Total Pageviews

Saturday, October 29, 2011

Strategi mengatasi kenaikan harga ayam

Kebelakangan ini kenaikan harga ayam mencecah hinga RM8 sekilogram, hinggakan ada cadangan dari pihak-pihak tertentu yang mencadangkan kepada pengguna supaya memboikot pembelian ayam. Sebaliknya ada di antara Persatuan-Persatuan Pengguna seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat pemboikotan pembelian ayam bukan penyelesaian terbaik dalam isu kenaikan harga ayam, sebaliknya mereka mencadangkan agar pengguna mengurangkan pembelian dan pemakanan ayam. Mereka berpendapat jika pengguna dapat mengurangkan pembelian dan pemakanan ayam, permintaan terhadap ayam dalam pasaran akan berkurangan seterusnya dapat menurunkan harga ayam. Sebaliknya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula berpendapat tindakan memboikot pembelian dan pemakanan ayam akan menjejaskan peniaga kecil ayam di negara ini. Ini kerana peniaga kecil ayam hanya menerima harga borong yang ditetapkan oleh penternak dan pemborong, dan jualan mereka dalam jumlah yang kecil sahaja.

Sebenarnya harga sesuatu barang dipengaruhi oleh faktor seperti keadaan permintaan, keadaan penawaran, perkhidmatan pemasaran dan kos dan camputangan kerajaan. Sekiranya diingat, campurtangan kerajaan dalam pasaran ayam bermula dari tahun 1995, apabila menjelang sambutan Hari Raya pada masa tersebut kerajaan menetapkan harga maksimum ayam pada harga RM5.40 sekilogram, sedangkan keadaan permintaan dan penawaran pada masa tersebut membolehkan harga ayam meningkat kepada RM6 sekilogram. Pengguna memuji langkah tersebut, tetapi apa yang tidak diketahui oleh pengguna ialah dalam aktiviti perniagaan penternakan ayam, terutamanya penternak kecil-kecilan, faktor seperti bekalan anak ayam, makanan ayam, ubat-ubatan dan kos pembinaan reban ayam berubah-ubah mengikut masa, walau pun di dalam tahun yang sama. Kebiasaannya musim perayaan menjanjikan keuntungan yang tinggi kepada penternak kecil-kecilan untuk menampung kerugian di luar musim perayaan. Penternak besar-besaran pula sentiasa dapat menyesuaikan keadaan harga dengan penawaran kerana mereka mengeluarkan sendiri anak ayam, makanan ayam dan ubat-ubatan yang diperlukan dalam industri penternakan. Mengikut maklumat yang diterima, bilangan penternak merosot dari 4,900 penternak pada tahun 1994 kepada 2,600 penternak pada tahun 2000. Pada masa sekarang pula, diketahui 12 penternak utama menguasai melebihi 80 peratus dari pasaran ayam di Malaysia. Keadaan perniagaan ayam menjadi seperti organisasi perniagaan bercorak Oligopoli apabila penternak-penternak besar ini berjumpa dan berbincang menentukan penawaran, penentuan harga pasaran yang sesuai dan berbincang dengan kerajaan. Kuasa tawar menawar di antara kerajaan dan penternak besar-besaran dalam menentukan harga pasaran yang sesuai tentunya kini menyebelahi kumpulan penternak.

Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memberi galakan kepada penduduk luar Bandar untuk meningkatkan penternakan secara kecil-kecilan terutama ternakan ayam kampung atau ayam organik. Peningkatan bekalan ayam dari kawasan luar Bandar tentunya akan mengurangkan tekanan permintaan yang boleh menaikkan harga ayam. Langkah memboikot mungkin sukar dilakukan kerana ketidakanjalan permintaan harga bagi ayam. Faktor kedudukan ayam sebagai barangan keperluan isirumah dan tidak mempunyai pengganti yang hampir menjadikan permintaan ayam tidak anjal harga. Harga barang pengganti yang hampir seperti daging pun sudah mencecah RM18 sekilogram, begitu juga harga ikan yang turut mengalami peningkatan harga yang ketara. Begitu juga tindakan mengimport ayam dari negara lain bukan penyelesaian terbaik kerana harga ayam di Negara pengeksport sendiri boleh berubah-ubah mengikut kos pengeluaran keadaan permintaan dan penawaran di Negara tersebut sendiri, di samping isu halal yang menjadi isu utama kepada umat Islam di Malaysia. Dalam hal pemakanan, kita bukan hanya melihat kepada produk makanan tersebut, tetapi juga perlu dilihat apa yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut. Dalam kes penternakan ayam, perlu dikaji juga makanan dan ubat-ubatan yang digunakan untuk membesarkan ayam tersebut perlu dari sumber yang halal.

