Total Pageviews

Monday, June 15, 2015

Kepentingan Modal Sosial dalam kehidupan – pengalaman masyarakat UK

Kebelakangan ini ramai pelajar yang membuat penyelidikan di peringkat Sarjana dan PhD mencadangkan tajuk penyelidikan yang berkaitan dengan konsep kehidupan lestari yang melibatkan hubungan modal sosial (social capital), modal manusia (human capital), modal fizikal (physical capital), modal kewangan (financial capital) dan modal semulajadi (natural capital). Faktor ini mungkin disebabkan oleh isu kehidupan lestari merupakan suatu pengukuran baru dalam menentukan kesejahteraan hidup dan kajian terhadap isu ini dapat memberi suatu sumbangan baru kepada pengetahuan dan menjadi matlamat sesuatu kajian di peringkat Sarjana dan Ph.D.
Saya akan membincangan isu kepentingan modal sosial kepada kehidupan masyarakat, di mana tanpa modal sosial, masyarakat sukar untuk menikmati pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan kesejahteraan kehidupan (human well-being).
Secara umumnya, modal sosial mewakili hubungan sosial di antara pasangan suami isteri, ahli keluarga, masyarakat setempat dan masyarakat dalam negara keseluruhannya. Hubungan tersebut boleh mengujudkan faedah seperti membolehkan perhubungan di antara indidvidu dan masyarakat, toleransi, kesediaan membantu di antara satu sama lain, dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu yang memberi faedah bersama (common goods). Keadaan tersebut membolehkan mereka mempercayai individu atau masyarakat lain, dan institusi (seperti kerajaan) yang terlibat dengan kehidupan mereka. Kepercayaan ini seterusnya dapat memberikan kesan positif dalam bentuk kesejahteraan individu dan keluarga, pekerjaan, kesihatan dan kawalan tehadapa tingkahlaku jenayah.
Pengukuran modal sosial adalah penting untuk menentukan keadaan modal sosial di sesuatu kawasan yang dikaji. Lima aspek modal sosial yang penting ialah hubungan personal (personal relationships), sokongan rantaian sosial (social network support), penglibatan sivik (civic engagement), kepercayaan (trust) dan norma-norma kerjasama (co-operative norms). Kajian yang telah dibuat di United Kingdom mendapati hubungan personal boleh mempengaruhi kegembiraan seseorang, kesihatan fizikal dan kesihatan mental. 
Dalam doa selepas sembahyang juga kita selalu berdoa “Ya Allah, berilah kesejahteraan kepada Agama kami, berilah kesihatan tubuh badan (fizikal) kami, berilah ilmu pengetahuan (fikiran) dan murahkan rezeki yang halal”. Ini menunjukkan kita telah lama diajar untuk berusaha mendapatkan kesihatan fizikal dan kesihatan mental (fikiran) dalam kehidupan seharian kita.
Satu kajian yang telah di buat di United Kingdom (UK) pada tahun 2011/12 mendapati kebanyakan penduduk di UK (95%) melaporkan mereka mempunyai sekurang-kurangnya seorang rakan, tetapi 11% dari mereka masih menyatakan mereka masih kesunyian dalam separuh dari masa harian mereka.
Modal sosial juga boleh dilihat kepentingannya dalam bentuk sokongan yang diterima dari keluarga, rakan dan jiran apabila kita menghadapai kesusahan, seperti masalah ekonomi. Ukuran kebolehharapan masyarakat di UK mendapati mereka boleh berharap kepada pasangan (83%), ahli keluarga (62%) dan cuma 45% dari rakan apabila menghadapi seuatu masalah yang serius. Maksudnya pasangan lebih sedia membantu berbanding dengan ahli keluarga dan rakan rapat.
Dari sumbangan kepada masyarakat pula, didapati masyarakt UK lebih sanggup menyumbang wang (67%), berbanding dengan masa kepada badan-badan kebajikan.  Lebihkurang 1/3 dari mereka (34%) melaporkan terlibat dalam aktiviti politik, yang biasanya melibatkan tandatangan petisyen terhadap sesuatu isu yang menjadi perhatian mereka. Malangnya hampir 1/4  dari mereka juga (23%) tidak berminat dengan isu-isu berkaitan politik. Begitu juga 2/3 dari masyarakat UK (69%) tidak mempercayai kerajaan pusat mereka. Faktor kemerosotan kepercayaan kepada kerajaan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh pemerintah, terutamanya apabila maklumat mengenai tingkahlaku menteri-menteri dalam kerajaan mudah diperolehi dari internet dan akhbar-akhbar. Kedudukan taraf hidup dan situasi keadaan ekonomi penduduk sangat mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
Pemimpin negara perlu menunjukkan nilai-nilai kejujuran, toleransi dan menggalakkan perpaduan di antara ahli-ahli dalam sesuatu masyarakat. Dasar yang boleh merenggangkan hubungan antara masyarakat perlu dihapuskan dan kefahaman untuk memahami budaya masyarakat yang berbeza perlu di pertingkatkan.
Usefull links:

  1. http://www.ons.gov.uk/ons/guide-method/user-guidance/social-capital-guide/index.html
  2. http://www.ons.gov.uk/ons/guide-method/user-guidance/well-being/index.html
  3. OECD Insights Blog