Total Pageviews

Wednesday, September 18, 2013

Kadar pertukaran matawang asing Malaysia

Pasaran Pertukaran Asing

Kadar pertukaran asing dimaksudkan sebagai matawang sesebuah negara yang disebut dalam matawang negara lain. Contohnya matawang Ringgit Malaysia disebut dalam nilai matawang Dollar Amerika Syarikat, Dollar Singapura, Baht Thailand, Rupiah Indonesia, Yen Jepun dan lain-lain matawang lagi.  Nilai matawang sesebuah negara adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran matawang negara tersebut sendiri. Apabila individu atau firma asing membeli barangan Malaysia, penawaran matawang asing untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia terjadi.  Begitu juga, apabila individu atau firma Malaysia ingin membeli barangan atau perkhidmatan asing, permintaan terhadap matawang asing akan berlaku.

Pertukaran asing pula dimaksudkan sebagai matawang sesebuah negara yang dipegang oleh rakyat negara lain dalam bentuk matawang atau deposit.  Rakyat asing yang memegang Ringgit Malaysia mestilah menyimpannya di dalam Bank yang ada berurusan dengan Malaysia atau meminjamkannya kepada firma atau kerajaan Malaysia.  Mereka memberi pinjaman kepada firma atau kerajaan Malaysia dengan membeli alat hutang firma atau alat hutang kerajaan Malaysia seperti bil-bil perbendaharaan dan bon. Rakyat asing yang memiliki Ringgit Malaysia boleh juga menggunakan wang tersebut untuk membuat pelaburan terus di Malaysia dengan membeli harta di Malaysia seperti membeli hartanah dan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. 
          
Permintaan matawang Ringgit Malaysia sebagai Pertukaran Asing bergantung kepada permintaan rakyat asing kepada barangan dan perkhidmatan Malaysia dan keinginan rakyat asing menyimpan Ringgit Malaysia mereka sebagai tunai atau deposit untuk membeli hartanah, saham, bon dan lain-lain aset di Malaysia.  Penawaran matawang Ringgit Malaysia pula bergantung kepada keinginan pengguna, firma dan kerajaan Malaysia menukar matawang Ringgit Malaysia mereka kepada matawang asing.  Keadaan ini bergantung kepada permintaan Malaysia kepada barangan asing dan keinginan rakyat Malaysia menukar matawang Ringgit Malaysia kepada matawang asing untuk membeli hartanah, saham, bon dan lain-lain aset di negara lain. Apabila lebih rendah nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat, lebih rendahlah kos membeli barangan Malaysia oleh pemegang matawang Dollar Amerika Syarikat. Sebagai contoh, harga semasa sebuah kereta Proton Wira yang dibuat di Malaysia ialah RM50,000. Jika kadar pertukaran semasa ialah US$0.4 untuk setiap Ringgit Malaysia (atau RM2.50 = US$1), penduduk Amerika Syarikat akan membayar US$20,000 untuk membeli kereta tersebut.  Katakanlah pada masa sekarang kadar pertukaran ialah US$0.2 untuk setiap Ringgit Malaysia (atau RM5.00 = US$1), maka penduduk Amerika Syarikat cuma perlu membayar US$10,000 untuk mendapatkan kereta tersebut. Maksudnya lebih rendah harga matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, lebih rendahlah harga barangan, perkhidmatan, dan aset Malaysia dalam sebutan matawang asing tersebut.  Seterusnya apa yang sepatutnya berlaku ialah lebih banyak jugalah permintaan barangan Malaysia oleh negara yang mengalami kenaikan nilai matawang tersebut.  Keluk permintaan Ringgit Malaysia untuk matawang asing cerun kebawah dari kiri ke kanan.
            
