Total Pageviews

Friday, October 3, 2008

Penyata Kewangan - maksud Aset, Liabiliti, Nilai Bersih dan Analisis Nisbah

Selepas membincangkan Kepentingan Penyata Kewangan dan penilaian Kunci Kira-kira, artikel kali ini akan membincangkan konsep-konsep penting yang digunakan dalam Kunci Kira-kira. Konsep-konsep tersebut ialah konsep Aset, Liabiliti dan Nilai Bersih.

ASET

Dua Jenis Aset - Aset Semasa dan Aset Tetap
Aset – aset boleh digunakan dalam perniagaan dengan dua cara. Pertama, aset boleh dijual untuk mencipta tunai, atau ia boleh digunakan untuk mengeluarkan barangan yang boleh dijual bagi menghasilkan pendapatan tunai pada masa hadapan. Barangan yang dihasilkan seperti bijirin padi dan ternakan kambing boleh dijual dengan cepat tanpa mengganggu aktiviti pengeluaran masa hadapan dipanggil aset cair. Jentera, baka kambing Boer dan tanah pula digunakan untuk menghasilkan pendapatan masa hadapan dipanggil aset tetap.

Perbincangan untuk topik ini akan menggunakan contoh laporan Kunci Kira-kira Peladang JBA sepertimana yang ditunjukkan dalam Jadual 9.1 di bawah.

Jadual 9.1: Kunci Kira-kira Peladang JBA pada 31 hb. Disember 2008 (dalam RM).

Aset Semasa
Wang tunai ditangan ____2,073,692
Penghutang perniagaan/Akaun belum terima (account receivable)___1,218,525
Pelbagai pembayaran pendahuluan (prepaid expenses) ___1,787,877
Lain-lain Aset ___733,007
Inventori ___66,668
Jumlah Aset Semasa __5,879,769

Aset Tetap
Tanah ____1,261,365
Peralatan 202,616
(Tolak: Susut nilai Peralatan 1,000) ___201,616
Bangunan 500,000
(Tolak: Susut nilai Bangunan 5,087) ___494,913
Aset dalam Perlaksanaan 468,000
Pinjaman Nelayan 494,913
Jumlah Aset Tetap ___1,957,894

JUMLAH ASET ___RM7,837,663

Liabiliti Semasa
Pemiutang perniagaan __1,533,623
Pelbagai pemiutang/Akaun belum bayar__ 307,279
Peruntukan cukai/dividen __56,540
Jumlah Liabiliti Semasa __ 1,897,442

Liabiliti Jangka Panjang
Gadaian ____0

Jumlah Liabiliti___1,897,442

Nilai Bersih 5,940,221

Dibiayai oleh (Dipanggil juga Ekuiti Pemilik):
Modal Saham Ahli __64,460
Modal Geran Pelancaran __135,375
Keuntungan Terkumpul __2,412,483
Kumpulan Wang Simpanan __2,065,602
Pinjaman LKIM __643,662
Kumpulan Wang Kebajikan Am __599,237
Pelbagai Tabung Kebajikan __19,400

Jumlah Ekuiti Pemilik__5,940,221

JUMLAH LIABILITI DAN EKUITI PEMILIK__RM 7,837,663

a) Aset Semasa
– ia termasuk tunai di tangan dan baki akaun simpanan. Aset semasa yang lain ialah akaun belum terima (yang tempoh matangnya kurang dari setahun), inventori, pelbagai pembayaran pendahuluan (prepaid expenses), dan lain-lain aset seperti hasil tanaman atau ternakan yang akan dijual, bekalan ladang. Dalam Jadual 9.1, dilaporkan jumlah tunai di tangan ilah RM2,073,692 pada 31 Disember. Sekiranya Peladang JBA perlu membayar pembelian secara tunai dengan banyak, maka ia perlu membuat pembelian jangka pendek untuk menampung pembeliannya.

