Total Pageviews

Sunday, August 11, 2013

Ukuran pencapaian program pembasmian kemiskinan

Artikel saya sebelum ini membincangkan kepentingan keseimbangan agihan pendapatan berbanding dengan peningkatan pendapatan (pada 27 Julai 2013) dan strategi yang dibuat untuk mencapai keseimbangan agihan pendapatan melalui program-program pembasmian kemiskinan (pada 30 Julai 2013). Kali ini saya ingin membincangkan ukuran pencapaian program yang dilaksanakan dan mengapa ukuran mengunakan teknik baru ini lebih relevan dan sesuai berbanding dengan ukuran peningkatan pendapatan semata-mata.

Ukuran pencapaian yang boleh digunakan untuk mengukur kejayaan sesuatu program yang kebiasaannya digunakan oleh penyelidik ialah perubahan tingkat pendapatan penerima sesuatu program tersebut. Walau bagaimanapun pengukuran pendapatan bukanlah suatu kaedah pengukuran yang baik. Kebiasaannya orang tidak suka memberikan maklumat pendapatan mereka yang sebenar atas pelbagai alasan. Antaranya takut tidak menerima bantuan di masa hadapan atau menghadapi kesukaran untuk mengukur perubahan pendapatan. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah menggunakan pengukuran keuntungan perniagaan, kesejahteraan hidup, perbelanjaan harian atau perubahan dari segi pemilikan aset kehidupan. Aset kehidupan yang dimaksudkan ialah modal fizikal (seperti pemilikan tanah, barang-barang dalam rumah seperti komputer, kemudahan internet, perabut, tv, peti ais, bilangan bilik, kereta, motorsikal, bilik air dan alat hawa dingin, jentera dan barang-barang yang boleh diniagakan), modal kewangan (wang tunai, simpanan dan pelaburan), modal manusia (tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman) dan modal semulajadi (seperti keadaan persekitan yang bebas dari pencemaran, kejadian jenayah, keharmonian kehidupan dan persekitaran yang baik).

Perbincangan pengukuran kejayan program peningkatan pendapatan dan seterusnya pengurangan kadar kemiskinan untuk topik ini akan mengunakan penemuan kajian terhadap penanam padi di kawasan perairan Muda (MADA) dan penerima bantuan keusahawanan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Indikator indeks kehidupan lestari petani di kawasan MADA

Pemilikan rumah dan alat kelengkapan rumah. Hampir kesemua petani didapati memilik rumah sendiri, bekalan air paip, elektrik, peti ais dan televisyen. Majoriti petani didapati memiliki sofa, radio, telefon talian mudah alih, mesin basuh, dapur gas dengan ketuhar dan set meja makan. Manakala, bagi alat kelengkapan Teknologi Maklumat (ICT) seperti internet dan komputer, peratus pemilikan adalah rendah (kurang daripada 11%). 

Pendapatan. Adalah didapati bahawa petani di Projek Ladang Contoh mempunyai nilai purata jumlah pendapatan ketua isi rumah yang tertinggi, mencapai RM2,887 sebulan, manakala, petani projek lain-lain pendapatan puratanya ialah RM2,264 sebulan. Majoriti pendapatan ini datang dari hasil pertanian. Sisihan piawai nilai purata jumlah pendapatan ketua isi rumah adalah agak tinggi, sejumlah RM1,437. Dari segi jumlah pendapatan bukan pertanian, petani projek ladang contoh mempunyai nilai purata tertinggi, iaitu RM1,107 sebulan. Faktor umur, pendidikan, kemahiran dan peluang pekerjaan sampingan mempengaruhi penglibatan petani dalam aktiviti kerja sampingan

Kepuasan dan kegembiraan hidup. Sama ada di dalam atau di luar projek, petani didapati berpuas hati dengan dimensi kesihatan fizikal, kualiti alam sekitar, kegiatan istirehat bersama keluarga, hidup kerja dan keselamatan awam di tempat tinggal. Tambahan pula, dari dimensi kegembiraan hidup, petani (sama ada di dalam atau di luar projek) juga menunjukkan tahap kegembiraan yang tinggi terhadap kehidupan, kesihatan diri dan keluarga, kewangan dan hubungan rakan sekerja.

Pendapatan pertanian dan kesan subisdi

Pendapatan Pertanian. Petani-petani yang menyertai projek 10 Tan, Estet Padi dan Ladang Contoh, didapati mempunyai pendapatan pertanian yang lebih tinggi berbanding dengan di luar projek. Pendapatan petani di projek Ladang Contoh lebih tinggi sebanyak RM206 sebulan berbanding dengan pendapatan petani di luar projek. Begitu juga, pendapatan petani di projek 10 Tan lebih tinggi sebanyak RM129 sebulan, manakala, petani di projek Estet Padi lebih tinggi sebanyak RM46 sebulan berbanding dengan pendapatan petani di luar projek.

