Total Pageviews

Monday, December 27, 2010

Insentif ekonomi dalam mencapai sasaran kerajaan dalam gunatenaga

Dalam bulan ini saya terpaksa berbelanja lebih kerana membeli pakaian sekolah anak, buku dan membawa mereka bercuti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Dalam hal pakaian, kebiasaanya terpaksa di tempah kerana saya merasakan pakaian yang ditempah lebih sesuai dan selesa dipakai oleh anak-anak saya. Di kedai yang biasa saya membuat tempahan saya dapati pengukur saiz baju memang orang Malaysia, tetapi mereka yang menjahitnya saya dapati semuanya orang Vietnam. Begitu juga kedai gunting rambut di negeri Perlis. Saya amat menghormati semangat keusahawanan yang ditunjukkan oleh seorang anak muda yang berpengalaman bekerja dengan orang lain di Johor Baharu sebagai penggunting rambut. Selepas tujuh tahun, beliau balik ke Perlis dan membuka rangkaian kedai Gunting Rambut di kebanyakan Bandar-bandar utama di Perlis dan Kedah. Rangkaian kedai beliau sekarang meliputi di Arau, Kangar, Padang Besar dan Changlun. Sebelum rangkaian kedai ini dibuka memang apabila hendak menggunting rambut, perlu menunggu giliran. Sekarang masalah mendapatkan khidmat gunting rambut itu telah dapat diatasi di Perlis dan Changlun, Kedah.

Isu yang saya ingin bangkitkan ialah pekerja di kedua-dua kedai yang dikategorikan perkhidmatan tersebut mempunyai hampir 90 peratus pekerja warga asing, Vietnam dan India. Saya memikirkan belia tempatan juga sebenarnya boleh bekerja di kedua-dua kedai tersebut, kedai tempahan pakaian dan kedai gunting rambut. Dari perbualan dengan kedua-dua anak muda pemilik kedai tersebut, mereka menyatakan anak tempatan sukar dikawal, mengkehendaki gaji yang lebih tinggi dan boleh menjadi pesaing mereka pada suatu masa nanti. Memang diakui kebenaran kenyataan tersebut, tetapi bila dilihat dari peluang pekerjaan dan pengaliran keluar ringgit Malaysia ke Vietnam dan India, ianya perlu dikaji semula. Pemilik kedai mungkin perlu diberi insentif ekonomi oleh kerajaan untuk menggalakkan mereka lebih berminat menggunakan pekerja tempatan berbanding pekerja asing. Insentif cukai seperti kadar cukai yang lebih rendah atau rebat cukai boleh digunakan sebagai alat insentif. Kedai yang menggunakan kesemua pekerja tempatan diberi rebate 30% dari jumlah cukai yang dikenakan misalnya. Dengan insentif sebegini diharapkan kadar penggunaan buruh asing tersebut dapat dikurangkan dan peluang pekerjaan penjahit pakaian dan penggunting rambut tempatan dapat ditingkatkan.

Begitu juga kajian perlu dibuat terhadap keberkesanan institut-institut latihan yang diwujudkan oleh kerajaan seperti Institut Latihan Belia Dusun Tua yang melahirkan tenaga mahir seperti pendandan rambut dan juruteknik motorsikal. Khabarnya kursus-kursus seperti pendandan rambut begitu popular dan mudah mendapat pekerjaan. Persoalan juga timbul dimanakah penggunting rambut dari India itu mendapat latihan?

Nasihat ilmu:

Dimasukkan di sini makna bacaan dalam sholat agar sholat kita lebih khusyuk dan diberkati Allah s.w.t.

1. Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, Ibadatku, hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

2. Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

3. Bacaan ketika rukuk

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

4. Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

5. Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

6. Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku

8. Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

9. Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

10. Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

2 comments:

CT said...

Prof,

Saya dapati kehadiran ramai tenaga pekerja asing di Malaysia semakin meningkat sekarang ini. Sebagai contoh, kalau dahulu cashier di stesen Petronas adalah orang Malaysia tetapi sekarang ini kebanyakannya orang Bangladesh /Myammar pula. Begitu juga dengan pekerja di restoren makanan segera. Contohnya di Restoren Burger King berhampiran pejabat saya di Masjid Jamek, pekerja bahagian dapur adalah orang-orang Bangladesh. Saya pernah membatalkan pesanan saya kerana saya terlihat mereka menyediakan makanan pesanan saya tanpa menggunakan sarung tangan. Di sini saya terfikir, dimanakah perginya anak-anak tempatan? Adakah mereka terlalu memilih pekerjaan sehingga kita terpaksa mengambil tenaga pekerja asing?

Siti Aishah
805683

lim Jing Ping said...

Saya bersetuju bahawa semakin kurang orang muda ingin menceburi diri dalam sektor pakaian. Mereka berasa sektor ini tidak mempunyai masa depan yang cemerlang. Sesetengah orang muda pula ingin meminta gaji yang tinggi walaupun diri sendiri tiada kemahiran menjahit. Masalah kekurangan pekerja telah menyebabkan peniaga terpaksa mengupah orang asing kerana orang asing rela bekerja dalam sektor ini dengan gaji yang rendah. Situasi ini menyebabkan semakin ramai orang asing datang ke Malaysia dan ia menjadi satu kebimbangan kepada masyarakat tempatan kerana kes sosial juga semakin meningkat pada masa yang sama. Dalam hal ini, Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan dengan segera. Tindakan tersebut bukan menghalau semua orang asing tetapi mengupah orang asing yang berkemahiran atau berpengetahuan mengikut bidang masing-masing.

Lim Jing Ping 211511