Total Pageviews

Tuesday, October 21, 2008

Batasan Teori Keuntungan Firma

Dalam teori firma, dikatakan objektif firma ialah memaksimakan kekayaan firma. Dalam keadaan sebenar, firma bukan sahaja mempunyai objektif untuk memaksimakan keuntungan, tetapi juga ada kalanya mempunyai objektif lain seperti memaksimakan jualan, memaksimakan kepuasan pengurusan, mengambil peluang dari ekonomi bidangan dan skop (economies of scale and scope), bersedia menghadapi risiko (to better face risks), meningkatkan kecekapan penggunaaan modal, dan mendapatkan kelebihan teknologi (technological advantage).

Mengikut teori memaksimakan jualan sepertimana yang diperkatakan oleh William Boumol, pengurus dalam perniagaan akan cuba meningkatkan jualan selepas mendapat tahap keuntungan yang tertentu dan dapat memuaskan hati pemilik perniagaan (stockholders). Terdapat beberapa kajian yang mendapati terdapat hubungan di antara keuntungan firma dengan gaji pengurus firma. Ianya bermaksud firma boleh membayar gaji pengurus berdasarkan prestasi pengurus membawa keuntungan kepada perniagaan.

Walau bagaimanapun disebabkan pengurus yang dibincangkan di sini ialah pengurus Perniagaantani yang menjalankan perniagaan berdasarkan pengeluaran dan pengedaran barangan, ianya tidak begitu dipersoalkan sangat. Memang nampak ada perubahan prestasi mereka dari aktiviti perniagaan barangan dan perkhidmatan tersebut. Kebiasaannya pengurus bukanlah pemilik perniagaan. Oleh yang demikian pengurus akan berusaha mendapatkan banyak faedah dalam bentuk gaji, faedah sampingan seperti kereta, kemudahan bercuti, bilik yang besar dan serba lengkap. Sebaliknya pula pemilik perniagaan lebih mementingkan keuntungan perniagaan. Bagi pemilik perniagaan, lebih banyak faedah kepada pengurus disediakan, bererti semakin besar perbelanjaan firma, dan semakin kurang keuntungan perniagaan. Konflik kepentingan di antara pemilik perniagaan dengan pengurus ini dinyatakan sebagai masalah pemilik-agen perniagaan (principal-agent problem). Maksudnya agen (pengurus) lebih berminat memaksimakan faedah kepada mereka dari memaksimakan kehendak pemilik perniagaan yang mahukan lebih besar keuntungan. Penyelesaian yang dicadangkan kepada masalah ini ialah dengan memberi imbuhan (reward) kepada pengurus dan pekerja-pekerja firma yang lain berdasarkan keuntungan firma (dipanggil ‘profit-share’). Ada juga pemilik perniagaan yang menawarkan saham firma kepada pengurus yang telah kekal lama dengan firma dan menunjukkan kebolehan pengurusan yang baik. Seterusnya jika ada pengurus yang didapati hanya mementingkan faedah kepada mereka dari usaha meningkatkan keuntungan firma boleh digantikan dengan pengurus lain, atau apabila firma asal bergabung, atau diambilalih oleh firma lain, pengurus sedemikian akan ditawarkan pemberhentian secara sukarela (VSS, Voluntary Seperating Scheme).