Akaun Belum Terima mewakili jumlah hutang yang masih belum dibayar oleh pelanggan-pelangan Peladang JBA dari pembelian yang lalu. Ianya terhasil kerana pelanggan telah diberi kemudahan pembelian secara kredit. Sesetengah perniagaan barang makanan sangat bergantung kepada penjualan secara kredit, kerana petani hanya membuat pembayaran selepas hasil pertanian mereka dikutip dan dijual. Dalam Jadual 9.1, pada bulan Disember, pelanggan Peladang JBA masih berhutang sebanyak RM1,218,528 dari penjualan tahun lepas atau beberapa tahun yang lalu. Peladang JBA boleh membuat penjualan secara kredit, tetapi pada masa yang sama perlu berhati-hati dengan polisi jualan secara kredit ini, agar tidak terlalu banyak jumlahnya. Langkah berhati-hati ini perlu dibuat untuk mengelakkan Peladang JBA menghadapi kesukaran dalam aliran tunai pada masa hadapan.

Inventori ialah stok barangan yang akan dijual, atau stok barangan modal yang akan digunakan untuk proses pengeluaran pada masa hadapan. Peladang JBA mempunyai inventori sebanyak RM66,688 pada 31 Disember. Peladang mungkin membuat inventori untuk memenuhi permintaan pada waktu permintaan tinggi seperti pada waktu musim perayaan. Sekiranya peladang JBA boleh merancang untuk memenuhi permintaan pengguna pada waktu yang diperlukan, maka peladang tidak perlu menyimpan terlalu banyak inventori.

Pelbagai Pembayaran Pendahuluan (prepaid expenses) merupakan bayaran yang telah dibuat terlebih dahulu terhadap barangan atau perkhidmatan yang digunakan oleh peladang. Barangan atau perkhidmatan tersebut belum digunakan lagi tetapi pembayaran telah dibuat, seperti bayran pendahuluan terhadap sewa bangunan, mesin atau insurans.

Lain-lain aset termasuklah hasil ternakan atau ladang yang akan dijual, pelaburan seperti pembelian saham dan bon syarikat lain. Aset-aset ini pula mudah dijual dan ditukar kepada tunai dengan mudah.

b) Aset tetap – contohnya tanah, bangunan kekal, dan peralatan. Aset ini kurang cair dan tempoh hayatnya lebih dari 10 tahun. Jika dijual, aset ini akan memberi kesan kepada masa hadapan perniagaan. Aset ini digunakan untuk mengeluarkan barangan dan perkhidmatan. Umumnya semua aset tetap kecuali tanah mengalami susutnilai dan perlu dicatatkan perbelanjaan susutnilai. Contohnya mesin pengisar padi (dicatat sebagai peralatan) kepunyaan Peladang JBA bernilai RM50,000 sahaja selepas 3 tahun digunakan, walau pun pada awalnya dibeli pada kos RM80,000. Catatan nilai aset tetap perlu dibuat pada nilai semasa aset tersebut. Contohnya mesin pengisar dicatat nilai aset dicatatkan RM50,000 walaupun nilai sebenar masa dijual mungkin lebih tinggi atau rendah dari nilai dicatatkan kerana harga sebenar semasa jualan berlaku dipengaruhi oleh kuasa tawar menawar.

LIABILITI

Dua Jenis Liabiliti
Liabiliti ialah satu tanggungan atau hutang yang dibuat oleh perniagaan daripada orang lain. Ia menunjukkan tuntutan seseorang atau sesuatu perniagaan luar terhadap satu atau lebih aset perniagaan. Liabiliti boleh dibahagiakan kepada dua kategori bergantung kepada tempoh hutang atau pinjaman itu dibuat.

a) Liabiliti Semasa (current liabilities)
Liabiliti semasa merupakan tanggungan kewangan yang akan matang atau yang akan dibayar dalam tempoh satu tahun daripada tarikh kunci kira-kira itu dibuat. Contoh liabiliti semasa ialah Akaun Belum Bayar (account payable) bagi barangan atau perkhidmatan yang dibeli secara kredit, dan jumlah penuh pokok bagi mana-mana pinjaman jangka pendek. Di antara bayaran yang termasuk dalam kategori ini ialah inventori, bekalan (supplies), dan peralatan yang dibeli secara kredit dan bayaran perlu dibuat dalam tempoh kurang dari setahun. Dalam perniagaantani, di mana corak perniagaannya adalah bermusim, pinjaman jangkapendek untuk membiayai inventori adalah penting kepada pengusaha.

