Total Pageviews

Saturday, June 20, 2009

Konsep pengagihan kekayaan dalam Ekonomi Islam

Sejak kebelakangan ini banyak diperkatakan isu kemelesetan ekonomi dunia kesan dari krisis kewangan yang melanda negara-negara di Amerika Syarikat dan Eropah. Ramai pihak bertanya kepada saya bagaimana kesan krisis kewangan tersebut boleh sampai ke Malaysia. Jawapannya ialah sebagai sebuah negara kecil yang banyak dari aktiviti ekonomi bergantung kepada permintaan eksport, terutama dari negara Amerika Syarikat dan Eropah, krisis kewangan yang melanda negara-negara maju tersebut membuatkan permintaan barangan oleh sektor swasta dan sektor kerajaan turut merundum jatuh. Seterusnya permintaan barangan perantaraan, barangan pelaburan dan barangan akhir dari luar negara seperti Malaysia turut merosot.

Timbul pula persoalan bagaimanakah krisis kewangan tersebut boleh berlaku. Jika kita teliti laporan-laporan ekonomi, adalah jelas sikap tidak bertanggungjawab pengguna dan eksekutif kewangan di institusi-institusi kewangan di negara-negara tersebut sebagai punca utama. Pengguna hidup terlalu mewah menggunakan kemudahan pinjaman untuk membeli barangan mewah 'kamaliat' dan 'tarafiat' yang diketahui tidak membawa banyak kitaran ekonomi yang berguna kepada sektor pengeluaran. Eksekutif kewangan pula berlindung dari keuntungan di atas kertas dari aktiviti pemberian pinjaman kepada pengguna yang berbelanja dengan keterlaluan tersebut, tanpa mengikut prinsip kewangan yang betul seperti kemampuan peminjam untuk membayar kembali hutang yang diambil. Gaji eksekutif kewangan sangat tinggi. Hutang tidak berbayar bertambah dengan banyaknya dan ini menyebabkan institusi kewangan tersebut menghadapi masalah untuk memenuhi tuntutan penyimpan yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka. Di pihak institusi kewangan pula kekurangan wang untuk memberikan pinjaman baru kepada pelanggan yang hendak meminjam. Berlakulah tekanan kepada instisusi kewangan hingga terpaksa memohon bantuan kerajaan masing-masing untuk memulihkan keadaan.

Dalam perbincangan kali ini juga saya ingin menyentuh berkaitan konsep ekonomi Islam dalam pengagihan kekayaan di antara umatnya. Saya ambil bahan ini dari buku saya bertajuk "Ekonomi Malaysia: Satu Analisis Dasar" yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 2000.

Diketahui umum Islam tidak mengizinkan kebebasan dan hak yang tidak terbatas dikalangan individu untuk memiliki harta persendirian dalam aspek pengeluaran (sepertimana dalam fahaman kapitalis); dan tidak pula mengikat mereka kepada satu sistem yang kononnya adil sedangkan mereka tidak dapat mengeluarkan dan memiliki kekayaan dengan bebas (sepertimana dalam fahaman komunis).

Ekonomi Islam telah mengemukakan langkah-langkah yang tertentu untuk mencapai agihan pendapatan (kekayaan) yang saksama dalam masyarakat (Afzal-Ur-Rahman, 1991). Sistem Ekonomi Islam melarang amalan bunga dan kaedah pembahagian harta pusaka kaedah ekonomi konvensional yang menyebabkan kekayaan beredar dikalangan anggota keluarga yang rapat sahaja apabila seseorang yang kaya meninggal dunia. Beberapa langkah yang positif untuk mngembangkan kekayaan kepada orang ramai telah diambil seperti kewajipan Zakat, Sedakah dan peruntukan bantuan kepada orang-orang yang miskin dari pendapatan negara. Islam memberi hak dan semangat kepada individu untuk memiliki harta disamping memberi peringatan supaya mereka menggunakan sumber-sumber yang mereka warisi dengan cara terbaik.
Orang-orang Islam diingatkan supaya tidak membataskan kekayaan untuk diri mereka sahaja. Selepas memenuhi keperluan mereka secara sederhana, mereka perlu menunaikan tanggungjawab terhadap saudara mara, jiran dan orang lain yang memerlukan dalam masyarakat. Ini menunjukkan adanya perkhidmatan sosial dan pendidikan moral dalam pemilikan kekayaan. Untuk mencapai objektif agihan pendapatan yang lebih adil, Islam menggariskan, (1) langkah undang-undang, dan (2) langkah positif tertentu yang meliputi berbagai cadangan untuk memperbaiki pengagihan semula pendapatan. Bahagian pertama ini saya akan menyentuh langkah undang-undang: langkah-langkah positif dalam pengagihan pendapatan yang adil.