Bagaimana pula Pengurus institusi-institusi kewangan yang menjalankan perniagaan pertukaran wang, dari kumpulan yang memiliki lebihan wang kepada kumpulan yang menghadapi keadaan kekurangan wang. Maksud saya ialah keadaan yang menyebabkan berlakunya krisis kewangan dunia sepertimana yang berlaku sekarang ini. Keuntungan institusi kewangan tersebut adalah dari bunga ke atas pinjaman tersebut. Walau bagaimanapun ada di antara pinjaman tersebut diberikan kepada peminjam yang menjalankan perniagaan berisiko tinggi, atau kepada pengguna biasa yang akhirnya tak mampu membayar pinjaman yang dibuat. Semakin banyak pinjaman diberikan semakin banyak keuntungan institusi kewangan, dan semakin besar imbuhan dalam bentuk gaji dan keistimewaan-keintimewaan tertentu yang diperolehi oleh pengurus Institusi Kewangan tersebut. Apabila krisis berlaku, di mana institusi kewangan tidak dapat mengutip semula pinjaman yang diberikan, dan seterusnya memberi semula kepada kumpulan yang menyimpan tersebut, mereka meminta bantuan kerajaan untuk menyelamatkan institusi-institusi kewangan tersebut. Di manakah kerajaan hendak mengambil wang untuk membantu (bail out) institusi kewangan yang bermasalah tersebut jika tidak wang pembayar cukai? Seterusnya berlakulah pengurangan perbelanjaan kerajaan untuk projek-projek lain yang telah dirancang. Pengurus-pengurus dalam institusi kewangan sepatutnya mengambil ikhtibar dari apa yang berlaku, dengan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan urusan pemberian pinjaman di pasaran wang.

Saturday, October 11, 2008

PENCEMARAN MARIN 3 – KESAN KEPADA EKONOMI

Kesan ekonomi akibat pencemaran marin seperti tumpahan minyak boleh dibahagikan kepada dua – kesan positif dan negatif. Contoh kesan negatif ialah kemusnahan hidupan laut seperti ikan, kerang, sotong, ketam dan udang menjejaskan pendapatan kepada nelayan yang bergantung hidup kepada aktiviti penangkapan ikan.

Dari segi pelancungan pula, kawasan pelancungan seperti Pulau Langkawi, aktiviti ekonomi memang diketahui suatu aktiviti yang utama. Pencemaran marin boleh menjejaskan kedatangan pelancung. Apabila pelancung kurang datang, sektor perhotelan, pengangkutan, restoran, pemandu pelancung dan peruncitan akan terjejas.

Kesan positif juga boleh terjadi kepada kumpulan-kumpulan penduduk tertentu kesan dari pencemaran. Sebagai contoh, selepas tragedi kapal tangki Exxon Valdez pada tahun 1989, kerajaan Amerika Syarikat telah membentuk Akta Pencemaran Minyak 1990 (OPA 1990). Kesannya syarikat minyak Exxon telah diminta menanggung kerja-kerja pembersihan, membuat penialaian kerosakan alam sekitar, kehilangan sumber, dan kos kepada kerajaan tempatan. Syarikat-syarikat minyak juga dikehendaki mengujudkan RM1 bilion tabung amanah, dibiayai melalui cukai 5% terhadap setiap tong minyak yang dikeluarkan atau dieksport ke Amerika Syarikat. Kapal tangki juga perlu mempunyai kapal yang kukuh dan mengistiharkan pelan kecemasan. Kapal tangki juga diperlukan diiringi oleh kapal pengiring, peralatan pembersihan yang telah tersedia untuk digunakan, dan insuran kebocoran minyak untuk kapal yang memasuki pelabuhan Amerika Syarikat (Prince William Sound Regional Citizens Advisory Counsil, 1999 and Exxon Valdez Oil Spill Trustee Council, 1999). Kejayaan OPA 1990 adalah kerana penglibatan agresif industri perkapalan dan minyak, kumpulan berkepentingan, dan orang ramai. Ianya ditambah pula dengan penyebaran maklumat oleh media berterusan selepas kejadian pencemaranmarin oleh kejadian kapal tangki Exxon Valdez tersebut.

Di dapati juga nilai hartanah di kawasan kejadian, iaitu di Prince William Sound, Alaska telah meningkat. Seramai 11,000 orang pekerja telah digunakan untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan berbatu di tempat kejadian. Pusat-pusat penyelidikan juga telah berkembang di kawasan kejadian dan dibiayai oleh geran penyelidikan yang diberikan oleh syarikat-syarikat minyak yang terlibat.

