Total Pageviews

Saturday, May 11, 2013

Risiko dan ketidakpastian dalam perniagaantani 2


Kebolehan mengatasi risiko dan sikap

Pengusaha atau firma yang mempunyai modal ekuiti lebih berkemampuan untuk menghadapi kerugian sebelum perniagaan mereka ditutup. Sebaliknya firma yang yang mengalami keadaan nilai hutang lebih tinggi berbanding aset (tinggi “leverage”), lebih mudah menghadapi kemungkinan kehilangan ekuiti, kerana perlu mencapai tahap pengeluaran yang tinggi berbanding dengan modal. Kebiasaannya firma yang menggunakan terlalu banyak aset tetap berbanding dengan aset berubah akan menghadapi keadaan sebegini. Firma ini juga mudah terjejas apabila kadar bunga meningkat.

Pengusaha yang terlalu banyak komitmen aliran tunai juga mudah menghadapi risiko perniagaan. Komitmen ini termasuklah komitmen dalam perbelanjaan harian, perbelanjaan pendidikan, dan kos rawatan perubatan. Mereka yang terlalu banyak komitmen sepertimana yang disebutkan mudah menghadapai kesukaran, terutama apabila berlaku kejatuhan dalam hasil dan seterusnya pendapatan. Sebaliknya pengusaha yang mempunyai aset cair yang banyak seperti akaun simpanan, ternakan atau hasil pertanian yang telah dituai dan sedia untuk dipasarkan, dan pekerjaan di luar pertanian, atau ada rakan yang sedia membantu ketika kesusahan, lebih bersedia untuk menghadapi risiko dalam aktiviti yang mereka jalankan.

Ada dikalangan pengusaha tidak mahu menghadapi risiko walau pun mereka tidak mempunyai hutang dan mempunyai aliran tunai yang kukuh. Faktor umur, ekuiti, komitmen kewangan, saiz keuntungan dan kerugian yang dihadapi, pengalaman kewangan masa lalu, komitmen keluarga, kebiasaan dalam aktiviti berisiko, kesihatan, nilai budaya, dan sifat yang sedia ada dalam komuniti boleh mempengaruhi kesediaan seseorang pengusaha untuk menghadapi risiko. Perbincangan seterusnya akan menganalisis bagaimana risiko dikira dan bagaimana risiko boleh dikurangkan kesannya.



1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum w.b.t

Terima kasih atas perkongsian ilmu ini yang sedikit sebanyak boleh membantu kami.
Seperti yang kita sedia maklum bidang pertanian akan menjadi sektor yang penting kepada negara kita.Akan tetapi bidang ini juga memberikan pelbagai macam risiko dan ketidakpastian yang tersendiri.
Antara risiko yang dijangka akan berlaku adalah:
1. Pengurusan yang tidak teratur
2. Tindakan kerja yang tidak teratur
3. Kurang kemampuan dalam melaksanakan strategi perniagaan
4. Bencana di luar jangkaan seperti penyakit tanaman, banjir dan kemarau
5. Kelewatan dalam penerimaan pembayaran setelah selesai melaksanakan projek

Berdasarkan risiko dan keadaan yang mungkin berlaku seperti di atas, pihak pengusaha pertanian perlu memikirkan alternatif atau tindakan yang bersesuaian bagi mengatasi masalah tersebut.
Antara langkah-langkah yang boleh digunakan adalah:
1. Merancang aktiviti atau projek-projek dengan sebaik mungkin dan mengenalpasti masalah-masalah yang bakal terjadi
2.Mamastikan bentuk pembiayaan dan pinjaman yang bersesuaian semasa dan sebelum merancang sesuatu projek.
3. Sebaiknya meminta khidmat bantuan professional
4. Mendapatkan nasihat dari pelbagai aspek sebelum melaksanakan sesuatu urusan atau aktiviti perniagaan yang berkaitan pertanian.
Sekian, terima kasi
Norazimah Mohd Nur (204720)