Total Pageviews

Monday, October 5, 2009

Potensi Perkembangan Sektor Pelancongan di Malaysia

Apabila kita membincangkan sumber pendapatan negara, kita sering kaitkan sumbangan sektor pertanian, perindustrian, perlombongan, pemborongan dan runcit, kewangan dan pelancongan. Kepelbagaian pergantungan ekonomi negara terhadap pelbagai sektor ini telah membantu negara menghadapi keadaan turun-naik ekonomi kesan dari prestasi ekonomi negara-negara yang banyak berdagang dengan Malaysia. Negara kita pula tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan sahaja, kerana saiz penduduk Malaysia yang berjumlah 26 juta orang adalah kecil berbanding dengan potensi pasaran global yang memberikan peluang pasaran mencecah 7 bilion orang.

Kelmarin semasa saya berada di Kuala Lumpur kerana satu tugas rasmi, saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang pelancong luar negeri yang melancong di Malaysia. Pertemuan pertama dengan satu keluarga pelancong dari Rusia, yang terdiri dari ibu dan dua anak gadisnya. Saya bertanya apakah pengalaman menarik mereka melancong di Malaysia. Mereka dengan segera menjawab sangat menarik kerana kepelbagaian budaya dan banyaknya tempat menarik di Kuala Lumpur. Seterusnya semasa menaiki Monorail dari Stesen Chow Kit, satu pasangan yang telah berumur dari Amerika Syarikat meminta saya menunjukkan cara untuk pergi ke KL Central. Secara kebetulan sememangnya saya hendak ke KL Central, saya mempelawa mereka mengikuti saya ke sana dengan menaiki Monorail. Di dalam Monorail, saya dapati bahagian kerusi untuk orang-orang kurang upaya dan berumur diduduki oleh orang-orang muda, dan tidak ada keinginan pula golongan muda ini untuk mempelawa mereka yang telah berumur ini menduduki kerusi tersebut. Setibanya di Stesen Tun Sambanthan, pasangan berumur ini menghadapi kesukaran untuk membawa turun beg mereka kerana di Stesen tersebut tidak ada kemudahan lift atau eskalator. Saya mempelawa mereka untuk membantu membawa salah satu beg mereka. Pada permulaan mereka keberatan, tetapi di pertengahan jalan, bila mereka memang merasa sukar untuk turun, mereka membenarkan saya membantu. Apa yang ketara, mereka nampaknya merasa agak ragu-ragu untuk menerima pertolongan dari orang yang tak dikenali di Malaysia. Semasa sampai di bawah, saya memberitahu kerjaya saya sebagai pensyarah dan mereka memberitahu mereka bekas guru.

Disebabkan perkhidmatan monorail, tidak seperti perkhidmatan Putra dan LRT, yang perkhidmatannya terus ke KL Central, saya terpaksa berjalan sejauh lebih kurang satu kilometer ke situ. Saya ditegur pula seorang pelancong dari Sudan yang mahukan bantuan untuk ke KL Central, dan seterusnya ke Genting Highland. Beliau memberitahu beliau sedang meneliti tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur, dan bercadang membawa pelancong dari Sudan ke Malaysia. Di dalam perjalanan, berjumpa pula pelancong dari China yang agak berumur. Pelancong dari Sudan ini berbicara dengan pelancong dari China ini dalam bahasa China. Beliau memberitahu saya beliau telah biasa membuat lawatan pelancongan ke China.

Apa yang saya perhatikan dalam perjalanan saya di Kuala Lumpur kelmarin, kemudahan pusat informasi untuk pelancong masih tidak mencukupi. Sebaik-baiknya ditambah pusat-pusat informasi di tempat-tempat strategik untuk kemudahan pelancong-pelancong ini. Begitu juga pelancong lebih berminat menggunakan kemudahan pengangkutan awam. Sebagaimana diketahui, selain dari membeli tiket teksi di kaunter, kita biasanya terkena dengan caj perkhidmatan yang mahal dari sebilangan kecil pemandu teksi yang tidak jujur. Mungkin satu kaedah seperti di Hadyaai, Thailand, bila kita menaiki Toot-Toot, dikenakan bayaran 20 Baht tidak kira berapa jauh perjanan di bandar Haadyai perlu difikirkan. Begitu juga, pelancong ini biasanya membawa wang untuk dibelanjakan di sektor pengangkutan, peruncitan, makanan, perhotelan dan sebagainya. Pusat informasi yang lebih banyak dan baik perlu disediakan oleh stakeholder atau pihak yang berkepentingan. Kita mempunyai ramai graduan yang mana, jika diberi sedikit latihan, mereka boleh menjadi pegawai yang bertugas di tempat-tempat informasi yang diketahui menjadi tumpuan pelancong. Tidak seperti di negara-negara jiran, sebenarnya banyak potensi Malaysia untuk menjadi pusat tumpuan pelancongan. Kestabilan politik, bebas dari bencana besar seperti taufan dan gempabumi, dan keupayaan ramai penduduknya berbahasa Inggeris sepatutnya digunakan dengan sebaiknya untuk memperkembangkan sektor pelancongan, dan seterusnya sumber pendapatan ekonomi negara.

