Total Pageviews

Saturday, October 29, 2011

Strategi mengatasi kenaikan harga ayam

Kebelakangan ini kenaikan harga ayam mencecah hinga RM8 sekilogram, hinggakan ada cadangan dari pihak-pihak tertentu yang mencadangkan kepada pengguna supaya memboikot pembelian ayam. Sebaliknya ada di antara Persatuan-Persatuan Pengguna seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat pemboikotan pembelian ayam bukan penyelesaian terbaik dalam isu kenaikan harga ayam, sebaliknya mereka mencadangkan agar pengguna mengurangkan pembelian dan pemakanan ayam. Mereka berpendapat jika pengguna dapat mengurangkan pembelian dan pemakanan ayam, permintaan terhadap ayam dalam pasaran akan berkurangan seterusnya dapat menurunkan harga ayam. Sebaliknya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula berpendapat tindakan memboikot pembelian dan pemakanan ayam akan menjejaskan peniaga kecil ayam di negara ini. Ini kerana peniaga kecil ayam hanya menerima harga borong yang ditetapkan oleh penternak dan pemborong, dan jualan mereka dalam jumlah yang kecil sahaja.

Sebenarnya harga sesuatu barang dipengaruhi oleh faktor seperti keadaan permintaan, keadaan penawaran, perkhidmatan pemasaran dan kos dan camputangan kerajaan. Sekiranya diingat, campurtangan kerajaan dalam pasaran ayam bermula dari tahun 1995, apabila menjelang sambutan Hari Raya pada masa tersebut kerajaan menetapkan harga maksimum ayam pada harga RM5.40 sekilogram, sedangkan keadaan permintaan dan penawaran pada masa tersebut membolehkan harga ayam meningkat kepada RM6 sekilogram. Pengguna memuji langkah tersebut, tetapi apa yang tidak diketahui oleh pengguna ialah dalam aktiviti perniagaan penternakan ayam, terutamanya penternak kecil-kecilan, faktor seperti bekalan anak ayam, makanan ayam, ubat-ubatan dan kos pembinaan reban ayam berubah-ubah mengikut masa, walau pun di dalam tahun yang sama. Kebiasaannya musim perayaan menjanjikan keuntungan yang tinggi kepada penternak kecil-kecilan untuk menampung kerugian di luar musim perayaan. Penternak besar-besaran pula sentiasa dapat menyesuaikan keadaan harga dengan penawaran kerana mereka mengeluarkan sendiri anak ayam, makanan ayam dan ubat-ubatan yang diperlukan dalam industri penternakan. Mengikut maklumat yang diterima, bilangan penternak merosot dari 4,900 penternak pada tahun 1994 kepada 2,600 penternak pada tahun 2000. Pada masa sekarang pula, diketahui 12 penternak utama menguasai melebihi 80 peratus dari pasaran ayam di Malaysia. Keadaan perniagaan ayam menjadi seperti organisasi perniagaan bercorak Oligopoli apabila penternak-penternak besar ini berjumpa dan berbincang menentukan penawaran, penentuan harga pasaran yang sesuai dan berbincang dengan kerajaan. Kuasa tawar menawar di antara kerajaan dan penternak besar-besaran dalam menentukan harga pasaran yang sesuai tentunya kini menyebelahi kumpulan penternak.

Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memberi galakan kepada penduduk luar Bandar untuk meningkatkan penternakan secara kecil-kecilan terutama ternakan ayam kampung atau ayam organik. Peningkatan bekalan ayam dari kawasan luar Bandar tentunya akan mengurangkan tekanan permintaan yang boleh menaikkan harga ayam. Langkah memboikot mungkin sukar dilakukan kerana ketidakanjalan permintaan harga bagi ayam. Faktor kedudukan ayam sebagai barangan keperluan isirumah dan tidak mempunyai pengganti yang hampir menjadikan permintaan ayam tidak anjal harga. Harga barang pengganti yang hampir seperti daging pun sudah mencecah RM18 sekilogram, begitu juga harga ikan yang turut mengalami peningkatan harga yang ketara. Begitu juga tindakan mengimport ayam dari negara lain bukan penyelesaian terbaik kerana harga ayam di Negara pengeksport sendiri boleh berubah-ubah mengikut kos pengeluaran keadaan permintaan dan penawaran di Negara tersebut sendiri, di samping isu halal yang menjadi isu utama kepada umat Islam di Malaysia. Dalam hal pemakanan, kita bukan hanya melihat kepada produk makanan tersebut, tetapi juga perlu dilihat apa yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut. Dalam kes penternakan ayam, perlu dikaji juga makanan dan ubat-ubatan yang digunakan untuk membesarkan ayam tersebut perlu dari sumber yang halal.

5 comments:

Rushdi Baharum said...

Kerajaan perlu melihat dan melakukan diagnosis kepada rantaian pembekalan (Supply Chain) dan juga kepada Rantaian Keuntungan Perkhidmatan (Service-profit Chain) dalam industri bekalan ayam ini. Tujuannya adalah mencari dimanakah sebenarnya kenaikkan harga tersebut itu berlaku. Adakah kerana kenaikkan kos seperti:

1. Produk makanan ayam.
2. Pekerja/buruh
3. Penghantaran
4. Pemasaran
5. Operasi/pemprosesan

Atau adakah disebabkan:
1. Permintaan yang melebihi pengeluaran.
2. Pengurangan jumlah penternak ayam.
3. Wabak penyakit dan sebagainya.

