Total Pageviews

Thursday, December 31, 2009

Kepentingan Belanjawan Kepada Ekonomi Malaysia

Pengenalan
Malaysia mengamalkan sistem ekonomi campuran di mana kerajaan dan pasaran secara bersama memainkan peranan masing-masing dalam perlaksanaan asas ekonomi seperti apa, berapa banyak perlu dikeluarkan, bagaimana ia dikeluarkan dan untuk siapa ia dikeluarkan. Campurtangan kerajaan dalam urusan ekonomi boleh digolongkan kepada dua kumpulan iaitu:-

a) Mengadakan peraturan-peraturan untuk memperbaiki mekanisme pasaran. Di dalam keadaan ini, pemerintah menyediakan dasar sosio-ekonomi tertentu agar mekanisme pasaran berjalan dengan cekap. Pada asasnya ia bertujuan untuk menghindarkan gejala pertandingan yang tidak sempurna daripada ujud dalam pasaran misalnya peraturan menghadkan monopoli dan menyekat pengeluaran barangan tertentu yang tidak baik kepada masyarakat umum.

b) Campurtangan secara langsung dalam urusan menyediakan barangan awam, keluaran barangan strategik dan mengawal kestabilan ekonomi. Dalam konteks ini kita boleh melihat penglibatan pemerintah dalam aspek-aspek mendapatkan hasil untuk negara dan menjalankan dasar belanjawan serta jalankan perusahaan-perusahaan awan untuk keluarkan sebahagian daripada barang yang disebutkan.

Alasan Mengapa Belanjawan Penting dalam Pengurusan Kewangan Negara
Dasar Belanjawan merupakan satu perancangan tahunan yang mempunyai kepentingan tersendiri untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi dan agihan pendapatan yang adil dalam rangka kewangan yang mantap. Ia mengandungi perancangan ekonomi, kewangan dan sosial untuk pertumbuhan berterusan serta menjamin agihan kekayaan negara dengan adil. Objektif dan kepentingan Dasar Belanjawan adalah untuk:
1. Ke arah pengurusan ekonomi yang cekap
2. Pertumbuhan ekonomi
3. Mencapai kestabilan harga
4. Sebagai mekanisme pengagihan yang lebih setara

1. Ke arah pengurusan ekonomi yang cekap
Pengurusan ekonomi yang cekap bertujuan untuk mencapai matlamat pembangunan. Ia memainkan peranan penting dalam menjamin kedudukan kewangan dan imbangan pembayaran yang kukuh. Oleh itu, bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik, pihak swasta dan persendirian perlu memainkan peranannya sebagai jentera pertumbuhan manakala pihak kerajaan adalah penyokongnya. Sebagai contoh, untuk menggalakkan perkembangan ekonomi, keperluan infrastruktur yang baik diperlukan. Oleh yang demikian pada pembentangan belanjawan peruntukan tertentu diberikan untuk pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalanraya, landasan keretapi dan pelabuhan. Begitu juga dasar pencukaian misalnya boleh digunakan untuk mengarah kegiatan ekonomi, contohnya untuk mengelakkan penggunaan barangan yang boleh menjejaskan kesihatan seperti rokok dan minuman keras, cukai ke atas barangan tersebut dinaikkan. Sebaliknya pengeluaran barangan makanan adalah penting untuk menjamin kestabilan ekonomi negara, dengan demikian banyak insentif cukai dan pemberian subsidi diberikan kepada pengeluaran padi, ikan, sayur-sayuran dan hasil ternakan.

2. Pertumbuhan ekonomi
Kerajaan perlu menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi yang dicapai melalui aktiviti-aktiviti dalam sektor pertama, kedua dan ketiga akan memberikan pendapatan dan pekerjaan kepada penduduk. Untuk membiayai pelaburan dalam ekonomi, tabungan diperlukan. Oleh yang demikian usaha menggalakkan tabungan persendirian dikalangan penduduk perlu diberi perhatian. Dari segi dasar belanjawan pula, dibuat perbelanjaan ke atas kemudahan awam, perdagangan dan perindustrian, pengangkutan, perhubungan komunikasi dan pentadbiran awam. Bagi menggalakkan kemasukan pelabur asing ke Malaysia, insentif pengecualian cukai boleh diberikan kepada pelabur baru. Begitu juga bagi pengusaha sektor perindustrian dan pertanian, pembelian jentera dan lain-lain kelengkapan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran boleh diberi insentif cukai.

