Total Pageviews

Tuesday, December 30, 2008

Agricultural Finance 7: Sumber Dana Pinjaman

Pengenalan
Individu atau institusi yang terlibat dengan Perniagaantani, sama ada petani, pemborong, peruncit, dan pemproses barang pertanian boleh mendapatkan modal atau dana pinjaman dari dua sumber, iaitu melalui pinjaman institusi dan sumber pinjaman bukan institusi. Sumber dana institusi ialah Pertubuhan Peladang, Koperasi, Bank Perdagangan dan Agrobank. Sumber bukan institusi termasuk peruncit atau pemborong melalui integrasi secara menegak (Vertical integration), pemilik tanah melalui sistem pajakan, ahli keluarga dan jiran. Perbincangan dalam sesi ini akan tertumpu kepada sumber dana institusi.

Institusi Pinjaman Perniagaantani di Malaysia
Terdapat beberapa institusi yang diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu mereka yang terlibat dengan perniagaantani untuk mendapatkan modal bagi menjalankan perniagaantani mereka. Institusi-institusi tersebut adalah seperti berikut:

1. Pertubuhan Peladang
Pertubuhan Peladang ditubuhkan untuk mewujudkan satu pergerakan peladang yang kuat ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi ahli-ahlinya. Pertubuhan ini menjalankan aktiviti bantuan teknikal berkaitan dengan pertanian, disamping aktiviti-aktiviti yang membantu pembangunan modal manusia dan pembangunan sosial petani. Kebanyakan aktiviti Pertubuhan Peladang adalah bertujuan untuk mengubah sikap masyarakat tani. Di antara strategi yang dilakukan oleh Pertubuhan Peladang ialah menjalankan aktiviti perniagaan yang berhubung secara langsung dengan perusahaan ahli-ahlinya seperti pembekalan input pertanian, pemasaran, pemprosesan, dan pemberian pinjaman. Di bawah pemberian pinjaman, Pertubuhan Peladang menjalankan aktiviti seperti berikut:

a) Menyediakan kemudahan pinjaman untuk membolehkan petani membeli input pertanian,
b) Menyediakan panduan untuk mendapatkan pinjaman dan menyelia penggunaan pinjaman pertanian,
c) Menguruskan pengutipan hutang yang diberi, dan
d) Menelaraskan pinjaman daripada AgroBank kepada ahli-ahli Pertubuhan Peladang.

2. Koperasi
Koperasi, sepertimana Pertubuhan Peladang, adalah sumber utama yang lain di mana petani boleh mendapatkan dana pinjaman. Gerakan koperasi di luar bandar, bertujuan di antara lain memberi pinjaman kepada ahli-ahli mereka, dan berusaha mengelakkan mereka daripada berhutang dengan orang tengah. Antara koperasi yang boleh dijadikan contoh ialah koperasi pekebun-pekebun kecil dan koperasi peneroka FELDA.

3. Bank Perdagangan
Bank Perdagangan juga merupakan institusi kewangan yang penting dalam pembangunan perniagaantani. Di antara bank yang memberi pinjaman kepada sektor perniagaantani ialah Bank Rakyat, CIMB, Public Bank dan Maybank.

4. Agrobank
Agrobank adalah sebuah bank milik kerajaan (GLC) di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Dasar pembiayaan bagi sektor pertanian adalah berpandukan polisi yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Agrobank sebagai kesinambungan Bank Pertanian Malaysia mempunyai pengalaman melebihi 40 tahun dalam bidang perbankan pertanian yang mempunyai rekod cemerlang dalam membentuk dan membina usahawan-usahawan yang berjaya.

