Total Pageviews

Friday, August 5, 2011

Kenaikan harga barang keperluan isirumah

Semasa menaiki kapalterbang dari Kuala Lumpur ke Alor Setar pada 21 Julai 2011 yang lalu, saya berkesempatan bertemu dengan salah seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kebetulan duduk di sebelah tempat duduk saya di Kelas Ekonomi di dalam kapalterbang dari perjalanan Kuala Lumpur Ke Alor Setar. Beliau mempunyai urusan rasmi di Alor Setar. Saya menegurnya dan mengucapkan tahniah kerana sanggup juga duduk di kelas Ekonomi walau pun saya dapati masih ada tempat kosong di kelas “business”. Kemudiannya saya melakukan tanggungjawab saya sebagai ahli akademik untuk meminta kerajaan membuat sesuatu berkaitan dengan kenaikan harga barangan di pasaran, terutama kenaikan harga barang makanan yang begitu ketara pada masa kini. Saya mengatakan kerajaan perlu membuat strategi baru untuk menangani kenaikan harga barang bagi mengurangkan bebanan rakyat yang begitu tertekan dengan tekanan hidup, terutama akibat dari kenaikan harga barang makanan. Beliau memaklumkan kepada saya memang kerajaan menyedari keadaan tersebut dan untuk mengatasinya agak rumit kerana bukan hanya melibatkan kajian permintaan dan penawaran sahaja.

Seminggu selepas itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia memaklumkan kerajaan sedang merangka strategi baru untuk mengatasi kenaikan kos sara hidup seperti membantu petani, penguatkuasaan undang-undang, imbuhan khas kepada rakyat dan menambah subsidi untuk rakyat. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang pula akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi mengkaji langkah berkenaan dan merumuskan formula untuk mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos harga barang-barang. Seterusnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menambah satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu yang berkaitan usaha untuk memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang-barangan terutamanya makanan.

Benarkah kenaikan harga barang keperluan, terutamanya harga barang makanan begitu ketara pada masa kini? Memang diakui harga barang-barang makanan seperti ikan dan sayur-sayuran berubah-ubah mengikut musim, tetapi secara keseluruhan memang harga barang makanan telah meningkat dengan begitu ketara sekali. Perbandingan kasar yang saya buat dengan membandingkan harga pada masa kini dengan harga tempoh enam bulan yang lalu menunjukkan kebenaran kenyataan kenaikan harga barangan tersebut. Sebagai contoh, harga 5 liter minyak masak telah meningkat dari RM12.50 pada bulan Januari kepada RM13.50 pada bulan Julai. Suatu peningkatan sebanyak 7%. Begitu juga harga 1kg Milo dari RM12.90 kepada RM15.90 (23.3%), Nescafe “3 in 1” 22 uncang dari RM11 kepada RM12.40 (12.7%), Beras gred A seberat 10kg dari RM23 kepada RM25.90 (12.6%), satu tin Susu pekat manis dari RM2.00 kepada RM2.40 (20%), Telor gred A 10 biji dari RM3.00 kepada RM3.30 (10%), satu liter Kordial FN dari RM5.90 kepada RM7.20 (22%), sekilo bawang putih dari RM7.00 kepada RM10.00 (43%), sekilo Ikan kembung dari RM4.00 kepada RM8.00 (100%). Begitu juga harga barangan keperluan dapur yang lain seperti cecair pencuci pinggan dari RM4.90 kepada RM5.90 (20.4%), kitchen paper (6 roll) dari RM8.90 kepada RM10.90 (22.5%), dan Soflan dari RM5.90 kepada RM6.90 (17%).

