Total Pageviews

Saturday, December 27, 2008

Agricultural Finance 6: Jenis-jenis Pinjaman Dalam Perniagaantani

Terdapat berbagai-bagai jenis pinjaman pertanian, dan peladang perlu memilih jenis yang sesuai dengan perniagaannya. Jenis-jenis pinjaman boleh dikelaskan mengikut tempoh masa pinjaman, penggunaannya, sekuriti dan jadual bayaran baliknya.

1. Tempoh Masa Pinjaman
Pengelasan pinjaman mengikut tempoh masa sering digunakan oleh institusi kewangan. Terdapat tiga kelas pinjaman iaitu pinjaman jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

i) Pinjaman Jangka Pendek
Pinjaman jangka pendek ialah pinjaman yang mesti di bayar balik dlam tempoh masa selewat-lewatnya 12 bulan. Pinjaman jenis ini selalunya digunakan untuk membeli baja, racun, biji benih, makanan ternakan dan input berubah yang lain. Pembayaran semula dibuat hanya apabila hasil ladang telah dikutip dan dijual.

ii) Pinjaman Jangka Sederhana
Pinjaman Jangka Sederhana ialah pinjaman yang tempoh pembayaran melebihi setahun, tetapi kurang dari sepuluh tahun. Pembayaran haruslah dibuat setiap bulan, atau setiap tahun, tetapi peminjam mempunyai beberapa tahun untuk menjelaskan kesemua pinjaman mereka. Pinjaman jenis ini kerap digunakan untuk membeli asset tetap seperti jentera.

iii) Pinjaman Jangka Panjang
Pinjaman yang mempunyai tempoh bayaran balik melebihi sepuluh tahun dikelaskan sebagai pinjaman jangka panjang. Kebiasaannya untuk pembelian tanah dan bangunan. Pembayaran haruslah dibuat setiap bulan, atau setiap tahun, dan peminjam mempunyai tanggungan pembayaran yang lama.

2. Penggunaan Pinjaman
Tujuan sesuatu pinjaman itu dibuat juga boleh digunakan untuk mengelaskan pinjaman. Umumnya terdapat tiga jenis penggunaan iaitu Pinjaman Harta Tanah, Pinjaman Bukan Harta Tanah, dan Pinjaman Persendirian.

i) Pinjaman Harta Tanah
Pinjaman kategori ini digunakan untuk membeli harta tanah seperti tanah dan bangunan.

ii) Pinjaman Bukan Harta Tanah
Semua jenis pinjaman perniagaan selain pinjaman harta tanah dimasukkan ke dalam kategori ini. Pinjaman ini mengandungi kedua-dua jenis tempoh pinjaman, iaitu pinjaman jangka pendek dan jangka sederhana. Pinjaman ini juga dianggap sebagai pinjaman pengeluaran atau pinjaman operasi.

iii) Pinjaman Persendirian
Pinjaman jenis ini adalah pinjaman yang dibuat bukan untuk perniagaan tetapi untuk membeli aset persendirian seperti rumah, kenderaan dan sebagainya.

3. Sekuriti

Sekuriti untuk sesuatu pinjaman ialah asset yang digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman dan memastikan pembayaran balik dibuat. Jika peminjam tidak mampu untuk membayar ansuran pokok atau bunga bagi pinjaman, pemberi pinjaman mempunyai kuasa untuk mengambil alih aset yang dicagarkan itu. Aset ini lazimnya dijual oleh pemberi pinjam dan wang yang diperolehi digunakan untuk mendapatkan kembali wang pinjaman tersebut.

i) Pinjaman Bercagar
Untuk pinjaman jenis ini, aset digunakan sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman. Pemberi pinjaman lebih suka memberi pinjaman jenis ini kerana ia memberi jaminan bahawa pinjaman tersebut akan dibayar balik. Sekiranya peminjam tidak membayar pinjaman yang dibuat, selepas melalui beberapa proses perundangan, aset tersebut akan menjadi hakmilik pemberi pinjaman. Untuk pinjaman harta tanah dan pinjaman jangka panjang, tanah dan bangunan seringkali dijadikan cagaran. Sebaliknya jentera pula sering dijadikan cagaran untuk pinjaman jangka sederhana.

ii) Pinjaman Tanpa Cagaran
Seseorang peminjam yang mempunyai kedudukan kredit yang baik mungkin boleh meminjam wang hanya dengan ‘berjanji untuk membayar balik’ dengan tidak menggunakan sebarang aset sebagai cagaran. Kebiasaannya berlaku bagi pinjaman jangka pendek.