Saturday, October 8, 2011

Belanjawan 2012

Beberapa insentif menarik kepada kakitangan awam, ahli akademik dan anggota keselamatan telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012, belanjawan yang kedua di bawah tempoh pelan pembangunan lima tahun Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). Di antara perkara menarik yang diumumkan ialah tambahan setengah bulan bonos kepada kakitangan awam, menjadikan pada tahun 2011 kakitangan awam mendapat keseluruhan bonos satu bulan gaji, bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada isirumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000, Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, umur bersara wajib kakitangan awam yang ditambah dari 58 tahun kepada 60 tahun, pengecualian cukai kepada penderma institusi-institusi pendidikan dan rumah ibadat, dan pemansuhan bayaran untuk yuran sekolah rendah dan sekolah menengah.

Selain kakitangan awam, kaum Cina juga tentu gembira dengan rebat cukai kepada derma yang diberikan kepada insitusi pendidikan dan rumah ibadat. Golongan berpendapatan rendah pula akan mendapat geran RM500. Anggota keselamatan seperti polis dan tentera juga mendapat banyak insentif dari belanjawan kali ini. Polis diberi RM200 juta peruntukan khas untuk perbelanjaan pembangunan polis, meliputi projek perumahan anggota, penambahbaikan balai dan pusat latihan. Angggota keluarga tentera yang terdiri dari duda dan balu berjumlah 62,000 orang pula diberi sebanyak RM3,000 secara one off.

Kesemua langkah tersebut dijangka akan menyebabkan peningkatan permintaan Agregat dan membantu mengurangkan kesan dari krisis Ekonomi yang berlaku di Negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Krisis ekonomi di Negara-negara maju tersebut tentunya akan menjejaskan kemasukan pelaburan asing dan eksport Negara. Cuma strategi mengamalkan Belanjawan defisit tentunya memberi kesan kepada hutang Negara. Hutang Negara dijangka akan terus meningkat. Pada masa kini pun dari keseluruhan belanjawan berjumlah RM232.8 bilion tersebut, 8.9% darinya akan digunakan untuk perkhidmatan bayaran balik hutang Negara. Perlaksanaan belanjawan defisit yang berterusan akan memberikan tekanan kepada peningkatan jumlah hutang negara dan menjejaskan ekonomi negara di masa hadapan.

Persoalan juga timbul bagaimana kedudukan rakyat yang bekerja di sektor swasta dan bekerja sendiri. Gaji pekerja di sektor swasta lebih dipengaruhi oleh prestasi syarikat, dan prestasi syarikat boleh dipengaruhi oleh keadaan yang berlaku di Negara pengimport keluaran kilang swasta tersebut. Sebagai contoh, kemerosotan ekonomi di Negara Eropah dan Amerika Syarikat akan mempengaruhi permintaan terhadap barangan tahan lama seperti barangan elektrik dan elektronik dinegara tersebut. Permintaan barangan pertanian terutamanya barangan makanan tidak akan banyak berubah. Apabila permintaan pengguna merosot terhadap barangan tahan lama (durable goods) ini berlaku, tentunya sektor swasta di Malaysia yang bergantung kepada eksport akan terjejas juga perniagaan mereka. Akan berlaku penurunan keuntungan syarikat dan permintaan kenaikan gaji kakitangan swasta tentu sukar dipenuhi.

Begitu juga apabila dibincangkan insentif-insentif ekonomi yang nampaknya meningkatkan tingkat pendapatan penduduk, pada masa yang sama perlu juga dilihat kenaikan kos sara hidup. Kenaikan kos sara hidup akan dibandingkan dengan kenaikan pendapatan dalam mengukur kedudukan taraf hidup sebenar rakyat. Begitu juga kaedah pengagihan pendapatan yang memang sukar untuk menjadikannya benar-benar semua pihak mendapat faedah. Terdapat tanda-tanda kakitangan awam banya mendapat faedah dari belanjawan yang dibentangkan berbanding dengan kakitangan sektor swasta dan pekerja persendirian.

Mungkin rakyat lebih suka dengan peningkatan pemberian subsidi minyak dan barang makanan lain yang kesannya lebih menyeluruh dan dapat dinikmati oleh semua orang dari dasar yang memberikan pulangan yang berbeza-beza mengikut jenis pekerjaan, kaum, penduduk Bandar dan luar Bandar. Tentunya mereka yang bekerja sendiri seperti penjual buah-buahan, pengutip buah kelapa, tukang rumah dan peniaga di pasar malam lebih nampak faedah yang akan diperolehi jika dasar sedemikian dilaksanakan. Begitu juga dasar perlindungan seperti keperluan mendapatkan permit import bagi mengimport barang-barang pertanian, terutamanya barang makanan perlu dikaji semula. Ada pihak yang mendapat keuntungan mudah dengan perlaksanaan pemberian permit import ini.