Implikasi dasar dari projek MADA

Majoriti petani di kawasan kajian adalah petani berumur, di mana purata umur adalah 57 tahun. Bilangan petani berumur yang ramai menyebabkan program-program pembaharuan seperti penstrukturan penanaman padi sukar dilakukan. Petani berumur kebiasaannya lebih suka kepada perlaksanaan kerja yang telah biasa mereka amalkan. Begitu juga umur yang telah memasuki umur pencen menyukarkan mereka untuk bekerja di luar dari aktiviti penanaman padi, dan usaha-usaha untuk memindahkan mereka dari aktiviti penanaman padi tentu sukar. Disamping itu insentif juga perlu diberi kepada penyewa agar mereka boleh meneruskan kehidupan mereka dalam tempuh masa tertentu sehingga mereka mendapat pekerjaan yang lain. Untuk menggalakkan  mereka keluar dari aktiviti pertanian, kaedah pemberian pendapatan gantian seperti imbuhan bulanan bersesuaian dengan saiz tanah mungkin lebih sesuai dilaksanakan.
           
Kefahaman berkaitan projek yang hendak dijalankan oleh MADA adalah penting kepada petani. Rancangan MADA untuk mempertingkatkan aktiviti pengurusan alternatif seperti Projek Estet Padi boleh menyebabkan petani merasa tergugat dengan kehilangan pendapatan dan sumber pekerjaan. Oleh yang demikian, maklumat dan penerangan kepada petani sebelum sesuatu projek dijalankan adalah baik untuk dilaksanakan.  Petani dijangka lebih bekerjasama sekiranya projek yang dijalankan itu dapat dibuktikan akan memberikan keuntungan kepada mereka.   

Indikator indeks kehidupan lestari projek AIM

Aset Kehidupan seperti modal kewangan adalah penting untuk mewujudkan peluang kepada usahawan kecil-kecilan seperti peserta projek AIM. Lebih-lebih lagi sekiranya modal kewangan secara khusus melibatkan pembiayaan kepada golongan miskin atau berkesejahteraan hidup rendah. Melalui pembiayaan kredit mikro ini mereka yang tidak bekerja akan berusaha untuk bekerja sendiri dan mereka yang telah bekerja sendiri akan dapat mengembangkan lagi aktiviti perusahaan. Sebenarnya melalui pembiayaan mikro kredit secara berterusan ini telah memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menjana kesejahteraan hidup khususnya melalui perusahaan kecil dan sederhana dan memberi harapan untuk keluar dari kemiskinan. Kajian ini hanya memfokuskan kepada kesan pembiayaan mikro ke atas kesejahteraan hidup di kalangan peserta AIM. Secara keseluruhannya penemuan mendapati kesejahteraan hidup daripada aktiviti yang dibiayai oleh AIM menyumbang kepada pengurangan ketaksamarataan kesejahteraan hidupantara peserta isi rumah secara relatif berbanding bukan aktiviti yang dibiayai oleh AIM.

Justeru penyaluran kredit secara konsisten dan prosedur pemantauan yang berkesan telah berjaya mengurang insiden kemiskinan dikalangan peserta AIM. Seharusnya, dengan AIM membesarkan lagi pembiayaan projek ekonomi AIM, akan lebih cenderung mensetarakan kesejahteraan. Dapatan juga menunjukkan sumber kesejahteraan hidup daripada aktiviti di sektor pembuatan dan perubatan telah menyumbangkan kepada pengurangan jumlah peningkatan pendapatan yang begitu ketara. Walau bagaimanapun untuk terlibat dalam aktiviti pembuatan dan perniagaan perkhidmatan seperti perubatan (farmasi) memerlukan kemahiran khusus yang tertentu. Di sini pentingnya peningkatan kualiti modal manusia seperti pendidikan dan latihan.  

Implikasi dasar dari projek AIM

Dari segi implikasi dasar, walau pun dapatan kajian menunjukkan pembiayaan kredit-mikro memberi kesan positif kepada pengurangan kemiskinan, tetapi kajian ini juga mendapati faktor ketegasan institusi yang terlibat dari segi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mengikut masa yang ditetapkan adalah penting untuk memastikan projek kredit mikro ini terus lestari. Di dapati kaedah permohonan pinjaman yang memerlukan sokongan sahabat, bayaran secara kecil-kecilan dan dibuat secara mingguan dan hubungan rapat antara pemautau pinjaman dengan sahabat telah mempengaruhi kelestarian pinjaman AIM. Adalah menarik sekiranya kajian dapat dibuat kepada ciri-ciri aset kehidupan penerima bantuan AIM yang telah berjaya dan menjadi jutawan. Mereka ini tentunya mempunyai ciri-ciri yang tertentu seperti kesesuaian perniagaan yang diceburi dan pemilikan aset kehidupan yang positif dan boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka. Menarik jika kejayan mereka dapat dikongsi bersama dan menjadi teladan kepada penerima pinjaman AIM yang lain. 