Kesimpulan
Pencemaran marin boleh menjejaskan alam sekitar dan seterusnya ekonomi sesuatu kawasan. Maklumat-maklumat berkaitan kesan pencemaran marin dan langkah-langkah yang perlu dibuat apabila ianya berlaku perlu disebar dan direkodkan. Mengalaman di Negara maju menunjukkan penglibatan pihak yang berkepentingan seperti pemilik kapal, agensi-agensi kerajaan yang terlibat, universiti, saintis, sector perhotelan, nelayan, media dan agensi-agensi bukan kerajaan adalah penting untuk mengatasi masalah pencemaran marin.

Bibliography
Burger, J. (1997). Oil Spills. New Brunswick, NJ: Rutgers University Press.

Cahill, R. A. (1990). Disasters at Sea: Titanic to Exxon Valdez. San Antonio, TX: Nautical Books.

Cutter Information Corporation (1995). International Oil Spill Statistics. Arlington, MA: Cutter Information.

Kurtz, Rick, C. (2004). “Coastal Oil Pollution: spills, crisis, and policy change.” Review of Policy Research. Vol. 21 (2).

Picot, J. C., and Gill, D. A. (1996). "The Exxon Valdez Oil Spill and Chronic Psychological Stress." In Proceedings of the Exxon Valdez Oil Spill Symposium, eds.

F. Rice, R. Spies, D. Wolfe, and B. Wright. Bethesda, MD: American Fisheries Society. Oil Spill Case Histories 1967-1991, NOAA/Hazardous Materials and Response Division, Seattle WA, 1992

Nelson-Smith, Oil Pollution and Marine Ecology, Elek Scientific, London, 1972; Plenum, New York, 1973

PENCEMARAN MARIN 2 –KESAN KEPADA ALAM SEKITAR

Pencemaran Marin berlaku apabila berlaku tumpahan cecair ”petroleum hydrocarbon” alam laut atau persisiran pantai akibat dari aktiviti manusia. Minyak boleh dibahagikan kepada beberapa kategori termasuklah minyak mentah, produk petroleum yang telah diproses (seperti petrol dan diesel), minyak engine atau buangan minyak yang telah digunakan. Minyak apabila tumpah ke laut mengambil masa berbulan-bulan untuk dibersihkan. Sebenarnya kebanyakan pencemaran minyak berlaku akibat dari aktiviti di daratan, tetapi tumpuan umum dan peraturan masa kini lebih tertumpu kepada kapal tangki di laut.

Kesan kepada alam sekitar dari tumpahan minyak adalah berbeza-beza, bergantung kepada jenis dan jumlah tumpahan. Kebiasaannya produk petroleum yang telah diproses seperti petrol dan diesel lebih mudah bercapur dengan lapisan permukaan air dan lebih toksid kepada hidupan marin, tetapi lebih mudah terpelewap dan tidak kekal lama dalam persekitaran berlakunya tumpahan. Sebaliknya minyak mentah, walau pun tidak begitu toksid bebanding minyak yang telah diproses, akan tinggal lebih lama di permukaan air dan boleh terdampar di pesisiran pantai lebih lama. Sebagai contoh, tumpahan minyak dari kes Exxon Valdez dan Peperangan Teluk (Peperangan di Iraq), masih kekal di pesisiran pantai walau pun setelah beberapa tahun berlakunya tumpahan tersebut. Sebaliknya tumpahan petrol di Shetland Island pada tahun 1993 dan tumpahan di Milford Haven pada tahun 1996 tidak lagi meningggalkan kesan kepada alam sekitar, walau pun kedua-dua tumpahan tersebut lebih dua kali ganda besarnya dari tumpahan minyak mentah Exxon Valdez.

Dengan keadaan ramai penduduk yang tinggal dan bergantung hidup kepada kawasan persisiran pantai, seperti aktiviti penangkapan ikan dan pelancungan, kesan tumpahan minyak kepada penduduk persisiran pantai boleh menjadi serius. Keadaan tersebut telah menyebabkan berlaku desakan supaya syarikat minyak, pemilik kapal, dan pembuat kapal sama-sama bertanggungjawab untuk mengelakkan kejadian tersebut dari berlaku. Disebabkan minyak lebih rigan dari air dan tidak mudah lupus, ia boleh berada di permukaan air dalam tempoh yang lama. Disebabkan minyak juga boleh terbakar, tumpahan minyak boleh boleh mengakibatkan kebakaran di laut.