4. Pembayaran Balik
Pinjaman juga boleh dikelaskan mengikut jadual pembayaran balik. Secara umum, terdapat dua jenis pinjaman mengikut jenis ini – iaitu bayaran tunggal dan pelunasan.

i) Bayaran Tunggal
Pinjaman jenis ini memerlukan jumlah yang dipinjam dibayar sekali gus apabila sampai tempohnya. Pinjaman jangka pendek atau pinjaman operasi adalah pinjaman jenis ini.

ii) Pelunasan
Pinjaman terlunas ialah suatu pinjaman yang mempunyai pembayaran pokok dan dan bunga yang berkala. Terdapat dua jenis pelunasan iaitu “bayaran pokok sama” dan “bayaran jumlah sama”.

Bagi “bayaran pokok sama”, jumlah pokok untuk setiap pembayaran adalah sama, dan bunga bagi baki pinjaman adalah berbeza-beza mengikut jumlah baki pinjaman. Sebagai contoh, pinjaman sebanyak RM50 ribu selama 10 tahun akan mempunyai bayaran pokok sebanyak RM5 ribu setahun, dan ditambah bunga bagi baki yang belum dibayar. Apabila baki pinjaman berkurangan dengan setiap bayaran pokok, bayaran bunga pun akan berkurangan.

Kebiasaannya, peminjam yang menggunakan wang pinjaman untuk projek berkaitan perniagaantani akan berasa sukar untuk membuat bayaran yang pertama kerana perniagaantani yang baru dijalankan memerlukan masa untuk mendapat aliran tunai yang baik. Oleh yang demikian pinjaman terlunas jenis “pembayaran pokok sama” tidak sesuai kepada kumpulan ini. Jenis pinjaman yang sesuai ialah “bayaran jumlah sama”. Untuk pinjaman “bayaran jumlah sama”, jumlah pokok yang dibayar pada tahun-tahun awal pinjaman dibuat adalah kecil, kemudian bertambah besar apabila tempoh pinjaman hendak tamat.

NASIHAT ILMU:
Dikesempatan cuti panjang di hujung bulan Disember 2008 ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kenalan saya dari Taman B. Jambul, Pulau Pinang yang memberi tunjuk ajar bagaimana menggunakan laman blog. Beliau membantu menyusun blog ini dengan baik sekali dan memudahkan saya memasukkan artikel-artikel terbaru dari masa kesemasa. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa baik beliau.

Laman blog ini sangat berfaedah dalam kerjaya saya sebagai pensyarah. Melalui blog ini saya dapat memasukkan artikel-artikel terbaru dan membacanya semula di mana saja saya berada. Begitu juga melalui blog ini, nota-nota kuliah dan perbincangan di antara pelajar dan peminat isu-isu akademik dalam bidang ekonomi dan pengurusan perniagaantani telah dapat dilakukan sama ada di dalam kelas, kolej, masjid, rumah dan internet cafe. Perbincangan bernas tersebut dapat memberi idea bagi mempertingkatkan ilmu dan kefahaman isu-isu yang diperkatakan. Sebenarnya banyak lagi yang perlu dipelajari bagi menjadikan blog “Happy Day” lebih menarik. Sebarang cadangan dan bantuan dari pembaca blog “Happy Day” amat dihargai.

Seterusnya saya ingin menyentuh artikel yang ditulis oleh Dato’ Dr Harun Din dalam isu peranan pemerintah dalam mentadbir Negara.

Wassalam.