Pada pandangan saya langkah penguatkuasaan undang-undang, imbuhan khas kepada rakyat dan menambah subsidi untuk rakyat tidak akan mengatasi masalah kenaikan harga barangan tersebut. Setiap barangan mempunyai faktor tersendiri yang menyebabkan kenaikan harganya. Harga ayam meningkat mungkin disebabkan kenaikan kos tarif elektrik, kenaikan harga makanan ayam, atau kenaikan kos pengangkutan ayam dari pusat penternakan ke pasaran. Kenaikan harga beras mungkin kerana kenaikan harga beras yang diimport dari luar Negara. Begitu juga dengan kes harga susu, gula, milo dan tepung. Malahan jika dilihat mengikut tempat juga, mungkin harga di Bandar-bandar besar seperti Johor, Melaka dan Pulau Pinang lebih tinggi dari harga di Bandar-bandar kecil dan bersempadan dengan Negara seperti Thailand dan Indonesia. Selain itu pengaruh oligopoli pengeluar-pengeluar barang makanan tertentu tentunya boleh mempengaruhi harga. Bagi harga ikan pula, kekurangan sumber di laut akibat dari kepupusan sumber perikanan hasil dari tangkapan ikan yang berleluasa oleh pukat tunda dan nelayan asing telah mempengaruhi hasil tangkapan dan meningkatkan harga ikan di pasaran tempatan. Maksudnya strategi kerajaan untuk mengatasi kenaikan harga barang makanan perlu dilihat mengikut barangan dan bukannya secara menyeluruh tanpa mengambilkira jenis barangan. Ciri-ciri barangan tersebut dari segi pengeluaran, permintaan, pemasaran dan keadaan bermusim sendiri boleh mempengaruhi harga.

Galakan penanaman sendiri bahan makanan yang boleh ditanam sendiri seperti sayur-sayuran perlu dipertingkatkan semula. Kempen buku hijau dan penanaman menggunakan teknik moden seperti hidroponik boleh dibuat. Kita tidak mahu melihat satu masa dahulu ada agensi pertanian menggalakkan hobi penanaman secara hidroponik, tetapi teknologi yang diberikan kepada penduduk adalah teknologi yang tidak begitu berjaya di pusat-pusat pertanian, inikan pula di kalangan penduduk yang ingin mencubanya. Begitu juga di kawasan-kawasan tertentu boleh digalakkan ternakan ikan dalam kolam yang terjamin kebersihannya. Aktiviti yang menggalakkan komuniti terlibat dengan aktiviti pengeluaran barang makanan perlu digalakkan seperti di negara-negara maju. Komuniti di sesuatu kawasan boleh melabur wang untuk aktiviti penanaman dan penternakan, dan terlibat sendiri dalam mengutip hasil sayur-sayuran, buah-buahan atau ternakan. Ianya menjadi seperti suatu aktiviti bersama keluarga di hujung minggu. Sambil melakukan aktiviti berfaedah, ianya dapat menyedarkan penduduk tentang kepentingan mendapatkan barang makanan dari sumber yang terjamin kualiti kebersihannya. Malahan maklumat khasiat sesuatu keluaran makanan boleh dimaklumkan kepada peserta yang menyertai aktiviti ini.

Sekolah-sekolah pula perlu menggalakkan aktiviti ko-kurikulum bercorak pertanian. Kawasan-kawasan lapang di sekolah boleh dijadikan kawasan praktikal untuk pelajar mempelajari teknik penyediaan tapak semaian, menanam, membaja, mengutip hasil dan menjual hasil yang dikutip. Bilik-bilik khas perlu disediakan untuk para pelajar menukar pakaian yang sesuai dengan aktiviti pertanian. Pelajar-pelajar lepasan Institusi Pertanian boleh ditempatkan di Sekolah-sekolah sepertimana guru kaunseling. Ianya dapat memberikan peluang pekerjaan kepada lepasan Institusi Pertanian dan mendedahkan kepada guru dan pelajar sekolah mengenai teknik pertanian yang betul. Aktiviti terancang begini perlu dilaksanakan kerana didapati generasi muda masa kini semakin menjauhkan diri dari aktiviti pertanian. Mereka lebih suka membeli makanan segera seperti makanan dari Kentucky Fried Chicken dan McDonald. Seterusnya pihak media, sama ada media cetak dan elektronik perlu memainkan peranan memaklumkan kedudukan harga barang makanan dari masa ke semasa, galakan untuk penanaman dan penternakan sendiri dan geran penyelidikan berkaitan dengan kajian berkaitan harga barang makanan perlu dipertingkatkan. Kesemua langkah ini diharapkan akan meningkatkan pengeluaran barang makanan dan mengurangkan tekanan hidup kesan dari kenaikan harga barang makanan.