Total Pageviews

Tuesday, July 30, 2013

Program pembasmian kemiskinan

Isu kemiskinan suatu isu yang penting untuk dikaji. Perbincangan saya kali ini akan merujuk kepada isu kemiskinan, definisi kemiskinan, program-program pembasmian kemiskinan dan keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dijalankan di Malaysia, terutama yang dijalankan oleh MADA, AIM dan TEKUN. Dari segi ekonomi, kemiskinan dimaksudkan sebagai satu golongan masyarakat yang berada di dalam keadaan kekurangan daripada keperluan asas tertentu. Kemiskinan sering dirujuk kepada kekurangan pendapatan, wang, atau modal. Dari segi sosiobudaya, kemiskinan sering dikaitkan dengan budaya kemiskinan dan kemiskinan sikap yang menuntut kepada perubahan sikap positif. Manakala dari segi pendidikan, kemiskinan sering dikaitkan dengan kemiskinan pengetahuan, ilmu dan pelajaran. Keciciran dalam bidang pendidikan boleh menyumbang kepada kemiskinan melalui pencapaian akademik, pekerjaan dan pendapatan yang bergaji rendah. Dari segi kesihatan, kemiskinan boleh dikaitkan dengan kekurangan pengambilan makanan berkhasiat yang boleh menyumbang kepada kekurangan tenaga untuk bekerja dengan baik. Dari segi kawasan, kemiskinan sering dirujuk sebagai fenomena di luar bandar, walaupun pada masa kini ianya telah banyak menunjuk kepada kemiskinan di bandar. Dari segi gender, kemiskinan sering berlaku di kalangan wanita atau pun ketua isirumah adalah terdiri dari wanita. Dari segi alam sekitar, sebahagian besar golongan miskin tinggal dalam situasi persekitaran yang rapuh seperti keadaan rumah yang tidak baik, sistem pengairan yang tidak teratur dan mudah terdedah dengan masalah banjir, keadaan tanah yang tidak subur, saiz yang kecil dan tidak ekonomik untuk diusahakan (Chamhuri, 2001).

Pendapatan isi rumah atau pendapatan per kapita sering digunakan sebagai ukuran kebajikan (Zulkarnain dan Isahaque, 2013), namun mempunyai kelemahan yang nyata ialah isi rumah lebih cenderung merendah anggaran pendapatan untuk beberapa tujuan, contohnya untuk tujuan mengelak dari dikenakan cukai atau untuk kekal dalam kategori miskin supaya mereka terus mendapat bantuan dan sokongan (Peter dan Bruce, 2006). Selain itu juga, pendapatan penduduk Negara Sedang Membangun (NSM) sebahagian besarnya terdiri daripada sumber pertanian yang sentiasa berhadapan dengan masalah turun-naik dalam hasil dan pendapatan dari tahun ke tahun.

Berasaskan pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan bagi satu tahun tertentu, jumlah isi rumah yang berada di bawah dan di atas PGK dapat ditentukan. Jumlah isi rumah miskin ditentukan sebagai mereka yang berada di bawah PGK, manakala kadar kemiskinan dan ketermiskinan ditentukan dengan membahagi jumlah isi rumah miskin dan termiskin dengan jumlah isi rumah. Penggunaan konsep jumlah pendapatan dan pendapatan per kapita akan memberikan jumlah isi rumah miskin dan tahap kadar kemiskinan yang berbeza. Penggunaan konsep per kapita yang mengambil kira saiz isi rumah merupakan pendekatan yang lebih tepat dan cenderung menghasilkan jumlah isi rumah miskin dan kadar kemiskinan yang lebih rendah. Mengikut Unit Perancang Ekonomi (EPU), pendapatan garis kemiskinan (PGK) pada tahun 2009 bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia sebanyak RM763  sebulan (US$254) untuk dianggap ‘miskin‘ (Laporan Audit Negara, 2011). Ukuran RM763 sebulan tersebut adalah terkurang anggar sekiranya mengikut piawai piawai Bank Dunia. Ini kerana piawai Bank Dunia menetapkan keperluan untuk sara hidup seorang individu ialah RM6.20 per kapita/hari (US$2 PPP). Dengan demikian jika purata isirumah ialah 4.4 orang, maka PGK ialah RM818 sebulan (RM6.2 0/hari x 4.4 orang  x 30 hari). Di Australia dan Britain, pendapatan ‘median’ digunakan sebagai petunjuk untuk mengukur PGK, iaitu dua per tiga (2/3) dari pendapatan median.  Pada tahun 2010 pendapatan median bagi setiap isi rumah di Semenanjung Malaysia ialah RM2,830 (US$944). Maka pendapatan PGL ialah RM1,885 sebulan (US$629) (Zulkarnain dan Isahaque, 2013). Dengan keadaan kos kehidupan pada masa kini, maka penggunaan dua per tiga (2/3) dari pendapatan median lebih sesuai digunakan dan munasabah.