Agrobank menyediakan perkhidmatan kewangan yang menyeluruh mengikut kehendak pasaran dan pelanggan secara kelestarian kewangan kepada kumpulan sasar yang tertentu seperti:

i) Usahawan Tani
ii) Usahawan mikro, kecil dan sederhana
iii) Individu persendirian

Peranan utama Agrobank
i) Agrobank menyediakan perkhidmatan kewangan dan perbankan kepada semua aktiviti ekonomi.
ii) Menyediakan penarafan kredit pertanian
iii) Meningkat dan menggalakkan pembiayaan pertanian oleh sektor perbankan.
iv) Pusat kepakaran pertanian
v) Agen bagi program pembangunan kerajaan

PINJAMAN/PEMBIAYAAN
Agrobank menawarkan kemudahan kredit yang menarik dalam semua aspek untuk memoden dan membangunkan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di dalam negara.

Tujuan pinjaman yang boleh dipohon:
Kemudahan pembiayaan adalah bertujuan menyediakan modal kepada individu/syarikat bagi memula projek pertanian baru atau mengembangkan projek sedia ada.

Skop Pembiayaan Pertanian
Semua jenis aktiviti pertanian yang bermula daripada pengeluaran, pemprosesan, pembuatan dan pemasaran merangkumi aktiviti huluan dan hiliran.

Sektor pertanian adalah meliputi penanaman, perhutanan, perikanan, penternakan dan bidang-bidang berkaitan dengan pertanian, umpamanya pelancongan tani.

Kelayakan
Mereka yang layak memohon adalah warganegara Malaysia atau syarikat Malaysia, iaitu seperti berikut :
i) Individu
ii) Perkongsian
iii) Syarikat
iv) Koperasi
v) Persatuan
vi) Pertubuhan

Had Pembiayaan:
Kemudahan pembiayaan adalah sehingga 70 peratus daripada kos projek

Bentuk Pembiayaan:
i) Pinjaman Pusingan (Revolving Credit)
ii) Pinjaman Berjangka (Term Loan)
iii) Kemudahan Perbankan (Banking Facilities)
iv) Kaedah Pembiayaan
v) Konvensional
vi) Sistem Perbankan Islam (SPI)

Kadar Faedah & Keuntungan
i) Kadar faedah adalah antara 1.0% hingga 4.0% melebihi Kadar Asas Berian Pinjaman (KABP).
ii) Kadar faedah bagi Dana Khas Kerajaan adalah berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh pemberi Dana.
iii) Kadar keuntungan bagi Perbankan Islam adalah berdasarkan kepada kadar yang dipersetujui.

Cagaran
Semua jenis aset tetap, sijil-sijil saham, sijil-sijil amanah, deposit tetap dan lain-lain yang boleh diterima oleh Bank.

Permohonan
Permohonan pembiayaan berserta dokumen-dokumen yang diperlukan boleh dikemukakan di mana-mana cawangan, Pejabat Negeri atau Ibu Pejabat Agrobank.

Pengeluaran Wang
Pengeluaran wang pembiayaan adalah mengikut kemajuan projek atau berdasarkan dokumen-dokumen yang boleh diterima oleh Agrobank.

Pembayaran Balik
Pembayaran balik boleh dilakukan secara bulanan / sukutahun / setengah tahun dalam tempoh yang ditetapkan berdasarkan kepada jenis pinjaman yang dibiayai.

Perbincangan Seterusnya dalam Agricultural Finance 8 akan tertumpu kepada topik berkaitan Skim Jaminan Kredit Enhancer, Pinjaman Berjangka, Kemudahan Modal Pusingan (Revolving Loan), Kemudahan Banking (Banking Facilities), Skim Khas dan Skim Kredit Mikro yang ditawarkan oleh Agrobank.

Sebagaimana biasa nasihat ilmu pada kali ini menyentuh ingatan kepada diri saya dan mereka yang membaca blog ini berkaitan perkara-perkara yang kita lakukan sehari-hari. Selain dari perkataan "TIDAK", dalam kehidupan kita juga kena biasakan perkataan "JANGAN".

NASIHAT ILMU:
a) Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini Allah tidak suka. Kalau tertidur lain cerita.

b) Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.

c) Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).

d) Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

e) Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan.

f) Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

g) Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.

h) Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.

i) Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula.

j) Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

k) Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

l) Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

m) Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.

n) Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

o) Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan kita.

ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.

Wasalam

1 comment:

Alan Hiley said...

Prof, I like yr approach.
Keep it up.