Jika masalah tersebut telah jelas dikenal pasti, maka kerajaan pboleh mengambil pelan tindakan yg berkesan.

Semua ini tidak jelas. Dan kerajaan juga tidak memberikan satu maklumat yg tepat kepada pengguna mengapa kenaikkan harga ayam ini berlaku.

Kerajaan perlu menetapkan paras keuntungan yang boleh diambil oleh pengeluar ayam dalam tempoh masa yg tertentu mengikut kondisi ekonomi semasa dgn syarat2 yg tertentu. Bukan menetapkan harga runcit dipasaran.

Mohd Redhuan Shah 809407 IKIP-MBA Kuantan said...

Salam Prof Jamal,

Sesuatu yang baru sedang berlaku di Eropah dimana penguna memilih untuk hanya membeli ayam yang diternak bebas ( free range chickens ) Pendapat mereka ialah ayam daging yang dikurung dan dibesarkan tanpa pergerakan adalah menyiksa ayam dan juga daging ayam tersebut yang tercampur ubat-ubatan dan steriod membesar adalah tidak sesuai untuk dimakan. Sila layari website dibawah untuk mengetahui issue tersebut http://www.ciwf.org.uk/about_us/default.aspx

Anonymous said...

Assalamualaikum w.b.t Prof Jamal,

Sangat bersetuju dengan pendapat Prof Jamal mengenai apa yg patut dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga ayam. Sememangnya ayam telah menjadi makanan penting bagi sumber protein dalam masakan selain daripada ikan dan daging. Pihak kerajaan sepatutnya bertindak lebih bijak bagi mengelakkan berlakunya Oligopoli. Sumber alternatif bagi menggantikan ayam sepatutnya telah dikenalpasti bagi mengelakkan situasi seperti ini. Sumber bekalan dari penternakan air tawar patut diberi perhatian bagi mengawal harga semasa ayam dari terus meningkat.....
" Eat to Live, Don't Live to Eat"

-Putra M.D. Ridzuan-
MBA IKIP, Kuantan
806741

PAK NGAH said...

Assalaamualaikum warahmatullahi waba rokaatuh
Prof. , saya berpendapat bahawa kenaikan harga ayam adalah permainan sedozen pengusaha besar yang Prof katakan itu. Pihak kerajaan buat masa ini terpaksa tunduk kepada mereka kerana saya rasa atas alasan politik mereka.
Pada hemat saya, kerajaan boleh merubah secara perlahan trend ini apabila pihak kerajaan sendiri mewujudkan syarikat berkaitan kerajaan ( GLC ) untuk menternak ayam secara skala besar. Apabila peniaga ni nampak langkah kerajaan , maka mereka juga terpaksa beralah. Sudah tiba masanya pihak kerajaan mengambil langkah drastik untuk menjaga kebajikan rakyat.
Kes ayam daging ni sama macam kes BERNAS. Dari sumber dalaman, saya dengar stok beras negara boleh dikatakan sudah tiada kerana semua telah dijual kepada golongan mata sepet dan dalam kawalan mereka. Pengurusan kanan BERNAS telah mendapat keuntungan besar dan sebahagian mereka menjadi jutawan. Menteri berkaitan cuba menafikan perkara ini tetapi memorandum dan proposal daripada kakitangan BERNAS yang sayangkan negara telah diberi kepada YAB Perdana Menteri sendiri.
Saya bersetuju dengan cadangan kerajaan supaya rakyat mula memelihara ayam sendiri untuk mengurangkan permintaan kepada ayam daging yang semakin mahal. Disamping itu, rakyat bolehlah mengurangkan pengambilan ayam daging bagi mengimbangi kenaikan harga dan menjimatkan perbelanjaan dapur.
Tahniah kerana Prof mengutarakan isu-isu ekonomi dalam blog. Tak ramai yang nak buat perkara semacam ini.

Yang benar
OMAR ISMAIL (804385)
UUM MBA KUANTAN

Lim Rong Rong said...

212084
BEEA 3123 Group A

Saya amat bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh sir.seperti yang dikatakan oleh sir bahawa sekarang pasaran ayam telah dikuasai oleh 12 perternak ayam utama yang menguasai pasaran lebih drpd 80%.ini menyebabkan pasaran ayam menjadi seperti pasaran oligopoli.ini akan menyebabkan harga ayam akan meningkat.ini kerana keanjalan pasaran bagi oligopoli adalah tidak anjal.sedangkan mereka boleh berbincang dan menetapkan harga yang dipersetujui mereka sendiri selepas berbincang dengan kerajaan.ayam pada masa sekarang merupakan barang keperluan setiap isi rumah.oleh itu keanjalannya adalah tidak anjal.walaupun penjual ayam meningkatkan harga,permintaan ayam tidak akan berkurang banyak.walaupun ini memberi faedah/keuntungan yang lumayan kepada penjual ayam,tetapi ia memberi bebanan kepada isi rumah.ini juga akan menurunkan taraf hidup masyarakat.