Langkah-langkah positif dibuat bertujuan untuk menghalang pemusatan kekayaan dan untuk membantu mengembangkan kekayaan kepada semua lapisan masyarakat. Alat-alat yang digunakan ialah:
i) Zakat
ii) Baitulmal
iii) Faraid
iv) Wasiat
v) Sumber-sumber lain

i) Zakat
Ia merupakan bayaran yang wajib di pungut daripada orang-orang Islam yang kaya untuk dibelanjakan terhadap orang-orang miskin. Menurut ahli fiqh, Zakat adalah sumbangan kewangan yang diwajibkan kepada setiap orang Islam yang memiliki harta melebihi jumlah dan tempoh tertentu. Ini dapat mengembangkan kekayaan kepada setiap anggota masyarakat. Sistem ekonomi konvensional memperkenalkan cukai. Dikatakan cukai progresif, iaiatu semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi bayaran cukai; merupakan teknik terbaik. Walau bagaimanapun, disebabkan sistem pencukaian tidak ada unsur-unsur kerohanian iaitu kesedaran selain dapat membantu masyarakat miskin, ianya juga mendapat balasan pahala bagi bekalan di akhirat. Kita dapat melihat bukti kelemahan kutipan cukai cara konvensional apabila pihak Jabatan Hasil Dalam Negeri melaporkan ramai orang tidak membayar atau menipu dalam pembayaran cukai. Usaha-usaha memperkenalkan sistem zakat dengan lebih meluas dan penggunaan wang zakat dengan baik perlu dijalankan.

Agihan zakat dapat menambah kuasa beli yang menyeluruh di kalangan orang-orang Islam dan meningkatkan permintaan di pasaran. Golongan yang berhak menerima zakat telah diterangkan dalam al-Quran pada surah al-Taubah ayat 60 yang bermaksud:
“Bahawa sadaqat (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus zakat, orang-orang muallaf bagi memujuk hatinya, untuk memerdekakan hamba, orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk orang yang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. Ini sebagai suatu ketetapan daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

Ayat tersebut menerangkan orang yang berhak menerima hasil zakat ialah:-
1. Orang-orang fakir
2. Orang-orang miskin
3. Pengurus zakat (amil)
4. Para mualaf yang dipujuk hatinya (mualaf)
5. Memerdekan hamba (Al-Riqab)
6. Orang-orang yang berhutang (Al-gharimin)
7. Orang yang berjuang ke jalan Allah (Fisabillah)
8. Orang yang sedang dalam perjalanan (Ibnu Sabil)

Menurut Syed Othman al-Habshi (1990), di antara lapan golongan diatas, semuanya adalah tergolong dalam golongan yang susah kecuali (mungkin) para amil (pemungut zakat) dan muallaf. Ini menunjukkan hasil zakat ditumpukan kepada mereka yang susah dan tidak kepada yang senang. Begitu juga golongan fakir disebut dahulu, kemudian golongan miskin dan seterusnya lain-lain golongan. Ianya bermakna penumpuan patut diberikan kepada golongan termiskin (fakir) dalam pengagihan hasil zakat.

ii) Baitulmal
Baitulmal menguruskan kutipan harta zakat, wakaf, harta si mati yang tiada waris dan mengembangkan harta tersebut ke jalan yang dibenarkan oleh Syariah. Peranan yang dimainkan oleh Baitulmal ialah:
a) Mengagihkan harta yang dikumpulkan kepada pihak yang tertentu dan digunakan untuk melaksanakan perancangan dan pembangunan negara.
b) Membentuk dan menggubal polisi kewangan dan pembiayaan awam.
c) Mengutip segala cukai dan zakat.
d) Memungut cukai tambahan bagi membiayai keperluan segala yang bersifat daruriyyah (keperluan asas) dan hajiyyah (melengkapkan).

iii) Faraid
Dalam pengertian fekah, faraid membawa erti kepada hukum-hukum Islam mengenai pembahagian harta pusaka. Sistem faraid bertujuan untuk menentukan wujud proses sistematik untuk mengagihkan harga peninggalan seseorang. Di dalam al-Quran, disebut pembahagian harta pusaka ini di dalam Surah al-Nisa’. Bab-bab yang merangkumi dalam sistem faraid adalah seperti berikut:

a) Bahagian Anak Lelaki dan Anak Perempuan
Bahagian anak lelaki dan anak permpuan dan anak perempuan mereka yang meninggal telah ditetapkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
“Allah mensyari’atkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu: Bahagian seseorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan (lebih dari dua), bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia memperolehi separuh harta”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:11)

b) Bahagian Ibu Bapa
Ibu bapa orang yang meninggal dunia (jika mereka hanya dua orang sahaja) juga mempunyai bahagian terhadap harta yang ditinggalkan. Bahagian mereka telah ditetapkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud:
“Dan untuk dua orang ibu bapa tiap seorang dari mereka mendapat satu perenam dari harta yang ditinggalkan jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya sahaja, ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa orang saudara, ibunya mendapat satu perenam, Pembahagian itu dibuat sesudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya. Tentang orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ia adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:11)