Nota Perlu Bayar (notes payable) ialah pinjaman jangka pendek yang memerlukan pembayaran secara bulanan. Pembayaran pokok bagi pinjaman akan disenaraikan sebagai liabiliti semasa kerana ia menunjukkan tanggungan tunai yang akan dijelaskan.

Nota Terakru (acrued notes) merupakan akaun individu yang perlu ditanggung oleh firma perniagaan. Ianya dikira secara agregat seperti upah (wages payable) dan cukai (taxes payable).

b) Liabiliti Jangka Panjang (Long Term Liabilities)
Pinjaman untuk membeli tanah atau apabila tanah digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman membeli tanah atau membina bangunan akan disenaraikan sebagai liabiliti jangka panjang. Tempoh pembayaran balik biasanya melebihi 10 tahun. Pembayaran pokok untuk tahun tersebut dan bunga yang terakru akan disenaraikan sebagai liabiliti semasa, dan baki pinjamannya dimasukkan ke dalam liabiliti jangka panjang. Ada juga juga liabiliti yangka panjang yang tempoh pembayaran balik cuma di antara 7 hingga 10 tahun. Kebanyakan liabiliti jenis ini digunakan untuk membeli jentera dan baka ternakan. Lain-lain contoh liabiliti jangka panjang ialah gadaian (morgages) rumah, dan lain-lain pinjaman jangka panjang dari individu, bank, dan lain-lain institusi kewangan.

Nilai Bersih
Nilai bersih menunjukkan baki jumlah wang yang dimiliki oleh pemilik perniagaan sekiranya semua aset dijual dan semua liabiliti dibayar pada tarikh kunci kira-kira. Nilai bersih diperolehi dengan “jumlah aset tolak jumlah liabiliti”. Maksudnya, nilai bersih ialah wang sendiri yang dilaburkan oleh pemilik dalam perniagaan tersebut, dan nilai itu dicatatkan sebagai liabiliti kerana ia merupakan tuntutan pemilik terhadap perniagaan tersebut. Nilai bersih juga dinamakan ekuiti pemilik.

Nilai bersih berubah jika terdapat perubahan pada nilai aset, penerimaan harta pusaka, atau aset yang dijual pada nilai lebih rendah dari nilai bukunya dalam kunci kira-kira. Peningkatan nilai bersih biasanya disebabkan oleh penggunaan aset untuk mengeluarkan tanaman dan ternakan, dan keuntungan daripada pengeluaran ini digunakan untuk membeli aset-aset baru atau mengurangkan liabiliti. Walau bagaimanapun proses penambahan nialai aset dalam sector pertanian mengambil masa yang panjang, dan salah satu sebab mengapa kita membandingkan kunci kira-kira pada awal dan akhir tahun ialah untuk mengkaji kesan pengeluaran tahunan terhadap nilai bersih, nilai aset dan nilai liabiliti.

Walau bagaimanapun, perubahan aset dan liabiliti mungkin tidak menyebabkan perubahan nilai bersih. Contohnya jika tunai RM100 ribu digunakan untuk membeli traktor baru, nilai bersih tidak akan berubah. Aset semasa akan berkurangan sebanyak RM100 ribu, manakala aset jangka panajang akan meningkat sebanyak RM100 ribu. Meminjam sebanyak RM200 ribu untuk membeli tanah juga tidak akan merubah nilai bersih, kerana kedua-duanya, iaitu jumlah aset dan jumlah liabiliti akan meningkat sebanyak RM200 ribu.

Contoh ini menerangkan suatu konsep penting. Nilai bersih perniagaan hanya berubah jika pemilik menambah modalnya sendiri dalam perniagaannya (menambah nilai bersih), atau mengeluarkan modal untuk memenuhi perbelanjaan untuk sara hidup keluarga (mengurangkan nilai bersih), atau jika perniagaan mengalami kerugian (mengurangkan nilai bersih). Kebanyakan urus niaga perniagaan hanya merubah kandungan aset dan liabiliti tetapi tidak nilai bersihnya.