Penawaran terhadap Ringgit Malaysia sebagai pertukaran untuk matawang asing, seperti Dollar Amerika Syarikat, bergantung kepada keinginan mereka yang memiliki matawang Ringgit Malaysia untuk membeli matawang Dollar Amerika Syarikat. Penawaran matawang Ringgit Malaysia untuk Dollar Amerika Syarikat boleh berlaku apabila rakyat Malaysia membeli barangan dan perkhidmatan Amerika Syarikat atau melabur di dalam sektor kewangan atau hartanah Amerika Syarikat.  Apabila lebih tinggi nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat, maka lebih banyaklah Ringgit Malaysia ditawarkan untuk mendapatkan Dollar Amerika Syarikat.  Keadaan ini menyebabkan lebih tinggilah kos membeli barangan Malaysia oleh pemegang matawang Dollar Amerika Syarikat. Sebagai contoh, harga semasa sebuah komputer yang dibuat di Amerika Syarikat ialah US$1,600. Jika kadar pertukaran semasa ialah US$0.4 untuk satu Ringgit Malaysia (atau RM2.50 = US$1), penduduk Malaysia akan membayar RM4,000 untuk membeli komputer tersebut.  Katakanlah pada masa sekarang kadar pertukaran ialah US$0.5 untuk satu Ringgit Malaysia (atau RM2.00 = US$1), maka penduduk Malaysia cuma perlu membayar RM3,200 untuk mendapatkan komputer tersebut.  Keadaan ini menyebabkan harga komputer dan lain-lain barangan Amerika Syarikat menjadi lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia. Keadaan ini boleh menyebabkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dari Amerika Syarikat.

Akan tetapi, apabila lebih tinggi harga matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, bererti lebih mahallah harga barangan, perkhidmatan, dan aset Malaysia dalam sebutan matawang asing tersebut. Sebaliknya lebih murah pula harga harga barangan tersebut dalam sebutan Ringgit Malaysia. Seterusnya apa yang sepatutnya berlaku ialah lebih banyak jugalah permintaan barangan luar negeri oleh penduduk Malaysia, dan semakin kurang pula permintaan barangan Malaysia oleh penduduk luar negeri. Keluk penawaran Ringgit Malaysia untuk matawang asing cerun ke atas dari kiri ke kanan. 

Penentu-penentu Perubahan Nilai Kadar Pertukaran Matawang Asing: 

Sepertimana yang telah diterangkan, permintaan terhadap Ringgit Malaysia oleh individu atau ahli-ahli perniagaan asing bergantung kepada keinginan individu atau ahli-ahli perniagaan menggunakan matawang Ringgit Malaysia untuk membeli barangan dan perkhidmatan Malaysia atau melabur di dalam sektor kewangan atau hartanah Malaysia.

Kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia kebiasaannya akan berubah mengikut pelbagai keadaan ekonomi yang boleh mempengaruhi permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran pertukaran asing. Enam faktor utama yang boleh mempengaruhi permintaan dan penawaran Ringgit Malaysia adalah permintaan negara asing terhadap eksport Malaysia, permintaan Malaysia terhadap import, jangkaan nilai matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing, keuntungan dari pelaburan terus dalam aktiviti perniagaan dan hartanah di Malaysia berbanding dengan keuntungan aktiviti pelaburan tersebut di tempat lain, tingkat harga umum di Malaysia berbanding dengan tingkat harga umum di negara asing, dan kadar bunga di Malaysia berbanding dengan di negara lain.

a)      Permintaan Negara Asing Terhadap Eksport Malaysia

Sekiranya pengimport dari Amerika Syarikat meningkatkan import barangan elektronik dari Malaysia tanpa mengurangkan permintaan terhadap lain-lain barangan Malaysia, permintaan Amerika Syarikat terhadap Ringgit Malaysia akan meningkat. Peningkatan permintaan terhadap Ringgit Malaysia akan menyebabkan keluk permintaan Ringgit Malaysia beralih ke kanan. Keadaan ini akan menyebabkan kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat akan turut meningkat.
            
Kenaikan permintaan luar negeri terhadap eksport Malaysia boleh disebabkan oleh kenaikan pendapatan benar negara-negara pengimport barangan Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan import negara tersebut akan bertambah. Keadaan sebaliknya akan berlaku sekiranya pendapatan negara-negara yang banyak berdagang dengan Malaysia mengalami kejatuhan ekonomi, keadaan ini akan menyebabkan permintaan import negara-negara tersebut akan berkurangan.

b)      Permintaan Malaysia Terhadap Import

Kenaikan permintaan import Malaysia pula akan menyebabkan penawaran matawang Ringgit Malaysia di pasaran pertukaran asing meningkat. Contohnya jika permintaan Malaysia terhadap perisian komputer yang diimport dari Amerika Syarikat bertambah, keadaan ini akan menyebabkan pertambahan penawaran Ringgit di pasaran pertukaran asing. Ini akan menyebabkan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat. 
            