Jefrey Sachs (2005) dalam bukunya The End of Poverty mengatakan faktor intervensi dari kerajaan adalah penting untuk meningkatkan keupayaan individu miskin untuk keluar dari keadaan miskin dan berupaya meningkatkan tabungan dan pelaburan yang menjadi penggerak kepada pengumpulan modal untuk menjadi tidak miskin. Jefrey Sachs menunjukkan terdapat hubungan di antara aktiviti ekonomi, tabungan, pelaburan modal dan peningkatan aktiviti ekonomi. Isirumah menggunakan pendapatan untuk tujuan penggunaan, tabungan dan cukai. Kerajaan pula menggunakan hasil cukai kepada perbelanjaan semasa dan perbelanjaan pembangunan. Modal ekonomi pula dihasilkan oleh penjimatan isi rumah dan pelaburan kerajaan. Pembentukan modal yang lebih tinggi membawa kepada pertumbuhan ekonomi, yang seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah melalui kesan dari pertumbuhan pendapatan.

Bantuan modal untuk sesuatu projek akan membawa kepada proses pengumpulan modal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pendapatan di kalangan isirumah yang menerima faedah dari bantuan yang diberikan. Melalui program-program pembiayaan mikro dan peningkatan hasil padi dijangkakan perangkap kemiskinan dapat dimusnahkan dan pengumpulan modal akan berlaku. Pertumbuhan ini dilihat dari segi peningkatan tabungan isi rumah dan pelaburan kerajaan yang dapat dibuat selepas isirumah yang mengalami peningkatan pendapatan dari projek yang dijalankan, mula membayar cukai atau menyumbang hasil zakat kepada kerajaan. Kerajaan pula melalui hasil cukai atau zakat tersebut dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan lain yang akan memberi faedah kepada lebih ramai orang.

Tiga institusi yang aktif dalam program pembangunan dan seterusnya boleh dikaitkan dengan program pembasmiaan kemiskinan di Malaysia ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Tiga institusi ini merupakan tiga institusi yang penting dan aktif membuat program meningkatkan pendapatan golongan miskin dan penduduk luar Bandar. MADA terlibat dalam projek pembangunan pengeluaran padi, manakala AIM memang terlibat secara langsung dengan program mikrokredit untuk kaum wanita yang miskin. TEKUN pula terlibat dengan program mikro-kredit untuk usahawan yang telah sedia terlibat dalam program pembangunan keusahawanan.

Penemuan dari kajian yang saya jalankan berkaitan dengan peranan institusi-institusi tersebut dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar dan seterusnya mengurangkan kemiskinan golongan tersebut mendapati MADA didapati memberi sumbangan besar dari segi khidmat nasihat dan program-program memperbaiki infrastruktur dan peningkatan hasil padi, manakala AIM dan TEKUN dari segi peranan sahabat, kemudahan pinjaman, dan latihan keusahawanan Walau bagaimanapun, faktor individu itu sendiri juga memainkan peranan yang sama penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan hidup mereka. Sebagai contoh untuk petani di kawasan MADA faktor pengurusan masa lapang, pemilikan modal kewangan dan modal manusia sangat mempengaruhi kehidupan lestari mereka. Untuk peserta AIM dan TEKUN pula dipengaruhi oleh ciri pembangunan keusahawanan dikalangan usahawan itu sendiri.

Keseluruhannya dapat dinyatakan bahawa institusi yang terlibat perlu, pertama, mengukuhkan sistem penyampaian, bimbingan dan pemantauan institusi; kedua, mengukuhkan rantaian sosial sesama petani atau usahawan melalui penubuhan persatuan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan persatuan peniaga-peniaga kecil; dan ketiga, memperkukuhkan modal kewangan dan modal manusia petani atau usahawan melalui peruntukan kewangan yang berterusan dan terkawal serta latihan dari usahawan yang telah berjaya.

7 comments:

Unknown said...

Program Pembasmian kemiskinan adalah salah satu program yang memerlukan jangka masa yang panjang untuk melaksanakan. Sebagai contohnya, Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) telah dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada bulan Jun 2006. Matlamat adalah untuk membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan kepada 2.8%. Selain itu, keluarga miskin yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan iaitu RM 663 atau pendapatan per kapita RM 157 bagi kategori miskin dan pendapatan isi rumah RM 390 atau pendapatan per kapita RM 91 bagi kategori miskin tegar. Untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan dengan cekap, kerajaan telah melaksanakan banyak program yang membantunya seperti Perumahan Keluarga Miskin, Pengurangan Beban Tanggunagan Keluarga, Pendidikan dan Latihan dan sebagaiya. Oleh itu, saya juga mengharapkan sector swasta dan usahawan memberi bantuan kepada golongan kemiskinan dari segi pendidikan dan perubatan agar dapat mengurangkan kemiskinan di Negara kita.

TEE KE LI, 211798

Unknown said...