Dalam perakaunan:
Aset = Liabiliti + Ekuiti Pemilik

ANALISIS NISBAH
Kunci kira-kira kerap dianalisis dengan menggunakan analisis nisbah untuk mengkaji kedudukan dan kekukuhan kewangan sesuatu perniagaan. Kebanyakan institusi kewangan akan menggunakan analisis nisbah daripada kunci kira-kira untuk menentukan kekukuhan kedudukan kewangan pelanggannya.

Nisbah Semasa
Nisbah semasa digunakan bagi menentukan kecairan perniagaan dan menunjukkan perkaitan di antara aset semasa dengan liabiliti semasa.
Nisbah Semasa = Aset Semasa/Liabiliti Semasa
= RM5,879,769/RM1,897,442
= 3.1

Berdasarkan pengiraan, didapati nisbah semasa ialah 3.1, bermakna syarikat mempunyai aset semasa berbanding dengan liabiliti semasa sebnyak 3.1 kali ganda. Syarikat berkemampuan untuk mendapatkan tunai bagi membayar segala hutang semasa.

Nisbah modal bersih
Nisbah modal bersih digunakan untuk mementukan kemampubayaran syarikat. Ketidakmampubayaran berlaku jika nisbah modal bersih kurang daripada satu, kerana jika perniagaan dibubarkan, hasil yang diperolehi daripada jualan aset tidak cukup untuk membayar semua liabiliti. Sebenarnya nisbah modal bersih sesuatu perniagaan ialah satu. Penurunan yang sedikit dalam jumlah aset boleh menjadikan perniagaan tersebut, secara teknikal, tidak mampu membayar segala hutangnya. Nisbah modal bersih yang meningkat dari tahun ke tahun menunjukkan kekukuhan perniagaan syarikat tersebut.

Nisbah modal bersih = jumlah Aset/Jumlah Liabiliti
= RM7,837,663/RM1,897,442
= 4.13

Nisbah Hutang-Ekuiti
Nisbah hutang-ekuiti atau nisbah leveraj menunjukkan perkaitan di antara modal yang dipinjam dengan modal yang dimiliki. Nisbah ini dikira dengan menggunakan persamaan berikut:

Nisbah hutang-ekuiti = Jumlah Liabiliti/Nilai bersi
= RM RM1,897,442/RM5,879,769
= 0.322

Semakin kecil nilai nisbah hutang-ekuiti berserti semakin kukuh kedudukan kewangan syarikat, kerana semakin besar jumlah ekuiti berbanding dengan jumlah liabiliti. Sekiranya nisbah hutang-ekuiti bersamaan satu, bererti pemilik perniagaan menyumbangkan 50% daripada modal perniagaan, manakala 50% lagi dipinjam.

11 comments:

Anonymous said...

103110

asslmlkm...Dr.Jamal


aset merupakan harta yang dimiliki oelh individu atau organisasi yang mana ia berfungsi sebagai pegangan semasa dan masa depan. aset dibahagikan kepada aset semasa, aset pertengahan, dan aset tetap. aset semasa adalah termasuk barang jualan, pegangan tunai, baki akaun simpanan,saham dan lain-lain. aset semasa merupakan aset yang mempunyai nilai kecairan yang sangat tinggi. bagi aset pertengahan, ia mempunyai nilai kecairan yang sederhana.dari segi tempoh hayat, ia mempunyai tempoh hayat penggunaan antara 7 hingga 10 tahun. contoh aset ini adalah jentera, baka ternakan, dan lain-lain. secara relatifnya, aset ini tidak digunakan untuk dijual tetapi kebiasaannya ia digunakan untuk menghasilkan barangan lain. contoh aset pertengahan adalah jentera. bagi aset tetap, aset ini melibatkan nilaimkecairan yang sangat rendah, dan mempunyai tempoh hayat yang sangat panjang iaitu melebihi 10 tahun.contoh aset ini adalah tanah dan bangunan.

