Total Pageviews

Thursday, May 2, 2013

Pilihanraya 5 Mei 2013


Pada waktu petang tadi ada dua orang bekas pelajar berbincang dengan saya berkaitan Pilihanraya 2013. Mereka bertanya kenapa sekarang ini sokongan terhadap pembangkang begitu ketara sekali. Di Johor Bahru dan Putrajaya sambutan kempen parti pembangkang begitu ramai sekali orang yang datang sehingga mencecah puluhan ribu orang. Saya beritahu mereka golongan yang berpendidikan sekarang tidak hanya bergantung kepada maklumat kepada berita dari akhbar bercetak atau TV sahaja. Sumber dari internet telah banyak menggantikan sumber maklumat dari akhbar dan TV. Apabila timbul keraguan dari berita TV dan akhbar, lama kelamaan masyarakat tidak mempercayai maklumat tersebut lagi dan mula mencari kebenaran dari sumber maklumat lain. Seterusnya janji pembangkang dengan penurunan harga minyak, harga kereta, pendidkan percuma, caj elektrik dan seterusnya harga barang makanan telah menarik golongan muda dan terpelajar untuk meneliti keupayaan untuk melaksanakan manifesto tersebut.

Sebab itulah saya mengatakan pentingnya debat di antara calon-calon pilihanraya untuk menunjukkan kecerdikan dan kecekapan mereka mempertahankan idea yang mereka bawakan. Kita boleh menilai kebenaran janji-janji yang disebutkan tersebut. Jika tidak dinilai dan diperdebatkan, setiap pihak boleh memberikan pelbagai janji semasa pilihanraya. Sebagai contoh, tahukah perbezaan kesan kenaikan perbelanjaan sebanyak RM80 sebulan bagi rakyat yang berpendapatan RM1,000 sebulan berbanding dengan mereka yang berpendapatan RM8,000 sebulan? Apakah kesan pendidikan percuma kepada perbelanjaan kerajaan berbanding dengan hasil kerajaan? Apakah kesannya kepada hutang Negara? Tetapi sayangnya debat secara terbuka di antara calon pilihanraya tidak berlaku lagi di Malaysia. Alangkah baiknya isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat dibincangkan dan dicari penyelesaian yang terbaik.

Rakyat tentunya tidak mahu kenyataan yang popular dari satu pihak sepertimana yang berlaku sekarang tidak dibuktikan kebenarannya.  Kita tahu ada pemimpin pembangkang yang begitu popular hinggakan jika beliau datang berkempen, ramai yang akan keluar mendengar celotehnya. Tetapi saya lebih suka jika ada perdebatan terbuka yang membolehkan setiap pemimpin dapat mempertahankan hujah mereka dengan bijak. Memang kepetahan bercakap boleh menarik perhatian kepada pendengar, tapi yang penting ialah kebenaran apa yang dipercakapkan itu. Isu seperti penyelewengan wang yang diperuntukkan untuk projek pembangunan yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara sudah menjadi isu pilihanraya sekarang ini. Kita tidak mahu tindakan penyelewengan tersebut ditunjukkan seperti sesuatu yang telah biasa berlaku. Semua isu ini diperhatikan oleh rakyat yang prihatin dan bermaklumat.

Begitu juga jika dilihat dari pengumpulan kekayaan dari pemimpin negeri yang kaya kerana kekukuhan sumber ekonomi negeri tersebut. Didapati mereka mengumpul kekayaan seberapa banyak yang boleh sehingga dapat membina rumah yang berjuta-juta ringgit nilainya. Hal ini tidak juga dikritik oleh pemimpin-pemimpin lain kerana mereka juga didapati melakukan perkara yang sama. Sekiranya pemimpin berkenaan masih mengekalkan kesederhanaan dalam kehidupan walau pun telah menjadi pemimpin, tentu mereka mendapat perhatian dan penghormatan dari rakyat tidak kira bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagianya. Ada dua orang Menteri Besar, seorang dari parti pemerintah dan seorang dari parti pembangkang yang saya dapati dapat mengekalkan keserderhanaan kehidupan tersebut. Syabas kepada mereka.

Ada menteri pula bila majlis kenduri perkahwinan anak mereka berbelanja secara besar-besaran dan tidak segan silu mengatakan majlis tersebut dibiayai oleh ahli perniagaan tertentu. Bukankah bila dibiayai sedemikian tentu ada imbuhan yang telah didapati atau diminta nanti? Begitu juga isu kenaikan harga barang, tidak bolehkan dibuat sesuatu yang sesuai untuk mengawalnya? Bukankah faktor kos dan pemasaran sangat penting  untuk dikaji? Mengapakah perjanjian yang berat sebelah seperti perjanjian di antara pembekal tenaga elektrik (Independent Power Producers, IPP)  dengan Tenaga Nasional boleh berlaku dan tidak boleh diselesaikan? Mengapakah perjanjian tersebut dibuat walau pun diketahui berat sebelah? Apakah rasional tindakan sedemikian? Persoalan-persoalan yang tidak logik difikirkan oleh akal inilah yang menyebabkan  ramai rakyat yang berpendidikan sering bertanya  dan mahukan jawapan yang dapat diterima umum.

Sistem satu parti yang berkuasa dan kurangnya “check and balance” mungkin menjadikan perkara ini terjadi. Jadi rakyat berpendidikan sekarang mahukan sistem dua parti. Dijangkakan sistem dua parti akan menyebabkan parti yang memerintah lebih berhati-hati bila memerintah kerana penyelewengan yang berlaku boleh menyebabkan mereka kehilangan kuasa pada masa pilihanraya. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat bukankah sudah ada sistem dua parti, Parti Democrat dan Parti Repulican; dan di England, parti Buruh dan parti  Konservatif. Tibalah masanya Malaysia menuju kearah sistem dua parti.  

Pada masa yang sama, perlu juga ada pengasingan kuasa yang jelas di antara eksekutif (pemerintah), pihak berkuasa undang-undang dan badan kehakiman. Ianya penting untuk memastikan keadilan yang sebenar terlaksana.

Selamat mengundi….salah seorang bekas pelajar saya itu memberitahu ibunya adalah Ketua Bahagian Wanita parti pemerintah di  Johor.  Ha..ha..perbincangan apa salahnya, malahan beliau beberapa kali memberikan pandangan yang baik berkaitan isu pilihanraya pada kali ini. Kita tak pernah mengalami sistem dua parti, jadi kerisauan mereka berkaitan kestabilan dan keamanan Negara ada kebenarannya juga. Diharapkan pihak polis dapat menjamin ketenteraman dalam Negara.

Selamat mengundi rakyat Malaysia pada 5 Mei 2013.

No comments: