Total Pageviews

Monday, December 27, 2010

Kos ekonomi majlis perkahwinan

Banyak keluarga membuat kenduri kahwin pada musim cuti sekolah sekarang. Majlis perkahwinan adalah suatu majlis yang meriah, maklumlah bagi kebanyakan pasangan ianya berlangsung sekali dalam seumur hidup. Ada yang membuat kenduri kahwin di rumah, dan ada yang buat di dewan yang ditempah khas. Ada yang menggunakan sistem pakatan yang dipanggil Pakatan Pinggan Mangkuk Taman atau kampung, dan ada yang menempah makanan, khemah dan hiasan lain dari Pengusaha Makanan dan sebagainya. Minimum kos perkahwinan sekarang rasanya mencecah RM10,000 untuk sesuatu majlis. Kalau dulu cuma masyarakat China atau India di Malaysia yang ada perunding majlis perkahwinan, sekarang ini sudah ada perunding perkahwinan di kalangan masyarakat Melayu. Tugas perunding perkahwinan ini meliputi hiasan bilik pengantin, pelamin, jemputan, aturcara majlis, hadiah kepada tetamu, dan sebagainya. Semakin ekslusif tempat majlis berlangsung dan semakin banyak aturcara semasa majlis berlangsung semakin mahallah kos perkahwinan.

Saya memikirkan tanggungan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga pengantin di sesuatu majlis perkahwinan. Pihak lelaki lagi terasa, kena menyediakan wang hantaran dan mas kahwin. Jika pasangan jauh seperti di Selatan Semenanjung atau di Pantai Timur, atau di Sabah dan Sarawak lagilah tinggi kos yang perlu ditanggung. Dari segi pulangan, adakah telah dikira berapakah yang biasanya tetamu berikan? Bolehkah dalam surat jemputan dinyatakan kos untuk seorang tetamu agar tetamu yang hadir memberikan wang kepada ahli keluarga pengantin setimpal dengan kos setiap jamuan? Mungkin perkara ini agak luarbiasa tetapi tetamu sebaiknya perlu membantu keluarga pengantin dari segi kos sesuatu majlis perkahwinan. Kajian perlu dibuat untuk melihat bebanan keluarga pengantin yang membuat sesuatu majlis perkahwinan. Kita tidak mahu pengantin terpaksa menanggung hutang dari majlis perkahwinan sehingga kepada masa menimang cahaya mata. Diketahui sekarang pegawai kredit bank sentiasa bersedia memberikan pinjaman peribadi untuk tujuan-tujuan sebegini. Perunding perkahwinan sepatutnya perlu memberi nasihat mengenai pembiayaan perkahwinan untuk keluarga pengantin dalam hal ini.

Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada “rakan baik saya” yang melangsungkan perkahwinan pada bulan lepas.

Dikepilan pantun nasihat:

Anak ayam turun enam,
Satu mati tinggal lima,
Minta doa tetapkan iman,
Minta mati dalam agama. .

Insentif ekonomi dalam mencapai sasaran kerajaan dalam gunatenaga

Dalam bulan ini saya terpaksa berbelanja lebih kerana membeli pakaian sekolah anak, buku dan membawa mereka bercuti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Dalam hal pakaian, kebiasaanya terpaksa di tempah kerana saya merasakan pakaian yang ditempah lebih sesuai dan selesa dipakai oleh anak-anak saya. Di kedai yang biasa saya membuat tempahan saya dapati pengukur saiz baju memang orang Malaysia, tetapi mereka yang menjahitnya saya dapati semuanya orang Vietnam. Begitu juga kedai gunting rambut di negeri Perlis. Saya amat menghormati semangat keusahawanan yang ditunjukkan oleh seorang anak muda yang berpengalaman bekerja dengan orang lain di Johor Baharu sebagai penggunting rambut. Selepas tujuh tahun, beliau balik ke Perlis dan membuka rangkaian kedai Gunting Rambut di kebanyakan Bandar-bandar utama di Perlis dan Kedah. Rangkaian kedai beliau sekarang meliputi di Arau, Kangar, Padang Besar dan Changlun. Sebelum rangkaian kedai ini dibuka memang apabila hendak menggunting rambut, perlu menunggu giliran. Sekarang masalah mendapatkan khidmat gunting rambut itu telah dapat diatasi di Perlis dan Changlun, Kedah.

Isu yang saya ingin bangkitkan ialah pekerja di kedua-dua kedai yang dikategorikan perkhidmatan tersebut mempunyai hampir 90 peratus pekerja warga asing, Vietnam dan India. Saya memikirkan belia tempatan juga sebenarnya boleh bekerja di kedua-dua kedai tersebut, kedai tempahan pakaian dan kedai gunting rambut. Dari perbualan dengan kedua-dua anak muda pemilik kedai tersebut, mereka menyatakan anak tempatan sukar dikawal, mengkehendaki gaji yang lebih tinggi dan boleh menjadi pesaing mereka pada suatu masa nanti. Memang diakui kebenaran kenyataan tersebut, tetapi bila dilihat dari peluang pekerjaan dan pengaliran keluar ringgit Malaysia ke Vietnam dan India, ianya perlu dikaji semula. Pemilik kedai mungkin perlu diberi insentif ekonomi oleh kerajaan untuk menggalakkan mereka lebih berminat menggunakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing. Insentif cukai seperti kadar cukai yang lebih rendah atau rebat cukai boleh digunakan sebagai alat insentif. Kedai yang menggunakan kesemua pekerja tempatan diberi rebate 30% dari jumlah cukai yang dikenakan misalnya. Dengan insentif sebegini diharapkan kadar penggunaan buruh asing tersebut dapat dikurangkan dan peluang pekerjaan penjahit pakaian dan penggunting rambut tempatan dapat ditingkatkan.

Begitu juga kajian perlu dibuat terhadap keberkesanan institut-institut latihan yang diwujudkan oleh kerajaan seperti Institut Latihan Belia Dusun Tua yang melahirkan tenaga mahir seperti pendandan rambut dan juruteknik motorsikal. Khabarnya kursus-kursus seperti pendandan rambut begitu popular dan mudah mendapat pekerjaan. Persoalan juga timbul dimanakah penggunting rambut dari India itu mendapat latihan?

Nasihat ilmu:

Dimasukkan di sini makna bacaan dalam sholat agar sholat kita lebih khusyuk dan diberkati Allah s.w.t.

1. Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

2. Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

3. Bacaan ketika rukuk

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

4. Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

5. Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

6. Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku

8. Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

9. Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

10. Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Friday, July 16, 2010

Taraf hidup dan kos sara hidup

Selalu timbul persoalan perhubungan di antara taraf hidup dan kos sara hidup. Kos sara hidup merupakan pengiraan kos yang terpaksa ditanggung oleh seseorang, atau satu keluarga (jika telah berkeluarga) untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dan keperluan-keperluan untuk keselesaan hidup. Taraf hidup pula mengukur perbandingan di antara pendapatan boleh belanja yang diterima oleh seseorang atau satu keluarga yang tinggal serumah dengan kos sara hidup. Sekiranya peningkatan pendapatan berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup, bererti taraf hidup seseorang dikatakan semakin merosot. Begitulah sebaliknya, sekiranya taraf pendapatan meningkat pada kadar lebih tinggi dari kos sara hidup, taraf hidup dikatakan semakin meningkat.

Oleh yang demikian apabila kerajaan mengurangkan subsidi gula, petrol, “liquefied petroleum gas” (LPG) dan diesel pada hari ini, Jumaat, 16 Julai 2010 tentulah akan berlaku peningkatan kepada kos sara hidup penduduk Malaysia. Dilaporkan harga gula akan meningkat sebanyak 25 sen kepada RM1.75 sekilogram, LPG meningkat 10 sen kepada RM1.85 sekilogram, petrol RON95 meningkat 5 sen kepada RM1.85 seliter, dan diesel 5 sen kepada RM1.75 seliter. Maklumat ini boleh diperolehi dari PMO and PEMANDU websites, at: www.pmo.gov.my dan http://www.pemandu.gov.my/. Perubahan dasar subsidi ini bersesuaian dengan usaha kerajaan mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM750juta pada tahun 2010. Keadaan ini bermakna kerajaan semakin kurang memberikan tumpuan kepada pengawalan harga barangan keperluan, dan menuju kearah penentuan harga berdasarkan permintaan dan penawaran. Pelbagai strategi telah dibuat untuk menguatkan alasan kerajaan pengurangan subsidi tersebut seperti pengurangan subsidi gula akan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia dengan pengurangan penggunaan gula dalam makanan dan minuman. Dilaporkan 40% rakyat Malaysia menghadapi masalah obesity. Begitu juga pengurangan subsidi akan mengurangkan keuntungan yang banyak diperolehi oleh pengeluar makanan, yang didapati dua kali ganda lebih banyak menggunakan gula berbanding dengan isirumah. Penggunaan kereta lebih kecil dan motorsikal juga dijangkakan akan meningkat. Begitu juga penyeludupan gula dan diesel di kawasan sempadan, terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand akan berkurangan. Dilaporkan 200 metrik ton gula di jual ke negara jiran sepanjang tahun ini. Wang sebanyak RM750 juta itu dijanjikan akan dibelanjakan untuk perbelanjaan pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Memang diketahui dasar pengurangan subsidi ini suatu dasar yang tidak popular, meyukarkan orang-ramai dan meningkatkan kos sara hidup. Apa yang pasti, harga barang makanan yang berasaskan gula akan meningkat, dan diikuti pula kos pengangkutan yang meningkat (lori menggunakan diesel untuk bergerak) akan meyebabkan pengeluar, pemborong dan peruncit menyerapkan kos tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan akhir.

Pada pandangan saya, dasar subsidi memang perlu dikaji, tetapi dasar pengurangan subsidi perlu dibuat berhati-hati. Kepastian peningkatan taraf hidup dengan pengkajian lebih terperinci kepada dasar-dasar yang membawa kepada pengurangan produktiviti seperti pergantungan buruh asing yang keterlaluan, projek-projek mega yang tidak pasti pulangan ekonominya, ketirisan dalam perlaksanaan projek-projek pembangunan, ketidakseimbangan agihan pendapatan, dan perbelanjaan yang membazir dalam sambutan-sambutan perayaan tertentu seperti menyambut tahun baru dan pesta-pesta tidak berfaedah perlu dikawal dan dilaksakan dasar yang bersesuaian dan bertepatan dengan keadaan. Kenaikan kos sara hidup tanpa kenaikan pendapatan akan membawa kepada penurunan taraf hidup. Rakyat yang merosot taraf hidupnya akan memberikan tekanan dan mungkin membawa kepada peningkatan kejadian rasuah, penyelewengan wang awam dan kejadian jenayah.

Sunday, June 13, 2010

Bola Sepak Piala Dunia

Pada bulan Jun hingga bulan Julai 2010 ini berlangsungnya perlawanan bolasepak Piala Dunia 2010. Di antara pasukan bolasepak yang mewakili zon Asia ialah Korea Selatan, Korea Utara dan Jepun. Mengikut Sejarah, Malaysia rasanya tidak pernah memasuki Piala Dunia, Sukan Olimpik adalah, itu pun pada tahun 1974. Kita kalah kepada German 0-3 pada perlawanan pembukaan. Saya ingat perlawanan itu kerana saya ketika itu belajar di Sekolah berasrama Penuh di Penang, dan malam itu adalah di antara malam yang dibenarkan kami menonton televisyen di asrama. Saya lebih berminat bermain tenis dan volleyball, tetapi berminat menonton permainan bola sepak. Kemahiran mengawal bola dan mengecek bola yang ditunjukkan oleh pemain semasa bermain di padang, dan strategi permainan yang dirancang oleh jurulatih pasukan masing-masing menjadikan bolasepak satu sukan yang terkemuka pada masa kini.