dari segi liabiliti,ia merupakan satu tanggunganatau hutang yang dibuat oleh perniagaan daripada orang lain. liabiliti adalah termasuk liabiliti semasa (dibayar dalam tempoh satu tahun dari tarikh kunci kira-kira), liabiliti pertengahan (dibayar dalam tempoh dua tahun, kadang-kadang mencapai 7 hingga 10 tahun) dan liabiliti jangka panjang (dibayar dalam tempoh melebihi 10 tahun).
perubahan aset dan liabiliti mungkin tidak melibatkan perubahan nilai bersih.

bagi analisis nisbah, ia digunakan untuk mengkaji kedudukan dan kekukuhan kewangan sesuatu perniagaan. nisbah semasa adalah bagi menentukan kecairan perniagaan dan menunjukkan hubungan aset semasa dengan liabiliti semasa. nisbah modal bersih pula untuk menentukan kemampubayaran syarikat. dan nisbah hutang-ekuiti untuk menunjukkan hubungan modal dipinjam dengan modal yang dimiliki.

Anonymous said...

assalamualaikum....105449

Aset merangkumi wang tunai, akaun bank, barang-barang berharga seperti barang kemas atau barangan antik, pelaburan sedia ada seperti saham atau unit amanah dan aset tetap seperti rumah atau hartanah.
Nilai bersih simpanan menggambarkan kedudukan kewangan kita. Untuk mengira nilai bersih simpanan, kita perlu menyenaraikan semua aset dan tanggungan. Kemudian tolak tanggungan daripada aset untuk mendapat nilai bersih simpanan.
Tanggungan pula termasuklah sebarang pinjaman (untuk membeli kereta, rumah, malah pinjaman daripada keluarga dan kawan-kawan), kad kredit dan sebarang hutang lain jika ada.perubahan aset dan liabiliti mungkin tidak melibatkan perubahan nilai bersih.
Jika selepas dikira, nilai bersih adalah negatif, bermakna anda belum mampu melabur. Lupakan sahaja soal pelaburan buat sementara waktu dan berusaha supaya nilai bersih wang anda bertukar positif. Sebaliknya, jika nilai bersih adalah positif, perlu pula dilihat sama ada ia mencukupi untuk memenuhi semua keperluan akan datang. Mungkin jumlahnya perlu ditingkatkan supaya lebih banyak boleh dilaburkan.
sekian.........

Anonymous said...

salam... ( 106096 )

aset merupakan harta yang dimiliki oelh individu atau organisasi yang mana ia berfungsi sebagai pegangan semasa dan masa depan. aset dibahagikan kepada aset semasa, aset pertengahan, dan aset tetap.
Aset merangkumi wang tunai, akaun bank, barang-barang berharga seperti barang kemas, pelaburan sedia ada seperti saham atau unit amanah dan aset tetap seperti rumah atau hartanah.

Nilai bersih menunjukkan baki jumlah wang yang dimiliki oleh pemilik perniagaan sekiranya semua aset dijual dan semua liabiliti dibayar pada tarikh kunci kira-kira. Nilai bersih diperolehi dengan “jumlah aset tolak jumlah liabiliti”. Maksudnya, nilai bersih ialah wang sendiri yang dilaburkan oleh pemilik dalam perniagaan tersebut, dan nilai itu dicatatkan sebagai liabiliti kerana ia merupakan tuntutan pemilik terhadap perniagaan tersebut.

Nilai bersih perniagaan hanya berubah jika pemilik perniagaan menambah modal sendiri dalam perniagaannya (menambah nilai bersih), atau mengeluarkan modal untuk memenuhi perbelanjaan untuk sara hidup keluarga (mengurangkan nilai bersih), atau jika perniagaan mengalami kerugian (mengurangkan nilai bersih). Kebanyakan urus niaga perniagaan hanya merubah kandungan aset dan liabiliti tetapi tidak nilai bersihnya.

saya bersetuju dengan 105449 , Jika selepas dikira, nilai bersih adalah negatif, bermakna kita masih belum mampu untuk melabur dan bermaksud kita perlulah mengetahui lebih banyak mengenai hal2 berkaitan dengannya.sekian...