Andaikan permulaannya kadar pertukaran Dollar Amerika Syarikat dengan Ringgit Malaysia ialah US$0.4 bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia (atau RM2.50 =US$1). Kemudiannya apabila penawaran Ringgit Malaysia bertambah kesan dari peningkatan import oleh pengilang-pengilang di Malaysia, kadar pertukaran menjadi US$0.3 bersamaan satu Ringgit Malaysia (atau RM3.33 = US$1). Faktor utama yang boleh menyebabkan peningkatan permintaan Malaysia terhadap barangan import ialah peningkatan pendapatan benar di Malaysia. Di samping itu, dasar-dasar kerajaan seperti meningkatkan penggunaan Teknologi Maklumat, pembinaan bangunan-bangunan baru dan dasar industri berat telah juga menyebabkan peningkatan import. Ini kerana komputer, perisisan komputer, barangan perantaraan dan barangan modal yang diperlukan untuk mencapai dasar yang ditetapkan masih banyak yang diimport dari luar negeri.

Keadaan sebaliknya akan berlaku apabila terjadi kejatuhan permintaan Malaysia terhadap barangan import.  Contohnya untuk memperbaiki imbangan pembayaran, kerajaan Malaysia boleh membuat dasar mengurangkan import barangan dari Amerika Syarikat. Keadaan ini akan menyebabkan kejatuhan penawaran Ringgit Malaysia di pasaran kewangan dan menyebabkan kenaikan semula nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat.

c)      Ramalan Nilai Matawang Ringgit Malaysia Dalam Sebutan Matawang Asing

Permintaan dan penawaran sesuatu matawang juga dipengaruhi oleh ramalan perubahan kadar pertukaran sesuatu matawang di masa hadapan oleh mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi matawang.  Jika nilai matawang Ringgit Malaysia diramalkan akan meningkat pada masa hadapan, maka permintaan matawang Ringgit Malaysia akan meningkat pada masa sekarang, menyebabkan nilai matawang Ringgit Malaysia tertekan untuk meningkat nilainya dalam sebutan matawang asing. Sebaliknya apabila diramalkan nilai matawang Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing akan merosot pada masa hadapan, permintaan semasa Ringgit Malaysia akan merosot dan terjadilah tekanan untuk matawang Ringgit merosot nilainya.  

Jika dijangkakan nilai matawang Ringgit Malaysia akan meningkat, penawaran matawang Ringgit Malaysia akan jatuh. Pengimport-pengimport Malaysia akan menangguhkan pembelian barangan dari negara luar sehinggalah kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia benar-benar meningkat nilainya.  Ini kerana peningkatan dalam nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan matawang asing akan menyebabkan nilai matawang asing lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia. Seterusnya keadaan ini menyebabkan barangan dari negara asing menjadi lebih murah dalam sebutan Ringgit Malaysia.

Mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi akan cuba mengambil keuntungan dari ketidakstabilan nilai sesuatu matawang. Contohnya di Malaysia, pada bulan September tahun 2013 berlaku kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat. Nilai matawang Ringgit Malaysia telah merosot dari kepada US$0.304 = RM1 (atau US$1 = RM3.30)

Keyakinan para pelabur dan mereka yang terlibat di dalam aktiviti spekulasi adalah penting kerana apabila mereka kurang yakin dengan kekukuhan sesuatu matawang, mereka akan melepaskan lebih banyak matawang tersebut dan membeli matawang yang lebih kukuh nilainya.  Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi ramalan mereka yang terlibat dalam spekulasi matawang. Di antaranya ialah anggapan bahawa matawang sesebuah negara terlebih nilai, menyebabkan mereka melepaskan pegangan matawang yang terlebih nilai tersebut, seterusnya menjatuhkan nilai matawang itu. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi keputusan spekulator matawang ialah keyakinan pelabur terhadap sistem perbankkan sesebuah negara, ketelusan dan kecekapan sistem kewangan, dasar kerajaan terhadap ekonomi, dan anggapan mengenai kesilapan atau kelemahan kerajaan dalam menguruskan dasar ekonomi. Dalam isu terkini, kejatuhan matawang ringgit berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat dikaitkan dengan penjualan semula bon-bon yang di beli oleh pelabur Amerika Syarikat dari pasaran bon di Malaysia. Keadaan inibukan hanya terjadi di Malaysia, tetapi juga di India, Indonesia dan Thailand.

