Total Pageviews

Monday, May 20, 2013

Risiko dan ketidakpastian dalam perniagaantani 4


Kaedah untuk mengururangkan risiko perniagaan:
  1. Membentuk institusi perniagan yang kukuh
Pertamanya, risiko boleh diurus dan dikurangkan melalui pemilikan dan pembangunan entiti perniagaan yang kukuh. Dalam erti kata lain, sesebuah perniagaan akan dapat merendahkan risiko yang dihadapi atau risiko masa hadapan dengan memiliki kewangan yang kukuh dan aliran tunai yang mencukupi bagi melangsungkan aktiviti seharian perniagaan. Sesebuah perniagaan juga harus mempunyai simpanan wang atau jumlah aset semasa yang mencukupi bagi memudahkan pinjaman-pinjaman baru dilakukan bagi kelangsungan perniagaan.

Pengekalan simpanan pada tahap yang diandaikan selamat untuk kelangsungan perniagaan amatlah mustahak bagi mengelakkan perkara seperti muflis atau masalah kewangan dalam perniagaan. .Dengan adanya simpanan yang mencukupi, peniaga boleh mengelakkan daripada menambah hutang sedia ada terutamanya pada waktu-waktu yang boleh mendatangkan ancaman perniagaan. Jelasnya di sini, simpanan perniagaan boleh merendahkan kesan buruk daripada aliran tunai yang negatif dengan cara menggunakan dana yang tersimpan.

Ringkasnya, memiliki entiti perniagaan yang kukuh dalam industri yang diceburi seperti industri pertanian dapat mengurangkan risiko, walau pun tidak menghapuskan risiko secara keseluruhan. Kesannya, kelangsungan perniagaan dapat ditingkatkan dalam jangka masa panjang.

  2.   Kepelbagaian aktiviti perniagaan
Kaedah yang kedua dalam mengurangkan risiko ialah dengan meningkatkan kepelbagaian aktiviti perniagaan. Sebagai contoh seorang petani selain daripada mengerjakan sawah, beliau juga turut melakukan pekerjaan lain seperti menternak lembu dan kambing serta menjalankan perniagaan kedai runcit. Ia merupakan salah satu pekerjaan sampingan dalam menampung keperluan harian sementara menunggu waktu untuk menuai hasil padi dalam masa empat bulan.

Selain itu, ia juga dapat menampung kos petani dalam pembelian baja bagi penanaman padi. Pada masa yang sama, ia merupakan suatu jaminan kepada para petani bahawa mereka mampu menjana pendapatan meskipun berlaku banjir yang telah memusnahkan hasil tanaman padi. Dalam meningkatkan kepelbagaian aktiviti perniagaan yang lebih baik adalah dengan memastikan perniagaan itu tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pertanian. Sebagai contoh ialah melakukan perniagaan runcit dimana keadaan cuaca yang tidak menentu langsung tidak mengugat perniagaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, petani tidak akan mengalami kerugian yang besar kerana hasil perniagaan runcit yang tidak berkaitan dengan pertanian dapat menampung kos lepas tersebut. Petani juga dapat belajar pelbagai perkara baru seperti menjalinkan hubungan dengan lebih ramai pelanggan, belajar cara untuk melakukan transaksi pembelian serta mempunyai pengalaman dalam menjalankan perniagaan dalam skop yang lebih besar berbanding dengan hanya mempunyai kemahiran penanaman padi sahaja.

Dengan ini, ia dapat membantu petani dalam membuka minda dan dapat memahami dunia dengan lebih mendalam. Petani juga dapat belajar cara memahirkan diri dalam melakukan urusan komunikasi dengan pelanggan. Hal diatas jelas menunjukkan kepentingan mempelbagaikan aktiviti perniagaan bagi seseorang petani.

        3.   Membeli Insurans
Insurans merupakan kaedah ketiga yang dapat diguna pakai dalam mengurangkan risiko dalam pertanian.Ianya merupakan satu kaedah yang sering digunakan untuk mendapatkan pampasan bagi kerugian yang berpunca daripada sumber-sumber yang spesifik seperti risiko dalam menjalankan perniagaan. Selain itu, jenis-jenis insurans lain yang turut dilindungi oleh undang-undang adalah  insurans kemalangan, insurans kebakaran, insurans liabiliti ke atas harta tanah dan insurans peribadi. Malahan insurans hayat awam turut direka untuk mengurangkan kesan kewangan daripada kematian kepada ketua keluarga yang merupakan pencari nafkah utama untuk keluarga.

Dalam bidang perniagaantani contohnya, para petani boleh mengambil insurans liabiliti ke atas kenderaan seperti kereta, van dan lori yang digunakan untuk mengangkut hasil pertanian dari suatu destinasi ke destinasi yang lain. Malah pelbagai jentera yang digunakan oleh para petani dalam menjalankan pelbagai aktiviti pertanian dan perladangan turut mempunyai insurans.

Disamping itu, para petani juga boleh mengambil insurans bagi melindungi sumber yang berisiko tinggi seperti insurans tanaman. Di Negara maju seperti di Amerika Syarikat, insurans ini diujudkan bagi membantu para petaninya dalam mengurangkan risiko dalam keadaan tidak menentu di dalam aktiviti pertanian.  Terdapat juga program insurans  yang meliputi perlindungan terhadap kerugian daripada bencana berskala besar.

