Total Pageviews

Saturday, July 27, 2013

Kepentingan keseimbangan pengagihan pendapatan berbanding dengan peningkatan pendapatan

Saya tertarik dengan artikel oleh Profesor Miles Corak dari University of Otawa, Kanada bertajuk “Income Inequality, Equality of Opportunity, and Intergenerational Mobility” yang diterbitkan dalam Journal of Economic Perspectives. Beliau berpendapat penduduk sebuah Negara yang bebas bersuara dan melakukan apa yang dikehendaki, dan boleh mencapai apa yang dikehendaki dengan syarat perlu bekerja dengan kuat adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua penduduk di mana-mana negara di dunia ini.  Lebih penting lagi semua orang boleh berjaya tidak kira asal usul seseorang, dari keluarga berpendapatan rendah, sederhana atau tinggi. Walau bagaimanapun dalam keadaan sekarang di mana berlaku ketidakseimbangan agihan pendapatan yang ketara, iaitu yang kaya terlalu kaya dan menguasai ekonomi, dan yang miskin terus miskin, mobiliti golongan muda untuk berjaya ke arah mencapai pendapatan tinggi melalui pekerjaan atau perniagaan yang diceburi semakin sukar terjadi. Kumpulan berpendapatan tinggi melakukan pelaburan yang besar dalam “modal manusia” anak-anak mereka seperti melalui kelas tuisyen, menyertai persatuan yang ekslusif, dan penghantaran anak untuk mendapat ijazah kedua (master) di luar Negara. Hubungan antara keluarga, pasaran buruh, dan polisi awam di dapati telah mencorakkan peluang untuk berjaya dalam pekerjaan dan perniagaan bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan tinggi berbanding anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah.

Ketidakseimbangan agihan pendapatan masa kini mempengaruhi pula modal sosial golongan muda tersebut. Mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang berjaya didapati mempunyai peluang yang lebih besar untuk terus kekal dalam kelompok elit tersebut. Dengan kata lain terdapat hubungan songsang di antara ketidakseimbangan agihan pendapatan yang diukur dengan “Gini Coeficient” dengan “intergeneration economic mobility”. Di Malaysia boleh dilihat contoh ahli-ahli perniagaan terkenal seperti ahli keluarga kumpulan Naza, Sapura, Genting Berhad, CIMB Bank dan  Public Bank.  Ramai ahli keluarga dari pemilik atau pengurusan tertinggi dari institusi perniagaan tersebut meneruskan tradisi ahli keluarga mereka, terutama dari hubungan ayah dan anak. Dari kalangan ahli politik pula, boleh dilihat dari kalangan ahli politik sama ada dari kalangan parti pemerintah mahu pun dari kalangan parti pembangkang. Pucuk pimpinan parti politik tersebut mempunyai ahli keluarga, terutamanya anak yang berjaya dalam politik.

Selain dari mobiliti sosial, indeks masalah sosial dan kesihatan juga boleh dibentuk dari petunjuk-petunjuk isu-isu sosial dan kesihatan seperti kadar kematian kanak-kanak yang baru lahir, jangka hayat penduduk mengikut tingkat pendapatan, masalah sosial seperti “mat rempit”, lari dari rumah dan kelahiran anak luar nikah, keciciran di sekolah (school drop outs),  jenayah dan obesiti.  Adalah menarik kajian mengikut negara mendapati tidak ada hubungan di antara tingkat Keluaran Negara Kasar (GNP) dengan indeks isu-isu sosial dan kesihatan, tetapi bila di lihat mengikut ketidakseimbangan agihan pendapatan, di dapati ada hubungan yang positif. Negara yang mempunyai agihan pendapatan yang tidak seimbang, lebih tinggi pula masalah sosial dan kesihatan.