Persoalan yang timbul ialah adakah keadaan yang berlaku di atas akan berterusan, iaitu nilai Ringgit Malaysia akan terus merosot. Mengikut hipotesis pariti kuasa beli yang menerangkan perkaitan di antara harga di dalam negeri berbanding dengan harga barangan tersebut di pasaran asing melalui kadar pertukaran asing, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia tidak akan terus berkekalan berlaku. Ini kerana apabila nilai Ringgit Malaysia lebih rendah dari kadar pariti kuasa beli, mereka yang terlibat dengan aktiviti spekulasi akan merasakan negara pengimport barangan Malysia akan meningkatkan import barangan Malaysia kerana harganya yang lebih murah dalam sebutan Dollar Amerika Syarikat. Mereka yang terlibat dalam aktiviti spekulasi ini seterusnya akan membeli Ringgit Malaysia kembali dan nilai Ringgit Malaysia akan kembali meningkat. Dengan demikian adalah jelas kerajaan perlu mengujudkan persekitaran yang menyakinkan supaya krisis ekonomi tidak terjadi akibat dari kejatuhan nilai matawang.

d)   Keuntungan Dari Pelaburan Terus Dalam Aktiviti Perniagaan Dan Hartanah Di Malaysia Berbanding Dengan Keuntungan Aktiviti Pelaburan Tersebut Di Tempat Lain

Rakyat negara asing juga meminta matawang Ringgit Malaysia untuk membeli saham di Bursa Saham Kuala Lumpur, sektor hartanah di Malaysia, dan lain-lain aset di Malaysia. Apabila keuntungan membeli aset di Malaysia lebih menguntungkan berbanding dengan membeli aset dari negara lain, permintaan terhadap Ringgit Malaysia untuk membuat pelaburan sedemikian akan bertambah, seterusnya menyebabkan peningkatan kepada nilai Ringgit Malaysia. Pada masa yang sama penduduk Malaysia sendiri akan lebih berminat membuat pelaburan saham dan hartanah di Malaysia berbanding dengan di negara asing. Keadaan ini akan menyebabkan penawaran Ringgit  jatuh dan meningkatkan lagi nilai Ringgit Malaysia.


e)   Tingkat Harga Umum Di Malaysia Berbanding Dengan Tingkat Harga Umum Di Negara Asing.

Jika harga barangan buatan Malaysia seperti kasut, pakaian dan peralatan elektrik secara keseluruhannya meningkat sebanyak 10 peratus, ini bererti pada nilai kadar pertukaran yang sama harga barangan Malaysia turut meningkat sebanyak 10 peratus di negara pengimport. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan barangan Malaysia oleh rakyat asing akan merosot, yang mana akan menjatuhkan permintaan terhadap Ringgit Malaysia. Seterusnya berlakulah penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia. Begitu juga kenaikan tingkat harga umum (disebut sebagai inflasi) di Malaysia berbanding dengan tingkat harga umum di negara lain akan menyebabkan barangan keluaran negara lain menjadi lebih murah berbanding dengan barangan keluaran Malaysia. Keadaan ini akan menyebabkan permintaan barangan dari negara asing oleh rakyat Malaysia bertambah, yang mana menyebabkan peningkatan penawaran Ringgit Malaysia. Seterusnya berlaku juga penurunan nilai matawang Ringgit Malaysia.

f)   Kadar Bunga Di Malaysia Berbanding Dengan Di Negara Lain

Keinginan rakyat asing memegang harta kekayaan dalam sebutan Ringgit Malaysia bergantung kepada kepada kadar bunga yang boleh diperolehi dari harta yang disimpan dalam sebutan Ringgit Malaysia tersebut. Lebih tinggi kadar bunga, lebih tinggi jugalah permintaan oleh rakyat asing untuk menyimpan harta mereka di Malaysia dalam sebutan Ringgit Malaysia.  Keadaan ini akhirnya akan meningkatkan lagi nilai matawang Ringgit Malaysia. Bagi rakyat Malaysia pula, kadar bunga yang tinggi akan menyebabkan pelabur-pelabur Malaysia lebih berminat menyimpan wang mereka di institusi kewangan di dalam negara. 