Persoalannya mengapakah pasukan Korea Selatan dan Jepun begitu berkembang permainan bola sepak mereka, sedangkan negara kita Malaysia masih tidak berubah kualiti permainannya. Baru-baru ini Malaysia memenangi pingat emas acara bolasepak di Sukan SEA. Begitu gembira sekali rakyat Malaysia. Saya berpandangan suatu langkah tertentu perlu dibuat untuk membolehkan pasukan bolasepak Malaysia mampu pergi lebih jauh ke depan, hingga mampu bertanding di persada Piala Dunia dan disegani oleh pasukan-pasukan lain. Hari ini saya dapati pasukan Korea Selatan mampu menewaskan pasukan Greece 2-0. Jika pada tahun 1970an dan 1980an, pasukan Malaysia setanding dengan pasukan Korea Selatan dan Jepun dalam pertandingan bolasepak di peringkat Asia, mengapakah kita jauh ketinggalan dengan pasukan itu pada masa kini? Apakah yang terjadi kepada Liga Bolasepak Malaysia? Masihkah berlaku ada pasukan yang tidak mampu membayar gaji pemain mereka?

Saya berpandangan suatu langkah drastik perlu dibuat. Mengharapkan pasukan negeri untuk melahirkan pasukan berkualiti didapati tidak akan mengubah kualiti permainan bola sepak Malaysia. Syarikat-syarikat besar yang kukuh dari segi kewangan seperti Maxis, Celcom, Genting, Bank-bank perdagangan, Petronas, MAS, Sime Darby dan lain-lain lagi syarikat besar perlu mempunyai tanggungjawab sosial untuk terlibat sama membangunkan pasukan Bola Sepak Malaysia. Mereka perlu mengambil bekerja, atau menaja pasukan-pasukan bolasepak tertentu yang bertanding di Liga Malaysia. Kerajaan boleh memberi insentif tertentu seperti insentif cukai kepada syarikat-syarikat gergasi ini. Langkah ini bukan sahaja dibuat untuk pasukan bolasepak, tetapi untuk pasukan tenis, kriket, ping-pong dan sebagainya. Proton sendiri telah menaja pasukan badminton negara, walau pun disedari Proton bukanlah begitu kukuh lagi dari segi kekuatan kewangannya. Begitu juga dengan Pemain squash wanita nombor satu Dunia masa kini, Nicol David yang ditaja oleh pelbagai penaja terkemuka seperti CIMB. Apabila pemain terjamin kedudukan kewangannya dan mendapat latihan yang sistematik, tentulah akhirnya hasrat melahirkan pemain yang mampu bersaing di persada dunia dan mengharumkan nama Malaysia dapat tercapai. Penduduk Malaysia yang sihat dan mampu bersaing dalam sukan di persada dunia, tentunya juga mampu bekerja dengan kuat dan baik untuk bersaing dengan kuasa-kuasa ekonomi dunia yang lain. Sifat kerja berpasukan, memahami erti kemenangan dan kekalahan, dan memahami kepentingan membuat strategi yang baik dalam melakukan sesuatu perkara boleh dipupuk melalui aktiviti bersukan. Situasi ini telah ditunjukkan oleh penduduk Jepun dan Korea. Siapa tidak kenal dengan produk seperti Nissan, Toyota, Honda, Hyundai, Kia dan sebagainya.

Pepatah ada mengatakan "Badan yang sihat membawa kepada pemikiran yang cerdas".

Saturday, June 5, 2010

Peraturan Pengredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P)

Pada 25 Mei 2010 (Selasa) yang lalu saya telah dijemput oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menyertai Forum berhubung dengan kepentingan Peraturan Pengredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P). Forum di adakan di Hotel Putra Palace, Kangar. Selain saya, penceramah lain ialah Cik Anni Mitin, Pengarah Eksekutif Southeast Asian Council for Food Security and Fair Trade (SEACON) dan Pegawai Kanan FAMA. Peserta Forum ialah peruncit, pemborong dan petani-petani yang terlibat dengan aktiviti Pemasaran barangan pertanian.