c) Bahagian Isteri
Isteri mendapat sebahagian daripada harta suami yang meninggal dunia, sepertimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:
“Para isteri memperolehi satu perempat yang kamu (suami) tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak para isteri memperolehi satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah membayar hutang-hutangmu”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:12)

d) Bahagian Suami
Suaminya juga berhak untuk mendapat bahagian daripada harta isterinya yang meninggal dunia. Ini dinyatakan di dalam al- Quran yang bermaksud:
“Dan bagimu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, kamu mendapat satu perempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya”.
(Terjemahan al-Quran Surah al-Nisa’ 4:12)

e) Lain-lain kaum kerabat
Undang-undang pembahagian harta pusaka (faraid) dalam Islam juga ada menetapkan bahagian untuk waris yang mempunyai pertalian dengan orang yang meninggal ianya termasuklah saudara-saudara rapat, saudara dari sebelah bapa, cucu daripada anak perempuan, anak kepada saudara perempuan, nenek dan lain-lain (Sila rujuk Afzal-Ul-Rahman, 1991:67-76).

iv. Wasiat
Pembahagian yang telah ditentukan (wasiat) bermakna harta si mati boleh diwariskan kepada individu selain dari ahli waris. Secara tidak langsung peraturan ini dapat menghalang harta terkumpul hanya dalam tangan ahli-ahli waris sahaja. Malah harta-harta ini boleh diwariskan juga kepada baitulmal untuk menguruskan penggunaannya dalam menghasilkan manfaat bagi mereka yang memerlukannya. Walau bagaimanapun cuma satu pertiga dari harta sahaja yang boleh diwasiatkan.

v) Sumber-sumber lain
Selain daripada sumber-sumber di atas, kerajaan dalam sistem ekonomi Islam juga memikul tanggungjawab untuk mengenakan cukai dalam pelbagai bentuk untuk dimasukkan dalam perbendeharaan negara. Di antara sumber-sumber tersebut ialah:
1. Fai’- harta perolehan kerajaan Islam yang didapati dari orang bukan Islam dengan jalan damai.
2. Kharaj - cukai tanah tanpa mengira sama ada pemilik tanah itu orang dewasa atau kanak-kanak, orang Islam atau bukan Islam.
3. Ush - cukai ke atas keluaran pertanian.
4. Cukai-cukai lain seperti cukai pendapatan, kastam dan eksais dan yang serupa dengannya.

Dengan adanya sumber-sumber hasil tersebut maka kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan dan barangan awam untuk manfaat orang ramai.

3 comments:

Anonymous said...

88725
Dr. memang Islam telah menggariskan beberapa langkah untuk menghalang pemusatan kekayaan, namun acapkali berlaku penyelewengan serta tindas menindas dikalangan ahli keluarga sehingga segala hukum yang telah ditentukanNya masih mahu dicabar oleh sikap manusia yang tidak bertanggungjawab.Untuk kumpulan begini , kita perlu memainkan peranan serta penjelasan agar dapat menegakkan yang hak dan yang batil.

Matric No-801043 (UUM) said...

Dr,
Adalah jelas disini bahawa sistem ekonomi dan kewangan Islam dapat memberikan kestabilan dalam ekonomi negara dan dalam pengagihan kekayaan di dalam masyarakat. Institusi-institusi kewangan Islam seperti Baitul mal, Zakat, dan bank-bank islam amat perlu dikembangkan dan diperkukuhkan. Untuk itu pengetahuan mengenai sistem ekonomi Islam perlulah diperkukuhkan dan difahami sepenuhnya. Bidang ini sebenarnya perlu dibuat banyak lagi kajian-kajian dalam memastikan bahawa sistem ekonomi Islam yang dilaksanakan di negara ini mengikut peraturan-peraturan syariah yang telah ditetapkan. Kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan informasi-informasi yang lengkap tentang ekonomi Islam kepada masyarakat. Jika kita menjalankan soal selidik, dikalangan masyarakat Islam pun ada yang tidak mengetahui tentang konsep asas di dalam sistem ekonomi dan kewangan islam. Malah yang paling membahayakan, ada yang dengan yakin dan tanpa segan silu yg menyatakan bahawa Bank Islam dan Bank konvensional adalah sama. Jadi amatlah penting untuk kita terutama umat Islam menguatkan lagi ilmu pengetahuan tentang perkara ini.

Anonymous said...

(801014) Zakat mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam Islam. Pengamalan zakat adalah merupakan persoalan pokok dalam Islam. Hakikat ini dapat dilihat melalui kedudukan sebagai salah satu daripada rukun-rukun Islam sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud:-

"Islam dibina atas lima perkara: kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan Haji, berpuasa Ramadan"

Dan jika dilihat kepada firman Allah pula, kita akan dapati bahawa perintah melaksanakan salat seolah-olah sesuatu yang berkembar. Di antaranya adalah firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud:-

"Dan dirikanlah solat, dan tunaikan zakat dan ruku'lah beserta orang-orang yang ruku' "