a) Burung laut
Apabila terkena minyak, burung tidak akan dapat terbang untuk mencari makanan dan melarikan dir dari pemangsa. Jika termakan minyak pula, akan merosakkan buah pinggang, mengganggu fungsi paru-paru, ketaksbilan metabolisma dan seterusnya boleh menyebabkan kematian. Kebanyakan burung yang terkena tumpahan minyak akan mati jika tidak dibantu dengan membuat pembersihan dan pemindahan ke tempat lain. Insiden tumpahan minyak Amaco Cadiz misalnya telah menyebabkan kematian hampir 20,000 ekor burung dan 9,000 tan tiram. Nelayan yang menangkap ikan di kawasan tersebut pula menghadapi masalah penyakit kulit.

Beberapa kajian yang telah dibuat mendapati burung yang terjejas adalah disebabkan oleh kesan pencemaran secara langsung seperti memasuki kawasan marin yang tercemar, dan bukannya disebabkan oleh rantaian makanan. Walaupun telah dibersihkan, kajian oleh British Trust for Orthinology terhadap kesan tumpahan kapal tangki minyak Sea Empress mendapati kebiasaaanya burung yang telah termakan minyak hanya boleh bertahan selama tujuh hari sebelum mati. Ada di antara burung yang suka berhijrah tidak akan datang langsung ke kawasan yang telah tercemar.

b)Habitat di dalam air
Pencemaran akibat tumpahan minyak juga boleh membunuh ikan, mikroorganisma, tumbuhan laut dan hidupan air yang lain. Minyak yang terdampar ke dasar laut pula akan merosakkan terumbu karang dan segala hidupan yang bergantung kepada terumbu karang untuk hidup dan mendapatkan makanan. Maksudnya rangkaian sistem pemakanan boleh terjejas akibat tumpahan minyak. Tumpahan minyak yang terkena kawasan batu-batuan di laut pula boleh merosakkan lumut yang hidup di atas batu dan merosakkan lagi sistem ekologi.

c)Kesan kepada marin
Kebiasaannya pihak berkuasa akan melarang sebarang tangkapan ikan di kawasan tercemar setelah berlakunya pencemaran. Selain dari ikan, hidupan marin yang lain seperti udang, sotong, kerang dan ketam akan turut terjejas.

d)Kesan kepada hidupan di darat dan sayur-sayuran
Kajian yang dibuat terhadap hidupan di darat termasuk ditebing-tebing bukit berhampiran laut mendapati hidupan tersebut tidak terjejas dengan pencemaran. Beberapa kajian terhadap rumput dan ternakan kambing juga mendapati tahap hidrokarbon dalam kedua-dua hidupan tersebut adalah normal. Saintis mendapati 40% dari tumpahan minyak – termasuk yang toksid kepada hidupan laut akan terpelewap (evaporated) dengan segera selepas berlakunya tumpahan. Kajian juga mendapati hanya jika kadar kandungan udara mengandungi minyak terpelewap tidak melebihi 9 ”parts per million” (ppm). Sekiranya kandungan udara mengandungi pemelewapan minyak melebih 50ppm barulah penduduk dinasihatkan supaya duduk daloam rumah dan tidak melakukan aktiviti di luar rumah. Kerja-kerja pembersihan seperti penyemburan ”chemical dispersants” yang memecahkan molikul-molikul minyak dan memudahkannya sebati dengan air dan penyedutan semula minyak oleh ”recovery vessels” membantu mengurangkan kesan pencemaran yang berpanjangan.

e)Kesan kepada nilai pemandangan atau keindahan alam sekitar
Pencemaran minyak memberi kesan kepada nilai keindahan alam dengan beberapa cara. Minyak boleh kelihatan di pantai dan laut dan mengujudkan bau yang tidak selesa kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar. Kawasan terumbu karang seperti di Pulau Payar boleh terjejas teruk dengan pencemaran minyak. Apabila ini berlaku hidupan ikan yang mencari makanan di kawasan batu karang tersebut jug akan terjejas. Kajian-kajian penialaian nilai Alam Sekitar seperti Contingent Valuation Model (CVM) dan Travel Cost Method (TCM) boleh dilakukan untuk melihat kesan pencemaran sebelum dan selepas berlakunya pencemaran. Kesan nilai keindahan alam ini pula berkait dengan kesan ekonomi iaitu industri pelancungan.