Disebabkan saya seorang ahli Akademik, saya telah menerangkan kepentingan peraturan pengredan, pembungkusan dan pelabelan kepada petani, pemborong dan peruncit. Saya nyatakan pengguna sekarang telah berubah, kebanyakan pengguna sekarang terdiri dari kumpulan berumur 30 tahun ke atas, kedua-dua isirumah (suami dan isteri) bekerja, menekankan kualiti dan keselamatan makanan, kesan kepada kesihatan dan kandungan “nutrition”, mengutamakan keselesaan (cara masakan, tempat masakan dan masa untuk memasak), banyak aktiviti makan di luar rumah dan tertumpu kepada kehidupan di kawasan Bandar. Begitu juga perubahan dalam sistem peruncitan, di mana peruncit-peruncit besar yang dikenali hypermarket telah bukan sahaja menjadi peruncit, malahan bertindak sebagai pemborong dalam sistem pemasaran barangan pengguna pada masa kini.

Perkembangan teknologi, logistic dan penemuan teknik-teknik baru dalam pemprosesan makanan dan pengendalian lepas tuai (post-harvest handling) telah meningkatkan aktiviti perdagangan antarabangsa dan peruncitan dengan jenama terkemuka seperti TESCO, Carrefour, dan Giant. Buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin yang dapat memenuhi standard antarabangsa sahaja yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa melalui pasaraya termuka ini.

Saya menggunakan beberapa contoh aktiviti pemasaran pertanian seperti Ladang Mempelam di Tobiar di bawah kendalian MADA; Perusahaan Abdullah Sekeluarga di Santan, Perlis; Perusahaan Madu Lebah Tualang, Kuala Nerang, Kedah; dan HPA Industries Sdn Bhd - Pengeluar ubat-ubatan herba. Apa yang jelas maklumat dari pelabelan seperti nama dan maklumat perniagaan, tarikh lupus, tanda halal, nama keluaran pertanian, standard gred, negara asal, berat bungkusan dan Perkataan “Produce of Malaysia”, jika keluaran untuk eksport membolehkan pengguna mengenali jenama, membezakan keluaran satu produk dengan produk yang lain, dan nilai ditambah yang ada pada sesuatu produk tersebut.

Sebagai contoh, Perusahaan Madu Lebah Tualang, Kuala Nerang, dengan kaedah pengendalaian pengambilan, pemprosesan dan penjualan yang standard telah membolehkan produk berjenama Madu Lebah Tualang dikenali ramai, diyakini keaslian madu lebahnya, diyakini halal dan dapat dipasarkan di pasaraya terkemuka. Sudah tentu madu lebah yang dijual di pasar-pasar malam yang tidak dilabel dari mana keluarannya tidak dapat menandingi Madu Lebah Tualang. Pengguna tentu lebih menyakini ketulinan Madu Lebah Tualang dan tidak teragak-agak membeli keluaran yang dilabel berbanding dengan keluaran yang tidak dilabel. Begitu juga perusahaan Abdullah Sekeluarga di Santan yang mengendalikan pemasaran buah mangga seperti Mangga Chokanan dan Harum Manis. Perusahaan ini berupaya mengumpulkan buah-buahan mangga dari lebih kurang 40 orang pengusaha tanaman pokok mangga di Perlis. Malahan cara pembungkusan buah juga menarik hinggakan orang-ramai boleh membeli buah mangga yang dimasukkan dalam kotak dan mudah dibawa.