Pada pendapat saya, langkah pertama yang boleh membasmi kemiskinan adalah melalui pendidkan. Melalui pendidkan, semua orang akan menjadi warga yang berilmu dan bersikap moral. Ilmu pengetahuan akan membantu seseorang mendapat pekerjaan yang lebih baik dan pendapatan yang lebih tinggi. Oleh itu, pendidikan percuma perlu dijalankan sepanjang masa untuk memastikan semua orang mempunyai peluang untuk belajar. Tambahan pula, kerajaan boleh memberi kursus kepada para petani tentang bagaimana meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil pertanian mereka. Ia boleh meningkatkan pendapatan para petani dan meningkatkan keluaran dan kualiti hasil pertanian pada masa yang sama. Apabila pendapatan para petani meningkat, kadar kemiskinan para petani akan menurun.

Tang Sueh Ling 211970 said...

Prof,
MDA,AIM dan TEKUN telah berjaya membasmikan kes kesmiskinan yang berlaku di Malaysia. Tetapi masih lagi banyak kes kemiskinan berlaku di kawasan pedalaman. Contohnya, kebanyakan kes berlaku di kawasan Peninsular Malaysia. Di sana mempunyai banyak masalah kekurangan bekalan air yang bersih,pendidikan yang sempurna dan sebagainya. Dalam kes ini,kerajaan perlu mengkaji semula untuk menyelesaikan masalah tersebut. Setelah mempunyai asas-asas kehidupan yang sempurna, masalah kemiskinan tentu akan dibendung.
Biasanya, masalah kemiskinan selalu berlaku dalam kalangan petani. Bagi sektor pertanian selalunya juga mengahadapi masalah kekurangan pengetahuan teknologi yang canggih kerana kekurangan dana. Kerajaan perlu memberikan sokongan kepada mereka supaya sektor pertanian dapat bersaing dengan sektor pertanian di Taiwan. Akhirnya pendapatan petani juga dapat ditingkatkan. Tambahan lagi, kerajaan tidak patut meningkatkan harga petrol. Walaupun kerajaan telah meningkatkan skim batuan rakyat 1 Malaysia dari RM600 ke Rm1200. Hal ini akan meningkatkan kadar kemiskinan di negara. Hal ini kerana peningkatan harga petrol akan meningkatkan semua barang & perkhidmatan dalam ekonomi. Beban rakyat juga akan ditingkatkan. BR1 tidak dapat dijalankan dengan baik kerana sempena bantuan telah ditingkatkan tetapi pada masa itu harga barang juga ditingkatkan. Saya berpendapat, bantuan tersebut patut dicadangkan kepada program bantuan petani yang berproduktiviti. Akhirnya, saya berharap kerajaan dapat bertimbang terhadap bantuan kepada sektor pertanian kerana sektor ini adalah sangat berproduktiviti.

Hooi Li said...

Kemiskinan berlaku apabila seseorang mengalami kekurangan dalam keperluan hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang secara langsungnya mempengaruhi taraf hidup seseorang dan imej negara. Oleh itu, program pembasmian kemiskinan adalah sangat penting dan amat diperlukan untuk dilaksanakan. Dalam hal ini, pendidikan sangat penting. Masyarakat yang berpendidikan akan lebih memahami keperluan untuk mempunyai kesihatan dan pemakanan yang lebih baik. Melalui pendidikan mereka akan diajar pelbagai kemahiran asas kehidupan yang meningkatkan pemahaman terhadap elemen penting yang memberi kesejahteraan dalam hidup. Selain itu, pendidikan juga boleh meningkatkan peluang mendapat pekerjaan yang mempunyai gaji yang lebih tinggi dan secara langsungnya meningkatkan taraf hidup. Oleh itu, masyarakat yang berpendidikan dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan secara tidak langsungnya menyumbang kepada proses pembangunan ekonomi negara.

Puah Hooi Li 211395

Unknown said...

Thx for sharing...

Anonymous said...

Program Pembasmian Kemiskinan Bandar telah dilancakan oleh kemterian wilayah dan kesejahteraan bandar.Strategi kerajaan dalam pembasmian kemiskinan bandar bersifat progresif dan pendapatan sampingan yang dibuat akan membolehkan mereka merancang kewangan, memperluaskan perniagaan kecil, menabung dan kemudian membeli aset termasuk di kawasan bandar,MENURUT KATA Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Anonymous said...

Program pembasmian kemiskinan bandar telah dilancarkan oleh kementrain wilayah dan kesejahteraan bandar.Menurut kata Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,Strategi kerajaan dalam pembasmian kemiskinan bandar bersifat progresif dan pendapatan sampingan yang dibuat akan membolehkan mereka merancang kewangan, memperluaskan perniagaan kecil, menabung dan kemudian membeli aset termasuk di kawasan bandar Secara khususnya, PPKB adalah bertujuan untuk :
(i) mengurangkan beban kewangan keluarga miskin;
(ii) membina keyakinan dan jati diri golongan sasar;
(iii) meningkatkan keupayaan dan kebolehan mereka, dan;
(iv) meningkatkan kualiti hidup golongan B40 di bandar
SIN KIN MUN 211373