Total Pageviews

Sunday, September 7, 2008

Konsep Keuntungan, Campuran Pasaran dan Konsep Produk dalam Perniagaantani

Diketahui matlamat utama firma ialah untuk memaksimumkan keuntungan. Firma berusaha mendapatkan keuntungan di dalam aktiviti mereka kerana keuntungan memberi isyarat kepada pengeluar untuk mengubah kadar pengeluaran, dan sebagai pulangan kepada pengeluar/usahawan yang mengambil risiko perniagaan dan berjaya mengurangkan kos pengeluaran.

Keutungan adalah bersamaan dengan Jumlah Hasil (TR) ditolak dengan Jumlah Kos (TC). Dalam bahagian teori permintaan, telah diterangkan firma dapat menentukan TR melalui hasil dharab harga (P) dan kuantiti permintaan (Q). Dalam bahagian ini, kita akan membicarakan teori kos bagi melengkapkan teori firma untuk memaksimumkan keuntungan itu.

Contohnya, seorang penternak ayam menjual 1,000 ekor ayam dengan harga purata RM10 seekor di pasaran. Jumlah kos yang ditanggung oleh pengeluar tersebut dalam menternak ayam ialah RM7,000. Dengan demikian jumlah keuntungan yang diperolehi oleh penternak tersebut ialah RM3,000.

Jumlah Hasil (TR) = Harga (P) x Kuantiti Output (Q)
= RM10/ekor x 1,000 ekor
= RM10,000

Jumlah Kos (TC) = Kos Tetap + Kos Berubah
= RM7,000

Untung = Jumlah Hasil (TR) – Jumlah Kos (TC)
= RM10,000 – RM7,000
= RM3,000

Berdasarkan formula pengiraan untung sesebuah firma yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan faktor kuantiti produk dan harga produk sangat mempengaruhi keuntungan. Dengan demikian kajian mengenai faktor-faktor yang berkaitan dengan produk (product), harga (price), aktiviti promosi (promotion), dan kaedah pengagihan (place) penting dalam pemasaran. Kajian pemasaran dengan menggunakan campuran pasaran ini dipanggil konsep empat P. Konsep ini akan dibincangkan satu persatu, tetapi perlu diketahui keempat konsep empat P tersebut bergantungan antara satu sama lain untuk membolehkan firma berada dalam kedudukan yang baik dalam pasaran.

Nilai Produk (the value bundle)
Dari segi strategi produk, firma pemasaran perniagaantani perlu mengetahui produk yang dikehendaki oleh sasaran pasaran. Konsep nilai produk (the value bundle) membincangkan faedah nampak dan faedah tidak nampak yang diperolehi oleh pelanggan apabila menggunakan produk tersebut. Konsep nilai produk tersebut boleh diperjelaskan dengan menggunakan konsep keseluruhan produk (total product concept). Konsep ini melihat produk dari empat peringkat: produk generik (generic product), jangkaan dari produk (expected product), nilai ditambah produk (value added product), dan potensi produk (potential product). Pemahaman empat peringkat produk tersebut membolehkan pegawai pemasaran dalam firma perniagaantani memahami nilai ditambah produk misalnya dapat membantu pemasaran produk.

Produk generik (generic product) merupakan ciri-ciri asal produk tanpa sebarang proses tambahan nilai produk tersebut. Contohnya pengeluaran buah naga (dragon fruits). Tidak nampak perbezaan buah naga tersebut dengan buah naga yang dikeluarkan oleh pengeluar lain. Firma pemasaran yang cuma memasarkan buah naga tanpa diproses akan melihat persaingan hanya tertumpu kepada persaingan dari segi harga.

Kebanyakan perniagaantani tidak terhenti dalam pengeluaran produk generik sahaja. Mereka akan turut memberikan perkhdimatan sampingan sepertimana yang dikehendaki oleh pengguna apabila membuat pembelian. Konsep ini di panggil produk yang memenuhi jangkaan pengguna (expected product). Ianya boleh meliputi khdmat nasihat penggunaan barangan, khidmat penghantaran, khidmat layanan pelanggan, dan keadaan firma yang bersih dan teratur.