Keseluruhannya saya mendapati untuk membolehkan usaha FAMA untuk menggalakkan aktiviti Pelabelan, Pembungkusan dan Penggeredan (3P) keluaran pertanian ini mencapai matlamatnya, usaha meningkatkan pengetahuan berkaitan dengan pasaran moden, teknologi baru dan penggunaan input moden yang sesuai perlu dijalankan dari masa kesemasa. Disebabkan bilangan petani kecil-kecilan adalah ramai dan menjadikan kuantiti produk yang dikeluaran oleh petani perseorangan adalah kecil dan pelbagai kualiti, maka galakan perlu diberikan untuk membolehkan mereka bersatu di bawah satu bumbung seperti melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), atau projek-projek ini dikendalikan oleh Institusi-institusi Pertanian seperti Muda Agricultural Development Authority (MADA), atau usahawan-usahawan yang berkebolehan menjalankan perniagaan bercorak Agribusiness ini secara besar-besaran.

The Social Impact of Subsidy

Introduction
We know that expenditure on food, education, and healthcare are in fact, the three major social spending for enhancing human development. It is quite simple to show that these three elements are interrelated, but food seems to be the decisive one in this interrelationship. Indeed, good and well balanced food is a prerequisite for good health and better educational achievements. Accordingly, policies and measures that prove to be efficient in providing people, particularly the poor and vulnerable groups, with adequate and well-balanced food are welcomed from the viewpoint of human development. To improve standard of living of the poor and low income groups, the government implementing direct and indirect subsidies programs. For example, government subsidized essential food items like cooking oil, sugar and flour, healthcare, education, agriculture and fisheries, electricity, cooking gas, and highway toll.

For whom is the subsidy?
All subsidies are, in the final account, consumer subsidies. In fact, the effect, and also the purpose, of subsidies is either to make the prices of certain goods and/or services within the ability to pay off the final consumers, or to enable inefficient producers (i.e. high cost producers like paddy farmers) to continue in the market where the prevailing price is less than their costs. In both cases, it is the final consumer who benefits from the subsidy. However, consumers get the benefits directly in the first case and indirectly in the second one.

The redistribution effect of subsidies
It is widely accepted that the initial distribution of income needs to be adjusted, for income equality reasons, in almost all economies of the world. This is usually done through income redistribution and subsidies programs. Needless to say, what is meant here is redistribution in favor of the poor and disadvantaged groups who are usually eligible for subsidies. However, the redistribution effect is not the same for all types of subsidies. For example, while direct consumer subsidies (i.e., the cash or in-kind transfers to certain consumers, such as cash rebate of RM126 a year for car owners less than 1,000cc and RM54 a year for owners of motorcycles less than 250cc) represent, in their totality, a redistribution of income in favor of the beneficiaries as identified by the government. Then, the redistribution effect of indirect consumer subsidies (i.e., all forms of financial arrangements to avail certain consumer products at prices less than their unit costs, such as subsidy for paddy farmers) is usually shared between all consumers of the subsidized commodities regardless of whether they are eligible or non-eligible. Furthermore, indirect consumer subsidies might also be shared between the consumers, on the one hand, and some of the producers, on the other hand. Subsidy leakage within the production and distribution processes is usually the channel through which some producers appropriate a share in indirect consumer subsidies.

Subsidies and economic efficiency
The relation between subsidies and efficiency is a controversial issue. From the economic viewpoint, it is usually argued that whenever subsidies interfere with the functioning of the market price mechanism, they lead to inefficient allocation and waste of resources. Indeed, this argument holds true for producer subsidies given that their purpose is to enable high cost (i.e. inefficient) producers of certain commodities to continue in the market. Although, the argument for producer subsidies might be accepted within the context of an important food sectors such as paddy sectors and fishery sectors, given that the government is decisive in limiting the subsidy to certain period only.

It is quite simple to prove that direct consumer subsidies have no impact on the functioning of the price system given that when governments decide to make these transfers, they only avail additional purchasing power to targeted eligible persons and groups to enable them to buy basic commodities at the prevailing market prices. By contrast, indirect consumer subsidies may lead to inefficiency because of the price distortion associated with such subsidies. This argument is valid when low priced goods are irrationally consumed and used for purposes other than those targeted in the government subsidy scheme (e.g. the consumers from Singapore and Thailand buying subsidized food items such as cooking oil, sugar and flour from Malaysia). What matters in this context is the efficiency of the consumer subsidy in itself, i.e. its efficiency as a tool targeting low-income and disadvantaged groups of the population.