Artikel seterusnya akan membincangkan Kesan Pencemaran marin kepada Ekonomi

PENCEMARAN MARIN 1 – KEJADIAN TUMPAHAN MINYAK

Abstrak
Pencemaran marin merupakan satu isu baru yang perlu diberi perhatian oleh pembuat polisi, pelaksana dasar dan pihak-pihak yang berkepentingan seperti nelayan, pengurusan hotel, universiti, badan-badan bukan kerajaan dan pengguna. Kesedaran mengenai kesan-kesan pencemaran marin dan langkah-langkah yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas berlakunya pencemaran marin membolehkan malapetaka tersebut dapat dikurangkan impak negatifnya.

Pengenalan
Minyak merupakan sumber tenaga yang utama di dunia, tetapi disebabkan agihan yang tidak seimbang di antara negara, ianya mesti diangkut menggunakan kapal tangki melintasi lautan atau paip melalui daratan. Masalah timbul apabila berlaku kemalangan yang tidak diduga ketika minyak dipindahkan ke kapal, ketika membuat penghantaran antara negara menggunakan kapal, ketika paip minyak bocor, atau ketika kerja-kerja penggerudian pencarian minyak dilakukan. Tumpahan minyak memberi kesan kepada alam sekitar kerana ia mencemarkan pantai, hidupuan laut dan darat, serta kesihatan manusia. Disamping itu, kesan kepada ekonomi pula meliputi pengurangan hasil tangkapan ikan semasa kejadian berlaku dan musim-musim seterusnya kerana sumber makanan ikan terjejas, sektor pelancungan, dan peningkatan pengangguran. Dari sudut pengguna pula, mereka terpaksa membeli ikan dengan harga yang lebih mahal. Keseluruhannya pengguna, pengeluar dan masyarakat boleh terjejas apabila berlaku pencemaran marin.

Pencemaran Marin
Keseluruhan pengeluaran minyak telah meningkat dari 500 juta tan pada tahun 1950 kepada 2,500 juta tan pada pertengahn tahun 1990an (Picot and Gill, 1996). Peningkatan pengeluaran pula diikuti oleh kejadian tumpahan minyak. Diketahui umum tempat simpanan minyak yang utama di dunia ialah di Timur Tengah, dan kebanyakan aliran pengangkutan juga bermula dari Negara-negara di Timur Tengah. Disebabkan faktor minyak jugalah kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat berusaha mengawal Negara-negara Teluk supaya mengikut kehendak mereka. Tumpahan minyak, sama ada kecil atau besar, telah meningkat dengan peningkatan jumlah pengangkutan minyak oleh kapal tangki. Kapal tangki itu pula kebanyakannya telah usang dan kapal-kapal baru pula dibina dengan saiz yang lebih besar. Dilaporkan kargo minyak merupakan separuh dari keseluruhan kargo laut pada masa kini (Picot and Gill, 1996).

Sejak tahun 1960an terdapat lebih kurang dua puluh kejadian tumpahan minyak yang melibatkan lebih dari 70 juta tong minyak mentah (Burger, 1997). Tumpahan besar telah terjadi di persisiran pantai Mexico, Timur Tengah, Afrika Selatan, dan di Alaska, dan juga di saluran paip di Usink, Russia. Tumpahan minyak terbesar yang direkodkan ialah semasa perang teluk pada tahun 1991, apabila 36.5 juta tong minyak mentah dengan segaja ditumpahkan ke Laut Parsi untuk tujuan taktik peperangan semasa Iraq berperang dengan Amerika Syarikat. Tumpahan kedua terbesar ialah dari telaga Ixtox-1 di Mexico, melibatkan tumpahan 3.5 juta tong minyak mentah.

