian dan perindustrian dari Malaysia telah terjejas. Ianya menjejaskan prestasi syarikat-syarikat yang mengeluarkan barangan pertanian dan perindustrian yang bergantung kepada pasaran eksport tersebut. Prestasi syarikat-syarikat di Malaysia akan terjejas. Penurunan prestasi, bererti pengurangan pekerja di dalam syarikat terpaksa dilakukan. Begitu juga tidak akan berlaku pengambilan pekerja baru. Kedudukan buruh tempatan yang terpaksa bersaing dengan buruh asing di dalam pekerjaan pula boleh membawa kepada satu elemen 'krisis modal insan'.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Thomas George berkata, dasar yang semakin liberal terhadap pengambilan pekerja asing di Malaysia wujud berikutan pertumbuhan pesat ekonomi, yang sebahagian besarnya dipacu oleh perkembangan industrialisasi di negara ini. Kalau dahulu, pekerja asing hanya dibenarkan bekerja di sektor perladangan, pembinaan dan pembantu rumah, kini telah dibenarkan pula bekerja disektor perkhidmatan seperti peruncitan, restoran dan industri kecil dan sederhana. Kedai gunting rambut juga telah kedapatan ramai pekerja asing pada masa kini. Dengan membenarkan hampir semua sektor dalam ekonomi menggaji buruh asing, kesatuan sekerja tempatan seperti Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merasakan akan kurang kuasa tawar menawar dalam menjaga kebajikan pekerja apabila membuat perbincangan berkaitan isu-isu kebajikan pekerja. Syarikat-syarikat yang ingin mengurangkan kos operasi berkemungkinan besar akan menggunakan buruh asing berbanding dengan buruh tempatan.

Berucap merasmikan Simposium Kebangsaan mengenai Dasar Pekerja Asing di Malaysia anjuran bersama kementerian Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Datuk Thomas George berkata, daripada jumlah keseluruhan 11.3 juta tenaga kerja yang ada di Malaysia, 2.2 juta adalah warga asing. Untuk mengurangkan kedudukan Malaysia yang terlalu bergantung terhadap pekerja asing dan bagi melindungi peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, kerajaan membuat keputusan untuk mengurangkan secara beransur-ansur kadar pergantungan terhadap pekerja asing daripada 2.2 juta sekarang kepada 1.5 juta menjelang 2015 (Utusan Malaysia 20 Oktober 2009).

Jika dilihat pekerjaan buruh asing mengikut sektor, sebahagian besar pekerja asing diambil bekerja dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 36 peratus, diikuti perladangan (24.6 peratus), pembantu rumah (15.7 peratus), pembinaan (14.2 peratus) dan selebihnya dalam sektor lain. Sementara itu, seorang pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia, Puan Azizah Ariffin berkata, warga asing mengambil kira-kira 45 peratus peluang pekerjaan baru yang diwujudkan setiap tahun di negara ini. Puan Azizah juga merasakan penggunaan pekerja asing secara berlebihan mengakibatkan timbulnya pelbagai masalah, termasuk penurunan purata produktiviti, penyisihan pekerja tempatan, kewujudan kadar upah yang rendah serta menjejaskan imbangan pembayaran, dan mencetuskan isu sosial dan keselamatan. Hampir keseluruhan buruh asing di sektor perindustrian dan pembinaan itu pula kebanyakannya terdiri dari buruh tidak mahir atau separa mahir. Dengan buruh asing mahir tidak melebihi lima peratus dari keseluruhan buruh asing, tentulah ianya tidak membantu dalam persediaan Malaysia menghadapi persaingan kompetitif dalam perkembangan ekonomi di peringkat global. Dari segi pengaliran keluar matawang, pada tahun 2007, wang yang buruh asing hantar pulang ke negara asal masing-masing berjumlah kira-kira RM3.43 bilion.