3. Mencapai kestabilan harga
Kestabilan harga dan kawalan inflasi turut diberi penekanan. Hasil daripada kekukuhan ekonomi, peningkatan pendapatan berlaku. Akibatnya permintaan dalam negeri meningkat dan jika ia tidak diikuti dengan tambahan penawaran barangan, harga barangan akan meningkat (ditunjukkan oleh angka indeks harga pengguna yang meningkat). Ini memberikan satu kesan yang tidak baik terhadap ekonomi sesebuah negara. Pembendungan inflasi dapat dibuat melalui kawalan ke atas tingkat harga supaya wujud kestabilan harga di pasaran serta menggalakkan tabungan di kalangan penduduk. Dasar kewangan yang ketat seperti syarat pinjaman ketat serta pengeluaran dan penggunaan kad kredit yang lebih terkawal juga dapat membantu dalam mengawal inflasi.

4. Sebagai mekanisme pengagihan yang lebih setara
Disebabkan manusia mempunyai kebolehan, kemahiran, kecekapan, kesihatan, kekuatan semangat dan sebagainya yang berbeza-beza, sudah tentu pendapatan yang diterima oleh mereka juga berbeza-beza. Untuk mengurangkan perbezaan agihan pendapatan tersebut, kerajaan perlu membuat dasar belanjawan yang sesuai untuk mengagihkan semula pendapatan dari golongan yang kaya kepada golongan yang miskin. Contoh dasar yang boleh dibuat ialah mengenakan cukai dan menggunakan hasil cukai tersebut untuk memberi biasiswa kepada anak-anak orang miskin, menyediakan rumah yang bersesuaian dan mengujudkan peluang-peluang perniagaan.

Melalui peruntukan belanjawan dalam sektor-sektor tertentu seperti peruntukan projek-projek pelaburan baru bagi meningkatkan peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan boleh juga memperbaiki keadaan pengagihan kekayaan di kalangan penduduk di Malaysia.

Secara keseluruhan, peruntukan belanjawan kepada sector-sektor tertentu boleh memberi kesan pada:-
a) Tenaga manusia - menambah kecekapan dan daya pengeluaran melalui pendidikan dan latihan,
b) Menghasilkan modal yang lebih sesuai, cekap dan produktif,
c) Meninggikan pengetahuan sains dan teknologi melalui penyelidikan dan pembangunan (P&P),
d) Dapat usahakan hasil-hasil bumi seperti perlombongan, pembukaan tanah baru dan mewujudkan pengairan.

Jenis-jenis Belanjawan
Belanjawan negara merupakan penyata hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi satu tahun tertentu. Belanjawan negara boleh berlaku dalam 3 keadaan iaitu:

i. Belanjawan kurangan - berlaku apabila jumlah perbelanjaan melebihi jumlah hasil bagi satu tahun fiskal tertentu. Keadaan seperti ini berlaku apabila kerajaan meningkatkan perbelanjaan atau mengurangkan cukai-cukai, atau kedua-duanya sekali. Apabila wujud belanjawan ini, pembiayaannya adalah melalui pinjaman.

ii. Belanjawan lebihan - apabila jumlah hasil kerajaan melebihi jumlah perbelanjaan bagi satu tahun fiskal tertentu. Keadaan ini berlaku apabila kerajaan mengurangkan perbelanjaan, menaikkan cukai atau kedua-duanya sekali.

iii. Belanjawan terimbang - berlaku apabila jumlah perbelanjaan adalah sama dengan jumlah hasil bagi tahun fiskal tertentu.