Saya membangkitkan isu ini kerana saya merasakan ketidakseimbangan agihan pendapatan yang berlaku di Malaysia kini berada di tahap yang membimbangkan, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Isu kenaikan harga barang keperluan asas seperti tempat tinggal (rumah), pendidikan,  harga barang makanan dan kos utiliti seperti bil letrik dan bil air menjadi perhatian utama isirumah kumpulan pendapatan sederhana pertengahan dan kumpulan pendapatan rendah pada masa kini. Pertama - Isu perumahan. Harga rumah di bandar-bandar besar tersebut begitu tinggi dan di luar dari rasional golongan muda yang baru bekerja untuk memilikinya. Walau bagaimanapun bila dibina projek perumahan baru dan diiklankan di akhbar, harga rumah yang mencecah melebihi RM350 ribu tersebut dengan cepat habis dijual. Maksudnya ada permintaan dan permintaan tersebut melebihi dari penawaran. Persoalannya siapakah sebenarnya pembeli tersebut? Adakah mereka pembeli rumah pertama? Atau spekulator yang membeli rumah dengan tujuan untuk menjualnya dengan harga lebih mahal? Atau pembeli luar terutama pembeli dari Singapura yang ingin memiliki harta di Malaysia hasil dari pemilikan kekayaan mereka yang begitu tinggi? Sekiranya spekulator atau pembeli rumah dari Singapura yang membeli, sesuatu polisi yang sesuai untuk menyekat keadaan ini berlaku perlu dibuat oleh kerajaan. Rumah adalah keperluan asas, dan jika ramai penduduk tidak memiliki rumah yang mampu milik, maka ianya petunjuk ketidakseimbangan agihan pendapatan telah berlaku dan boleh menyebabkan banyak isu sosial dan kesihatan yang tidak baik kepada kesejahteraan Malaysia di masa hadapan.

Kedua- isu pendidikan. Pendidikan adalah penting kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik. Sekiranya kajian dibuat dengan baik, kita boleh dapat hubungan yang positif di antara latar belakang keluarga dengan pelajar yang pandai dan duduk di kelas teratas di sesebuah sekolah. Begitu juga menarik jika dapat dilihat hubungan di antara pencapaian pelajar yang cemerlang di peperiksaan UPSR, SRP dan SPM dengan latar belakang keluarga. Saya tertarik dengan sebuah sekolah rendah di Arau, Perlis yang berjaya meningkatkan prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR dengan membuat strategi memasukkan kesemua pelajar Darjah Enam ke dalam asrama. Dengan strategi tersebut, kesemua pelajar mempunyai peluang yang sama dari segi pembelajaran, makanan, masa belajar dan kemudahan pembelajaran. Mereka tidak perlu lagi menjaga adik kerana ibu dan bapa bekerja, tidak ada kemudahan meja dan buku untuk belajar dan ketidakcukupan makanan yang boleh mempengaruhi kesihatan mereka. Hasilnya pada tahun lepas prestasi akademik pelajar di sekolah luar bandar tersebut mendadak meningkat, dengan bilangan pelajar mendapat keputusan 5A dan peratusan pelajaran yang lulus 100 peratus meningkat. Faktor persekitaran pelajar yang dikawal didapati telah mempengaruhi keputusan pelajar tersebut.

Program sekolah berasrama penuh pada masa saya dahulu perlu dipraktikkan semula. Pelajar yang ibu bapanya berpendapatan kurang dari jumlah pendapatan tertentu, seperti RM3,000 sebulan sahaja dipilih untuk ke sekolah berasrama penuh tersebut. Pemilihan pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana rendah dan berpendapatan rendah ini perlu dipraktikkan dengan sepenuhnya. Ibu bapa berpendapatan tinggi mempunyai kelebihan untuk memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka di sekolah yang biasa. Pada zaman saya, kebanyakan kami yang berasal dari luar bandar, dan di hantar ke sekolah berasrama penuh tersebut, majoritinya telah berjaya dalam pembelajaran dan kerjaya. Ada yang telah menjadi kontraktor kelas A, doktor pakar, ahli farmasi, ahli perniagaan dan guru. Saya berasal dari Melaka dan sekolah saya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Oleh yang demikian perjalanan dari kampung ke sekolah pada setiap cuti persekolahan hanya menggunakan keretapi. Waran keretapi diberikan kepada kami dan majoriti ibu-bapa yang menghantar anak menggunakan pengangkutan awam, terutamanya keretapi dan bas sahaja. Perjalanan dari Stesen keretapi Tampin ke Bukit Mertajam tersebut memberikan pengalaman yang menarik kerana setiap gerabak keretapi ditanda dengan nama sekolah kami seperti gerabak “SM Tengku Kursiah” Seremban, “SM Alam Shah” Selangor, STAR (Sekolah Tunku Abdul Rahman) Ipoh, MCKK (Malay College Kuala Kangsar) Kuala Kangsar dan SMSPP (Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang) Bukit Mertajam. Program-program lain seperti program pengagihan semula pendapatan yang seimbang ini suatu program yang penting dan perlu diberi penekanan yang kuat oleh pembuat polisi di Malaysia.