Memang diakui juga buruh asing ada sumbangannya kepada pembangunan ekonomi Malaysia. Mereka sanggup bekerja dengan kadar upah yang rendah dan bekerja di sektor yang menghadapi kekurangan tenaga kerja seperti di sektor pembinaan dan perladangan. Mereka sanggup bekerja di sektor yang berbahaya, kotor dan sukar. Mereka juga sebenarnya telah menyumbang kepada penurunan kadar inflasi kerana kadar upah yang rendah, yang mana dalam ekonomi dipanggil inflasi tolakan kos. Walau bagaimanapun apabila majikan dalam sektor perkhidmatan seperti restoran dan peruncitan, dan sektor perindustrian turut sama mengambil kesempatan mengutamakan pengambilan buruh asing berbanding buruh Malaysia maka timbul persoalan kesesuaian polisi buruh asing yang diamalkan di Malaysia. Apabila berlaku rungutan ketara dari rakyat Malaysia seperti di waktu pilihanraya atau tekanan dari kemelesetan ekonomi, maka dasar buruh asing yang lebih menjurus kepada kawalan dan pengurangan pengambilan buruh asing diperkenalkan. Walau bagaimanapun selepas waktu pilihanraya atau apabila ada rayuan dari majikan, dasar ketat yang diperkenalkan itu dilonggarkan semula. Yang terbaru apabila kerajaan menaikkan levi kepada buruh asing yang bekerja di sektor perkhidmatan seperti di restoran dan membekukan pengeluaran permit baru kepada agensi pengambilan buruh asing. Tetapi apabila ada bantahan dan ugutan dari pengusaha restoran seperti akan menaikkan harga makanan yang dijual, maka terdapat ura-ura untuk mengkaji semula levi yang dikenakan.

Dengan objektif untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, dasar yang perlu digalakkan ialah dasar yang menjurus kepada kemasukan buruh mahir, dan bukan hanya buruh tidak mahir sahaja. Malaysia memerlukan dasar buruh asing yang jelas dan menyeluruh. Dasar tersebut perlu mengambilkira strategi jangka pendek, sederhana dan jangka panjang. Ianya bersesuaian dengan dasar Malaysia untuk beralih kepada perkembangan industri berteknologi tinggi yang memerlukan buruh mahir. Sektor-sektor yang diketahui ada minat yang tinggi oleh pekerja Malaysia untuk bekerja, seperti di sector peruncitan dan restoran, dasar menghalang pengambilan terus buruh asing untuk bekerja di sektor ini perlu dikuatkuasakan. Kita tidak mahu satu masa nanti pekerja dari Malaysia terpaksa bertukar memiliki passport Indonesia, Bangladesh atau Myanmar untuk bekerja di sektor pekerjaan di Malaysia. Ini kerana majikan lebih bersedia mengambil pekerja dari Indonesia, Bangladesh atau Myanmar. Lebih terasa lagi apabila rakyat Malaysia terpaksa bertukar bahasa loghat Indonesia untuk bekerja di kilang, restoran atau pasaraya di Malaysia.

NASIHAT ILMU:

AYAT AL-KURSI (Kekuasaan Allah)
Barangsiapa membacanya sekali selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya terpelihara dari tipu daya dan ganguan syaitan.

Dengan membacanya, seorang yang miskin akan menjadi kaya, dan jika dibaca ketika hendak tidur nescaya akan terselamat dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.


Barangsiapa sentiasa membaca ayat Al-Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikan yang tidak terhitung banyaknya. Barangsiapa berwudhuk lalu membaca sekali, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk si pembaca hinggalah ke hari Qiamat.

Dan tersebut dalam hadith yang lain: "Barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, nescaya Allah akan membuka pintu rahmat baginya hingga ke subuh dan mengurniakan kota nur menurut bilangan rambut di badannya”.

Hadith yang lain mengatakan: "Barangsiapa membacanya selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya akan terpelihara dari kekerasan malakul-maut dan dia akan dibangkitkan bersama para Mujahid yang berjihad beserta para Anbiya hingga ia gugur mati Syahid".