8 comments:

Anonymous said...

Tidak menghairankan mengenai budaya rakyat Malaysia khasnya mengenai layanan kepada para pelancong. Sebenarnya sebagai manusia rakyat Malaysia memang mempunyai fitrah yang baik, namun dari segi tumbesaran dan keadaan sekitar semasa memebesar ianya mula berubah mengikut budaya, bahasa, adat atau ugama masing-masing. Jadi cara pendekatan kita mula berbeza ini tidak mengambil kira sistem pendidikan kita pula. Sebenarnya yang kita perlukan ialah satu pendekatan yang universal untuk kita semua boleh terima dan kita angkatnya menjadi satu amalan keseluruhan rakayat Malaysia barulah kita boleh mengamalkan sebagai budaya rakyat Malaysia.........tapi ianya memerlukan satu pengorbanan dan pemahaman yang amat besar persoalannya sanggupkan kita?

MBA UUM SEREMBAN 804521

Rushdi Baharum said...

Satu peluang perniagaan. :-)

Anonymous said...

Good Evening Dr,

Saya setuju dengan pendapat Prefessor dimana negara kita memang kaya dengan sumber semulajadi umpamanya jeram dan air terjun, hutan rimba, taman laut dan alam semulajadi yang boleh dimajukan dengan pelbagai cara termasuk pelancongan. Terdapat pelbagai ekosistem, flora dan fauna yang menarik di negara kita termasuk 15,000 spesies pokok berbunga, 290 spesies mamalia, 150,000 invertabrata dan 4,000 spesies ikan laut yang telah dikurniakan kepada kita.
Di samping itu, kira- kira dua pertiga daripada spesies orkid dunia terdapat dihutan-hutan Malaysia. Negara kita juga mempunyai bukit dan gunung yang sesuai untuk tanaman bunga-bungaan . Di zaman pemikiran dan Sains and teknologi yang canggih semua sumber alam semulajadi ini boleh digunakan secara baik untuk meningkatkannya,disamping mengindahkan lagi persekitaran kita.
Menyedari akan semua sumber, bahan dan potensi dari alam semulajadi, eloklah jika pelawat diperkenalkan kepada warisan kita melalui satu pertunjukan dan pameran secara besar-besaran dimana ianya akan menarik lebih ramai pelawat dan pelancong luar negara ke Malaysia.
Selaras dengan dasar Kerajaan untuk menggalakkan pelancongan domestik , aktiviti pelancongan berasaskan pertanian, ekologi, sukan dan rekreasi, membeli-belah
dan perayaan seperti Pesta Flora perlu dipelbagaikan bagi memenuhi permintaan dan citarasa rakyat tempatan. Konsep Karnival Flora termasuk jualan juga akan menarik lebih ramai pelancong domestik serta luar Negara , dimana pada masa yang sama kita juga boleh mempromosikan penjualan barangan tempatan. Disamping menambahan pendapatan Negara, sektor pelancongan juga akan menjadi pemacu kepada kepada aktiviti- aktiviti yang berkaitan seperti perkhidmatan, pengangkutan, makanan dan penginapan. Ini secara tidak lansung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Thanks
V.Paneer(804597)
UUM,ATC Seremban.

Rushdi Baharum said...

KDNK Malaysia dijangka berkembang 7 peratus. (Berita Harian Online)8/1/2010

Ekonomi Malaysia mungkin berkembang sebanyak tujuh peratus pada 2011 berdasarkan kepada keadaan ekonomi dunia yang kian pulih, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.