Seterusnya nilai ditambah produk (value added product) pula memberi perkhidmatan melebihi dari apa yang dapat dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh firma pemasaran. Ianya meliputi khidmat tambahan yang diberikan yang lebih baik dari firma pesaing seperti bantuan menyusun buah naga di rak-rak pemasaran, membekalkan rak, reputasi firma yang baik, dan keselamatan. Dari segi jenis produk pula buah naga itu juga diproses untuk dijadikan pil-pil vitamin dan makanan yang lain seperti jus, makanan pemberi tenaga, perasa makanan dan jem.

Konsep nilai produk (the value bundle) yang keempat ialah potensi produk (potential product). Fokus dalam bahagian ini ialah masa hadapan. Apakah yang pengguna boleh dapat dari firma pada masa hadapan? Selepas menambahnilai produk, firma perniagaantani perlu pula melihat potensi masa hadapan produk di pasaran. Ianya boleh melibatkan maklumat perkembangan produk pesaing, keluaran produk, permintaan produk dan inovasi yang berlaku pada produk-produk pesaing.

Penerimaan produk (product adoption)
Sesuatu yang perlu diambil perhatian oleh firma perniagaantani juga ialah konsep penerimaan produk (product adoption). Konsep penerimaan produk melibatkan kitaran produk (product’s life cycle). Ianya melibatkan peringkat kesedaran wujudnya produk (awareness), minat terhadap produk (interest), penilaian pengguna untuk menggunakan atau tidak terhadap produk yang dipasarkan (evaluation), percubaan pengguna terhadap produk (trial) dan penggunaan pengguna yang kerap terhadap produk tersebut (adoption).

Kitaran hidup produk (product life cycles)
Konsep terakhir yang perlu diketahui dalam membentuk strategi produk ialah kitaran hidup produk (product life cycles). Ianya meliputi jualan dan keuntungan yang dihasilkan dari pengeluaran atau penjualan sesuatu produk pada satu tempoh tertentu. Kita boleh bahagikan kitaran hidup produk kepada lima (5) peringkat: peringkat pembangunan (development stage), peringkat pengenalan (introductory stage), peringkat pertumbuhan (growth stage), peringkat kematangan (maturity stage) dan peringkat kemerosotan (decline stage).

Peringkat pembangunan (development stage) melibatkan perlaksanaan kajian pasaran, dan proses produk dibuat dan perancangan strategi pemasaran. Pada peringkat ini tidak ada hasil, dan terdapat perbelanjaan terhadap pembangunan dan pemasaran produk. Contohnya satu produk kesihatan berasaskan herba ‘wheatgrass’ sedang dibuat kajian dan ditanam untuk dikeluarkan, manakala perancangan sedang dibuat untuk diperkenalkan di pasaran.

Peringkat pengenalan (introductory stage) pula melibatkan aktiviti apabila produk telah ada di pasaran. Produk berasaskan herba ‘wheatgrass’ mungkin memerlukan aktiviti promosi yang hebat dan diberi tawaran menarik kepada penjual untuk menyimpan produk tersebut. Aktiviti pengiklanan dan penajaan program televisyen tertentu mungkin perlu dilakukan.

Peringkat pertumbuhan (growth stage) pula berlaku apabila jualan produk sedang memuncak dan harga meningkat secara perlahan-lahan. Sistem pengagihan berjalan baik dan membolehkan produk berada di pasaran yang lebih luas. Adakalanya kos meningkat juga apabila firma cuba memasuki pasaran baru yang sukar ditembusi. Ada kalanya pesaing akan memasuki pasaran apabila dilihat ada potensi untuk terlibat sama dalam pasaran.