Tumpahan minyak yang besar tidak semestinya akan mendapat liputan media yang meluas, mungkin kerana lokasi, kurangnya kesan kepada kesihatan manusia dan kesan ekologi, atau media sendiri tidak berminat melaporkan kejadian yang berlaku. Contohnya tumpahan minyak di Nowruz di Arabia (1.93 juta tong) pada tahun 1980, dan di Lembah Fergan, Uzbekistan (2 juta tong) pada tahun 1992 telah tidak dihebahkan oleh media. Sebaliknya tumpahan yang kecil seperti tumpahan kapal tangki Amoco Cadiz yang melibatkan 1.63 juta tong minyak di pantai Perancis pada tahun 1978, dan kapal tangki Exxon Valdez yang menumpahkan 0.26 juta tong minyak di Alaska pada tahun 1989 telah dibuat hebahan secara meluas (Cahill, 1990).

Kesan jangka pendek dari tumpahan minyak termasuklah kemalangan jiwa semasa kemalangan berlaku, atau mereka yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan, dan gangguan kesihatan kerana bau tumpahan minyak atau memakan ikan atau hidupan laut lain yang telah tercemar. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan sampingan yang tidak ketara seperti kehilangan dan ganggunan terhadap perikanan komersial dan rekreasi, dan penggunaan lain terhadap air yang tercemar. Terdapat juga kesan ekonomi dan “aesthetic” serta tekanan psikologi dan sosial terhadap penduduk yang tinggal di kawasan yang tercemar.

Kejadian tumpahan minyak
Sebenarnya terdapat 15 kejadian tumpahan minyak yang besar telah direkodkan. Di antara tumpahan minyak yang besar yang telah dilaporkan ialah tumpahan minyak semasa perang teluk, bencana di telaga carigali Ixtoc 1, tumpahan kapal tangki Atlantic Empress, Amaco Cadiz, Amaco Haven dan Exxon Valdez.

a)Tumpahan minyak semasa perang teluk
Tumpahan minyak semasa Perang Teluk pada tahun 1991 di anggap tumpahan paling buruk dalam sejarah. Ia menyebabkan kerosakan teruk kepada hidupan liar di Teluk Parsi, terutamanya di pantai Kuwait dan Iraq. Dianggarkan tumpahan melibatkan 36.5 juta tong minyak mentah, meliputi kawasan seluas 40 batu dan ketebalan 4 inci.
Punca tumpahan: Pada 23 Januari 1991, tentera Iraq dengan sengaja telah menumpahkan minyak tersebut ke laut untuk menghalang kemasukan tentera Amerika melalui laut. Pihak Iraq pula mengatakan tumpahan terjadi akibat dari pengeboman tentera Amerika terhadap dua kapal tangki Iraq. Punca tumpahan lain ialah dari kerosakan pusat pemprosesan minyak Mina Al Ahmadi di Kuwait, kapal tangki berhampiran Pulau Bubiyan, dan terminal Mina Al Bakr di Iraq.

b)Tumpahan minyak di Telaga carigali Ixtoc I
Telaga minyak Ixtoc I merupakan satu kawasan carigali minyak di Teluk Mexiko, lebih kurang 600 km dari Texas. Syarikat carigali yang terlibat ialah Pemex (Petroleos Mexicanos) yang menggali sehingga 2 batu kedalaman penggalian. Pada bulan 3 Jun 1979, berlaku kesilapan semasa kerja-kerja penggalian dan menyebabkan satu letupan besar di kawasan penggalian. Pada 23 Mac 1980 barulah kebocoran dapat dikawal dan dan telaga yang bocor dapat ditutup. Setiap hari selama 8 bulan dianggarkan 10 ribu ke 30 ribu tong minyak sehari tumpah ke laut di Teluk Mexiko. Aliran arus pula membawa tumpahan tersebut ke pesisiran pantai Texas. Kawasan penternakan kura-kura di Kemp Ridley telah terjejas teruk dan kura-kura tersebut telah terpaksa dipindahkan ke kawan lain.