Ketiga - isu harga barang makanan. Isu ini telah saya bincangkan pada penulisan yang lalu. Keempat - isu kos utiliti seperti bil letrik dan bil air. Saya dapati dari pengalaman saya sendiri terdapat kenaikan kadar caj bil elektrik isirumah yang keterlaluan pada masa kini. Bermula dari kadar RM0.218 sen seunit untuk 200 unit yang pertama dan terus kepada RM0.334 sen seunit, RM0.40 sen seunit, RM0.402 sen seunit, RM0.416 sen seunit, RM0.426 sen seunit, RM0.437 sen seunit, RM0.453 sen seunit, dan RM0.454 sen seunit untuk setiap 100 unit yang berikutnya. Kalau dulu caj bulan elektrik di antara RM100 ke RM 200 sahaja, sekarang caj bulanan naik kepada di antara RM200 hingga RM400. Alasan pembekal perkhidmatan letrik ialah kenaikan kos bahan api seperti gas dan petroleum yang mana bahan api ini digunakan untuk menggerakkan stesen janakuasa elektrik. Masalahnya kos bahan api ini ada masanya turun dan naik, mengapakah pada masa kos bahan api turun, kadar caj letrik tidak akan turun? Dari segi ekonomi dilihat pula cara pengurusan institusi pembekal perkhidmatan letrik ini. Masihkah perjanjian yang berat sebelah dengan pembekal tenaga elektrik swasta 'Independent Power Plant' (IPP) diteruskan? Mengapakah instusi yang dikatakan mengalami kerugian masih membayar bonos tahunan kepada kakitangannya sehingga empat bulan gaji? Kebiasaanya syarikat yang untung sahaja yang membayar bonos tahunan. Faktor-faktor pertimbangan kebajikan rakyat perlu diambil perhatian oleh institusi sebegini dan pembuat polisi perlu perihatin dengan kenaikan kos sara hidup yang keterlaluan pada masa kini.


SELAMAT BERPUASA KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG SAYA. SEBARANG KOMEN YANG MEMBINA ADALAH DIPERSILAKAN.

5 comments:

Lim Rong Rong said...

212084
BEEA 3123 Group A

Pada pendapat saya,amat bersetuju dengan yang sir kata bahawa masalah sosial akan meningkat mengikut jurang pendapatan yang semakin luas.
masalah peningkatan jurang pendapatan menyebabkan orang kaya semakin kaya dan orang miskin semakin miskin sehingga ada yang tidak mampu memenuhi keperluan asas.
isu pertama,perumahan.masalah pembelian rumah yang bertujuan mengaut keuntungan oleh orang yang berkemampuan menyebabkan harga rumah meningkat dan orang yang berpendapatan sederhana dan rendah terpaksa bersaing dengan mereka yang kaya.ini menyebabkan orang miskin tidak mampu memiliki sebuah rumah.
isu kedua,pendidikan.pendidikan memang merupakan isu penting bagi pembangunan sesebuah negara.sesetengah keluarga yang kurang berupaya memilih tidak meneruskan pembelajaran anak mereka kerana tidak mampu.ini menyebabkan anak mereka cenderung melibatkan diri dalam masalah sosial.

Unknown said...