The food subsidy continued to increase gradually in the early seventies; but 2010 witnessed the first big jump in this subsidy. It is expected that Malaysia will spend some RM21 billion on direct subsidies. This was mainly due to the increase in international prices, especially of flour and sugar, on the one hand, and the government policy of keeping the prices of basic food items unchanged, on the other hand.

How successful is the food subsidy policy?
Three criteria are used to assess how successful is the subsidy system in targeting the low-income and the poor in Malaysia. Those criteria are: how necessary are the subsidized commodities as consumer goods, (since subsidy should be directed to necessary commodities); how important are these commodities in the budget of the low income groups, (since the higher is the relative share of the household budget spent on those commodities, the more the poor are benefiting from the subsidy); and how efficient is the subsidy system in reaching the low-income people in Malaysia. The four subsidized food commodities belong to the basic food items in Malaysia as elsewhere. In Malaysia, the four subsidized food commodities (flour, rice, sugar, and cooking oil) are present in the consumption patterns of almost all socioeconomic groups. Several studies based on the Household Income and Expenditure Surveys for different years and applying different expenditure elasticity functions, show that these four food items are considered necessary commodities for different socioeconomic groups whether in rural or urban Malaysia. At the same time, the same surveys show that the four subsidized food items are relatively more important for the lower-expenditure brackets than for the higher ones.

Why Government want to study issues of Subsidy?
For the last 10 years, Malaysia has been running a fiscal deficit which has been growing progressively from RM5 billion in 1998, to a record high of RM47 billion in 2009. This was due to the fact that government expenditure, including subsidies, has been escalating, whereas government revenue has not kept pace as our economy (Idris Jala, The Sun, Thursday, 03 June 2010). Consequently, the government has to borrow a lot of money to cover the shortfall. Malaysian government debt in 1997 was RM90 billion and has grown at a rate of 12% a year to reach a record of RM362 billion in 2009. In addition, as a proportion to GDP, Malaysia is one of the world’s highest subsidized countries with 4.7% of GDP compared to Indonesia 2.7%, Philippines 0.2%, and Organization for Economic Co-operation and Development (OECD) countries at 1.5% on average.

Tuesday, March 23, 2010

Pengasingan Murid di Sekolah Rendah

Apabila pergi kerja dari Arau ke UUM, Sintok yang mengambil tempoh masa perjalananan selama setengah jam, saya sentiasa memerhatikan dan berfikir apa yang berlaku di persekitaran saya. Dalam perjalanan, saya sering kali ternampak pelbagai tingkahlaku manusia yang melakukan pelbagai aktiviti ekonomi. Terfikir sumbangan setiap orang dari mereka kepada kehidupan kita seharian, tidak kira pengangkut sampah dan pengawal keselamatan bank, pemandu bas, buruh, sehinggalah kepada pensyarah Matrikulasi dan UiTM, Pemilik Mini Market, Jurutera JKR, peniaga di tepi jalan dan sebagainya.

Dari aktiviti persekolahan pula, apabila ada kelapangan, saya sendiri akan menghantar dua orang anak saya ke sekolah mereka di Sekolah Rendah Tengku Budriah, Arau. Apa yang menarik dalam sistem persekolahan di tempat anak saya belajar ialah selepas tamat Darjah Satu, murid-murid akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut keputusan peperiksaan Darjah Satu mereka. Kebiasaannya mereka dipecahkan kepada tujuh kelas,dan setiap kelas terdapat secara purata 35 orang murid. Alasan yang diberikan oleh guru ialah memudahkan pengajaran diberikan kepada anak murid yang mempunyai prestasi yang baik, sederhana baik, dan kurang baik.