c)Tumpahan dari kapal tangki Atlantic Empress
Kapal tangki Atlantic Empress milik negara Greek. Pada 19 Julai 1979 kapal tersebut berlanggar dengan kapal Aegean Captain, berhampiran Negara Trinidad dan Tobago. Berlaku tumpahan minyak sebanyak 2.1 juta tong. Semasa ditunda pada 2 Ogos 1979, berlaku tumpahan lagi sebanyak 2 juta tong minyak mentah berhampiran Barbados.

d)Tumpahan dari kapal tangki Amoco Cadiz
Kapal tangki Amoco Cadiz telah terbelah dua pada 16 Mac 1978, kesan dari perlanggaran dengan batu. Kejadian berlaku di Brittany, Perancis ketika dalam perjalanan penghantaran minyak dari Teluk Parsi ke Rotterdam, Holland. Semasa kejadian kapal tersebut membawa sejumlah 1.6 juta tong minyak mentah. Usaha-usaha untuk memindahkan minyak dari kapal Amico Cadiz ke kapal lain telah dibuat sebelum kapal tersebut tenggelam, tetapi usaha itu gagal kerana keadaan cuaca yang buruk. Malapetaka tersebut telah menyebabkan berlaku tumpahan minyak sepanjang 45 batu di pesisiran pantai Perancis. Tiupan angin yang kuat dari arah Barat pada bulan April telah menyebabkan tumpahan tersebut merebak seluas 100 batu di pesisiran pantai Perancis. Minyak telah meliputi pantai sehingga mencapai ketebalan 20 inci. Kawasan pelancungan di Plougasnou telah terjejas akibat dari kejadian tersebut.

e)Tumpahan kapal tangki Amoco Haven
Pada 11 April 1991, kapal Amaco Haven yang membawa 1 juta tong minyak yang dimiliki oleh Troodos Shipping telah meletup dan terbakar di pantai Genoa, Itali. Lima orang telah terbunuh, termasuk kaptan kapal Petros Grigorakikis. Tumpahan minyak telah mencemarkan kawasan pantai seluas 20 km di Genoa dan Selatan Perancis.

f) Kebakaran kapal tangki Exxon Valdez
Pada tengah malam bulan Mac 1989 kapal tangki Exxon Valdez telah melanggar Bligh Reef di Prince William Sound, Alaska. Kesannya, berlaku tumpahan minyak sebanyak 0.26juta tong minayak mentah. Malapetaka ini adalah malapetaka terbesar dalam tumpahan minyak di Amerika Syarikat. Kejadian juga telah menguji kemampuan institusi yang terlibat di peringkat tempatan dan kebangsaan untuk bertindakbalas terhadap bencana sedemikian. Banyak faktor telah dikenalpasti mencabar usaha-usaha pembersihan selepas kejadian berlaku. Kawasan yang terpencil menyebabkan Cuma helikopter dan bot sahaja yang dapat pergi ke kawasan kajian.

Artikel seterusnya akan membincangkan kesan pencemaran marin kepada Alam Sekitar

(Kertas kerja dibentangkan untuk Program Isu-isu Alam Sekitar dan Kepenggunaan 2008, anjuran Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis di Hotel Putra Palace, Kangar, pada 13 Oktober 2008)

Friday, October 3, 2008

Penyata Kewangan Sebagai Petunjuk Prestasi

Penyata Kewangan merupakan satu struktur kewangan yang mengandungi Kunci Kira-kira, Penyata Pendapatan, Penyata Pergerakan di dalam Ekuiti, Penyata Aliran Tunai dan Polisi Perakaunan dan Nota Penjelasan yang berfungsi untuk mempersembahkan kedudukan kewangan sesebuah entiti perniagaan. Maklumat yang sering dilihat dalam penyata kewangan ialah Aset, Liabiliti, Ekuiti, Untung dan Rugi dan Aliran Tunai. Analisis nisbah yang boleh digunakan dalam mengukur prestasi ialah nisbah-nisbah keberuntungan (profitability ratios), nisbah-nisbah kecekapan (efficiency ratios), dan nisbah-nisbah kecairan (liquidity ratios).