Peringkat kematangan (maturity stage) terjadi apabila pertumbuhan jualan semakin perlahan dan pasaran menjadi tepu. Semua pengguna yang berpotensi telah didapati dan pesaing telah memasuki pasaran.

Peringkat kemerosotan (decline stage) berlaku apabila jualan semakin merosot. Perubahan keutamaan pengguna atau wujudnya produk pengganti di pasaran memberi kesan kepada produk yang firma selama ini keluarkan. Keadaan ini menyebabkan produk tidak laku lagi di pasaran dan boleh lenyap di pasaran. Firma perlu membuat kajian untuk mengeluarkan produk baru yang baru. Sesetengah produk mungkin mempunyai kitaran hidup setahun atau dua tahun sahaja, manaka sesetengah produk yang lain mempunyai kitaran hidup berpuluh-puluh tahun.

Artikel selanjutnya akan membincangkan campuran pemasaran yang kedua iaitu strategi harga (price).

6 comments:

Anonymous said...

salam DR...

Artikel Dr ini menjelaskan konsep keuntungan yang dipengaruhi oleh pengeluaran produk .Pengeluaran produk yang berkualiti,tahan lama, dan yang paling penting iaitu kesesuaian produk yang dikeluarkan perlulah di ambilkira. contohnya,kesesuaian produk yang hendak dikeluarkan perlu mengambilkira faktor kepada siapa produk tersebut hendak dikeluarkan.Sebaik-baiknya, produk yang dikeluarkan mesti dapat diterima umum oleh semua golongan masyarakat tidak kira sama ada golongan tua ataupun muda.Faktor ini penting untuk memastikan produk yang dikeluarkan mempunyai pelanggan tetap disamping potensi untuk meningkatkan keuntungan maksimum firma.
SEKIAN...
FROM:103696

Anonymous said...

SALAM DR

Dalam artikel ini,DR cuba menjelaskan bahawa konsep untung adalah menjadi matlamat utama dalam firma perniagaan tani.Dalam artikel ini menjelaskan bahawa faktor kuantiti produk dan harga produk adalah faktor yang mempengaruhi keuntungan sesebuah firma perniagaan tani
Walaubagaimanapun,dalam artikel faktor produk adalah menjadi pokok perbincangan dalam mencapai keuntungan,Dr ada meletakkan ciri ciri produk yang dapat menarik masyarakat dalam membeli sesuatu produk perniagaan sebagai cntoh melalui nilai tambah sesuatu produk.Dr ada juga menyatakan telah menyatakan konsep penerimaan produk dalam masyarakat.Melalui konsep ini,firma dapat mengkaji keperluan dan kehendak masyarakat berdasarkan citarasa mereka sendiri.Dengan ini,kadar pengeluaran sesuatu firma dapat berkembang dalam tempoh lama yang panjang dan firma itu sendiri dapat meningkatkan keuntungan
sekian
FROM 105239

Anonymous said...

Assalammualaikum Dr. Jamal

103474
Saya ingin menyatakan bahawa ape yang ditulis oleh Dr. dlm artikel ini sememangnya benar. Namun apa yang masih menjadi masalah kepada firma adalah bagaimana untuk meyakinkan pengguna bahawa produk mereka adlalah tulen. Bagi kita yang mempunyai sedikit ilme,mungin mudah untuk menganal pasti, tetapi bagaimana dengan kebenyakkan orang tua yang kurang ilmu. Ada di antara mereka inginkan sesuatu barangan namun disebabkan kerisauan mereka lebih tinggi berbanding keinginan untuk mencuba sesuatu kerana mungkin melibatkan nyawa.

Contohnya produk Easy Pha-max. Terbukti dalam ujian klinikal yang produk tersebut benar-benar berkesan. Tetapi masih ada keraguan pada penguna walaupun iklan telah dilakukan.
Harga produk pula kelihatan seperti tidak mampu untuk dimiliki oleh mereka yang berpendapatan sederhana. Semua manusia inginkan kesihatan yang baik kerana harta yang paling bernilai adalah kesihatan diri.

sekian,
Assalamualaikum...