Anonymous said...

salam Dr...(105829)

Aset boleh dijual untuk mencipta tunai.ia boleh digunakan untuk mengeluarkan barangan yang boleh dijual bagi menghasilkan pendapatan tunai pada masa hadapan. Terdapat dua jenis aset iaitu aset semasa dan aset tetap. Aset tetap kurang cair dan tempoh hayatnya lebih dari 10 tahun. Contoh aset tetap ialah tanah.
Bagi liabiliti pula, terdapat dua jenis liabiliti iaitu liabiliti semasa dan liabiliti jngka panjang. Bagi analisis nisbah, kunci kira-kira kerap dianalisis dengan menggunakan analisis nisbah untuk mengkaji kedudukan dan kekukuhan kewangan sesuatu perniagaan.

Anonymous said...

dr..seperti yang kita ketahui aset boleh dijual untuk mencipta tunai @boleh digunakan ntuk mgeluarkan barangan yang boleh dijual bg menghasilkan pendapatan pada masa hadapan...105503

Anonymous said...

assalamualaikum..

dalam akaun perniagaan terdapat dua jenis item iaitu aset dan liabiliti.aset terbahagi kepada dua iaitu aset semasa dan tetap dan liabiliti juga terbahagi kepada dua iaitu liabiliti semasa dan liabiliti jangka panjang.

aset dan liabiliti melambangkan sesebuah perniagaan itu mempunyai cagaran sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang tidak diingini. oleh itu, sesebuah firma yang ingin memulakan perniagaan haruslah mengambil kira aset dan liabiliti sebelum sesuatu perniagaan itu ingin dijalankan..

..101766..

Anonymous said...

Nilai bersih adalah amat penting dalam menentukan segala yang sepatutnya dimiliki pemilik perniagaan tersebut. Nilai bersih yang disemak hanya setahun sekali haruslah dilakukan dengan sangat cermat kerana sekiranya data yang tidak betul dimasukkan dalam kunci kira-kira, maka equiti pemilik akan berlainan. Harga asal barangan dicatatkan. Ini adalah mengikut “Historical cost principle”. Tujuan utama nisbah-nisbah yang dinyatakan dalam artikel Dr. adalah penting untuk menentukan sama ada syarikat mempunyai tunai di tangan. Tunai di tangan membolehkan syarikat tersebut membayar hutang. Dalam perniagaan tani, inventori barangan yang banyak kuantitinya adalah tidak begitu menggalakkan. Hal ini kerana barangan perniagaantani adalah perishable. Hal ini akan merugikan pengeluar sahaja. Tetapi jika ada perancangan yang betul, maka dapatlah jimat banyak kos pembaziran.

105971

Anonymous said...

100849

salam Dr.

Nisbah hutang-ekuiti atau nisbah leveraj menunjukkan perkaitan di antara modal yang dipinjam dengan modal yang dimiliki.Nisbah hutang-ekuiti juga menunjukkan pemilikan bagi sesebuaah perniagaan. Sekiranya 60 % pembiayaan bagi sesebuah perniagaan itu datangnya dari pembiayaan hutang ( contohnya bank), maka 60% dari perniagaan itu dimiliki oleh pihak bank sehinggalah hutang tersebut dijelaskan. Sekiranya firma mengalami masalah dan rugi teruk dan tidak mampu membayar hutang, maka pihak pemiutang (bank) boleh mengambil alih perniagaan tersebut.

Anonymous said...

100849
Jumlah asset semasa seperti akaun belum terima (account receivable) terhasil kerana pelanggan telah diberi kemudahan pembelian secara kredit. Pada pendapatsaya,ini adalah satu cara untuk menarik pelanggan yang tidak mampu membayar terus secara tunai dalam jumlah yang besar. Namun, sekiranya terlalu banyak jumlah akaun belum terima pasti akan mendatangkan masalah kepada firma seperti kekurangan aliran tunai dan hutang lapuk, oleh itu salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menggalakkan pelangan membayar dengan cepat ialah dengan pemberian diskaun sekiranya mereka membayar dalam tempoh tertentu. Contohnya 2/10, n/30, ia bermaksud pelanggan akan mendapat diskaun 2% dari jumlah pembelian sekiranya bayaran dibuat dalam tempoh 10 hari.