"Untuk mencapai sasaran ini (lima peratus), kerajaan sudah menjalankan kajian dan satu daripada inisiatifnya ialah meningkatkan permintaan tempatan bagi merancakkan ekonomi," katanya selepas merasmikan seminar mengenai Perniagaan Jihad di Universiti Malaysia Sabah di Likas, dekat sini hari ini.

Ahmad Husni berkata, kerajaan akan terus mengutamakan sektor tertentu, terutamanya industri pelancongan yang jelas tidak terjejas oleh kelembapan ekonomi baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, pelancongan kesihatan akan memainkan peranan penting bagi mencapai keputusan yang diharapkan itu.

The Unsung History of Life said...

Salam Dr,

Saya turut bersetuju dengan pendapat rakan-rakan yang mengatakan negara kita mempunyai tarikan flora dan fauna serta budaya. Ini telah menjadikan negara kita terkenal sebagai destinasi pelancongan dan saban waktu ramai pelancong asing datang ke Malaysia.

Walaubagaimanapun, dalam kita berbangga dengan keinfdahan semulajadi yang masih ada hari ini, kita juga tidak harus lupa kepada prasarana sokongan yang dibina kerana kekurangan sari sudut ini juga akan mencacatkan persepri pelancong asing bila mereka melancong ke sini.

Contohnya sistem pengangkutan awam yang nyata amat lemah sekali. Kita mempunyai kemudahan berteknologi tinggi seperti komuter, LRT dan monorail tetapi dengan keadaan yang penuh dengan ketidakpastian akan mendatangkan masalah samada secara kita sedar atau tidak.

Pelancong datang ke Malaysia dan mereka ingin bergerak dari satu empat ke satu tempat. Mereka akan merancang perjalanan mereka supaya hari-hari mereka di sini dapat dimanafaatkan sepenuhnya. Amat malang sekali mereka terpaksa menghabiskan sebahagian besar masa mereka di sini untuk menunggu dan menunggu khidmat pengangkutan awam bukannya menikmati keindahan alam semulajadi yang ada di negara kita.

Seringkali saya bertemu pelancong asing di KL Sentral, dan selalu berkomunikasi dengan mereka, mereka kelihatan begitu kecewa dengan sistem pengangkutan awam yang nyata merugikan masa mereka.

Saya yakin sesuatu harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini kerana dengan hanya berharap masalah ini akan selesai, masalah tidak sesekali akan selesai.

Anonymous said...

kerajaan seharusnya membina papan informasi elektronik di tempat tumpuan atau hotspot. cara sebegini lebih mudah dan cepat dalam menyebarkan maklumat selain drpd menggunakan risalah yang kebanyakkannya maklumat yang kurang tepat dan tidak diupdate selalu.

Nurul
806630
Rezzen

Hooi Li said...

Faktor yang paling penting untuk meningkatkan atau memajukan industry pelancongan ialah meningkatkan kemudahan pengangkutan dan perhubungan seperti jalan raya, air, udara dan landasan . Hal ini disebabkan kemudahan pengangkutan ini dapat mejimatkan masa dan memudahkan pelancong asing bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain di Malaysia. Di samping itu, pengangkutan moden seperti bas, teksi, monorel, komuter, feri, kapal terbang dan sebagainya haruslah mengikut jadual yang ditetapkan dan mengenakan tambang dengan harga yang berpatutan.

Puah Hooi Li 211395

Unknown said...

2. Negara kita kaya dengan sumber alam sekitar dan budaya. Kekayaan sumber alam sekitar dapat mengalakkan sector pelancongan di Negara kita meningkat. Sebagai contohnya, Agro-tourism merupakan salah satu contoh yang baik dapat membantu meningkatkan sector pelancongan secara langsung. Kampung saya , Sekinchan merupakan salah satu tempat yang menarik. Pendapatan terutama ialah pertanian. Oleh itu, ramai peniaga-peniaga kecil telah bekerjasama mempromosikan keunikkan tanaman dan menyediakan homestay untuk menarik pelancong. Ini bukan sahaja dapat menarik pelancongan tempatan malah juga pelancongan luar Negara. Di samping itu, infrastruktur awam haruslah meningkatkan agar dapat memberi kemudahan kepada awam dan perkhidmatan yang mesra.

TEE KE LI,211798