Anonymous said...

Assalamualaikum Dr…

106058

Sememangnya firma perniagaantani yang menjual produk yang dihasilkan mahukan keuntungan bagi memastikan mereka dapat terus bersaing dan terus barada dalam pasaran. Namun, penghasilan produk yang dapat memenuhi kehendak pengguna akan menentukan firma tersebut akan mendapat keuntungan ataupun tidak. Biasanya nilai ditambah produk (value added product) akan menampakkan produk tersebut dapat bersaing di dalam pasaran. Ia biasanya meliputi bagaimana cara pengeluar memasarkan produk tersebut kepada pengguna. Contohnya dari segi membekalkan rak-rak khusus untuk produk keluaran mereka, memberi hadiah diatas setiap pembelian produk tersebut, jenama produk tersebut dan sebagainya. Keadaan ini akan dapat meyakinkan pengguna bahawa produk tersebut dapat memberi kepuasan yang pengguna mahukan dan tanggapan pengguna terhadap pengeluar betapa pentingnya seseorang pengguna kepada pengeluar. Ini juga adalah strategi pemasaran dari segi psikologi yang pengeluar gunakan. Selain itu, Penerimaan produk dari pengguna juga harus dititik beratkan oleh pengeluar. Hal ini kerana jika pengeluar hanya mensasarkan sesuatu produk hanya untuk golongan tertentu sahaja, maka hasil jualan pasti tidak memberangsang berikutan perlu bersaing dengan pesaing lain terhadap produk yang sama. Oleh itu, kajian yang terperinci perlu diadakan bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat diterima oleh semua peringkat umur dan golongan masyarakat.

Anonymous said...

105283
salam Dr..

seperti yang kita ketahui, keuntungan diperolehi apabila jumlah hasil melebihi jumlah kos atau sekurang-kurangnya dapat menampung kos berubah purata. seperti kata Dr,dari segi strategi produk, firma pemasaran perniagaantani perlu mengetahui produk yang dikehendaki oleh sasaran pasaran. sesuatu produk perlulah mempunyai nilai produk, penerimaan produk dan juga kitaran produk. kitaran produk terbahagi kepada lima peringkat iaitu peringkat pembangunan, peringkat pengenalan, peringkat pertumbuhan,peringkat kematangan dan peringkat kemerosotan. apabila telah mencapai tahap kemerosotan, firma harus melakukan sesuatu dengan membuat kajian mengenai produk baru. ini kerana kitaran produk hanya setahun dua sahaja disebabkan wujud produk baru yang lebih baik yang dikeluarkan oleh firma lain. kesimpulannya, firma perlu melakukan R&D terhadap produk mereka bagi memastikan produk mereka terus menjadi pilihan penguna.

Anonymous said...

104191
Setiap urusniaga yang dilakukan oleh firma adalah bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan, begitu juga dengan perniagaan tani.
Sebelum mencapai matlamat tersebut, firma perniagaan tani haruslah mengetahui strategi-strategi yang dapat menembusi pasaran. Salah satu strategi yang akan dibincangkan di sini ialah pemasaran. Pemasaran adalah satu proses penyasaran untuk mengenali dan memenuhi kehendak pengguna di dalam mengekalkan keuntungan aktiviti yang dijalankan. Pemasaran juga melihat kepada bakal pelanggan kepada barangan yang akan dikeluarkan. Kajian pemasaran dengan menggunakan campuran pasaran ini dipanggil konsep empat P.
Selain itu, jika ingin menjayakan sesebuah perniagaan, ia juga perlu mengetahui potensi produk yang akan dihasilkan. Maka firma perlu beri perhatian kepada konsep nilai produk, penerimaan produk dan kitaran hidup produk.