Jamal Ali, PhD
Department of Economics,
UUM College of Arts and Sciences,
Universiti Utara Malaysia,
06010 Sintok, Kedah
email: jamalali@uum.edu.my


Peranan pemerintah dalam mentadbir Negara:

Allah sudah memberi petunjuk dan panduan kepada pemerintah yang diberi kuasa memerintah. Apa yang sepatutnya dilakukan, misalnya dalam firman Allah SWT (mafhumnya): "Golongan yang diberi kuasa untuk memerintah di muka bumi ini, hendaklah mereka (memperkukuhkan hubungan dengan Allah) mendirikan sembahyang dan (menjaga kepentingan golongan bawahan) menunaikan zakat, dan menegakkan yang makruf, membasmi yang mungkar dan berserahlah kepada Allah, yang kepada-Nya kembali segala urusan." (Surah al-Hajj, ayat 41)

Nabi Sulaiman a.s., ketika Allah mengurniakan kepadanya kekuasaan dan kelebihan yang nyata dengan pelbagai keajaiban, baginda menyebut seperti yang dalam al-Quran (mafhumnya): "...Ini adalah suatu kurnia dari Tuhanku, untuk menguji daku, apakah aku bersyukur atau aku kufur kepada-Nya. Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya, dan barangsiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah." (Surah an-Naml, ayat 40)

Ingatlah apa yang berlaku dalam sejarah awal Islam pada zaman silam, ketika Allah menguji para sahabat dengan kesusahan dan bala bencana, termasuk kezaliman musuh ke atas mereka sehingga ada yang korban syahid, mereka tahan diuji.

Apabila Allah menguji mereka dengan kemenangan, maka ada yang kecundang, khususnya dalam Perang Uhud, apabila harta rampasan perang bersepah di hadapan mata, tentera Islam yang diperintah mempertahankan Bukit Rumaah di Uhud, tidak sabar berhadapan dengan kilauan kemenangan sehingga sanggup melanggar perintah Rasulullah s.a.w.

Hasil daripada kesilapan itu, akhirnya mereka kecundang. Allah menceritakan perihal ini dalam firman-Nya (mafhum): "Dan sesungguhnya Allah telah menunaikan janji-Nya kepada kamu, ketika kamu mengalahkan musuh kamu dengan izin-Nya (di awal Perang Uhud), sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih faham, sama ada hendak terus mematuhi perintah Rasulullah, ataupun melanggarinya, setelah Allah menguji kamu dengan memperlihatkan kemenangan yang sementara.

Antara kamu yang mengkehendaki kesenangan dunia, ada yang mengkehendaki akhirat, (oleh kerana ada yang mengkehendaki kesenangan dunia) kemudian Allah menewaskan kamu untuk menguji kamu. dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah memberi limpah kurnia yang banyak untuk orang-orang yang beriman). (Surah ali'Imran, ayat 152) .

Kemenangan ini juga suatu nikmat dari Allah. Nikmat wajib ditangani dengan sebaik-baiknya. Allah memperingatkan kita dalam firman-Nya (mafhum): "Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan bahawa sesungguhnya jika kamu bersyukur di atas nikmat-Ku, pasti akan ditambahkan lagi nikmat itu. Dan jika kamu mengkufurinya, maka sesungguhnya azab aku tersangat pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Ambillah iktibar tersebut, sentiasa beringat dengan nikmat tersebut dan hargai anugerah-Nya, jangan lupa diri dan berlaku adil dalam semua urusan kerana sifat adil itu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Bekerja keraslah untuk menjaga kemenangan kerana kemenangan itu sifatnya sementara, melainkan dengan pertolongan Allah jua ia akan kekal.

Waalhua'lam.

3 comments:

Anonymous said...

We must congratulate Dr. for having a blogspot that is so rich in economic theories as well as religious values.It has promoted interest in the study of economics as well as active participation from students who have come out with creative comments. However as the readers of your blogspot, we would like to inform Dr. that your web page cannot be displayed perhaps due to some technical problems. Hopefully Dr. can update the page again
Thanks
Your readers of blogspot

TengkuNora said...

Dear Dr.
Semoga bergantinya tahun ini, digantikan olehNYA segala keburukan dengan kebaikan, dosa diganti pahala, kelemahan diganti kekuatan, resah diganti tenang. Semoga kita menjadi insan yang lebih baik dari tahun lepas....Insyallah....

Salam Maal Hijrah 1430

Dr. Jamal Ali said...

Reply to comments by Anonymous:
Yes, I realized there were some technical problem with my webpage, I will try to look at it.

Reply to comments by TengkuNora:
I would like to add your adviced with this statement: WHEN YOU DO SOMETHING....PLEASE...
1) Give to everybody the best of yourself... That is called sincerity!!
2) Give the best of yourself... That is called excellence!!
4) Trying to do what you have planned... That is called taking action!!
5) Understand that not everybody is at your level... That is called tolerance!!

Thanks,
Dr. Jamal Ali