3 comments:

Unknown said...

Jing Ping said:
Kemiskinan selalu dilihat dari aspek ekonomi. Hal ini yang menjadi penyebab berbagai program pemberantasan kemiskinan mengalami kegagalan. Walaupun program MARA dilihat sebagai program yang berjaya untuk membasmi kemiskinan, tetapi ia memang juga mempunyai kelemahannya. Ia tidak dapat menarik orang muda masuk ke dalam sektor pertanian. Tambahan pula, didapati kebanyakan petani adalah bangsa melayu. Kebanyakan bangsa cina dan india tidak mahu menceburi diri ke dalam sektor pertanian. Kerajaan perlu menggalakkan orang muda menceburi dalam sektor pertanian. Program mempelajari ICT juga boleh ditawarkan kepada petani supaya mereka dapat pengetahuan atau maklumat terkini.

Lim Jing Ping 211511

Unknown said...

Saya sangat setuju dengan pendapat Tuan bahawa keseimbangan agihan pendapatan adalah lebih penting daripada peningkatan pendapatan. Ini telah pun memperbetulkan tanggapan saya yang salah sebelum ini. Dengan ini, program-program pembasmian kemiskinan memang dikatakan penting bagi mengatasi masalah ketidakseimbangan agihan pendapatan. Pelbagai dasar telah pun dijalankan oleh kerajaan bagi membasmikan kemiskinan di kalangan penduduk terutamnya golongan petani, contohnya projek MADA, projek AIM, projek Ladang, projek 10 Tan dan dasar-dasar yang sebagainya. Dasar-dasar ini mungkin telah meningkatkan kecekapan, produktiviti dan pendapatan bagi petani, tetapi adakah masalah kemiskinan telah dibasmi? Tidak terdapat satu takrif kemiskinan yang khusus yang boleh digunakan untuk semua Negara pada setiap masa tanpa mengambil kira struktur masyarakat dan tahap pembangunan di Negara berkenaan. Secara umumnya konsep kemiskinan boleh dibahagikan kepada dua iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif. Kemiskinan mutlak adalah keadaan dimana seseorang individu atau isi rumah yang tidak berupaya mendapatkan keperluan asas untuk menikmati tahap kesejahteraan hidup yang minimum. Kemiskinan mutlak adalah satu konsep yang menggunakan ukuran piawaian bagi membuat perbandingan tentang keperluan asas manusia. Kemiskinan relatif adalah perbezaan taraf hidup, kesejahteraan atau kebajikan isi rumah berbanding dengan isi rumah yang lain. Kemiskinan relatif sentiasa wujud dan tidak mungkin dapat dihapuskan walaupun bagi Negara-negara maju kecuali terdapat agihan pendapatan yang seimbang. Semakin tinggi ketidaksamaan agihan pendapatan lagi serius masalah kemiskinan relatif walaupun kemiskinan mutlak telah dibasmi sepenuhnya. Dasar yang sesuai untuk mengurangkan insiden kemiskinan relatif ialah memperbaiki agihan pendapatan di kalangan isi rumah. Ukuran agihan pendapatan ialah angkali Gini (Gini Joefficient). Angkali Gini merupakan nisbah yang menunjukkan sejauhmana ketidaksamaan dalam pengagihan pendapatan yang mempunyai nilai dalam linkungan 0 hingga 1. Angkali Gini yang hampir kosong menggambarkan agihan yang semakin setara serta kemiskinan relatif yang rendah. Angkali Gini yang menghampiri satu menunjukkan agihan pendapatan yang tidak setara dan kemiskinan relatif yang tinggi. Dengan cara ini, dasar yang sesuai untuk dijalankan bagi mengatasi masalah kemiskinan dapat diketahui dan dipraktikan.

BOO ZI JIE (211255)

Anonymous said...

The concept of kemiskinan relatif, kemiskinan mutlak and angkali gini as comented by Boo ZJ and the role played by AIM and MADA as discussed in the article have provided very useful resouces for form six students to further their understanding on the cocept of poverty . It is suggested that teachers can use this articles in form six classroom to enhance the teaching and learning of Malaysian economics generally and on poverty specifically.