Hasil Sektor Awam
Bagi menampung kos perbelanjaan, sektor awam mengutip hasilnya melalui hasil cukai, hasil bukan cukai, serta pinjaman dan penggunaan harta kerajaan. Sepintas lalu, hasil Kerajaan Persekutuan terus meningkat dari tahun ke tahun. Ini bersesuaian dengan pertumbuhan ekonomi negara yang meningkat dengan kadar lapan peratus setahun pada masa kini.

i. Hasil cukai
Hasil cukai terdiri daripada cukai langsung dan cukai tak langsung, yang dikenakan di bawah pelbagai undang-undang seperti Akta Cukai Pendapatan 1947 dan Akta Kastam 1967 dan lain-lain.
a. Cukai Langsung - terdiri daripada cukai pendapatan korporat, cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan individu, cukai harta pusaka, cukai spekulasi tanah dan cukai atas keuntungan harta benda.
b. Cukai Tak Langsung - terdiri daripada duti eksport, duti import, duti eksais, cukai jualan, cukai perolehan, cukai perkhidmatan, cukai perjudian dan lesen-lesen selain daripada pengangkutan jalanraya.

ii. Hasil Bukan Cukai dan Penerimaan
a. Hasil Bukan Cukai - mencakupi bayaran lesen kenderaan bermotor, faedah dan perolehan pelaburan (dari Kumpulan Wang Matawang Lebihan dan keuntungan Bank Negara Malaysia) dan royalti ke atas petroleum.
b. Penerimaan - terdiri daripada bayaran balik bagi perbelanjaan, kredit antara jabatan, pulangan balik bayaran lebihan atau bayaran tersilap dalam tahun fiskal yang lepas, penerimaan daripada agensi kerajaan yang lain dan hasil daripada Wilayah Persekutuan dan Labuan.

Perbelanjaan Sektor Awam
Perbelanjaan sektor awam adalah perbelanjaan oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Perusahaan Awam Bukan Kerajaan (PABK). Perbelanjaan kerajaan ini terbahagi kepada dua iaitu:

i. Perbelanjaan mengurus
Meliputi perbelanjaan pembayaran gaji untuk kakitangan kerajaan (emolumen), pencen dan ganjaran, bayaran khidmat hutang dalam dan luar negeri, pemberian kepada kerajaan negeri, bekalan dan perkhidmatan dan lain-lain perbelanjaan.

ii. Perbelanjaan pembangunan
Meliputi perbelanjaan barang-barang modal untuk sektor-sektor ekonomi seperti perkhidmatan ekonomi, perkhidmatan sosial dan keselamatan. Perbelanjaan ini akan dapat dilihat hasilnya dalam jangkamasa panjang dan sangat penting kerana ia akan menaikkan tingkat sosioekonomi dan pembangunan ekonomi negara.

a) Perkhidmatan Ekonomi
Perbelanjaan Perkhidmatan Ekonomi penting untuk meninggikan pembangunan ekonomi Malaysia. Diantara perkhidmatan-perkhidmatan ekonomi tersebut ialah pertanian dan pembangunan luarbandar, kemudahan awam (bekalan elektrik dan air), perdagangan dan perindustrian, pengangkutan, perhubungan dan pentadbiran awam.

b) Perkhidmatan Sosial
Untuk perkhidmatan sosial, peruntukan ditumpukan pada perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan perumahan. Keperluan perkhidmatan ini sendiri meningkat apabila semakin ramai bilangan penduduk.

c) Keselamatan
Di Malaysia, perbelanjaan keselamatan sangat dipengaruhi oleh keadaan yang berlaku di Asia Tenggara. Semakin tidak stabil keadaan politik semakin banyak perbelanjaan keselamatan. Angkatan tentera Malaysia juga pada masa kini sedang giat membuat pembelian kelengkapan ketenteraan bagi menggantikan peralatan sedia ada dan memodenkan angkatan tentera seperti pembelian kapal selam dari sebuah syarikat di Perancis.

7 comments:

Rushdi Baharum said...