Terfikir saya pernahkah kajian dibuat keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah pengasingan murid mengikut keputusan peperiksaan sebegini. Apakah latar belakang murid yang berada di kelas A, B, C, D, E, F, dan G tersebut? Pendapatan ibu-bapa mereka, tahap pendidikan keluarga, jenis rumah yang diduduki, persekitaran tempat tinggal, tahap pemakanan dan sebagainya. Saya khuatir dasar pengasingan murid dari darjah satu lagi ini telah membawa kepada keadaan penentu masa depan mereka – untuk menjadi mereka yang berjaya dalam kerjaya, dan mereka yang akan menjadi buruh kasar, peniaga kecil-kecilan atau mat rempit yang merempit pada waktu malam. Memang matlamat utama pengasingan baik, iaitu memudahkan guru menumpukan kaedah pengajaran yang sesuai mengikut tahap kemampuan murid, tetapi jika pengasingan dari darjah dua lagi telah dibuat, murid yang lemah terus-menerus bergaul dengan murid yang lemah. Begitu juga guru, persepsi mereka terhadap murid yang baik dan lemah tentu berbeza. Mereka tentunya berminat mengajar di kelas A berbanding dengan kelas F dan G. Kajian boleh dibuat kemanakah perginya murid yang berada di kelas yang lemah tersebut, latar belakang keluarga mereka dan peratusan yang berjaya ditingkatkan prestasi mereka apabila mereka berada di darjah enam.

Saya berpandangan, pengasingan mengikut keputusan peperiksaan baik dibuat untuk kelas yang pertama sahaja, kelas kedua hingga ketujuh biar dicampurkan murid yang mempunyai keputusan peperiksaan yang baik, sederhana dan lemah. Strategi ini bagi menggalakkan persaingan berterusan murid-murid tersebut. Perkembangan prestasi murid diandaikan akan berubah apabila mereka dapat bercampur gaul di antara murid berprestasi baik, sederhana dan lemah. Diketahui juga murid boleh berubah-ubah prestasinya dari masa ke semasa. Faktor pemakanan, persaingan, latar belakang keluarga, persekitaran, dan persepsi guru semasa mengajar boleh mempengaruhi prestasi murid berkenaan. Kajian boleh dibuat untuk menentukan keberkesanan kaedah ini.

Begitu juga selepas tamat Darjah Enam, kebanyakan ibu-bapa masa kini berlumba-lumba menghantar anak mereka ke Sekolah Berasrama Penuh, terutamanya ke sekolah Berprestasi Tinggi yang diwujudkan sekarang. Mengikut pengalaman saya sendiri, sepatutnya murid yang dipilih ke sekolah berasrama penuh tersebut majoritinya ialah murid luar Bandar, latar belakang keluarga yang mempunyai pendapatan rendah atau sederhana, di samping peratusan yang kecil dari keluarga yang berpendapatan tinggi. Biarlah sebilangan murid yang terpilih mempunyai keputusan peperiksaan 3A 2B dan 4A 1B, atau mungkin 4A 1C. Murid luar Bandar yang menghadapi keadaan serba kekurangan seperti kemudahan tuisyen tambahan tentulah lebih memerlukan kemudahan tinggal di asrama yang serba lengkap berbanding murid Bandar dan murid yang mempunyai latar belakang keluarga yang berkemampuan. Strategi ini boleh dicuba dengan mengambil beberapa buah sekolah berasrama penuh sebagai projek perintis. Pengalaman saya dengan sistem sekolah berasrama penuh yang serba lengkap, seperti kemudahan kelas yang berhampiran dengan asrama, makanan yang berkhasiat dan baik, sistem kelas waktu petang dan malam, kemudahan pusat sukan dan sebagainya memang boleh membentuk murid untuk berjaya dalam proses pembelajaran mereka. Majoriti dari mereka akan berjaya memasuki Universiti Awam.

Walau apa pun, apa yang saya cadangkan ini perlu dikaji dan dibuat beberapa percubaan dahulu sebelum dilaksanakan. Apa yang diceritakan hanya dari pengalaman dan pemerhatian saya sahaja, dan belum dibuat kajian saintifik lagi.