RUMUSAN


Bagi sebuah negara yang kecil seperti Malaysia, sistem ekonominya adalah terbuka kepada keadaan ekonomi antarabangsa. Dasar Malaysia untuk memperkembangkan asas industri dari tertumpu kepada industri kecil dan sederhana kepada industri berat telah menyebabkan pengimportan barang modal dan barangan perantaraan yang begitu besar jumlahnya pada tahun-tahun 1990an.  Usaha-usaha perlu dibuat untuk memperbaiki Imbangan Pembayaran kerana apabila Imbangan Pembayaran mengalami defisit yang keterlaluan, wujud pula masalah seperti kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia. Didapati pada masa kini aktiviti spekulasi matawang mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pasaran kewangan dunia. Liberalisasi dalam sistem kewangan yang menyebabkan pengurangan atau penghapusan sepenuhnya kawalan kewangan menyebabkan ada organisasi antarabangsa yang mendapatkan keuntungan dari aktiviti spekulasi matawang telah menimbulkan ketidakstabilan ekonomi negara-negara di Asia Tenggara.  Secara tidak langsung ianya juga menunjukkan keburukan globalisasi sistem kapitalis yang begitu jelas telah mempengaruhi ekonomi negara-negara di dunia sekarang ini. Walau bagaimanapun dengan keadaan sistem ekonomi Malaysia yang mempunyai asas ekonomi yang kukuh seperti kadar inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, kemudahan infrastruktur yang baik, buruh mahir yang ramai dan mudah dilatih, imbangan pembayaran yang kukuh kerana prestasi komoditi utama yang baik dan kestabilan politik telah membolehkan kerajaan dapat bertahan dengan kemelut ekonomi yang berlaku.

9 comments:

lim Jing Ping said...

Jing Ping said:
Jika nilai ringgit Malaysia dalam sebutan Dollar Amerika syarikat menjadi lebih rendah, ia memang akan membawa banyak faedah kepada Malaysia. Namun, ia juga akan membawa kesan yang buruk kepada Malaysia. Jika nilai ringgit Malaysia menurun dari semasa ke semasa, lama-kelamaan Malaysia akan menjadi lebih sukar untuk bersaing dengan negara asing terutamanya dalam sektor ekonomi. Nilai ringgit Malaysia yang menurun akan menyebabkan barang asing relatif menjadi lebih mahal. Pengguna Malaysia akan menghadapi harga barang asing yang tinggi dan kemampuan untuk membeli barang asing akan menurun. Harga barang asing yang lebih mahal akan membawa kesan inflasi dalam Malaysia. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga tiada kemampuan melancong ke luar negara jika nilai ringgit Malaysia sentiasa menurun. Walaupun punurunan nilai ringgit Malaysia dapat membawa banyak faedah kepada Malaysia, tetapi ia juga membawa kesan yang buruk terhadap Malaysia.

Lim Jing Ping 211511

low Siewhoay said...

Pada pendapat saya, nilai wang ringgit Malaysia menjadi tidak stabil pada masa ini, nilai mata wang ringgit sedang menurun. Didapati pada tahun lalu, rm1 boleh menukar ke 10 thai baht tetapi kita hanya boleh mendapat 9.63 thai baht dengan menggunakan rm1 sekarang, nilai mata wang Negara kita sedang merosot, ia telah menghalang warga Malaysia melancong ke negar asing kerana mereka perlu menggunakan lebih banyak ringgit Malaysia tukar ke mata wang asing. Nilai mata wang ringgit telah meningkat beban rakyat Malaysia sekirannya mereka ingin membeli barang import. Contohnya, penyakit yang perlu makan ubat import dari Negara asing, mereka perlu membayar harga lebih tinggi berbanding dengan sebelumnya dan ia meningkat beban mereka pada masa yang sama. Tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan adalah menetapkan kadar pertukaran asing supaya ringgit Malaysia boleh menjadi stabil.

low siew hoay 211578

Hooi Li said...