Terima kasih Prof. Jamal. Sebuah artikel yang ringkas dan padat. Sebuah blog yang sangat menarik dan penuh dengan informasi-informasi yang berguna mengenai ekonomi semasa di Malaysia. Ianya sangat penting bagi para peniaga di Malaysia untuk mengetahui perkara-perkara ini. Saya juga bercita-cita suatu hari nanti, ingin membuat penulisan yang menarik seperti Prof. Jamal. Insya'Allah.

Rushdi Baharum said...

Dr. Jamal. Saya tertarik dengan subtopik: b) Perkhidmatan Sosial
Untuk perkhidmatan sosial, peruntukan ditumpukan pada perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan perumahan. Keperluan perkhidmatan ini sendiri meningkat apabila semakin ramai bilangan penduduk.

Bagaimana pandangan Dr. Jamal mengenai peluang perniagaan didalam sektor ini sekarang. Terutama didalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Saya mempunyai sebuah Kelas Tahfiz Al-Quran dan Fardhu Ain Ar-Rayyan. Dimana produk-produk yg ada adalah seperti Tadika, Tahfiz dan juga KAFA. Sejak saya menyertai perniagaan milik keluarga saya ini, saya mula memperkenalkan satu lagi produk baru, iaitu pengurusan Kem Motivasi disetiap musim cuti sekolah (2 kali dalam setahun). Saya juga merancang untuk mengadakan bengkel motivasi untuk pelajar setiap hujung bulan. Apakah ini adalah satu idea yang baik?

Saya sedang study semula untuk mempelajari topik Demand Estimation dan juga Regression Analysia didalam Subjek Managerial Economics. Apakah Dr. Jamal mempunyai nasihat yg tertentu untuk saya mampu melakukan analysis seperti ini?

Assoc. Prof. Dr. Jamal Ali said...

Assalammualaikum,

Wah, bagus usaha yang dibuat ni. Kelas Tahfiz Al-Quran dan Fardhu Ain. Sudah ada hasilnya? Kebiasaannya hasil yang dah ada akan mempengaruhi permintaan untuk masa hadapan. Goodwill perlu dijaga di samping dapat ditunjukan kecemerlangan dalam agama dan dunia.

Tahniah atas usaha murni ini.

Ar-Rayyan said...

Terima kasih Dr. Jamal. Business kecil-kecilan sahaja. Hanya memenuhi permintaan social.

Ya. Saya setuju dengan pendapat Dr. Jamal. Bahawa hasil yang dah ada itu akan mempengaruhi permintaan. Itupun jika kualiti dan juga harapan pelanggan dipenuhi dengan baik. Walau bagaimanapun, strategi pemasaran yang baik juga akan membantu meningkatkan lagi permintaan. Semuanya perlu dihitung dengan betul.

Wah... besar maksud 'goodwill' tu Doc. Ianya melibatkan intangible Assets (non-monetary assets) yang tidak boleh dilihat dan juga acquisition aspects. Terima kasih Doc.

Kami sedang memikirkan untuk membuat strategic Alliance dengan mana-mana syarikat dan juga universiti tempatan yang mempunyai kepakaran tertentu didalam bidang pembelajaran ini. Kemungkinan Ar-rayyan boleh bekerjasama dengan UUM...? Mana tahu. :-)

Saya ada terfikir untuk bekerja sama dengan tenaga pensyarah dari Universiti-universiti tempatan didalam program kem motivasi kami. Insya'Allah.

Rushdi Baharum said...

Basic goodwill formula:

# Goodwill = Purchase Price – Fair Market Value of Net Assets
# Fair Market Value of Net Assets = Net Tangible Assets + Write-up of Net Assets
# Net Tangible Assets = Assets – Target's Existing Goodwill – Liabilities

Kman Seremban said...

Salam Prof,
Just found out that;
KDNK= consumption + gross investment + goverment spending + (export - import)

also

KDNK = Rent + wages + interest + Profit.

Try to relate both equations but end up with confusions. Hoping to get some guidence from Prof.
Thanks. Wassalam.
Kman Seremban.

Anonymous said...

boleh tak terangkan prinsip sistem belanjawan diubahsuai dan kepentinagan sistem ini...