Saya bersetuju bahawa ketidakseimbangan agihan pendapatan pada masa kini. Rumah-rumah sekarang telah bertambah mahal berbanding dengan yang dulu dan ini telah menyebabkan penduduk yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk membeli rumah sendiri. Malahan sewa rumah pada masa kini juga amatlah tinggi terutamanya di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu. Di samping itu, nilai mata wang Malaysia yang lebih rendah telah munguntungkan penduduk luar negara. Terdapat banyak penduduk asing yang datang ke Malaysia untuk membeli rumah sebagai pelaburan. Selain itu, ketidakseimbangan agihan pendapatan menyebabkan sesetengah keluarga miskin tidak dapat menyediakan kehiudpan yang lebih baik kepada anak mereka terutamanya anak yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sekiranya mereka tidak dapat tajaan daripada kerajaan, mereka tidak mampu untuk meneruskan pelajaran dan ini telah merugikan mereka sendiri dan juga keluarga.Ketidakseimbang agihan pendapatan menyebabkan sesetengah yang kurang mampu untuk melakukan kes sosia dan kes jenayah dalam negara akan meningkat.Tambahan, penduduk yang tidak melanjutkan pelajaran tidak mempunyai kemahiran ataupun sijil untuk mandapatkan pekerjaan yang baik.Ketidakseimbangan agihan pendapatan menyebabkan orang yang kaya lebih kaya kerana mereka mengetahui cara untuk menjadi lebih kaya manakala orang yang miskin akan sama saja dan tidak akan menjadi kaya seperti mereka.

ENG AI LIAN 212077 BEEA 3123 GROUP A

Unknown said...

Pengagihan pendapatan yang tidak seimbang telah menyebabkan golongan muda kini tidak mampu memiliki rumah sendiri. Orang kaya menjadi semakin kaya, orang kaya membeli rumah baru sebagai satu pelaburan, mereka menyewa rumah kepada golongan muda dan orang miskin yang tidak mampu membeli rumah. Oleh itu, orang kaya menjadi semakin kaya dari semasa ke semasa. Contohnya, di tanjung bunga Penang, kebanyakan rumah disewa kepada pelajar TAR college and warga asing, ia telah menyebabkan golongan muda yang baru bekerja tidak ada peluang membeli rumah di kawasan tersebut.

low siew hoay 211578

Unknown said...

Jing Ping said:
Memang tidak boleh dinafikan, pengagihan pendapatan yang seimbang dalam masyarakat adalah lebih penting berbanding dengan peningkatan pendapatan. Jurang perbezaan yang besar antara golongan miskin dan golongan kaya akan menimbulkan banyak masalah terutamanya masalah sosial. Ia dapat dibuktikan oleh apa yang berlaku pada tahun 1969 di Malaysia. Jadi, pengenaan cukai terhadap orang yang berpendapatan tinggi dan pemberian subsidi untuk membantu orang yang miskin amat diperlukan dan dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia. Langkah ini amat penting supaya jurang perbezaan antara golongan kaya dan golongan miskin tidak begitu besar.

Lim Jing Ping 211511

Tang Sueh Ling 211970 said...

Masalah pengagihan pendapatan di Malaysia semakin meruncing. Pihak kerajaan mesti memastikan dasar-dasar yang dirancangkan adalah berdasarkan kebajikan masyarakat. Jurang pendapatan disebabkan oleh perbagai punca. Contohnya, ibu bapa yang miskin tidak mampu memberi kehidupan yang baik kepada anak-anak mereka. Hal ini diirama sebagai satu aliran. Mereka yang tidak dapat kehidupan yang sempurna akan menjejakan generasi yang akan datang.Akhirnya, masalah jurang pendapatan akan semakin kronik, kaya semakin kaya dan miskin semakin miskin. Kenaikan harga petrol juga satu isu yang selalunya dipaparkan di media massa. Kenaikan harga petrol memang menjejaskan kehidupan seharian kepada golongan miskin dan sederhana. Hal ini akan menyebabkan berlakunya inflasi pada barang-barang yang berada dalam pasar kerana kos pengeluran ,pengangkutan telah meningkat. Tentulah kenaikan harga yang kecil ini tidak menjejaskan golongan kaya seperti bangsawan, usahawan dan kakitangan kerajaan yang berpendapatan stabil. Jika kita lebih peka, kita akan mendapati golongan yang bekerja sebagai kerja sambilan, hawker yang berpendapat yang tidak stabil. Selepas beberapa tahun kemudian, adakah mereka dapat hidup dengan selesa atau mereka sudah memikul banyak pikul hutang??? Masalah social akan semakin serius juga. Demi kekayaan yang pendek, manusia tidak lagi berperkemanusiaan lagi untuk melakukan kes jenayah. Kemungkinan juga akan berlaku kes rasuah dalam kalangan kolar putih dan kolar biru. Akhirnya, ekonomi negara juga akan dijejaskan. Maka, kerajaan mesti lebih peka dalam memggubalkan dasar-dasar.