Insurans ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan petani itu sendiri. Untuk mengambil bahagian dalam program ini, petani perlu membayar sejumlah premium tertentu per tanaman. Tuntutan dibayar kepada mereka yang mengalami kerugian yang lebih besar daripada 50% dari hasil purata pengeluar dengan menggunakan harga 55% daripada harga pasaran yang dijangka. Mana-mana petani yang menginsuranskan tanaman di bawah program ini, disyaratkan untuk mengambil bahagian dalam program-program lain yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuan termasuk bantuan bencana.

Di bawah prograam yang kedua pula para petani boleh meningkatkan liputan di atas paras bencana. Program subsidi persekutuan ini boleh didapati melalui insurans swasta dan terpakai kepada kira-kira lima puluh jenis tanaman yang berbeza. Petani dapat menginsuranskan dan melindungi kerugian dari 25 hingga 50% dalam pengeluaran. Semakin kecil peratusan kerugian yang diinsuranskan, semakin tinggi premium dan semakin rendah subsidi kerajaan. Petani juga mampu untuk menetapkan harga tuntutan yang akan dibayar di antara 60 hingga 100% daripada harga yang telah ditetapkan oleh Perbadanan Insurans Tanaman Persekutuan. Kepentingan insurans memang tidak dapat disangkal lagi dalam memastikan para petani dapat menjalankan aktiviti pertanian dengan risiko yang minimum.

       4.  Menjalankan kontrak niaga hadapan
Kaedah yang digunakan ialah mengurangkan risiko harga denagn cara memberi satu perjanjian kontrak kepada sesiapa yang terlibat dalam pasaran tersebut. Kontrak tersebut dinamakan sebagai kontrak niaga hadapan. Broker akan bertindak sebagai perantara di antara kedua-dua pihak, pembeli dan penjual. Kontrak niaga hadapan adalah satu perjanjian kontrak yang biasanya di buat di atas harga lantai perdagangan di bursa niaga hadapan untuk membeli atau menjual komoditi tertentu atau instrumen kewangan pada harga yang telah ditetapkan pada masa hadapan. Harga juga pada kebiasaannya telah ditetapkan terlebih dahulu untuk membuat penghantaran atau mengambil penghantaran kuantiti komoditi pada atau sebelum tarikh tamat tempoh kontrak.

Disebabkan adanya mekanisme penghantaran di kawasan berdagang di Bursa Komoditi, ini menyebabkan kontrak niaga hadapan mempunyai nilai pasaran berdasarkan harga komoditi sebenar yang di dagangkan pada hari-hari tertentu. Kontrak niaga hadapan ini juga memberikan butiran yang terperinci berkaitan kualiti dan kuantiti aset yang disandarkan, semua ini telah di standarkan untuk memudahkan perdagangan di bursa niaga hadapan.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Dr. Jamal. Terima kasih di atas perkongsian ini.

Saya ada terbaca tentang Risk Diversification di dalam sebuah buku. Merujuknya, risiko ialah potensi kepelbagaian dalam aliran tunai masa hadapan. Ia adalah kemungkinan bahawa pulangan sebenar berlainan daripada pulangan jangkaan. Konsep yang sering kali diguna pakai dalam Kewangan Perniagaantani ialah apabila tinggi risiko, pulangan juga tinggi. Risiko boleh dikurangkan melalui milikan portfolio. Portfolio didefinisi sebagai apa-apa koleksi atau kombinasi beberapa aset kewangan (pelaburan) pada masa yang sama. Menggabung beberapa pelaburan di dalam portfolio boleh mengurangkan risiko keseluruhan. Jika pelabur hanya melabur dalam satu aset, maka kerugian akan ditanggung sepenuhnya apabila terjadi prestasi buruk dalam perniagaan. Dalam memiliki portfolio, pelabur dinasihatkan untuk melabur dalam pelaburan yang tidak saling berkait (negatively correlated). Contohnya, seorang petani dalam industri penternakan boleh melabur dalam industri hartanah. Dengan ini, jika berlakunya kenaikan harga kos pernternakan, pelaburannya dalam industri hartanah tidak akan terjejas. Maka, wang dari pelaburan hartanah boleh diguna untuk menampung keperluan penternakan.
Oleh itu, pelaburan yang berkait (positively correlated) seperti melabur dalam anak syarikat yang sama harus dielakkan kerana jika satu pelaburan terjejas, pelaburan yang lain turut terkesan.

Terima kasih.
Farah Farhana Che Amat (204732)
Kuliah Kewangan Perniagaantani

Anonymous said...

Salam Dr Jamal. Kaedah untuk mengurangkan risiko perniagaan yang dicadangakan oleh Dr Jamal amat bagus sekali.
Saya juga ingin mencadangkan kaedah lain seperti menambahkan lagi jaringan perniagaan seperti mempunyai rakan kongsi dalam perniagaan untuk mengurangkan risiko dalam aliran tunai jika terjadi sesuatu. Dengan mempunyai rakan kongsi juga kita mampu bekerjasama dalam membentuk strategi yang bagus bagi membentuk perniagaan yang kukuh. Selain itu ialah mengelak risiko sama sekali seperti dengan menutup kawasan perniagaan berisiko tinggi. misalnya ialah petani merancang untuk menanam tebu di ladang, namun akhir-akhir ini keadaan cuaca tidak menentu dan dijangka akan banjir hingga memusnahkan hasil tanaman. Oleh itu, daripada mendapat risiko kerugian yang besar adalah lebih baik jika petani tersebut menutup terus rancangan untuk menanam tebu daripada berisiko tinggi untuk menghadapai kerugian yang besar.

Diharap dengan cadangan saya ini mendapat perhatian daripada Dr Jamal.
Sekian terima kasih.

Najwa Adeela Bt Mohd Ali (204731)