Pelbagai usaha perlu dilaksanakan untuk memperbaiki imbangan pembayaran supaya tidak mengalami defisit yang keterlaluan yang secara langsungnya mengakibatkan masalah seperti kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia. Oleh itu, kerajaan haruslah menggalakkan export dengan memberi subsidi atau mengurangkan tax kepada peniaga tempatan. Dengan itu, peniaga tempatan mempunyai modal yang lebih untuk melakukan R&D bagi meningkatkan kualiti barangan dan secara langsungnya meningkatkan persaingan barangan di pasaran. Selain itu, kerajaan juga harus sentiasa menjalankan kempen seperti ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia” bagi mengggalakan penduduk tempatan membeli barangan tempatan. Dengan itu,masalah kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia dan defisit imbangan pembayaran dapat dikurangkan.

Puah Hooi Li 211395

ayue said...

kerajaan perlu mempertingkatkan dasar yang sedia ada untuk membaiki imbangan pembayaran negara. ini kerana barangan import kadang-kadang lebih murah berbanding barangan tempatan. ini menyebabkan pengguna lebih gemar membeli barangan import berbanding barangan tempatan. ini dapat menjejaskan lagi imbangan pembayaran dengan kemerosotan nilai mata wang rm. kerajaan seharusnya memikirkan cara untuk pasaran tempatan menembusi pasaran antarabangsa bagi mengukuhkan nilai mata wang RM seperti barangan yang dikeluarkan di malaysia berkualiti tinggi dan bermutu setanding dengan barangan import.kebanyakan pengguna membeli barangan import kerana lebih bermutu dan murah.ini merupakn salah satu penyebab mengapa saban hari ekonomi malaysia semakin menurun.sebagai contoh, kerajaan menyediakan kereta yang berkualiti dan penuh dengan ciri-ciri keselamatan apabila dijual di pasaran antarabangsa tetapi di pasaran tempatan tidak sekualiti barangan tempatan yang dijual di arena antarabangsa.ini menyebabkan pengguna memilih untuk membeli kereta import benbanding kereta tempatan.
norhidayu naseri 212308

yamashiro91 said...

Menurut Agribussiness Management fourth management yang menyatakan bahawa perdagagan pertanian lebih sensitif terhadap tukaran matawang asing disebabkan oleh barang pertanian yang hampir sepunya(international Agribussiness, hlmn 111, barnard et al). Jika dengan keadaan kritikal yang berlaku pada dollar kepada Amerika, bukankah bermaksud ia mampu mengugat industri pertanian export.

abdul azim s204152

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Masla berkata, nilai ringgit telah meningkat sebanyak 18.9peratus berbanding dolar Us pada 18 Nov 2013 sejak Malaysia beralih kepada sistem kadar pertukaran apungan terurus (managed float) pada julai 2005. Langkah-langkah dilakukan oleh kerajaan adalah mengukuhkan permintaan dalam negeri termasuk penggunaan dan pelaburan swasta serta kerajaan. Pengkukuhan sistem kewangan melalui perbankan yang berdaya tahan serta pasaran bon domestik yang lebih pelbagai dan meluas selain mengukuhkan paras rizab antarabangsa berjumlah AS 137,1 BILLION(RM446.2 BIL) yang cukup membiayai 9.7 bulan import tertangguh. Langkah yang lain adalah mengkukuhkan eksport dengan memebina produk perusahaan kecil dan sederhana yang lebih pelbagai dan berkualiti serta mencari pasaran baharu di luar negara.
SIN KIN MUN 211373

Abd Rahim Osman said...

Bukan payah pun nak mengurangkan import barangan daripada luar, kerajaan sedangpun sedang melakukan dengan meningkatkan jumlah usahawan2 agar Malaysia mampu mengeluarkan barangan sendiri tanpa bergantung kepada negara lain...
Kerajaan juga perlulah mengeluarkan produk yg betul-betul mampu bersaing dgn negara luar, bukannya dengan menaikkan kadar duti import yang ditanngung rakyat demi menjaga produk tempatan seperti Kereta Proton.. kalu industri Kereta tak mampu bersaing disebabkan kos yang mahal maka hasilkanlah produk2 yang kos rendah tapi dengan kuantiti yang agar kos perunit dapat dikurangkan..

Rithi Pathak said...

check here all latest Happy New Year 2015 HD Wallpapers |  Advance Wishes for Merry Christmas 2014 | Best Ever Christmas wishes | Happy New Year 2015 SMS in Hindi