Anonymous said...

104290

salam...dr,terima kasih di atas artikel dr berkaitan item-item yang terdapat dalam penyata kewangan.ia telah memberikan saya maklumat yang lengkap tentang penyata kewangan.tq
104290

Anonymous said...

salam dr..
106088

Kunci kira-kira ialah gambaran penyata kewangan syarikat pada masa tertentu. Jika kunci kira-kira bertarikh, setakat 31 Disember 2001, bermakna pada hari itu, pada tahun itu, itulah penyata kewangannya. Penyata ini berbeza pada hari seterusnya, atau tahun berikutnya. Kunci kira-kira mendedahkan nilai aset syarikat. Dengan membandingkan aset semasa dan liabiliti semasa, hasil lebihan merupakan petunjuk kepada kecairan syarikat dan kemampuan untuk membayar bil pada masanya. Walau bagaimanapun, syarikat boleh memanipulasikan pengkategorian liabiliti dan aset hinggakan syarikat yang mengalami masalah kewangan pun sering melaporkan nisbah semasa (aset semasa/liabiliti semasa) yang kukuh.
Mengapa penting mengetahui angka-angka ini? Nisbah antara pelbagai sumber kewangan penting dalam menaksir risiko yang diambil oleh pengarah untuk membiayai syarikat. Cara paling mudah untuk memahami ialah peratusan ekuiti pemegang saham tambah kepentingan minoriti menghasilkan jumlah pembiayaan. Ini dipanggil nisbah ekuiti dan ia menunjukkan kepada pemberi pinjam dan pembekal berapa banyak yang ada dalam bentuk pendanaan pemegang saham. Nisbah ekuiti yang melebihi penerimaan minimum umum sebanyak 40% menunjukkan bahawa syarikat itu mempunyai penggearan rendah dan oleh itu tidak mengambil risiko kewangan berlebihan. Semakin rendah nisbah ekuiti, semakin tinggi penggearan dan semakin besar risiko kewangan yang diambil oleh syarikat. Walau bagaimanapun, penting untuk membuat perbandingan dengan perkembangan semasa dalam perniagaan. Bagaimana prestasi syarikat lain dalam perniagaan? Adakah syarikat-syarikat lain juga sama rendah atau tinggi penggearannya?
Mengkaji aset
Harta tanah, loji dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan barangan yang biasanya menyebabkan kos yang tinggi seperti susut nilai dan penyenggaraan, dan jika peratusan aset tersebut daripada jumlah aset menghasilkan angka yang tinggi, ini bermakna perniagaan syarikat akan dipengaruhi oleh turun naik dalam kitaran perniagaan.
Pelaburan jangka panjang ialah pelaburan syarikat dalam perniagaan lain dalam bentuk saham, pinjaman dan instrumen kewangan lain dan ia menjadi tunai terikat. Umumnya, peningkatan jumlah yang besar dalam pelaburan jangka panjang memerlukan penyiasatan lanjut mengapa syarikat ini memperoleh aset sedemikian.
Aset lain (atau inventori), penghutang dan bayaran terdahulu merupakan aset hari ke hari yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan. Tahap berlebihan saham dan penghutang menunjukkan bahawa syarikat mempunyai masalah dagangan dan pungutan. Angka ini perlu dibandingkan dengan hasil tahunan. Jika hasil tahunan jatuh berbanding tahun sebelumnya manakala saham dan penghutang meningkat, mungkin terdapat masalah aliran tunai. Jumlah besar lebihan tunai boleh memberikan pelbagai gambaran, salah satu daripadanya ialah syarikat telah meminjam wang daripada institusi kewangan seperti bank. Apa kegunaan wang tersebut?
Umumnya, maklumat daripada kunci kira-kira memberi kita gambaran tentang penggearan syarikat. Adakah syarikat beroperasi melalui terlalu banyak wang pinjaman? Berapa banyak aset terikat dan berapa banyak kecairan? Adakah saham dan penghutang lebih banyak berbanding hasil diterima?