Analisis Seluruh Perniagaan Ladang
Analisis seluruh ladang memerlukan beberapa maklumat penting untuk meningkatkan atau membaiki sesuatu perniagaan. Kebiasaannya analisis menggunakan ringkasan kewangan yang utama: penyata pendapatan (penyata untung rugi), kunci kira-kira dan penyata aliran tunai.

Penyata pendapatan penting untuk menunjukkan prestasi perniagaan sepanjang tahun tersebut. Daripada penyata ini, gambaran tentang pulangan pelbagai sumber setelah ditolak semua perbelanjaan akan diperolehi. Kunci kira-kira merupakan maklumat yang penting untuk membandingkan perubahan yang berlaku tahun ke setahun ataupun untuk beberapa tahun. Penyata aliran tunai pula dapat membantu analisis dengan menunjukkan punca-punca dan kegunaan tunai sepanjang tahun. Ianya juga dapat membantu bila keperluan tunai diperlukan.

Analisis Perbandingan
Dengan menggunakan kaedah ini, keputusan yang diperolehi dibandingkan dengan suatu standard atau piawai yang telah ditetapkkan. Salah satu contoh standard ialah objektif belanjawan semasa merancang belanjawan.
Sekiranya keputusan yang diperolehi tidak mencapai matlamat yang ditentukan, ianya menunjukkan masalah sehingga menjejaskan prestasi perniagaan tersebut. Piawaian lain yang boleh digunakan ialah membandingkan pencapaian perniagaan dengan ladang-ladang lain yang hampir sama dari segi jenis dan saiz.

Analisis Arah Aliran
Bagi membolehkan analisis arah aliran, peladang perlu merekodkan rekod kewangan perniagaan mereka untuk beberapa tahun. Daripada analisis tersebut, peladang boleh mengenalpasti sama ada prestasi ladangnya menaik atau menurun. Untuk prestasi yang menunjukkan aliran menurun, kajian lebih terperinci perlu dilakukan.

Proses membuat analisis dan Jenis analisis
Sepertimana melakukan penyelidikan, analisis seluruh ladang dimulakan dengan mengenalpasti masalah, diikuti dengan mendefinisikan masalah, dan mencari alternatif bagi mengatasi masalah tersebut. Di antara analisis seluruh ladang yang boleh dibuat ialah analisis kewangan, keberuntungan, saiz ladang, kecekapan dan bidang kuasa.

Analisis Kewangan
Analisis kewangan tertumpu kepada kedudukan modal perniagaan termasuk kemampubayaran, kecairan, dan perubahan nilai bersih perniagaan tersebut. Di antara analisis kewangan yang kerap digunakan ialah Nisbah Semasa, Nisbah modal operasi, Nisbah hutang-ekuiti, nisbah modal bersih, dan nilai bersih.

Analisis keberuntungan
Perniagaan yang mempunyai kemampubayaran dan kecairan yang baik tidak semestinya merupakan sebuah perniagaan yang menguntungkan. Keberuntungan boleh ditentukan dengan mengkaji rekod Penyata Pendapatan (atau akaun untung rugi). Ukuran keberuntungan yang boleh dilakukan ialah pendapatan ladang bersih, pulangan buruh, pulangan pengurusan, modal dan ekuiti. Kritikan terhadap kaedah ini ialah ianya hanyalah ukuran pulangan faktor dan bukannya pulangan sut. Sebagai contoh, kadar pulangan modal ialah purata kadar pulangan semua modal yang dilaburkan dalam perniagaan dan bukannya pulangan sut bagi ringgit terakhir yang dilaburkan.

Analisis Saiz
Masalah pendapatan dan keberuntungan mungkin wujud pada sesuatu musim disebabkan oleh cuaca yang buruk yang menjejaskan hasil tanaman, serangan penyakit, atau harga yang rendah akibat dari peningkatan pengeluaran barangan pengganti. Jika masalah ini berterusan pada musim-musim apabila purata hasil dan harga adalah baik, masalah ini boleh dikesan dengan mengkaji saiz ladang atau operasi ladang tidak cekap.